Tuesday, July 4, 2023

Halaman 238 : Yusuf, 12:23-30


PERKATAAN HARI INI

غَلَقَ = Mengunci. 

1 kali disebut di dalam al-Quran. 


SINOPSIS

  1. Kisah Nabi Yusuf AS dan isteri Al-Aziz (12:23-29) 
  2. Tersebar berita Nabi Yusuf AS bersama isteri pemerintah dalam kalangan wanita-wanita di kota (12:30) 
 

Mukadimah 

Alhamdulillah, hari ini kita akan menyambung kisah Nabi Yusuf AS yang banyak peristiwa yang mendebar dan mencemaskan. 

 

Ayat 12:23

 وَرَٰوَدَتْهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِۦ وَغَلَّقَتِ ٱلْأَبْوَٰبَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ ۚ قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ ۖ إِنَّهُۥ رَبِّىٓ أَحْسَنَ مَثْوَاىَ ۖ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٢٣ 

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".” 
 

Pengajaran 

  1.  Apabila Nabi Yusuf AS mencapai umur baligh, isteri pemerintah, di mana Nabi Yusuf AS tinggal, cuba menggodanya (وَرَٰوَدَتْهُ). Walaupun rumah tersebut ialah rumah pemerintah, Allah SWT menggunakan ayat فِى بَيْتِهَا (di rumahnya. ‘Nya’ merujuk kepada perempuan) kerana orang yang lebih arif tentang rumah tersebut adalah isteri pemerintah. Untuk memudahkan perbincangan, kita akan menggunakan nama Zulaikha bagi isteri pemerintah tersebut. 
  2. Zulaikha cuba memaksa Nabi Yusuf AS dengan menutup pintu-pintu (غَلَّقَتِ ٱلْأَبْوَٰبَ). Allah menggunakan perkataan غَلَّقَتِ yang bermakna dikunci dengan beberapa kunci untuk memastikan pintu itu betul-betul terkunci yang menjadi strategi Zulaikha. 
  3. Dia mengatakan هَيْتَ لَكَ iaitu godaan secara kasar. Zulaikha mengajak Nabi Yusuf AS berbuat perkara yang tidak baik. Nabi Yusuf AS yang sudah biasa menerima arahan dari Zulaikha kerana berkerja di situ, kali ini baginda tidak mahu menurut. 
  4. Nabi Yusuf AS berkata مَعَاذَ ٱللَّهِ (perlindungan Allah). Perkataan ini ada dua makna: tempat dan masa. Nabi Yusuf AS memohon Allah SWT memberi tempat yang baik atau masa yang baik. Semasa abang-abangnya meletak baginda dalam perigi buta yang gelap, baginda tidak mampu melawan atau berbuat apa-apa. Kali ini baginda ada pilihan, sama ada untuk menyahut seruan Zulaikha atau tidak kerana Nabi Yusuf AS sudah dewasa. Ini lebih mencabar. 
  5. Nabi Yusuf AS mengatakan kepada Zulaikha yang baginda mengenang jasa tuannya, al-Aziz, dan menyuruh Zulaikha agar menghormati suaminya walaupun dia tidak ada di situ. 
  6. Sesungguhnya tidak berjaya orang yang zalim. Kezaliman di sini ada dua senario, iaitu: a. Zulaikha tidak taat kepada suaminya. b. Jika benar-benar berlaku sesuatu yang tidak baik, bagi Nabi Yusuf AS itu juga zalim. 

 

Ayat 12:24

 وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِۦ ۖ وَهَمَّ بِهَا لَوْلَآ أَن رَّءَا بُرْهَـٰنَ رَبِّهِۦ ۚ كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ ٱلسُّوٓءَ وَٱلْفَحْشَآءَ ۚ إِنَّهُۥ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُخْلَصِينَ ٢٤ 

“Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa. 

