PERKATAAN HARI INI:
رَزَقَ Memberikan rezeki.
123 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Anugerah, ilmu, dan kekuasaan Allah SWT (11:6-7)
- Sikap orang mukmin dan kafir ketika mendapat nikmat dan azab (11:8-11)
- Tuntutan orang musyrik Mekah agar diturunkannya harta karun serta datangnya malaikat bersama Nabi Muhammad SAW (11:12)
Mukadimah
Alhamdulillah, bersyukur kita diberi nikmat untuk bersama al-Quran untuk baca, faham dan amal. Hari ini kita mulakan Juzuk 12 bercerita tentang fomula untuk istiqamah menghadapi cabaran akhir zaman. Hidup ini memang ada cabaran untuk kekal berada di jalan yang lurus tetapi Allah SWT berikan panduan kepada kita dengan al-Quran.
Ayat 11:6
۞ وَمَا مِن دَآبَّةٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّۭ فِى كِتَـٰبٍۢ مُّبِينٍۢ ٦
“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”
Pengajaran
- Banyak surah-surah di dalam al-Quran yang ada pasangan. Surah Hud pasangannya ialah Surah Yunus. Menurut Imam as-Sya’rawi, kaitan antara dua surah ini ialah kerana keduanya ada bercerita tentang air.
- Surah Hud diturunkan ketika Nabi Muhammad SAW menghadapi cabaran. Baginda SAW diberi mukjizat wahyu tetapi orang musyrik memperolok-olokkan baginda SAW.
- Allah SWT mengajar kaedah bercakap. Allah SWT memberi ayat-ayat yang pendek-pendek tetapi jelas. Ini adalah cara komunikasi berkesan yang boleh kita contohi.
- Surah Hud menyebabkan rambut Nabi Muhammad SAW beruban kerana pada waktu itu baginda SAW perlu istiqamah dalam dakwah menghadapi kaum yang degil. Mereka tidak percaya kepada wahyu yang Rasulullah SAW sampaikan. Pada fasa penghujung di Mekah, baginda SAW perlu lebih istiqamah agar kesan perjuangan itu lebih jelas.
- Allah SWT menentukan segalanya termasuk rezeki semua makhlukNya. Allah SWT memberi peringatan kepada yang tidak percayakan wahyu daripada Allah SWT bahawa Allah SWT yang memberikan rezeki adalah Allah yang sama menurunkan wahyu.
- Allah SWT boleh menarik rezeki yang ada pada bila-bila masa. Allah SWT berupaya menutup ekonomi sesuatu negara. Ini caranya Allah SWT menunjukkan kuasanya. Semuanya tercatat dalam kitab di Lauh Mahfuz.
Ayat 11:7
وَهُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍۢ وَكَانَ عَرْشُهُۥ عَلَى ٱلْمَآءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ۗ وَلَئِن قُلْتَ إِنَّكُم مَّبْعُوثُونَ مِنۢ بَعْدِ ٱلْمَوْتِ لَيَقُولَنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا سِحْرٌۭ مُّبِينٌۭ ٧
“Dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang ‘ArasyNya, berada di atas air (Ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) berkata: "Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati" tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: "Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya)".”
Pengajaran
- Allah SWT memberitahu kepada kita bahawa tiap sesuatu itu ada prosesnya. Ada langkah-langkah tertentu yang perlu diikuti. Inilah cara Allah SWT mengajar kita istiqamah. Jangan tergopoh-gopoh di dalam berbuat sesuatu.
- Arasy Allah adalah di atas air. Air adalah sesuatu perkara yang amat istimewa. Air disebut di dalam kedua-dua surah Yunus dan Hud. Air dikaitkan dengan makhluk yang datang daripada atas.
- Allah SWT menjadikan langit, bumi, matahari untuk manfaat kita. Maksudnya, sama ada kita berbuat baik atau sebaliknya berdasarkan kepada nikmat yang Allah berikan kepada seluruh dunia. Allah memuliakan kita kerana seluruh alam mayapada disiapkan kepada kita termasuklah rezeki.
