PERKATAAN HARI INI
عَتُدَ = Sedia, telah siap.
16 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Tersebarnya berita di kalangan perempuan-perempuan di kota dan rencana isteri Al-Aziz mengundang mereka serta kisah pemenjaraan Nabi Yusuf AS (12:31-35)
- Kisah Nabi Yusuf AS di dalam penjara dan dakwahnya menuju agama yang benar (12:36-37)
Mukadimah
Alhamdulillah, hari ini kita akan menyambung kisah Nabi Yusuf AS. Yusuf ada kaitan dengan perkataan 'asif' yang bermakna meruntun jiwa, memohon maaf. Banyak pelajaran penting yang boleh diambil daripada kisah hari ini.
Ayat 12:31
فَلَمَّا سَمِعَتْ بِمَكْرِهِنَّ أَرْسَلَتْ إِلَيْهِنَّ وَأَعْتَدَتْ لَهُنَّ مُتَّكَـًۭٔا وَءَاتَتْ كُلَّ وَٰحِدَةٍۢ مِّنْهُنَّ سِكِّينًۭا وَقَالَتِ ٱخْرُجْ عَلَيْهِنَّ ۖ فَلَمَّا رَأَيْنَهُۥٓ أَكْبَرْنَهُۥ وَقَطَّعْنَ أَيْدِيَهُنَّ وَقُلْنَ حَـٰشَ لِلَّهِ مَا هَـٰذَا بَشَرًا إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا مَلَكٌۭ كَرِيمٌۭ ٣١
Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada - tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): "Keluarlah di hadapan mereka". Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: "Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!"
Pengajaran
- Apabila Zulaikha mendengar wanita-wanita di kota mencacinya, dia menjemput mereka dan menyediakan jamuan untuk mereka. Setiap wanita itu diberikan sebilah pisau. Kemudian Zulaikha menyuruh Nabi Yusuf AS keluar di hadapan mereka.
- Bila wanita-wanita itu melihat Nabi Yusuf AS, mereka tercengang (أَكْبَرْنَهُ) melihat kecantikan Nabi Yusuf AS dan mereka tidak sedar terhiris jari mereka berkali-kali (وَقَطَّعْنَ). Mereka berkata bahawa Yusuf AS bukan manusia tetapi malaikat yang mulia.
- مَكْرِ adalah komplot dalaman untuk menjatuhkan seseorang. Di luar nampak baik, tetapi wanita-wanita itu ada komplot tersembunyi, tidak puas hati dengan Zulaikha.
Ayat 12:32
قَالَتْ فَذَٰلِكُنَّ ٱلَّذِى لُمْتُنَّنِى فِيهِ ۖ وَلَقَدْ رَٰوَدتُّهُۥ عَن نَّفْسِهِۦ فَٱسْتَعْصَمَ ۖ وَلَئِن لَّمْ يَفْعَلْ مَآ ءَامُرُهُۥ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونًۭا مِّنَ ٱلصَّـٰغِرِينَ ٣٢
(Zulaikha) berkata: "Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina."
Pengajaran
- Zulaikha mengaku kepada wanita-wanita tersebut bahawa dia menggoda Nabi Yusuf AS tetapi baginda telah menolak godaannya.
- Sebagai isteri pemerintah, Zulaikha ada kuasa dan bila terasa dirinya dihina, maka ia menggunakan kuasanya mengancam Nabi Yusuf AS untuk dipenjarakan.
- Inilah kaedah politik dalam masyarakat; bila ada kuasa dan terkesan sesuatu dia akan backlash (patah balik) dengan menzalimi orang lain yang tidak bersalah. Ini berlaku di mana-mana.
- Inilah senario sosial yang banyak berlaku. Bila orang yang ada kuasa terasa diri disakiti atau dihina, ia akan memanipulasi kuasanya untuk menzalimi orang tersebut, walaupun orang itu adalah benar.
