PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Ujian yang diberikan kepada para pengikut Thalut dan jumlah yang besar dikalahkan oleh jumlah yang kecil [249-252]
Mukadimah
Syukur kita masih berpeluang meneruskan pengajian tilawah al-Quran untuk baca, faham dan amal. Hari ini kita sampai di halaman terakhir Juzuk Kedua. Semoga Allah memimpin kita baca, faham dan amal al-Quran hinggalah ke akhir hayat.
Halaman 39 tentang siapakah yang sanggup meminjamkan kepada Allah. Hari ini kita akan melihat satu kisah yang penting yang dirakamkan untuk memberi kita cara berfikir dalam mendepani urusan agama dan ada kaitan dengan kuasa pemimpin dalam sesuatu organisasi, negeri atau negara.
Ujian yang diberikan kepada para pengikut Thalut dan jumlah yang besar dikalahkan oleh jumlah yang kecil. Thalut ialah lambang orang baik yang menentang Jalut iaitu musuh yang menyerang mereka. Semoga kisah ini menjadi panduan kepada kita pada tahun ini.
Ayat [2:249]
فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِٱلْجُنُودِ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ مُبْتَلِيكُم بِنَهَرٍۢ فَمَن شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّى وَمَن لَّمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُۥ مِنِّىٓ إِلَّا مَنِ ٱغْتَرَفَ غُرْفَةًۢ بِيَدِهِۦ ۚ فَشَرِبُوا۟ مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًۭا مِّنْهُمْ ۚ فَلَمَّا جَاوَزَهُۥ هُوَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ قَالُوا۟ لَا طَاقَةَ لَنَا ٱلْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِۦ ۚ قَالَ ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُوا۟ ٱللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍۢ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةًۭ كَثِيرَةًۢ بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٢٤٩
"Kemudian apabila Thalut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Thalut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar."
Thalut dan tenteranya diuji dan berpisah keluar (فَصَلَ) dari Palestine. Bekalan air dan makanan semua berkurangan dan tidak mencukupi. Thalut ingin menentukan siapa dalam kalangan mereka yang betul-betul kuat atau mereka itu orang yang lemah. Thalut mengingatkan tenteranya yang Allah akan menguji mereka dengan sebatang sungai. “Sesiapa yang meminum air itu, bukan di kalangan tentera Thalut”. Sesiapa yang rasa tidak puas selepas melalui sungai tersebut, dia di kalangan Thalut. Ambil sekadar sahaja. Sekadar dalam satu cedok tangan sahaja (غُرْفَةًۢ). Ini adalah ujian disiplin yang diberikan oleh Thalut.
Bila tiba di sungai, mereka minum sepuas-puasnya kecuali sedikit yang mengikut pesanan Thalut. Sedikit sahaja yang dapat menyeberang iaitu mereka yang berkualiti. Mereka orang yang berdisiplin tetapi masih ada yang merasa tidak kuat untuk menentang Jalut (قَالُوا۟ لَا طَاقَةَ لَنَا ٱلْيَوْمَ) kerana mereka merasa sudah sangat lemah kerana dapat minum sedikit sahaja.
Pengajaran
- Hidup ini ialah satu perjuangan menentang kemungkaran.
- Untuk berjaya dalam perjuangan, kita mestilah kuat (fizikal, emosi, ilmu) dan berdisiplin.
- Keluarga atau organsasi mestilah mempunyai perancangan strategik untuk memastikan setiap posisi/kedudukan disesuaikan dengan fungsinya. Kalau satu tempat itu lemah maka akan ada musuh menyerang (syaitan juga musuh) yang menjadi sebab kekalahan.
- Untuk menang di dunia dan akhirat, jangan benarkan sesiapa mengeluarkan pernyataan negatif.
- Orang-orang yang beriman, jangan berdiam bila mendengar perkataan negatif. Contoh: "Boleh ke kita hafal Al-Quran?". Kita mesti jawab terus secara positif kerana jika tidak, kita akan terjebak sama.
- Allah bersama orang-orang yang sabar.
Ayat [2:250]
وَلَمَّا بَرَزُوا۟ لِجَالُوتَ وَجُنُودِهِۦ قَالُوا۟ رَبَّنَآ أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًۭا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ ٢٥٠
"Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami."
Pengajaran
- Orang yang beriman sentiasa berdoa kepada Allah.
- Kebergantungan kepada Allah digandingkan dengan usaha akan membantu kita berjaya.
- Kaedah untuk berjaya ialah dengan berdoa menjemput pertolongan Allah, bersabar dan teguhkan pendirian.
- Orang yang Allah tuangkan ke dalam hatinya kesabaran akan tenang menghadapi perjuangan. Contoh: Ayah ibu tidak lari dari berbuat kebaikan, tidak putus asa dengan karenah anak-anak.
- Amalan disiplin dalam perkara yang kecil-kecil akan membantu untuk disiplin dalam perkara besar. Contoh: makan, minum menurut sunnah akan membantu solat di awal waktu.
- Ayat [2:250] elok diamalkan sebagai doa meminta Allah tuangkan kesabaran ke atas hati kita, agar hati kita ‘sejuk’ dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Ayat [2:251]
فَهَزَمُوهُم بِإِذْنِ ٱللَّهِ وَقَتَلَ دَاوُۥدُ جَالُوتَ وَءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلْمُلْكَ وَٱلْحِكْمَةَ وَعَلَّمَهُۥ مِمَّا يَشَآءُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍۢ لَّفَسَدَتِ ٱلْأَرْضُ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ ٢٥١
"Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Thalut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.”