- Amalan soleh kita akan dibawa ke akhirat, bukan sekadar untuk duduk di dunia ini. Seperti pelajar yang baru habis SPM, mesti tidak mahu kekal sebagai pelajar tingkatan lima selama-lamanya. Mereka mesti mahu pergi ke universiti dan yang lebih tinggi lagi. Kita juga, bila akan pergi ke akhirat, mahu pergi dengan keputusan yang terbaik.
- Orang yang tidak beriman tidak suka Nabi Muhammad SAW. Mereka menyatakan apa yang baginda SAW bawa adalah sihir. Hakikat sebenarnya, mereka takjub dengan ciptaan Allah SWT seperti matahari dan bulan tetapi mereka tidak mahu mengakuinya. Mereka menuduh Nabi Muhammad SAW ahli sihir untuk menjatuhkan baginda SAW.
- Rezeki kita Allah SWT boleh kawal. Allah SWT jadikan segala yang ada di atas muka bumi ini untuk tengok amalan kita jadi lebih baik ataupun jadi kurang baik.
Ayat 11:8
وَلَئِنْ أَخَّرْنَا عَنْهُمُ ٱلْعَذَابَ إِلَىٰٓ أُمَّةٍۢ مَّعْدُودَةٍۢ لَّيَقُولُنَّ مَا يَحْبِسُهُۥٓ ۗ أَلَا يَوْمَ يَأْتِيهِمْ لَيْسَ مَصْرُوفًا عَنْهُمْ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ ٨
“Dan demi sesungguhnya! Jika kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah mereka akan berkata (secara mengejek): "Apakah yang menghalangnya?" Ketahuilah! Pada hari datangnya azab itu kepada mereka, tidak akan dapat ditolak daripada menimpa mereka, dan tentulah mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.”
Pengajaran
- Orang kafir mengejek Nabi SAW dengan bertanya apa yang menghalang (يَحْبِسُهُۥٓ مَا) azab daripada menimpa mereka.
- Allah SWT menggunakan perkataan أُمَّةٍ yang bermakna masa. Bila seseorang itu buat sesuatu yang baik, dia tunggu masa sahaja untuk dapat balasan baik. Jika tidak ikut al-Quran, dia sebenarnya menunggu masa untuk mendapat azab.
- Jangan kita tertipu dengan perbuatan orang kafir. Sampai masa, Allah akan berikan balasannya. Hanya Allah SWT tahu masanya. Peranan kita sebagai orang beriman ialah membuat persiapan. Jangan sampai kita yang diazab oleh Allah SWT.
Ayat 11:9
وَلَئِنْ أَذَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ مِنَّا رَحْمَةًۭ ثُمَّ نَزَعْنَـٰهَا مِنْهُ إِنَّهُۥ لَيَـُٔوسٌۭ كَفُورٌۭ ٩
“Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.”
Pengajaran
- Allah SWT menceritakan tentang psikologi manusia ketika menghadapi kesenangan dan kepayahan. Bila mendapat sesuatu rahmat daripada Allah SWT, jika tiba-tiba Allah SWT tarik rahmat itu, manusia akan kecewa. Contohnya Allah SWT tarik kesihatan sekejap ada manusia berputus asa (لَيَـُٔوسٌ).
- Putus asa itu akan membawa kepada tidak bersyukur kepada Allah SWT (كَفُورٌ ). Keimanan mereka hilang akibat kehilangan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Mereka tertekan bila Allah SWT cabut nikmat. Seperti iblis yang berputus asa daripada rahmat Allah SWT sehingga menjadi kafir.
Ayat 11:10
وَلَئِنْ أَذَقْنَـٰهُ نَعْمَآءَ بَعْدَ ضَرَّآءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ ٱلسَّيِّـَٔاتُ عَنِّىٓ ۚ إِنَّهُۥ لَفَرِحٌۭ فَخُورٌ ١٠
“Dan demi sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: "Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku". Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai).”