Ayat 12:33
قَالَ رَبِّ ٱلسِّجْنُ أَحَبُّ إِلَىَّ مِمَّا يَدْعُونَنِىٓ إِلَيْهِ ۖ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّى كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ ٱلْجَـٰهِلِينَ ٣٣
Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang jahil".
Pengajaran
- Apabila Nabi Yusuf AS diancam penjara oleh isteri al-Aziz, baginda berdoa kepada Allah SWT: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepada mereka. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang jahil".
- Nabi Yusuf AS tetap merasakan dekat dengan Allah SWT dan memohon secara langsung kepada Allah SWT agar dirinya diselamatkan. Tanpa bantuan Allah SWT, maka dia akan menjadi jahil yang bermaksud, mengikut perasaan (nafsu) sehingga berbuat maksiat.
Ayat 12:34
فَٱسْتَجَابَ لَهُۥ رَبُّهُۥ فَصَرَفَ عَنْهُ كَيْدَهُنَّ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ ٣٤
Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Pengajaran
- Allah SWT memperkenankan doa Nabi Yusuf AS. Baginda memilih dipenjara maka baginda terhindar dari tipu daya mereka.
- Hendaklah kita ingat, ketika berdoa gunakanlah perkataan yang elok-elok. Allah SWT amat mendengar apa yang dibicarakan oleh Nabi Yusuf AS dan Allah SWT Amat Mengetahui apa yang akan berlaku.
Ayat 12:35
ثُمَّ بَدَا لَهُم مِّنۢ بَعْدِ مَا رَأَوُا۟ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَيَسْجُنُنَّهُۥ حَتَّىٰ حِينٍۢ ٣٥
Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa.
Pengajaran
- Kemudian timbul fikiran bagi suami Zulaikha serta suami-suami wanita yang lain (بَدَا لَهُم) untuk memenjarakan Nabi Yusuf AS.
- Ini adalah berkenaan sifat ahli-ahli politik yang dipengaruhi oleh isteri-isteri. Walaupun isteri mereka bukan pemerintah tetapi kata-kata mereka memberi kesan kepada suami. Mereka semua bersekongkol dengan al-Aziz dan isterinya untuk menutup kesalahan masing-masing. Mereka mengizinkan kezaliman berlaku.
- Nabi Yusuf AS tidak dibicarakan dan dipenjara sehingga waktu yang tidak diketahui (حَتَّىٰ حِينٍ). Ini adalah salah satu daripada komplot jahat dalam dunia politik. Mereka guna kuasa untuk kepentingan diri. Kadang-kadang penyalahgunaan kuasa itu bukan kerana mereka buat masalah, tetapi isteri yang buat masalah.
Ayat 12:36
وَدَخَلَ مَعَهُ ٱلسِّجْنَ فَتَيَانِ ۖ قَالَ أَحَدُهُمَآ إِنِّىٓ أَرَىٰنِىٓ أَعْصِرُ خَمْرًۭا ۖ وَقَالَ ٱلْـَٔاخَرُ إِنِّىٓ أَرَىٰنِىٓ أَحْمِلُ فَوْقَ رَأْسِى خُبْزًۭا تَأْكُلُ ٱلطَّيْرُ مِنْهُ ۖ نَبِّئْنَا بِتَأْوِيلِهِۦٓ ۖ إِنَّا نَرَىٰكَ مِنَ ٱلْمُحْسِنِينَ ٣٦
Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur ". Dan berkata pula yang seorang lagi: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)".
Pengajaran
- Nabi Yusuf AS dimasukkan ke dalam penjara bersama-sama dua orang pemuda. Seorang pemuda itu memberitahu tentang mimpinya memerah anggur. Seorang lagi bermimpi dia menjunjung roti yang sebahagiannya dimakan burung. Mereka meminta Nabi Yusuf takbirkan mimpi-mimpi mereka. Mereka memandang Nabi Yusuf AS sebagai orang yang melakukan kebaikan.
