PERKATAAN HARI INI
8 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Kisah Nabi Yusuf AS di dalam penjara dan dakwahnya menuju agama yang benar (12:38-40)
- Takwil Nabi Yusuf tentang mimpi kedua temannya di dalam penjara dan wasiatnya kepada temannya yang selamat (12:41-42)
- Takwil Nabi Yusuf AS tentang mimpi raja (12:43)
Mukadimah
Alhamdulillah, hari ini kita akan lihat sambungan kisah Nabi Yusuf AS yang berada di dalam penjara. Yang menemankan Nabi Yusuf AS dalam penjara adalah Allah dan wahyu daripada Allah SWT. Allah Maha Pemurah kepada seluruh makhluk, Allah Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman sampai ke akhirat nanti. Kita amat memerlukan rahmat Allah kerana amal kita ini tidaklah banyak kalau dibandingkan dengan rezeki yang Allah telah berikan kepada kita. Allah SWT berikan kita mata, telefon pintar untuk mengikuti pengajian Quran online.
Ayat 12:38
وَٱتَّبَعْتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ ۚ مَا كَانَ لَنَآ أَن نُّشْرِكَ بِٱللَّهِ مِن شَىْءٍۢ ۚ ذَٰلِكَ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ عَلَيْنَا وَعَلَى ٱلنَّاسِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ ٣٨
"Dan aku menurut ugama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid - mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
Pengajaran
- Nabi Yusuf AS menceritakan bahawa baginda mengikuti ugama nenek moyangnya Nabi Ibrahim AS, Nabi Ishak AS dan Nabi Yaakub AS. Nabi Yusuf AS bukan mahu menonjolkan keturunannya yang hebat tetapi baginda hendak fokuskan kepada jalan hidup dan sumber agama yang dibawa daripada Nabi Ibrahim AS.
- Nabi Yusuf AS menegaskan bahawa agama yang dibawa oleh para nabi adalah anugerah daripada Allah SWT kepada semua manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
- Akar kepada masalah dalam masyarakat adalah apabila mensyirikkan Allah SWT. Nabi Yusuf AS tahu baginda tidak bersalah. Dia dipenjara kerana komplot orang-orang yang mensyirikkan Allah SWT.
Ayat 12:39
"Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?
Pengajaran
- Nabi Yusuf AS berdakwah ringkas dan pendek kepada dua pemuda teman penjaranya. Dia menggunakan gaya bahasa yang lembut dengan strategi yang betul walaupun terpenjara.
- Ini menjadi pengajaran kepada kita yang di “lockdown” semasa pademik agar teruskan bercakap dengan baik sebagai tanda kita bersyukur atas nikmat Allah SWT yang amat banyak kepada kita. Fokus kepada apa yang ada, berbanding dengan apa yang tidak ada.
- Nabi Yusuf AS menggunakan perkataan أَرْبَابٌ (tuhan-tuhan dalam bentuk maskulin). Ini merujuk kepada tuhan-tuhan dalam bentuk yang hidup. Mereka mengambil manusia sebagai tuhan. Pemimpin pada waktu itu disembah bukan sahaja dari segi ritual tetapi juga dari segi idea dan penghakiman. Mereka meletakkan pemerintah itu sebagai tuhan.
Ayat 12:40
مَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِهِۦٓ إِلَّآ أَسْمَآءًۭ سَمَّيْتُمُوهَآ أَنتُمْ وَءَابَآؤُكُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِهَا مِن سُلْطَـٰنٍ ۚ إِنِ ٱلْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۚ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ ٤٠
Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah Ugama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Pengajaran
- Nabi Yusuf AS menyampaikan mesej tauhid. Tuhan-tuhan yang mereka sembah itu tidak mempunyai hujjah yang benar.
- Mereka membuat sesuatu tanpa hujjah berpandukan wahyu.
- Allah SWT memerintah supaya jangan menyembah selain Dia.
- Islam adalah ugama yang betul tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui.
Ayat 12:41
يَـٰصَـٰحِبَىِ ٱلسِّجْنِ أَمَّآ أَحَدُكُمَا فَيَسْقِى رَبَّهُۥ خَمْرًۭا ۖ وَأَمَّا ٱلْـَٔاخَرُ فَيُصْلَبُ فَتَأْكُلُ ٱلطَّيْرُ مِن رَّأْسِهِۦ ۚ قُضِىَ ٱلْأَمْرُ ٱلَّذِى فِيهِ تَسْتَفْتِيَانِ ٤١
"Wahai sahabatku berdua yang sepenjara! (Takbir mimpi kamu itu ialah): adapun salah seorang dari kamu, maka ia akan memberi minum arak kepada tuannya. Ada pun yang seorang lagi, maka ia akan dipalang, serta burung pula akan makan dari kepalanya. Telah selesailah (dan tetaplah berlakunya) perkara yang kamu tanyakan itu".
