PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Kisah seorang nabi dan Raja Thalut dan keengganan Bani Israel untuk berjihad (246-247)
- Pembuktian kelayakan Thalut menjadi raja, ujian yang diberikannya kepada para pengikutnya (248)
Mukaddimah
Alhamdulillah, kita masih berpeluang untuk menggali permata daripada al-Quran. Juzuk pertama dahulu tentang hidayah dan Bani Israel, juzuk kedua ini masih ada kisah Bani Israel tetapi juga ada tentang undang-undang (law) yang diberikan kepada umat Islam. Di hujung juzuk kedua, kita menyambung kisah perjuangan untuk mengembalikan kecemerlangan Islam dengan hiidayah Allah SWT.
Al-Fatihah juga dikenali sebagai as-Sab'ul Mathani iaitu 7 ayat yang diulang-ulang. Ia ada kaitan tentang tauhid, ibadah, sirath (akhlak/lifestyle) yang menjadi jalan kehidupan kita. Kita mahu menjadi orang yang diberi nikmat, bukan orang yang zalim dan bukan orang-orang yang sesat. Salah satu daripada ciri-ciri orang yang diberi nikmat ialah yang berjuang kerana Allah SWT bukan berjuang kerana kepentingan diri sendiri. Manfaat kebaikan hasil perjuangan kerana Allah dan iman akan kembali kepada diri sendiri.
Halaman 39 tentang siapakah yang sanggup meminjamkan kepada Allah. Hari ini kita akan melihat satu kisah yang penting yang dirakamkan untuk memberi kita cara berfikir dalam mendepani urusan agama dan ada kaitan dengan kuasa pemimpin dalam sesuatu organisasi, negeri atau negara.
Ayat [2:246]
أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلْمَلَإِ مِنۢ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ مِنۢ بَعْدِ مُوسَىٰٓ إِذْ قَالُوا۟ لِنَبِىٍّ لَّهُمُ ٱبْعَثْ لَنَا مَلِكًا نُّقَٰتِلْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ قَالَ هَلْ عَسَيْتُمْ إِن كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِتَالُ أَلَّا تُقَٰتِلُوا۟ قَالُوا۟ وَمَا لَنَآ أَلَّا نُقَٰتِلَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَقَدْ أُخْرِجْنَا مِن دِيَٰرِنَا وَأَبْنَآئِنَا فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ ٱلْقِتَالُ تَوَلَّوْا۟ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِٱلظَّٰلِمِينَ
"Tidakkah engkau ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah" Nabi mereka menjawab: "Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?," Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?" Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.
Nabi yang disebut dalam ayat ini ialah Nabi Samuel iaitu Nabi yang dilantik selepas Nabi Musa wafat. Pemuka atau pemimpin Bani Israel masih terus membuat perangai mereka. Bila diturunkan Nabi Samuel mereka tidak menerima baginda sebagai pemimpin sebaliknya mereka mahukan seorang raja lain dalam kalangan mereka sebagai pemimpin yang di 'endorse' oleh Nabi Samuel.
Pengajaran
- Allah SWT memberitahu Nabi Muhamad SAW tentang kisah Bani Israel supaya kisah ini dapat menjadi petunjuk kepada Nabi SAW dan umat baginda.
- Kaedah politik Bani Israel ini juga berlaku di zaman sekarang iaitu menggunakan orang agama untuk kepentingan kumpulan tertentu.
- Allah SWT mengingatkan kita supaya berjaga-jaga, jangan ulang perangai Bani Israel yang mempergunakan orang beragama untuk mendapatkan kuasa.
- Apabila kita dilantik sebagai pemimpin, hendaklah kita berjuang kerana Allah SWT bukan kerana membalas dendam atau sebab kepentingan bangsa/puak sendiri.
- Allah Maha Mengetahui sesiapa yang berlaku zalim.
Ayat [2:247]
وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ ٱللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا قَالُوٓا۟ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِٱلْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِّنَ ٱلْمَالِ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُۥ بَسْطَةً فِى ٱلْعِلْمِ وَٱلْجِسْمِ وَٱللَّهُ يُؤْتِى مُلْكَهُۥ مَن يَشَآءُ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ
"Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya."
Nabi Samuel memberitahu Bani Israel yang Talut telah dipilih menjadi raja. Talut adalah seorang yang biasa-biasa, bukan "al-malaq". Dia miskin, bukan di kalangan elit, pemuka dan tidak boleh mempengaruhi sesiapa. Talut juga dibangkitkan tiba-tiba. Bani Israel mempersoalkan perlantikan tersebut. Mereka merasa lebih berhak dan menghina Talut kerana dia seorang yang miskin dan tidak mempunyai kedudukan dalam masyarakat..
Pengajaran
- Janganlah kita menjadi seperti Bani Israel yang mempersoalkan perintah dan ketentuan Allah SWT.
- Allah SWT boleh pilih sesiapa sahaja sebagai pemimpin kerana Allah Maha Luas PengetahuanNya ( ٱصْطَفَىٰهُ - Allah memilih Talut kerana dia seorang yang berilmu dan fizikal yang kuat. Talut ialah bahasa Hebrew yang ada kaitan dengan tinggi. Dia memang orang yang paling tinggi fizikal dan tinggi ilmu )
- KIta hendaklah memilih pemimpin yang berkelayakan, ada competency dan integriti dalam memimpin.
