Monday, May 1, 2023

Halaman 10 : Al-Baqarah, 2:62-69

PERKATAAN HARI INI


عمل Amal, tabiat
360 disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Kesudahan yang baik bagi kaum Mukminin secara umum (2:62)
  2. Sebahagian kejahatan kaum Yahudi dan hukuman mereka (2:63-66)
  3. Kisah sembelih lembu betina (2:67-69)


Mukadimah

Daripada al-Fatihah ayat 6, kita minta Allah tunjukkan hidayah - pencerahan ke jalan yang lurus. Salah satu hidayah ialah al-Quran. Kita hendakkan hidayah yang dicontohi daripada Nabi Adam dan Hawa yang diturunkan ke bumi dengan berpegang kepada hidayah bukannya seperti Bani Israel yang tidak menghargai hidayah yang dibawa oleh Nabi Musa.


Ayat 62

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱلَّذِينَ هَادُوا۟ وَٱلنَّصَـٰرَىٰ وَٱلصَّـٰبِـِٔينَ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًۭا فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ٦٢

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Dalam ayat ini ada 4 golongan manusia yang Allah SWT sebut:

  1. Orang-orang yang beriman (beriman kepada ajaran Nabi Muhammad SAW)
  2. Orang-orang Yahudi (agama yang merupakan agama "keluarga" keturunan Bani Israel yang mengikut kitab Taurat)
  3. Orang-orang Nasrani (pengikut Nabi Isa yang membawa kitab Injil)
  4. Orang-orang Shabi'in (orang yang keluar dari agama yang asal - telah sesat kerana mereka menyembah bulan, bintang dan juga malaikat.)


2 syarat mutlak untuk mendapat gajaran (pahala, tidak takut, tidak sedih) ialah:

  1. beriman kepada Allah dan hari akhirat
  2. iman dibuktikan dengan beramal soleh - buat kebaikan untuk diri atau masyarakat


Ayat ini merupakan kontroversi di kalangan orang bukan Islam seperti Yahudi dan Nasrani yang menganggap asalkan mereka percaya kepada Allah dan hari akhirat, nanti mereka akan masuk ke syurga. Sepertimana pemahaman orang Kristian tentang Allah yang menganggap Nabi Isa itu sebagai anak Tuhan mereka adalah menyalahi apa yang dikehendaki Allah. Mereka percaya kepada Allah tetapi fahaman mereka itu salah dan tidak diterima.

Dalam memahami ayat-ayat al-Quran, kita perlu melihat kepada ayat sebelum dan selepasnya serta kaitan antara satu ayat kepada satu ayat yang lain supaya membawa kepada kesatuan mesej dalam Al-Quran (Ilmu Tanasub). Ayat sebelum ini menceritakan tentang Bani Israel yang mereka ini bukan sahaja menafikan para Nabi tetapi juga membunuh para Nabi. Kepercayaan mereka tentang beriman kepada Allah, hari akhirat dan amal soleh tidak betul seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. 


Pengajaran

  1. Allah adil kepada semua manusia, tidak kira bangsa.
  2. Iman mesti dibuktikan dengan amal soleh.
  3. Allah akan beri balasan setimpal dengan iman dan amal soleh yang kita kerjakan.
  4. Kalau betul beriman kepada Allah, setiap perbuatan kita mesti berorientasi akhirat. 
  5. Amalan yang betul ialah seperti yang Nabi Muhammad SAW ajar.
  6. Kalau buat amal betul seperti Nabi Muhammad SAW, baru dapat ganjaran syurga.


Ayat 63 - 64

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَكُمْ وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ ٱلطُّورَ خُذُوا۟ مَآ ءَاتَيْنَـٰكُم بِقُوَّةٍۢ وَٱذْكُرُوا۟ مَا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ٦٣

Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): "Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.

ثُمَّ تَوَلَّيْتُم مِّنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ ۖ فَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ لَكُنتُم مِّنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ ٦٤

Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.


Allah SWT mengingatkan Bani Israel akan janji mereka supaya berpegang kepada Kitab Taurat tetapi mereka tetap berdegil dan berpaling dari syariat tersebut. 


Pengajaran

  1. Berpeganglah kepada kitab dan ajaran Nabi Muhammad SAW agar menjadi orang bertaqwa - hanya orang bertaqwa dapat masuk syurga.
  2. Kalau tidak ikut kitab kita akan jadi orang yang rugi - tak dapat masuk syurga.


Ayat 65-66

وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ ٱلَّذِينَ ٱعْتَدَوْا۟ مِنكُمْ فِى ٱلسَّبْتِ فَقُلْنَا لَهُمْ كُونُوا۟ قِرَدَةً خَـٰسِـِٔينَ ٦٥

Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".

فَجَعَلْنَـٰهَا نَكَـٰلًۭا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهَا وَمَا خَلْفَهَا وَمَوْعِظَةًۭ لِّلْمُتَّقِينَ ٦٦

Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.


Allah ingatkan kita tentang peristiwa yang ingin disembunyikan oleh orang Yahudi, iaitu peristiwa hari Sabat. Hari Sabtu disyariatkan bagi orang Yahudi untuk beribadah. Mereka telah melanggar perintah Allah dengan menangkap ikan pada hari tersebut. Mereka membuat helah dengan memasang jala/lukah pada hari Jumaat dan apabila ikan-ikan masuk ke dalam jala pada hari Sabtu, mereka mengambil ikan-ikan tersebut pada hari Ahad. Kerana kedegilan mereka, Allah azab dengan menukar mereka menjadi kera. Mereka menangis-nangis kerana diberi azab begitu.