Menyambung kisah Thalut dan Jalut. Walaupun letih, tentera Thalut tetap bersikap positif bila bertemu dengan musuh dan berdoa. Nabi Daud adalah salah seorang tentera Thalut. Pada masa itu Nabi Daud masih muda dan dia hanyalah orang biasa dari Bani Israel. Nabi Daud berjaya membunuh Jalut. Allah memberi Nabi Daud kerajaan dan hikmah. Allah membantu tentera Thalut kerana mereka adalah orang yang beriman dan bergantung pada Allah.
Pengajaran
- Nak mendapat bantuan Allah, kena teguh. Nak teguh, kena sabar. Nak sabar, kena positif.
- Kita kena menahan perkataan-perkataan yang negatif. Jika ada di kalangan kita yang berkata negatif, kita kena terus beri jawapan positif.
- Beristighfar agar tidak terpengaruh dengan perkara negatif, terus kekal positif untuk bersama Allah. Hanya orang yang sabar bersama Allah dan mendapat kemenangan.
- 'Hazama' (هزم) maknanya dapat mengalahkan musuh secara total. Bila mereka bersabar, positif, Allah beri bantuan. Allah akan tolong apabila kita berdoa dan berusaha bersungguh-sunguh. (Di dalam perkataan فَهَزَمُوهُم , huruf ف bermaksud ‘fa sababiyah’, iaitu kesan aktiviti dalam ayat [2:249] dan [2:250], jaga perkataan dan berdoa, dengan izin Allah mereka dapat menghancurkan tentera musuh. Cerita dalam ayat ini menunjukkan yang Allah memuliakan kepada tentera Thalut atas kemenangan mereka kerana mereka berusaha.)
- Berusaha tanpa berdoa akan menyebabkan kekecewaan dan 'stress’ bila gagal mencapai apa yang diinginkan.
- Kepimpinan bukan semestinya dari golongan elit atau orang berusia sahaja. Allah boleh berikan kerajaan dan hikmah kepada sesiapa yang beriman, berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh menegakkan agama.
- Kuantiti pasukan tidak penting untuk berjaya, tetapi kita perlukan bantuan Allah untuk berjaya.
- Allah tidak akan menerima pemimpin yang melakukan kerosakan. Allah berkuasa melakukan dafa' (دَفْعُ) iaitu Allah berkuasa menolak pemimpin yang tidak baik dan menukar mereka dengan yang lain. Jika tidak, bumi ini akan penuh dengan kerosakkan.
- Keamanan sebenar hanya dari Allah. Jika pemimpin tidak mengikut cara Nabi Daud dan Thalut, Allah akan tolak lagi. Maka kita perlu bersedia untuk menerima pertukaran demi pertukaran pemimpin. Selagi kepimpinan masih ada rasuah, janganlah merasa aman. Allah akan tukar. Bersedialah untuk ditukar.
Ayat [2:252]
تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِٱلْحَقِّ ۚ وَإِنَّكَ لَمِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ ٢٥٢
"Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah."
Pengajaran
- Allah menceritakan tentang peristiwa Thalut supaya Nabi Muhammad SAW dan umat Islam mengambil pengajaran tentang kepimpinan yang direstui Allah SWT. (Ayat ini diturunkan oleh Allah melalui Jibril, kepada Nabi SAW. Cerita ini tiada kesilapan walaupun Nabi SAW tidak pernah membaca Taurat.)
- Cerita Thalut dan Nabi Daud ini menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Allah untuk memenangkan orang yang beriman.
- Apabila seseorang pemimpin itu beriman kepada Allah dan tidak berbuat kerosakan, dia tidak akan digantikan dengan orang lain.
- Bila terlalu lama berkuasa, hilang pedoman atau "power corrupt"(salah guna kuasa) boleh berlaku. Dalam rumah, kuasa ibu ayah jangan disalah guna. Dalam organisasi juga, jangan salah guna kuasa. Semoga kita mendapat pemimpin yang terhasil mengikut mengikuti contoh Nabi Daud dalam peristiwa Thalut.
RESOLUSI
Ingat !!
- Selalu berdo'a diberi kesabaran menghadapi ujian [2:250]
- Bina iman agar diberi bantuan Allah ketika memimpin [2:251]
- Mohon pada Allah agar kerosakan tidak berlaku dalam keluarga dan organisasi [2:251]
Lega kerana Allah SWT ajarkan doa untuk sabar dan tetap pendirian.
Saya jelas untuk menjadi pemimpin yang berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelak kerosakan dalam keluarga dan organisasi saya.
Ya Allah, limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami untuk kami memimpin keluarga, organisasi dan negara dengan hidayah Mu. Ya Allah, kurniakan kami pemimpin yang mengutamakan agama dan iman dalam menguruskan negara yang kami cintai ini. Ya Allah, bantu kami untuk memilih pemimpin yang berjuang berteraskan hidayah-Mu agar negara kami berjaya mengembalikan kecemerlangan Islam di dunia.
Ya Allah jauhi kerosakan dalam keluarga, organisasi dan negara kami. Bantu kami untuk membina keluarga yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.
Ya Alah, kurniakan kami ilham untuk menggunakan segala nikmat yang Engkau berikan bagi melakukan amal kebaikan. Jauhi kami dari azab neraka. Ya Allah ampunkan segala dosa-dosa kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Maha Penyayang dan Maha Luas Pengetahuan. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Wallahua'lam