Tuesday, July 4, 2023

Halaman 224 : Hud, 11:20-28


PERKATAAN HARI INI:

  عَجَزَ = Tidak mampu, lemah. 

   26 kali disebut di dalam al-Quran.

SINOPSIS   

  1. Orang zalim tidak mampu menghalang azab Allah SWT dan mereka menjadi orang yang rugi (11:20-24)
  2. Kisah Nabi Nuh AS (11:25-28)

Mukadimah


Alhamdulillah, bersyukur kerana Allah mengizinkan kepada kita untuk teruskan pembelajaran surah Hud pada halaman 224. Ar-Rahman mengajar kita al-Quran. Semoga Allah SWT memberi kesihatan dan terus merahmati kita.

Ayat 11:20

أُو۟لَـٰٓئِكَ لَمْ يَكُونُوا۟ مُعْجِزِينَ فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا كَانَ لَهُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنْ أَوْلِيَآءَ ۘ يُضَـٰعَفُ لَهُمُ ٱلْعَذَابُ ۚ مَا كَانُوا۟ يَسْتَطِيعُونَ ٱلسَّمْعَ وَمَا كَانُوا۟ يُبْصِرُونَ ٢٠

“Mereka itu tidak akan dapat melemahkan kekuasaan Allah daripada menimpakan mereka dengan azab di dunia, dan tidak ada pula bagi mereka, yang lain dari Allah, sesiapapun yang dapat menolong melepaskan mereka dari seksaNya. Azab untuk mereka akan digandakan (kerana mereka sangat bencikan jalan ugama Allah), sehingga mereka tidak tahan mendengarnya, dan tidak pula suka melihat tanda-tanda kebenarannya.”

Pengajaran

  1. Pada ayat 17 Allah SWT menceritakan tentang orang-orang yang diberikan bukti-bukti yang jelas (bayyinah), tilawah, peringatan dan kitab-kitab terdahulu tetapi mereka menghalang daripada kebaikan dan cuba memesongkan manusia.
  2. Allah SWT menegaskan bahawa mereka tidak mampu menghalang siksaan di bumi dan tidak ada penolong selain daripada Allah SWT untuk membantu mereka di akhirat nanti. 
  3. Azab mereka akan dilipat gandakan kerana mereka menyesatkan diri sendiri dan juga menyesatkan orang lain.
  4. Janganlah kita menghalang dan memesongkan diri sendiri dan orang lain daripada kebenaran. 
  5. Mereka tidak mampu mendengar dan melihat dengan baik kerana mereka lalai ataupun ingkar kepada Allah SWT. Ini adalah sindiran Allah SWT kepada mereka yang rasa hebat, belajar tinggi, banyak pengikut, banyak kuasa tetapi lalai atau ingkar kepada Allah SWT.
  6. Bila azab Allah telah sampai, ia tidak akan mampu dilemahkan oleh orang-orang yang degil , iaitu yang tidak mahu menghargai wahyu daripada Allah SWT.
  7. Semoga kita menjadi orang yang sentiasa lunak bersama al-Quran walaupun kita sibuk. Jangan sampai kita dengan Al Quran seperti mengetuk lantai sahaja. Harapnya kita adalah golongan yang lunak bersama Al Quran agar kita sampai ke daerah yang lunak, namanya 'ashabul jannah'.

Ayat 11:21

أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ ٢١

“Merekalah orang-orang yang merugikan diri sendiri, dan hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.”

Pengajaran

  1. Allah SWT menerangkan mereka ini rugi pada diri mereka, maka hilang lenyaplah segala yang mereka ada-adakan. Bisnes, pengikut semua akan lenyap kerana ideologi yang dibuat-buat itu bukan panduan daripada Allah SWT. 
  2. Penting kepada para pendidik ketika mendidik dan bercakap kepada pelajar iaitu hendaklah mendidik dengan panduan daripada al-Quran. Terapkan kepentingan al-Quran di dalam semua bidang ilmu. 
  3. Amat merbahaya sekiranya kita tidak memiliki ilmu al-Quran di dalam diri. Contoh: Firaun, Qarun, dan Haman adalah orang-orang yang bijak tetapi ilmu mereka membawa kepada kehancuran.

Ayat 11:22

لَا جَرَمَ أَنَّهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ هُمُ ٱلْأَخْسَرُونَ ٢٢

“Tidak syak lagi, bahawa sesungguhnya merekalah yang paling rugi, pada hari akhirat kelak.”

