Tuesday, July 4, 2023

Halaman 223 : Hud, 11:13-19


PERKATAAN HARI INI: 

فَرَى / فَرَيَ   = Membuat-buat, mengada-adakan, dusta. 

60  kali disebut di dalam al-Quran.

SINOPSIS   

  1. Penentangan dan cabaran berkaitan al-Quran (11:13-14)
  2. Barangsiapa yang hanya menginginkan dunia , dia tidak akan mendapatkan akhirat (11:15-16)
  3. Orang-orang yang menginginkan akhirat (11:17)
  4. Orang kafir dan orang mukmin serta balasan amal perbuatan mereka masing-masing (11:18-19)

Mukadimah


Alhamdulillah, bersyukur kerana Allah mengizinkan kepada kita untuk teruskan pembelajaran pada Juzuk 12. Semoga kita semua terus ceria gembira baca, faham dan amal al-Quran. 

Surah Hud ini mengajak kita untuk 'reset dan check' semula iman kita.

Ayat 11:13

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ ۖ قُلْ فَأْتُوا۟ بِعَشْرِ سُوَرٍۢ مِّثْلِهِۦ مُفْتَرَيَـٰتٍۢ وَٱدْعُوا۟ مَنِ ٱسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ ١٣

"Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: "Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu! " katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar".

Pengajaran

  1. Orang-orang musyrik menuduh Nabi Muhammad SAW mereka-reka (ٱفْتَرَىٰهُ) al-Quran. 
  2. Maka Allah SWT menyuruh mereka  membuat 10 surah yang sama. 
  3. Hakikatnya, tiada siapa pun yang mampu membuatnya kerana al-Quran adalah mukjizat.

Ayat 11:14

فَإِلَّمْ يَسْتَجِيبُوا۟ لَكُمْ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَآ أُنزِلَ بِعِلْمِ ٱللَّهِ وَأَن لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ ١٤

"Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Quran), maka ketahuilah bahawa Al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya?"

Pengajaran

  1. Carilah ilmu (فَٱعْلَمُوٓا۟) untuk mengetahui kesahihan al-Quran. Al-Quran adalah kalam daripada Allah SWT. 
  2. Allah SWT tegaskan tiada Tuhan selain Dia. Walaupun ayat pendek, ayat ini boleh diterangkan panjang lebar. Allah SWT yang Maha berkuasa. Tiada siapa boleh melawannya. 
  3. Setelah terbukti hakikat kebenaran al-Quran dan kekuasaan Allah SWT kita akan menjadi orang yang berserah diri (مُّسْلِمُونَ) kepada Allah SWT dan menurut peraturanNya.

Ayat 11:15

مَن كَانَ يُرِيدُ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَـٰلَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ ١٥

"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.:

Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan keutamaan yang perlu kita ikuti dalam hidup ini. Kehidupan akhiratlah yang perlu kita fikirkan, bukan dunia semata-mata. Janganlah kita tertipu dengan dunia.
  2. Allah SWT mengingatkan kepada kita bahawa sesiapa yang sukakan dunia dan perhiasannya (زِينَتَهَا), Allah akan memberinya. Contohnya, jika orang itu mahu rumah, mahu kereta, Allah SWT akan sokong dengan syarat kita memang betul-betul mahukannya. Allah akan bantu.
  3. Ketika seseorang itu mencari harta dunia, Allah akan lengkapkan amalnya sampai akhirat sekiranya dia berniat untuk gunakan harta itu di jalan Allah SWT.
  4. Allah SWT akan memberi ganjaran usahanya di dunia dan di akhirat tidak akan dirugikan (يُبْخَسُونَ لَا). Contoh: Jika memberi sumbangan untuk Tabung Gerakan al-Quran, kita akan mendapat ganjaran di dunia sampai ke akhirat.

Ayat 11:16

أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ إِلَّا ٱلنَّارُ ۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا۟ فِيهَا وَبَـٰطِلٌۭ مَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ١٦

"Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan."

Pengajaran

  • Orang-orang yang hanya buat kerja untuk dunia sahaja, mereka akan diazab di akhirat. Sia-sia (حَبِطَ) apa yang diusahakan sekiranya tiada niat untuk gunakan untuk kebaikan di jalan Allah SWT. Apa yang diusahakan itu menjadi batil.
  • Batil (بَٰطِلٌ) membawa dua maksud: 
    • menggunakan harta atau apa yang ada untuk keburukan. 
    • amalan baik tetapi salah niat. Contoh: Derma atau beri orang makan dengan riak, atau menunjuk-nunjuk. Amalan itu menjadi batil.
  • Mengikut Imam Saadi, iman akan menghalang seseorang daripada menginginkan semua kehendaknya di dunia. Allah izinkan kita hendak apa sahaja di dunia, tetapi iman menyebabkan kita rancang harta untuk kegunaan di dunia dan pelaburan untuk akhirat. Perkara haram hendaklah kita jauhkan kerana kita hendakkan yang lebih hebat di akhirat. Itulah kesan iman yang datangnya daripada al-Quran. 