Pengajaran
- Nabi Yusuf AS menyeru kepada teman penjaranya dengan bahasa yang mulia. Kita pun, ketika ada masalah, PKP, lockdown sebagainya, hendaklah menggunakan bahasa-bahasa yang mulia.
- Nabi Yusuf AS memberi jawapan tentang mimpi mereka: a. Salah seorang dari mereka akan bertugas menyediakan minuman khamar bagi tuannya. Bermakna ia akan lepas dari penjara. b. Salah seorang dari mereka akan disalib dan burung akan memakan sebahagian kepalanya. Bermakna bahawa orang ini akan mati.
- Nabi Yusuf AS tidak berjela-jela bila bercakap. Pendek sahaja jawapannya. Baginda memberitahu berita yang baik terlebih dahulu. Inilah disiplin ketika berbicara yang perlu kita ikuti.
Ayat 12:42
وَقَالَ لِلَّذِى ظَنَّ أَنَّهُۥ نَاجٍۢ مِّنْهُمَا ٱذْكُرْنِى عِندَ رَبِّكَ فَأَنسَىٰهُ ٱلشَّيْطَـٰنُ ذِكْرَ رَبِّهِۦ فَلَبِثَ فِى ٱلسِّجْنِ بِضْعَ سِنِينَ ٤٢
Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: "Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu". (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara beberapa tahun.
Pengajaran
- Nabi Yusuf AS meminta pemuda yang keluar dari penjara untuk menyebut mengenai baginda kepada tuannya.
- Perbincangan ulama tentang ini menyatakan boleh meminta pertolongan sesama manusia. Contoh: Menaikkan bendera putih sebagai satu usaha memberitahu kesusahan semasa PKP. Usaha adalah tugas sebagai seorang manusia.
- Pemuda itu terlupa hendak memberitahu tuannya tentang pesanan Nabi Yusuf AS. Ada ulamak berpendapat bahawa pemuda itu terlupa kepada dakwah yang diterimanya daripada Nabi Yusuf AS.
- Kesannya, Nabi Yusuf AS terus tinggal di penjara beberapa tahun (بِضْعَ سِنِينَ kurang daripada 10 tahun). Qadarallah, ada sesuatu yang tersembunyi. Di sebalik semua itu adalah tarbiah daripada Allah SWT untuk Nabi Yusuf AS.
- PKP kita ini juga ada tarbiah dan hadiah yang amazing daripada Allah SWT untuk kita.
- Kisah ini adalah hidayah untuk Nabi Muhammad SAW ketika sedih dan tertekan. Nabi SAW berasa lega bila tahu bagaimana Nabi Yusuf AS tertahan di penjara. Nabi Muhammad SAW tertahan di Mekah dan akhirnya bersedia untuk naik pangkat. Begitu juga dengan kita, Allah SWT sedang menyusun untuk kita mendapat sesuatu yang baik selepas PKP. Yang penting, kita jangan syirikkan Allah SWT.
Ayat 12:43
وَقَالَ ٱلْمَلِكُ إِنِّىٓ أَرَىٰ سَبْعَ بَقَرَٰتٍۢ سِمَانٍۢ يَأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌۭ وَسَبْعَ سُنۢبُلَـٰتٍ خُضْرٍۢ وَأُخَرَ يَابِسَـٰتٍۢ ۖ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمَلَأُ أَفْتُونِى فِى رُءْيَـٰىَ إِن كُنتُمْ لِلرُّءْيَا تَعْبُرُونَ ٤٣
Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: "Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi".
Pengajaran
- Raja Mesir bermimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan dia melihat tujuh tangkai biji-bijian yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Ini adalah mimpi keempat dalam surah ini.
- Raja meminta ketua-ketua kaumnya mentafsirkan mimpi itu.
RESOLUSI
Ingat!
- Tetap berdakwah kepada Allah SWT dalam segenap masa (12:38)
- Usahakan penyebaran syiar dan pemahaman ketauhidan yang sebenar (12:40)
- Gunakan potensi yang ada untuk orang fokus kepada Allah SWT, bukan kepada diri atau kumpulan sendiri (12:41)
Saya berasa lega Allah SWT sedang menyusun sesuatu yang terbaik untuk saya sekiranya saya berjaya dalam ujian Allah seperti PKP.
Saya jelas untuk tetap berdakwah kepada Allah SWT dalam segenap masa. Saya jelas untuk usahakan penyebaran syiar dan pemahaman ketauhidan yang sebenar. Saya jelas saya mesti gunakan potensi yang ada untuk orang fokus kepada Allah SWT, bukan kepada diri atau kumpulan sendiri.
Ya Allah, pimpin kami untuk tetap berdakwah kepada Mu dalam segenap masa. Ya Allah, tolonglah kami dalam usaha penyebaran syiar dan pemahaman ketauhidan yang sebenar. Ya Allah, bimbing kami untuk gunakan potensi yang ada untuk kami fokus kepada Mu, bukan kepada diri atau kumpulan sendiri.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.