Pengajaran
- Bila Allah SWT memberi kesusahan dan mudharat, memang mencabar (ضَرَّآءَ). Namun semuanya tidak kekal (مَسَّتْهُ). Sekejap sahaja dan Allah SWT hanya sentuh sikit sahaja.
- Apabila Allah SWT mengangkat musibah itu, manusia kembali sombong dan lupa kesusahan lalu. Contoh: Kita dapat melihat waktu PKP 1 diangkat. Orang terus sahaja bertebaran pergi bercuti sana sini.
Ayat 11:11
إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُم مَّغْفِرَةٌۭ وَأَجْرٌۭ كَبِيرٌۭ ١١
“Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.”
Pengajaran
- Allah SWT tidak tekankan iman kerana orang beriman perlu bersabar ketika berhadapan dengan ujian kesenangan dan ujian kesusahan. Kalau dia tidak bersabar, kesannya dia tidak beramal soleh. Orang yang bila ditimpa kesusahan langsung tidak beramal soleh kerana dia tidak sabar. Bila seseorang bersabar, dia akan beramal soleh.
- Perkara yang menyebabkan kita malas beramal soleh adalah samada kita sombong ketika senang atau kufur ketika dalam kesusahan.
- Ujian yang melanda adalah untuk kita mendapat keampunan dan ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Jangan kita sia-siakan peluang untuk kembali kepadaNya.
- Semasa dilanda ujian, hendaklah kita terus menyampaikan peringatan. Dalam keadaan perit kita kena lapangkan dada.
Ayat 11:12
فَلَعَلَّكَ تَارِكٌۢ بَعْضَ مَا يُوحَىٰٓ إِلَيْكَ وَضَآئِقٌۢ بِهِۦ صَدْرُكَ أَن يَقُولُوا۟ لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْهِ كَنزٌ أَوْ جَآءَ مَعَهُۥ مَلَكٌ ۚ إِنَّمَآ أَنتَ نَذِيرٌۭ ۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ وَكِيلٌ ١٢
“Jangan-jangan engkau (wahai Muhammad) tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu serta merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang yang ingkar itu berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolongnya menyiarkan Islam)?" Kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu (maka berserahlah diri kepadaNya).”
Pengajaran
- Ketika Nabi Muhammad SAW menghadapi ujian kesenangan dan kesusahan, baginda SAW tidak sombong tidak kufur.
- Tanda tidak sombong dan tidak kufur adalah bersabar dan beramal soleh. Amal soleh itu bukan sekadar beramal sendirian, malah kita mengajak orang lain beramal sama.
- Allah SWT mengingatkan Nabi Muhammad SAW supaya jangan rasa sempit. Manusia memang ada psikologi sempit. Tawakkal adalah hanya kepada Allah SWT.
- Teruskan kerja dakwah. Ia akan membantu kita untuk bersyukur ketika senang, bersabar ketika payah. Allah SWT akan mententeramkan dan menenangkan kita bila kita bersabar dan mengajak orang untuk bersabar dan kembali kepada Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat!
- Utamakan tanggungjawab sebagai hamba, bukan bimbang pasal rezeki (11:6)
- Laksanakan kebaikan dan kemajuan secara bertahap (11:7)
- Jangan mudah bangga dan kufur pada nikmat yang diperolehi (11:10)
Saya lega tidak perlu bimbang pasal rezeki kerana yakin Allah ar-Razzaq akan beri rezeki.
Saya jelas untuk utamakan tanggungjawab sebagai hamba, bukan bimbang pasal rezeki. Saya jelas untuk laksanakan kebaikan dan kemajuan secara bertahap. Saya jelas untuk tidak bangga dan kufur pada nikmat yang diperolehi.
Ya Allah, pimpin kami untuk utamakan tanggungjawab sebagai hamba. Ya Allah Ya Razzaq, kurniakan kami rezeki yang dapat membawa kami menjadi hamba yang soleh. Ya Allah, bimbing kami untuk laksanakan kebaikan dan kemajuan secara bertahap. Ya Allah, jauhi kami daripada sifat bangga dan kufur pada nikmat yang diperolehi.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.