Pengajaran

  1. Allah SWT menegaskan bahawa merekalah orang yang paling rugi pada hari akhirat nanti. Ia itu orang yang tidak endah kebenaran yang dibawa Al Quran. (  Kerugian itu pasti akan berlaku , tidak syak lagi (جَرَمَ لَا). 
  2. Allah SWT menggunakan perkataan ٱلأَخْسَرُونَ, maknanya orang  yang paling rugi. Allah hendak naikkan darjat mereka di akhirat, mereka jatuhkan ke neraka. Allah hendak tawarkan dengan pelbagai nikmat di dunia ini dan tidak dikenakan azab, mereka main-mainkan. Mereka ini sudah dapat macam-macam di dunia untuk dibawa ke syurga tetapi mereka menafikan. Malah mereka ajak orang lain sekali untuk masuk ke dalam neraka. Mereka rugi kerana menolak kebenaran yang dibawa oleh al-Quran.

Ayat 11:23

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَأَخْبَتُوٓا۟ إِلَىٰ رَبِّهِمْ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ ٢٣

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk, mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya”

Pengajaran

  • Ayat ini memberi panduan untuk mengelakkan diri daripada menjadi ٱلْأَخْسَرُونَ (orang yang paling rugi) iaitu dengan:
    • Beriman,
    • Beramal soleh,
    • Tunduk taat menunaikan ibadat kepada Allah SWT dengan merendah diri (وَأَخْبَتُوٓا۟) dan penuh tenang kerana merasa ditatang dengan penuh kasih sayang oleh Allah SWT. Mereka tidak rasa terpaksa bila beribadah, tetapi memang ada kesedaran mereka sendiri.
  • Perkataan  وَأَخْبَتُوٓا۟ amat penting kerana ia ada kaitan dengan kisah kaum Nabi Nuh AS yang sombong, tidak lunak dan amat kasar kepada kebenaran yang  dibawa oleh Nabi Nuh untuk membawa mereka selamat di dunia sampai ke akhirat.
  • Allah SWT menjanjikan kekal di dalam syurga bagi mereka yang percaya kepada tawaran daripada Allah. Mereka berusaha untuk mendapat tawaran daripada Allah itu. Mereka bekerja bersungguh-sungguh dan mereka membuat segala perkara itu dengan rasa rendah diri, dengan rasa lunak hati, dengan rasa lemah lembut kepada Allah SWT. Bukan buat kerana terpaksa. Contoh: Adik-adik yang diajak oleh emak ayah untuk solat, baca al-Quran, hendaklah bersikap lunak agar dapat masuk ke syurga dan dikekal di dalamnya. 
  • Kekal di dalam syurga adalah satu nikmat yang besar.

Ayat 11:24

۞ مَثَلُ ٱلْفَرِيقَيْنِ كَٱلْأَعْمَىٰ وَٱلْأَصَمِّ وَٱلْبَصِيرِ وَٱلسَّمِيعِ ۚ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ ٢٤

“Bandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf?”

Pengajaran


1. Allah SWT membuat perbandingan antara dua golongan iaitu orang-orang yang kafir dan orang-orang yang beriman. Orang-orang yang kafir seperti orang-orang yang buta serta pekak. Orang-orang beriman seperti orang-orang yang celik serta mendengar. Sudah tentu tidak sama orang yang mampu melihat dan mendengar dengan mereka yang tidak buta serta pekak.
2. Penglihatan dan pendengaran amat penting. Siapa yang melihat yang baik di dunia ini akan melihat yang baik-baik di akhirat nanti. Siapa yang mendengar yang baik-baik di dunia ini akan dengar yang baik-baik sampai menjadi ahli syurga. Di sana kekal baik apa yang kita lihat dan apa yang kita dengar. Kita doakan dengan bersama al-Quran, kita akan melihat yang baik-baik dan dengar yang baik-baik di dunia dan akhirat. Ini adalah janji daripada Allah SWT.

Ayat 11:25

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦٓ إِنِّى لَكُمْ نَذِيرٌۭ مُّبِينٌ ٢٥

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah utuskan Nabi Nuh lalu ia memberitahu kaumnya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ini seorang Rasul pemberi amaran yang nyata kepada kamu.”

Pengajaran

  1. Surah Hud ini ada formula istiqamah. Salah satu daripada kisah istiqamah ini adalah istiqamahnya Nabi Nuh AS berdepan dengan kaumnya selama sekitar 950 tahun. 
  2. Penekanan dalam ayat ini ialah perkataan نَذِيرٌ. Ayat ini menceritakan fasa hujung dalam dakwah Nabi Nuh AS. Ini sebagai panduan kepada Nabi Muhammad SAW pada fasa hujung di Mekah. 
  3. Setelah Nabi Nuh AS mengajak bertahun-tahun ke arah kebaikan tetapi mereka masih lagi degil maka diberikan amaran (نَذِيرٌ) bukan lagi khabar gembira (basyir).

Ayat 11:26

أَن لَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ إِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ أَلِيمٍۢ ٢٦

"Iaitu janganlah kamu menyembah melainkan Allah; sesungguhnya aku bimbang (jika kamu menyembah yang lainnya), kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada hari pembalasan".

