Friday, June 2, 2023

Halaman 103 Al-Nisa', 4:155-162

  

PERKATAAN HARI INI                   

       

وَاثَقَ   Mengikat perjanjian

34 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS  

 

1.     Pelbagai sikap kepala batu kaum Yahudi [155-159]

2.     Akibat yang menimpa kaum Yahudi disebabkan kezaliman mereka [160]

3.     Perbuatan mereka yang mengambil riba [161]

4.     Pahala orang-orang yang beriman dari mereka [162]


 

Mukaddimah

 

Alhamdulillah, kita bersyukur dapat meneruskan pengajian al-Quran: Baca Faham Amal. Kita bersyukur pada Allah, semalam kita telah mengambil kesempatan untuk mengingati perjuangan Nabi SAW.

 

Kita ingin teruskan membaca halaman demi halaman, ayat demi ayat kerana semua ayat-ayat diturunkan kepada Nabi SAW. Walaupun ayat-ayat yang turun tidak mengikuti turutan seperti yang terdapat dalam al-Quran sekarang, semuanya adalah bersesuaian dengan sirah ketika Baginda SAW menghadapi cabaran dalam perjuangan menegakkan Islam. Ini bermakna ketika kita membaca al-Quran, Kita bukan sekadar membaca surah tetapi kita juga membaca sirah Nabi SAW. Jika kita menghadapi cabaran dalam hidup, kita sudah ada panduan hidayah daripada Allah SWT.

 

Al-Fatihah dibaca sebagai ulangan kepada kita untuk mendapatkan hidayah bagi menghadapi masalah yang berbeza-beza dari hari ke hari. Al-Fatihah dapat menjadi syifa', petunjuk, peringatan dan rahmat kepada kita.

 

Pada halaman lepas kita belajar bahawa Bani Israel telah melanggar perjanjian hari Sabtu yang sepatutnya dikhaskan untuk beribadah kepada Allah SWT. Allah amat murka kerana mereka tidak ambil perhatian terhadap perjanjian ini.. Dalam dua kalimah syahadah, kita juga mengambil perjanjian dengan Allah untuk melaksanakan tugas keimanan kepada Allah dan Rasul.


 

Ayat [4:155]

 

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَـٰقَهُمْ وَكُفْرِهِم بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَقَتْلِهِمُ ٱلْأَنۢبِيَآءَ بِغَيْرِ حَقٍّۢ وَقَوْلِهِمْ قُلُوبُنَا غُلْفٌۢ ۚ بَلْ طَبَعَ ٱللَّهُ عَلَيْهَا بِكُفْرِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُونَ إِلَّا قَلِيلًۭا

 

"Maka (Kami laknatkan mereka) dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, dan mereka kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tiada sesuatu alasan yang benar, dan mereka juga mengatakan: "Hati kami tertutup (tidak dapat menerima ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad)". (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup), bahkan Allah telah memeteraikan hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antaranya)."


 

Ayat [4:156]

 

وَبِكُفْرِهِمْ وَقَوْلِهِمْ عَلَىٰ مَرْيَمَ بُهْتَـٰنًا عَظِيمًۭا

 

"Demikian juga (Kami laknatkan mereka) dangan sebab kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap Maryam (dengan tuduhan yang amat dustanya."


 

Ayat [4:157]

 

وَقَوْلِهِمْ إِنَّا قَتَلْنَا ٱلْمَسِيحَ عِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ رَسُولَ ٱللَّهِ وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَـٰكِن شُبِّهَ لَهُمْ ۚ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ لَفِى شَكٍّۢ مِّنْهُ ۚ مَا لَهُم بِهِۦ مِنْ عِلْمٍ إِلَّا ٱتِّبَاعَ ٱلظَّنِّ ۚ وَمَا قَتَلُوهُ يَقِينًۢا

 

"Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: "Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah". Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin."

 

Pada tahun 1940an ada ditemui dokumen-dokumen yang menunjukkan kitab-kitab asal dahulu, kini telah ditukar isinya dan diselewengkan.


 

Ayat [4:158]

 

بَل رَّفَعَهُ ٱللَّهُ إِلَيْهِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًۭا

 

"Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."


 

Ayat [4:159]

 

وَإِن مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِۦ قَبْلَ مَوْتِهِۦ ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ يَكُونُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًۭا

 

"Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka."


 Mesej dan Tindakan Ayat 155-159 

  1. Allah sangat murka kepada orang yang melanggar perjanjian dengan-Nya.
  2. Allah tutup hati orang yang kufur kepada-Nya.
  3. Janganlah kita melanggar perjanjian yang kita telah lafazkan dalam dua kalimah syahadah.
  4. Jangan ambil ringan perintah Allah. Contoh: Tidak kisah untuk membaca al-Quran dengan memberi alasan-alasan atau leka mengerjakan solat di awal waktu.
  5. Allah laknat orang Yahudi yang kufur kepada-Nya iaitu mereka tidak suka Nabi Isa dan tidak mahu mengikut ajarannya. Mereka juga menuduh ibu Nabi Isa yang bukan-bukan.
  6. Allah juga murka kepada mereka kerana cuba membunuh Nabi Isa a.s. Mereka menyangka mereka membunuh Nabi Isa a.s. tetapi yang sebenarnya bukan Nabi Isa yang dibunuh. Lelaki itu hanyalah orang yang disamakan wajahnya dengan Nabi Isa a.s. Orang Yahudi tidak suka kepada Nabi Isa a.s. kerana dari kecil sudah memahami kitab Injil dan mampu menegur jika ada yang tersalah membacanya.
  7. Allah selamatkan Nabi Isa a.s dengan mengangkat Nabi Isa a.s kepada-Nya. Allah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.
  8. Nabi Isa akan diturunkan semula ke dunia untuk membersihkan akidah ahli kitab dan Baginda akan menjadi saksi keimanan mereka di akhirat nanti.