Pengajaran

  1. Surah al-Baqarah tentang prinsip - Allah sedang membetulkan hati kita beteraskan al-Haq iaitu prinsip yang datangnya daripada Allah, bukan daripada diri kita.
  2. Allah boleh beri azab apa saja.
  3. Banyakkan beramal soleh.
  4. Buat amal dengan niat yang baik.
  5. Jangan degil atau manipulasi perintah Allah. 
  6. Ikut petunjuk Allah dalam al-Quran.
  7. Teguhkan kepercayaan kepada hari akhirat - jangan pandang enteng perkara yang kita anggap remeh seperti tidak menepati waktu kerja (punch in lepas tu mengular).
  8. Jangan cuba kelentong Allah. Nanti diri sendiri yang rugi (timbul takut). Di akhirat akan di azab.
  9. Berbuat baik itu mestilah berdasarkan kepada hidayah, jangan berpaling dan memanipulasikan undang-undang seperti yang dilakukan oleh Bani Israel.
  10. Jangan buat perangai seperti kera.
  11. Walaupun kita lahir sebagai Islam, kalau tidak buat amal seperti panduan al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW, bimbang tidak berjaya masuk syurga.
  12. Orang yang membaca al-Quran, hati sepatutnya lembut, semakin khusyuk, bukan buat perangai seperti kera yang dihina.


Ayat 67- 69

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِۦٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تَذْبَحُوا۟ بَقَرَةًۭ ۖ قَالُوٓا۟ أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًۭا ۖ قَالَ أَعُوذُ بِٱللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ ٱلْجَـٰهِلِينَ ٦٧

Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".

قَالُوا۟ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا هِىَ ۚ قَالَ إِنَّهُۥ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌۭ لَّا فَارِضٌۭ وَلَا بِكْرٌ عَوَانٌۢ بَيْنَ ذَٰلِكَ ۖ فَٱفْعَلُوا۟ مَا تُؤْمَرُونَ ٦٨

Mereka berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya".

قَالُوا۟ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا لَوْنُهَا ۚ قَالَ إِنَّهُۥ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌۭ صَفْرَآءُ فَاقِعٌۭ لَّوْنُهَا تَسُرُّ ٱلنَّـٰظِرِينَ ٦٩

Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya".


Nabi Musa mendapat arahan daripada Allah SWT supaya kaumnya menyembelih seekor lembu betina. Tetapi Bani Israel mempermainkan arahan tersebut. Mereka menunjukkan akhlak buruk terhadap Nabi Musa dan Allah. Pertanyaan mereka bukan kerana mereka tidak tahu tetapi sifat degil mereka yang tidak suka mengikut arahan. Sepatutnya, mereka terima sahaja arahan dan buat sepertimana diarahkan, tidak perlu fikir banyak. Mereka berdolak-dalik dan tidak berani ambil tindakan sebab rasa tidak yakin. Terbawa-bawa sifat semasa ditindas oleh Firaun.


Pengajaran

  1. Jangan permainkan perintah Allah SWT.
  2. Jangan jadi jahil - tidak guna akal. 
  3. Jangan buat lawak bab agama. 
  4. Kawal perasaan dalam melaksanakan perintah Allah SWT.
  5. Doa jangan jadi orang jahil seperti Bani Israel (أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ - "Aku berlindung kepada Allah agar aku tidak termasuk orang-orang yang jahil")
  6. Bila Allah arah, buat saja. Jangan banyak songel.
  7. Bila berdepan masyarakat, pastikan kita rujuk SOP.
  8. Untuk membuat amal kebaikan, elak budaya tunggu arahan orang atas.
  9. Sabar untuk laksanakan perintah Allah SWT
  10. Jangan susahkan diri sendiri. Kalau ikut perintah Allah memang tidak susah. Allah knows best.
  11. Jangan mempersoalkan perintah Allah SWT.
  12. Pemimpin/ketua sepatutnya memberi kuasa membuat keputusan (empowerment) kepada orang bawah. Jangan tekan  sampai mereka tidak berani buat keputusan.
  13. Pemimpin mesti melatih anak buah bertindak ikut SOP tanpa perlu banyak bersoal-jawab.  


RESOLUSI

Ingat !!

  1. Tunaikan perjanjian dengan penuh komited (2:63)
  2. Laksanakan syariat agar kita tidak menjadi hina (2:65)
  3. Minta tolong Allah untuk kawal emosi (2:67)

Lega kerana Allah beritahu bahawa orang beriman akan dapat ganjaran syurga. Allah beri penawar supaya tidak takut dan sedih iaitu berimanlah kepada Allah, kepada hari akhirat dan buat amal kebaikan seperti yang Nabi Muhammad SAW tunjukkan.

Saya jelas untuk taat dan sabar melaksanakan perintah Allah. Saya juga mesti jadi pemimpin yang mendidik anak buah mengikut perintah Allah bukan menunggu arahan saya sahaja.

Ya Allah, jadikanlah kami orang yang komited melaksanakan segala syariat, perintah dan arahan-Mu yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Jauhkan kami dari sifat-sifat yang hina sepertimana Bani Israel yang mempermainkan perintah-Mu. Ya Allah, tolong kami agar kami dapat kawal emosi dalam semua keadaan. Jadikan kami orang yang sabar mengikut perintah-Mu.


Rujukan: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...