Monday, May 1, 2023

Halaman 9 : Al-Baqarah, 2:58-61

PERKATAAN HARI INI


حسن (hasuna)  Baik, membaiki
194  kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS 

  1. Sepuluh nikmat Allah SWT kepada  Bani Israel  Bahagian 2 (2:58-60)
  2. Ketamakan kaum Yahudi, sebahagian kejahatan mereka dan hukuman mereka (2:61)


Ulangkaji pelajaran lepas

Daripada al-Fatihah, doa yang paling besar yang Allah ajarkan kepada kita "tunjukkan kami jalan yang lurus, berikan hidayah kepada kami (jalan yang lurus)". Allah berikan nikmat yang besar kepada Bani Israel dan juga kepada kita agar kita dapat hargai tetapi jangan jadi seperti Bani Israel yang mengkufuri nikmat yang Allah berikan kepada mereka. Mereka dimurkai Allah.

Bagaimana cara untuk mengelakkan diri daripada dimurkai Allah?


Ayat 58-59

Menyambung nikmat-nikmat besar yang Allah berikan. Jumlahnya ada 10, dan ada ulamak kata ada 9. Allah ingatkan kalau kita bersyukur, Allah akan tambah nikmat-Nya. Orang Yahudi di Madinah sangat tahu tentang sejarah Bani Israel.

Iz - sesuatu yang telah berlaku

Iza - perkara yang akan berlaku


Allah perintahkan Bani Israel masuk ke Baitul Maqdis di Palestin selepas mereka sesat di padang pasir selama 40 tahun. Mereka di azab begitu (sesat di padang pasir) kerana mereka buat perangai dengan Nabi Musa dan Allah SWT. Akhirnya Allah selamatkan mereka. Allah suruh mereka makan apa yang ada di situ dan masuklah ke bandar itu melalui pintu gerbang (dengan tunduk membongkok) sambil bertaubat dengan berkata "hittatun - hapuskanlah dosa kami". Tetapi ada yang degil tidak ikut perintah tersebut. Mereka buat sesuatu yang lain yang tidak diperintahkan oleh Allah SWT. Mereka tukar perkataan "hittah" kepada "hattah". Mereka suka putar belit kerana hati mereka ada masalah. Kesannya, Allah turunkan "rijzan - siksaan" dari langit kerana kefasikan mereka (Rijzan - Pandemik penyakit yang menyebabkan 70 ribu meninggal). Untuk orang yang ikut perintah, Allah tambah pahala ketaatan dan rezeki kepada mereka.


Pengajaran

  1. Sebagai orang beriman, jaga adab untuk masuk ke mana-mana tempat untuk menyebarkan kebaikan. Jangan bongkak! Rujuk cara Nabi Muhammad SAW masuk ke Mekah dalam surah 110 - Al-Nasr. Mesti merendah diri, banyakkan tasbih (memuji Allah) dan istighfar (minta Allah ampunkan dosa dan kesilapan). 
  2. Jangan degil dengan perintah Allah.
  3. Jangan manipulasi perintah Allah.
  4. Hargai kurniaan Allah.
  5. Contoh ihsan dalam perniagaan - bagi extra, Allah akan tambahkan rezeki
  6. Jangan ubah perkataan daripada Allah.
  7. Kalau minta ampun, Allah akan berikan kurniaan yang lebih banyak.
  8. Kalau terlibat dengan perkara yang Allah larang/buat kerosakan akan kurang rezeki (fanbajasat).
  9. Jangan sengaja silap kerana ada agenda.


Hasuna - Baik atau membaiki --> Ihsan, ahsan 

Ihsan ada 3 jenis (menurut Asfahani)

1. Baik dari segi akal

2. Baik dari segi hawa nafsu

3. Baik dari segi pancaindera


Dalam al-Quran, perkataan hasan/hasuna bukan bermakna baik dari segi luaran sahaja tetapi merujuk kepada kebaikan dalaman (basirah). Kebaikan berdasarkan al-Quran.