- Pemimpin mestilah dipilih dengan cara yang betul, bukan kerana mereka dari kalangan elit tetapi yang sanggup berjuang dan berilmu.
- Perjuangan bukan sekadar kuasa, tetapi berkaitan ilmu dan kemahiran.
Ayat [2:248]
وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ ءَايَةَ مُلْكِهِۦٓ أَن يَأْتِيَكُمُ ٱلتَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَبَقِيَّةٌ مِّمَّا تَرَكَ ءَالُ مُوسَىٰ وَءَالُ هَٰرُونَ تَحْمِلُهُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَةً لَّكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
"Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman"
Talut dipilih, ditambahkan ilmu dan diberi tubuh yang tinggi. Dia ada ilmu dan kecekapan untuk memimpin. Bila Bani Israel mahu bukti, Talut mendatangkan tabut. Tabut ialah peti yang merupakan satu lambang kebesaran Allah dan ada sakinah (ketenangan). Dalam Tabut itu ada tinggalan daripada Nabi Musa dan Nabi Harun.
Mengikut ulamak, dalam peti itu ada tongkat Nabi Musa, Manna Wasalwa dan Taurat. Bila tidak komited pada agama, Bani Israel menjadi kacau bilau, tidak mendapat ketenangan (sakinah) dan berlegar-legar di padang pasir selama 40 tahun tidak dapat masuk ke Palestine. Tabut hilang semasa pergaduhan Bani Israel kerana mereka degil. Kehilangan Tabut itu adalah peristiwa penting. Tabut diletak di atas kereta lembu dan dibiarkan sahaja lembu itu berjalan. Akhirnya sampai ke rumah Talut.
Semua itu kuasa Allah. Tabut, seperti Kaabah, adalah syiar. Seperti juga bendera bagi kita. Lambang kepada agama Allah SWT. Talut mendapat Tabut yang membawa ketenangan, Allah berikan kemenangan. Ayat ini sepatutnya menjadikan hati kita merasa gerun dengan kehebatan dan kebesaran Allah. Jika berdasarkan iman, kita akan lihat apa yang Allah beri kepada Talut.
Pengajaran
- Pemimpin kena kuat untuk berjuang dan berjuang kerana Allah. Jika tidak, Allah Yang Luas KuasaNya tidak akan membantu menguruskan kepimpinan.
- Allah berkuasa menghilangkan atau mengembalikan kuasa dan kemenangan kepada umat Islam. (Dengan kejadian COVID19, kita terhalang ke masjid dan Masjidil Haram. Allah hilangkan nikmatnya daripada kita. Maka ini adalah peringatan untuk kita kembali kepada hidayah Allah SWT)
- Allah akan berikan ketenangan (sakinah) kepada umat Islam yang betul-betul berjuang atas hidayah Allah. (Dalam keadaan perang, ada tentera yang ditidurkan oleh Allah dalam keadaan tenang. Bila berperang selepas itu, mereka bersemangat sebab sudah sempat rehat dalam tenang.)
- Kalau kita hendak Islam kembali mencapai kemenangan dan kegemilangan, pilihlah pemimpin yang memimpin kerana iman dan Allah.
- Allah tidak akan memberi kemenanangan kepada Islam kalau pemimpin menunggang agama untuk dilantik sebagai pemimpin atau memimpin bukan kerana perjuangan agama tetapi kerana perjuangan kemanusiaan, kebajikan atau pasal tanah air semata-mata.
- Untuk berjaya, kita mesti komited pada agama.
- Degil kepada Allah menyebabkan kelebihan yang Allah telah beri ditarik balik dan Allah kembalikan kepada yang layak untuk memimpin.
- Hendaklah kita kembali berjuang berteraskan hidayah daripada Allah.
- Memimpin bukan untuk menjatuhkan agama tetapi menaikkan agama.
- Malaikat sedia bekerja untuk umat Islam dapat balik kemenangan dengan syarat kita beriman.
RESOLUSI
Ingat !!
- Utamakan Allah dalam urusan harian, jangan dicampur adukkan [246]
- Terima insan kerana kelayakannya di sisi Allah, bukan di sisi manusia [247]
- Iman perlu diutamakan dalam menguruskan hidup [248]
Lega kerana Allah SWT ingatkan saya untuk mengutamakan Allah dan iman dalam mengurus kehidupan
Saya jelas untuk utamakan Allah dan iman dalam menguruskan hidup.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertaqwa.
Ya Allah, bantu kami untuk mengurus kehidupan mengikut peraturan Mu agar kami mendapat ketenangan, bahagia di dunia dan bahagia di akhirat. Ya Allah, kurniakan kami pemimpin yang mengutamakan agama dan iman dalam menguruskan negara yang kami cintai ini. Ya Allah, bantu kami untuk memilih pemimpin yang berjuang berteraskan hidayah-Mu agar negara kami berjaya mengembalikan kecemerlangan Islam di dunia. Ya Alah, kurniakan kami ilham untuk menggunakan segala nikmat yang Engkau berikan bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Jauhi kami dari azab neraka. Ya Allah ampunkan segala dosa-dosa kami. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.