 

Ayat [4:160]

 

فَبِظُلْمٍۢ مِّنَ ٱلَّذِينَ هَادُوا۟ حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ طَيِّبَـٰتٍ أُحِلَّتْ لَهُمْ وَبِصَدِّهِمْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ كَثِيرًۭا

 

"Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka makanan yang baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka, dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah."


Pengajaran

  1. Orang-orang dahulu juga memohon hidayah tetapi bila diberi hidayah, mereka tidak mahu mengikut kerana mementingkan diri sendiri.
  2. Allah ketatkan peraturan-peraturan kepada orang Yahudi kerana kedegilan mereka dan juga kerana banyak kali menghalang manusia daripada jalan Allah. Degilnya mereka sehingga meminta mahu melihat Allah sebagai bukti.
  3. Janganlah kita mengharapkan keajaiban untuk menjadi orang yang beriman.

Ayat [4:161]

 

وَأَخْذِهِمُ ٱلرِّبَوٰا۟ وَقَدْ نُهُوا۟ عَنْهُ وَأَكْلِهِمْ أَمْوَٰلَ ٱلنَّاسِ بِٱلْبَـٰطِلِ ۚ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَـٰفِرِينَ مِنْهُمْ عَذَابًا أَلِيمًۭا

 

"Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya."


 Pengajaran

  1. Allah juga melaknat orang Yahudi kerana mereka mengambil riba dan memakan harta orang dengan cara menipu. Contoh: Zaman sekarang, Allah pastinya melaknat Scammer kerana menipu orang ramai untuk curi duit. Orang yang curi tulang semasa waktu kerja juga termasuk dalam perbuatan memakan harta dengan cara menipu.
  2. Allah murka dengan orang yang tidak berpegang pada janji, yang makan riba dan makan harta orang secara menipu.
  3. Allah sediakan untuk mereka azab yang sangat pedih. 
  4. Janganlah kita jadi seperti mereka yang dimurkai dan dilaknat oleh Allah SWT.


Ayat [4:162]

 

لَّـٰكِنِ ٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ مِنْهُمْ وَٱلْمُؤْمِنُونَ يُؤْمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ ۚ وَٱلْمُقِيمِينَ ٱلصَّلَوٰةَ ۚ وَٱلْمُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلْمُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ أُو۟لَـٰٓئِكَ سَنُؤْتِيهِمْ أَجْرًا عَظِيمًا

 

"Tetapi orang-orang yang teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang yang beriman, sekaliannya beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu (Al-Quran), dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu, - khasnya orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan orang-orang yang menunaikan zakat, serta yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; mereka itulah yang Kami akan berikan kepadanya pahala (balasan) yang amat besar."


Pengajaran 

  1. Allah akan berikan ganjaran yang besar kepada orang yang:
    • suka menuntut ilmu,
    • beriman dengan al-Quran dan kitab terdahulu,
    • mendirikan solat,
    • menunaikan zakat,
    • eriman kepada Allah dan hari akhirat
  2. Ilmu itu penting. Kita percaya dan yakin dengan ilmu, bukan seperti orang Yahudi dahulu, mereka ada kitab tetapi mereka  tidak menggunakan ilmu di dalamnya.
  3. Semua kandungan kitab terdahulu dirangkumkan dalam al-Quran. Di dalam kitab Zabur, banyak pujian tentang Allah dan di dalam Taurat pula, banyak tentang peraturan-peraturan.
  4. Antara 'kerja' yang Allah beri 'gaji' ialah iman. Sangat penting untuk kita membina iman. Membaca al-Quran sepatutnya menambahkan iman. Jika dengan membaca al-Quran tidak bertambah iman, kita hendaklah berdoa supaya Allah tambah keimanan kita. Contoh: Orang beriman akan bertanya "Nak makan apa?" Orang tidak beriman akan bertanya " Nak makan siapa?".
  5. Iman itu fokusnya di hati yang akan dijelmakan dalam tingkah laku dan perbuatan kita


RESOLUSI                                                                                                         

Ingat !!

  1. Mencontohi Maryam yang sabar walau difitnah oleh orang sekeliling [156]
  2. Menghayati kisah Nabi Isa berjuang bagi menyangkal dakwaan tidak benar [157)
  3. Jaga sumber harta agar tidak batil dan riba [161] 

Lega kerana Allah SWT beri contoh untuk saya menjadi seorang yang lebih sabar dalam menghadapi ujian hidup seharian.

 

Saya jelas untuk mencontohi Maryam yang sabar walau difitnah oleh orang sekeliling. Saya jelas untuk berjuang menyangkal dakwaan tidak benar seperti kisah Nabi Isa. Saya juga jelas untuk jaga sumber harta agar tidak batil dan riba.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan dalam hidup kami.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk menjadi orang sabar dalam menghadapi ujian hidup ini. Ya Allah, bantu kami berjuang menegakkan kebenaran. Ya Allah, jauhi kami daripada terlibat dengan urusan harta yang batil dan riba.

 

  Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.



    





 


 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...