Ayat 60

Ketika Nabi Musa memohon air untuk kaumnya, Allah perintahkan Nabi Musa memukul batu dengan tongkatnya dan keluar 12 mata air yang memancar (Fanfajarat). Ini adalah mukjizat Nabi Musa. Sebagai tambahan makanan manna wasalwa, mereka diberi air sebab minta ampun.


Pengajaran

  1. Mukjizat Nabi Musa dapat memastikan air diberi sama rata (air satu rezeki yang amat berharga).
  2. Pandemik penyakit adalah peringatan Allah. Kalau bertaubat Allah bagi rezeki melimpah selepas itu. Jangan bimbang ekonomi meleset.
  3. Jangan lakukan kerosakan di muka bumi (Mufsidin). Kerosakan ini bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi kerosakan yang melibatkan orang lain (dalam minda) seperti perasaan dengki, khianat.
  4. Kalau nak rezeki cukup dan melimpah-limpah selepas pandemik penyakit dsbnya, maka banyakkan minta ampun dan beri perhatian kepada perintah daripada al-Quran dan Rasul. 
  5. Istiqamah berbuat kebaikan supaya Allah tidak beri ujian/azab yang lebih berat.


Ayat 61

Selepas Allah ampunkan mereka, ada pula lagi yang degil, buat perangai lain. Mereka minta Nabi Musa memohon dari Allah SWT makanan yang biasa mereka makan semasa di Mesir ketika ditindas oleh Firaun seperti sayur-sayuran, timun, bawang putih, kacang adas, bawang merah. Makanan itu statusnya lebih rendah daripada manna wasalwa. 

Akibatnya, mereka ditimpakan kehinaan, kemiskinan, dan kemurkaan daripada Allah SWT. Ini adalah kerana mereka derhaka dan melampau batas iaitu tidak bersyukur, ingkar ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi.


Pengajaran

  1. Jangan fokus perkara kecil.
  2. Hargai nikmat Allah.
  3. Al-Quran disusun untuk pelajaran (cerita Nabi Musa tidak ikut kronologi)
  4. Jangan ulang kesilapan generasi terdahulu.


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Ingatkan kisah generasi terdahulu agar menjadi iktibar (2:58)
  2. Laksanakan ihsan (kebaikan) dalam ucapan dan perbuatan (2:58)
  3. Meninggalkan jihad atau perjuangan akan menyebabakan kita lemah dan hina (2:59)

Lega kerana Allah cerita kisah Bani Israel yang dapat dijadikan sebagai penawar hati dan minda serta pembakar semangat untuk terus menyebarkan kebaikan dalam diri, kepada keluarga dan di muka bumi.

Saya jelas untuk tidak ikut perangai Bani Israel yang bongkak, degil dan tidak bersyukur.

Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami, dosa-dosa ibu dan ayah kami, ampunkan dosa ibu dan ayah mertua kami. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim kurniakan petunjuk dan hidayah kepada kami. Ya Allah, semoga tertanam dalam diri kami sifat syukur kepada Mu Ya Allah, sifat suka berinfak kepada jalan Mu Ya Allah, sifat suka memaaf dan suka memohon maaf Ya Allah. Birahmatika ya ar-hamarrahimin. 

Ya Allah, fasihkan lidah kami membaca kalam Mu al-Quran. Kurniakan kesempatan buat kami mempelajarinya Ya Allah, sebelum kehidupan kami ditamatkan oleh Mu Ya Allah. 

Ya Allah kurniakan kepada kami kekuatan, kesihatan, semangat dan keberkatan masa kami untuk kami terus mentadabbur dan belajar ilmuMu Ya Allah. Jadikan telinga kami telinga yang suka mendengar alunan bacaan al-Quran, mata kami mata yang suka membaca al-Quran, tangan kami tangan yang membelek mushaf al-Quran. Dengan rahmat-Mu Ya Allah, perkenankan doa kami 

Ya Allah, perkenankan doa kami Ya Rahman, perkenankan doa kami Ya Rahim. Selawat dan salam untuk untuk junjangan kita Nabi Muhammad SAW.


RUJUKAN

MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...