Pengajaran 

  1. Zulaikha berada dalam keadaan yang tidak rasional kerana terlalu inginkan Nabi Yusuf AS. Jika iman Nabi Yusuf AS tidak terpancar waktu itu (بُرْهَٰنَ رَبِّهِۦ), baginda sebagai lelaki yang normal juga ada keinginan. Keinginan Zulaikha dan Nabi Yusuf AS berbeza. 
  2. Inilah kaedah bagaimana Allah SWT memalingkan Nabi Yusuf AS daripada keburukan dan juga perkara keji. Dia ialah seorang yang diikhlaskan oleh Allah SWT (ٱلْمُخْلَصِينَ)
  3. Kalau ketika senang kita sentiasa ikhlas, Allah SWT akan lindungi kita ketika berada di dalam kecemasan, sepertimana Allah SWT membantu Nabi Yusuf AS. 

 

Ayat 12:25

 وَٱسْتَبَقَا ٱلْبَابَ وَقَدَّتْ قَمِيصَهُۥ مِن دُبُرٍۢ وَأَلْفَيَا سَيِّدَهَا لَدَا ٱلْبَابِ ۚ قَالَتْ مَا جَزَآءُ مَنْ أَرَادَ بِأَهْلِكَ سُوٓءًا إِلَّآ أَن يُسْجَنَ أَوْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ ٢٥ 

“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya". 
 

Pengajaran 

  1. Mereka berdua berkejaran ke arah satu pintu, dan Zulaikha menarik baju Nabi Yusuf AS dari belakang. 
  2. Tiba-tiba al-Aziz (suami Zulaikha) muncul. Zulaikha dengan liciknya memberitahu suaminya bahawa Nabi Yusuf AS ingin merosakkan keluarganya. 

 

Ayat 12:26 

 قَالَ هِىَ رَٰوَدَتْنِى عَن نَّفْسِى ۚ وَشَهِدَ شَاهِدٌۭ مِّنْ أَهْلِهَآ إِن كَانَ قَمِيصُهُۥ قُدَّ مِن قُبُلٍۢ فَصَدَقَتْ وَهُوَ مِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ ٢٦ 

“Yusuf pula berkata: "Dia lah yang memujukku berkehendakkan diriku". (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:" "Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta.” 
 

Pengajaran 

  1. Nabi Yusuf AS memberitahu bahawa Zulaikhalah yang cuba menggodanya. 
  2. Pendek sahaja hujjahnya berbanding orang yang bersalah. Biasanya, orang yang tidak bersalah, tidak akan bercakap banyak. Tidak seperti yang dibuat oleh abang-abang Nabi Yusuf AS di hadapan ayah mereka selepas membuang Nabi Yusuf AS. Mereka memberi alasan yang panjang. 
  3. Suaminya tercengang mendengarnya dan seorang dari keluarga perempuan itu yang ada bersama-sama tampil memberi pendapatnya dengan berkata: "Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta.” 


 Ayat 12:27 

 وَإِن كَانَ قَمِيصُهُۥ قُدَّ مِن دُبُرٍۢ فَكَذَبَتْ وَهُوَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ ٢٧ 

“Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar" 
 

Ayat 12:28

 فَلَمَّا رَءَا قَمِيصَهُۥ قُدَّ مِن دُبُرٍۢ قَالَ إِنَّهُۥ مِن كَيْدِكُنَّ ۖ إِنَّ كَيْدَكُنَّ عَظِيمٌۭ ٢٨ 

“Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: "Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.” 
 

Pengajaran 

  1. Jika baju itu koyak dari depan, maksudnya Nabi Yusuf AS yang bersalah. Jika baju itu koyak dari belakang, maka Zulaikha yang bersalah dan berdusta. Ini kaedah memerhati berdasarkan bukti. 
  2. Apabila al-Aziz memerhati baju Nabi Yusuf AS, jelas koyaknya dari belakang. Ini menunjukkan Nabi Yusuf AS dikejar oleh Zulaikha daripada belakang. 
  3. Al-Aziz sangat marah sehingga menyebut كَيْدِكُنَّ. "Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan” yang merujuk kepada semua wanita. Seolah-olah semua wanita berperangai begitu. 