Ayat 11:17

أَفَمَن كَانَ عَلَىٰ بَيِّنَةٍۢ مِّن رَّبِّهِۦ وَيَتْلُوهُ شَاهِدٌۭ مِّنْهُ وَمِن قَبْلِهِۦ كِتَـٰبُ مُوسَىٰٓ إِمَامًۭا وَرَحْمَةً ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِۦ ۚ وَمَن يَكْفُرْ بِهِۦ مِنَ ٱلْأَحْزَابِ فَٱلنَّارُ مَوْعِدُهُۥ ۚ فَلَا تَكُ فِى مِرْيَةٍۢ مِّنْهُ ۚ إِنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ ١٧


"Jika demikian, adakah sama mereka itu dengan orang-orang yang keadaannya sentiasa berdasarkan bukti yang terdapat dari (benda-benda yang diciptakan oleh) Tuhannya, dan diikuti oleh Kitab Suci Al-Quran memberi kenyataan - sebagai saksi dari pihak Tuhan meneguhkan bukti yang tersebut; dan sebelum itu, kenyataan yang serupa diberi oleh Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya)? Orang-orang yang berkeadaan demikian, mengakui - menerima Al-Quran; dan sesiapa ingkar akan Al-Quran itu dari kumpulan-kumpulan kaum kafir, maka nerakalah dijanjikan menjadi tempatnya. Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu terhadap Al-Quran, kerana sesungguhnya Al-Quran itu adalah perkara yang benar dari Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak percaya kepadanya."

Pengajaran

  • Allah SWT bertanya "adakah orang-orang kafir itu sama dengan orang yang mempunyai bukti yang jelas?". Ayat ini memberi pencerahan bagaimana untuk mengelakkan amalan kita daripada menjadi sia-sia (batil). 
  • Ada 3 perkara penting dalam ayat ini:
    • Bayyinah daripada Tuhan. Ada yang mengatakan al-Quran ada yang mengatakan fitrah daripada Allah SWT. Ada yang mengatakan bayyinah ini adalah al-Quran sebagai bukti yang Allah bawakan. Bila kita baca al-Quran, ia akan menyinarkan kembali fitrah kita. Bila baca al-Quran hati kita terasa sesuatu. Bila mula faham, kita tahu itu hujjah kebenaran maka hati akan menjadi bulat semula.
    • Jibril, al-Quran dan Nabi Muhammad SAW menjadi saksi kepada kebenaran.
    • Kitab-kitab sebelum ini sebagai panduan dan rahmat daripada Allah SWT.
  • Tiga penjuru kebenaran ini tidak boleh dinafikan lagi. Kebenaran-kebenaran ini akan membawa kita beramal soleh dengan cara yang sebenarnya. 
  • Jika tidak diendahkan selepas datang tiga perkara peringatan ini, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. 
  • Janganlah kita kritik tentang tiga kebenaran ini. Ia boleh menimbulkan keraguan (مِرْيَةٍ) yang akan membawa kepada kelemahan.
  • Perlu diberi perhatian bahawa ramai manusia tidak beriman. Umat Islam yang berbilion itu ramai yang tidak beriman. Yang beriman pun ramai yang tidak baca al-Quran. Yang baca al-Quran pun ramai yang tidak faham. Yang faham pun ramai yang tidak beramal.  Semoga kita yang sedang berusaha baca, faham, amal ini termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman yang sebenarnya.

Ayat 11:18

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ يُعْرَضُونَ عَلَىٰ رَبِّهِمْ وَيَقُولُ ٱلْأَشْهَـٰدُ هَـٰٓؤُلَآءِ ٱلَّذِينَ كَذَبُوا۟ عَلَىٰ رَبِّهِمْ ۚ أَلَا لَعْنَةُ ٱللَّهِ عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٨

"Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah! Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka, dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat, Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): "Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka". Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!"

Pengajaran

  1. Allah SWT menemplak kerana ramai yang tidak kisah tentang kebenaran-kebenaran ini kerana sibuk mencari dunia.
  2. Mereka menafikan kepentingan al-Quran mengikut panduan daripada Allah SWT. Mereka inilah yang berbohong terhadap Tuhan dan mereka dilaknat oleh Allah SWT. Mereka hilang keutamaan di dalam hidup.
  3. Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada termasuk dalam golongan orang-orang yang dilaknat oleh Allah SWT kerana terlalu sibuk mencari kesenangan dunia hingga tidak mementingkan kebenaran. 

Ayat 11:19

ٱلَّذِينَ يَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًۭا وَهُم بِٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ كَـٰفِرُونَ ١٩

"Orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan ugama Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan hari akhirat;"

Pengajaran

  • Allah SWT laknat orang-orang zalim iaitu mereka yang mempunyai sifat-sifat berikut:
    • Menghalang dirinya dan orang lain dari beriman kepada Allah dan mentaatiNya. Contoh: Tidak mahu ke masjid atau baca al-Quran kerana mengutamakan kerja lain. 
    • Mereka mengajak manusia kepada perkara maksiat atau syirik. Mereka tidak suka perkara-perkara lurus atau kebaikan disebarkan. Mereka membiarkan perkara bengkok masuk ke dalam masyarakat dan keluarga. 
    • Mereka tidak percaya hari akhirat. Tanda orang yang percaya kepada hari akhirat ialah mereka memperjuangkan kalam Allah SWT untuk mendapat rahmat daripada Allah SWT.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Yakin dan perjuangkan mukjizat al-Quran (11:13-14)
  2. Kejar akhirat, dunia akan hadir (11:15-16)
  3. Bina hubungan iman yang kuat dengan al-Quran untuk selamat (11:17)

Saya berasa lega kalau kejar akhirat, Allah akan berikan juga dunia.

Saya jelas untuk yakin dan perjuangkan mukjizat al-Quran. Saya jelas untuk kejar akhirat kerana dunia akan hadir jua. Saya jelas untuk bina hubungan iman yang kuat dengan al-Quran untuk selamat.

Ya Allah, pimpin kami untuk yakin dan perjuangkan mukjizat al-Quran. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Ya Allah, bantu kami untuk bina hubungan iman yang kuat dengan al-Quran agar kami selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...