- Walaupun baru masuk penjara, tetapi dua orang pemuda itu sudah mahu menceritakan kepada Nabi Yusuf AS. Mengikut ulamak, ini kerana Nabi Yusuf AS dikenal daripada jauh lagi.
- Tampannya Nabi Yusuf AS bukan sekadar fizikal semata-mata tetapi kerana nur iman daripada dalamnya yang memancar dan menambahkan lagi cantiknya sehinggakan wanita-wanita Mesir itu mengatakan ini adalah malaikat yang amat mulia.
- Ini mengajar kepada kita hakikat sebenarnya dalam kehidupan ini. Orang yang di dalam penjara tidak semestinya bersalah dan orang yang di luar penjara tidak semestinya tidak bersalah.
- Semoga kita tidak ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara di sini sampai ke akhirat.
Ayat 12:37
قَالَ لَا يَأْتِيكُمَا طَعَامٌۭ تُرْزَقَانِهِۦٓ إِلَّا نَبَّأْتُكُمَا بِتَأْوِيلِهِۦ قَبْلَ أَن يَأْتِيَكُمَا ۚ ذَٰلِكُمَا مِمَّا عَلَّمَنِى رَبِّىٓ ۚ إِنِّى تَرَكْتُ مِلَّةَ قَوْمٍۢ لَّا يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَهُم بِٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ كَـٰفِرُونَ ٣٧
Yusuf menjawab: "(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takbir mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu ialah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Dengan sebab itu aku meninggalkan ugama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat.
Pengajaran
- Ayat ini memberi panduan penting kepada pendakwah. Nabi Yusuf AS mengajar kita bagaimana untuk respond kepada orang yang bertanya.
- Nabi Yusuf AS menggunakan strategi komunikasi seorang pendakwah iaitu ringkas dan tepat masanya.
- Nabi Yusuf AS tidak terus memberi nasihat kepada dua pemuda itu. Baginda gunakan peluang itu untuk berdakwah kepada Allah SWT.
- Baginda tekankan tentang kafirun dan hari akhirat. Ditekankan tentang hari akhirat kerana orang-orang yang buat komplot itu tidak kisah kesan pada hari akhirat. Mereka sanggup buat kezaliman. Dalam politik mereka bergaduh, sanggup memenjarakan orang yang tidak patut dipenjarakan, kerana mereka pandang enteng iman pada hari akhirat. Mereka tidak kisah syurga neraka dan mereka tidak suka diingatkan tentang syurga dan neraka. 5. Allah SWT susunkan yang terbaik untuk Nabi Yusuf AS kerana baginda hamba yang ikhlas.
RESOLUSI
Ingat!
- Berjaga-jaga dan jangan terpesona dengan keindahan makhluk sampai terabai kewajipan (12:31)
- Pilih kesukaran untuk dekat dengan Allah SWT berbanding kesenangan (12:33)
- Yakin Allah SWT akan menyusun yang terbaik kepada hamba yang ikhlas (12: 35-37)
Saya berasa lega Allah SWT akan menyusun yang terbaik sekiranya saya menjadi hamba yang ikhlas.
Saya jelas saya mesti berjaga-jaga dan jangan terpesona dengan keindahan makhluk sampai terabai kewajipan. Saya jelas untuk pilih kesukaran agar dekat dengan Allah SWT berbanding kesenangan yang menjauhkan diri saya daripada Allah SWT. Saya jelas saya mesti yakin Allah SWT akan menyusun yang terbaik kepada hamba yang ikhlas.
Ya Allah, bimbing kami untuk berjaga-jaga dan jangan terpesona dengan keindahan makhluk sampai terabai kewajipan. Ya Allah, permudahkan segala urusan dalam kehidupan kami. Jauhkan kami daripada jalan hidup yang sukar. Ya Allah, bimbing kami untuk dekat kepada Mu. Ya Allah, kurniakan kami cahaya iman yang dapat memandu kami menjadi hamba yang ikhlas.
Ya Allah bantu kami untuk melakukan amalan yang terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakat.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.