 Ayat 12:29

 يُوسُفُ أَعْرِضْ عَنْ هَـٰذَا ۚ وَٱسْتَغْفِرِى لِذَنۢبِكِ ۖ إِنَّكِ كُنتِ مِنَ ٱلْخَاطِـِٔينَ ٢٩ 

“Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau (Wahai Zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau adalah dari orang-orang yang bersalah!" 
 

Pengajaran 

  1. Al-Aziz menyuruh Nabi Yusuf AS lupakan (أَعْرِضْ) hal itu. Sebagai pemerintah (orang politik) dia mahu menyembunyikan peristiwa itu. Dia menyuruh isterinya memohon ampun di atas kesilapannya. 
  2. Ayat ini ditutup dengan إِنَّكِ كُنتِ مِنَ ٱلْخَاطِـِٔينَ. Ini menunjukkan al-Aziz seolah-olah ingin mengatakan bahawa isterinya hanya tersilap. Dia memandang ringan perkara tersebut. Sebagai ahli politik, isterinya tahu kelemahan suaminya dan mereka mahu menutup kelemahan masing-masing. Al-Aziz tahu bahawa dia tidak boleh berkeras dengan isterinya agar sang isteri tidak memberontak. 
  3. Perkara begini adalah biasa bagi ahli politik untuk menutup kelemahan mereka dan menjaga reputasi, kecuali mereka yang benar-benar amanah. 
  4. Ayat ini menjelaskan tentang psikologi orang-orang yang ada kuasa, yang terlibat dengan dunia politik. Mereka mempunyai cara berfikir yang sebegini termasuk pasangan mereka. 


Ayat 12:30

 ۞ وَقَالَ نِسْوَةٌۭ فِى ٱلْمَدِينَةِ ٱمْرَأَتُ ٱلْعَزِيزِ تُرَٰوِدُ فَتَىٰهَا عَن نَّفْسِهِۦ ۖ قَدْ شَغَفَهَا حُبًّا ۖ إِنَّا لَنَرَىٰهَا فِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍۢ ٣٠ 

“Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata." 

Pengajaran 

  1. Sesudah itu, kaum wanita berkumpul dan mengumpat tentang Zulaikha yang menggoda hambanya Yusuf AS. Mereka mengatakan Zulaikha mabuk cinta terhadap Nabi Yusuf AS sampai tahap angau (شَغَفَهَا حُبًّا). 
  2. Mereka melihat Zulaikha sudah sesat (ضَلَٰلٍ). Sesat ada kaitan dengan cinta yang melampau seperti orang Kristian yang cinta sangat kepada Nabi Isa AS sehingga menganggapnya tuhan. 
  3. Halaman ini banyak membongkar tentang psikologi manusia. Antaranya tentang psikologi ahli politik, penipu, wanita mabuk cinta dan pengumpat. Kita minta dijauhkan daripada perbuatan-perbuatan buruk yang dilakukan oleh Zulaikha, al-Aziz dan wanita-wanita yang mengumpat. 


 RESOLUSI 

 Ingat! 
  1. Perlu ingatkan sesama rakan agar tidak melakukan dosa atau kezaliman yang menempah kegagalan (12:23) 
  2. Bina jiwa ikhlas dan diikhlaskan Allah untuk terhindar masalah sosial (12:24) 
  3. Berhati-hati dengan tipu daya jantina berbeza (12:28) 

Saya berasa lega kerana Allah SWT ajarkan supaya bina jiwa ikhlas agar saya terhindar masalah sosial. 

Saya jelas saya perlu ingatkan sesama rakan agar tidak melakukan dosa atau kezaliman yang menempah kegagalan. Saya jelas untuk bina jiwa ikhlas dan memohon diikhlaskan Allah untuk terhindar masalah sosial. Saya jelas saya mesti berhati-hati dengan tipu daya jantina berbeza. 

Ya Allah, ingatkan kami dan rakan-rakan kami agar tidak melakukan dosa atau kezaliman yang menempah kegagalan. Ya Allah, bimbing kami untuk bina jiwa ikhlas. Kurniakan kami keikhlasan agar kami terhindar masalah sosial. Ya Allah, jauhi kami daripada tipu daya jantina berbeza. 

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh. 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...