Pengajaran

  1. Ini adalah mesej dakwah para rasul yang perlu dikongsikan dengan masyarakat. Jangan menyembah kecuali kepada Allah SWT. Jangan mengharapkan kaya kecuali daripada yang Maha Kaya. Jangan mengharapkan sayang kecuali daripada yang Maha Penyayang. Jangan mengharapkan pertolongan kecuali daripada yang Maha Pemberi Rezeki dan Maha Penolong. Ini penting kerana seseorang tidak akan mengharapkan rasuah daripada orang untuk menjadi kaya. 
  2. Bila seseorang itu syirikkan Allah, dia akan stres. Hanya dengan kembali kepada Allah, jiwa akan tenang dalam menghadapi cabaran. Seseorang yang ada cabaran tetapi tidak kembali kepada Allah, dia akan kutuk orang dan suka gaduh untuk melepaskan stresnya. 
  3. Oleh kerana kaum Nabi Nuh AS mengharapkan kepada selain daripada Allah SWT, Nabi Nuh AS bimbang akan azab kepada kaumnya. Jika kita kembali kepada Allah SWT, jiwa kita akan tenang walaupun ada cabaran dan ujian.
  4. Kongsikan dakwah kepada keluarga kerana kita tidak mahu azab pedih di akhirat. Kita mahu bebas sebebasnya bila berada di akhirat, iaitu di syurga Allah SWT.

Ayat 11:27

فَقَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦ مَا نَرَىٰكَ إِلَّا بَشَرًۭا مِّثْلَنَا وَمَا نَرَىٰكَ ٱتَّبَعَكَ إِلَّا ٱلَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِىَ ٱلرَّأْىِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍۭ بَلْ نَظُنُّكُمْ كَـٰذِبِينَ ٢٧

“Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: "Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta".”

Pengajaran

  1. Al-Mala’ (ٱلْمَلَأُ )  adalah orang-orang yang berpengaruh di zaman Nabi Nuh. Mereka melihat pengikut Nabi Nuh AS sebagai low class, orang miskin, tidak elit. Mereka mengatakan Nabi Nuh AS hanyalah pendusta. 
  2. Pendapat mereka ini ialah pendapat yang singkat, cepat sangat menghukum dan memandang hina kepada orang lain.

Ayat 11:28

قَالَ يَـٰقَوْمِ أَرَءَيْتُمْ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٍۢ مِّن رَّبِّى وَءَاتَىٰنِى رَحْمَةًۭ مِّنْ عِندِهِۦ فَعُمِّيَتْ عَلَيْكُمْ أَنُلْزِمُكُمُوهَا وَأَنتُمْ لَهَا كَـٰرِهُونَ ٢٨

“Nabi Nuh berkata: "Wahai kaumku! Jika keadaanku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, serta Ia mengurniakan pangkat Nabi kepadaku dari sisiNya, kemudian bukti yang nyata itu menjadi kabur pada pandangan kamu (disebabkan keingkaran kamu yang telah sebati), maka adakah kamu nampak ada gunanya Kami memaksa kamu menerima bukti itu sedang kamu tidak suka kepadanya.”

Pengajaran

  1. Nabi Nuh AS memberitahu kaumnya yang baginda hanyalah orang yang menyampaikan wahyu untuk membawa bukti yang nyata dan membawa rahmat Allah kepada kaumnya. Kedatangan baginda adalah untuk manfaat mereka bukan untuk menyibuk. Kalau mereka benci, mereka akan jadi orang yang rugi.
  2. Ketika kita dikutuk dan dihina, tidak perlu terlalu cepat bersedih dan kecewa. Contohi sikap Nabi Nuh AS.
  3. Semoga dengan kita membaca al-Quran, kita  menjemput rahmat Allah ke dalam rumah-rumah kita dengan menghargai wahyu.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Carilah kebenaran di sini, jangan terlambat sehingga sampai di sana (11:20)
  2. Beriman, beramal soleh dan merendah diri untuk mendapat syurga (11:23)
  3. Sembah Allah SWT agar dijauhkan daripada azab (25-26)

Saya berasa lega Allah SWT akan berikan syurga dan jauhkan azab sekiranya saya beriman, beramal soleh, merendah diri dan hanya menyembah kepada Allah SWT

Saya jelas untuk cari kebenaran di sini agar tidak rugi apabila sampai di sana. Saya jelas saya mesti beriman, beramal soleh dan merendah diri untuk mendapat syurga. Saya jelas saya mesti sembah Allah SWT agar dijauhkan daripada azab.

Ya Allah, pimpin kami untuk cari kebenaran di sini agar kami tidak rugi apabila sampai di sana, di akhirat. Ya Allah, jadikan kami orang yang berilmu, beriman dan bertakwa. Ya Allah, bimbing kami untuk menjadi hamba Mu yang merendah diri dan istiqamah melakukan amal soleh. Ya Allah, jauhkan kami daripada azab di dunia dan di akhirat. Kurniakan kami syurga Firdaus.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...