Friday, June 2, 2023

Halaman 104 Al-Nisa', 4:163-170

 

   PERKATAAN HARI INI

     

أَوْحَىٰٓ  Mewahyukan

78 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS   

  1. Kesatuan dan kesamaan wahyu para rasul serta hikmah diutusnya para rasul       [163-166]
  2. Kesesatan orang kafir dan balasan kepada mereka [167-169]
  3. Seruan kepada manusia untuk beriman kepada Rasulullah SAW [170]

Mukaddimah

 

Syukur Alhamdulillah kita menghampiri penghujung surah al-Nisa' dan sudah pun berada dalam juzuk keenam. Kita ingin memegang kepada hidayah yang kita pohon setiap hari dalam surah al-Fatihah ayat 6; "Tunjukilah kami jalan yang lurus." Ada tiga perkara penting dalam Surah al-Fatihah, iaitu:

1.     Tauhid

2.     Ibadah kepada Allah menuju ke akhirat

3.     Mohon ditunjukkan jalan yang lurus

 

Keimanan kepada rasul adalah komponen ketiga. Keimanan kepada rasul, adalah mencabar bagi orang munafik dan ahli kitab. Walaupun mereka mendapat kitab dan tahu tentang kedatangan Nabi SAW pada akhir zaman tetapi apabila hadir Nabi Muhammad SAW mereka ego dan degil untuk mengikut panduan ini.

 

Pada halaman lepas kita telah belajar tentang orang yang akan mendapat ganjaran yang besar iaitu orang yang bila ada ilmu, dia beriman, mendirikan solat, menunaikan zakat dan beriman kepada hari akhirat. Manakala ahli kitab dan orang Munafik yang ada kitab tetapi mereka tidak berpegang pada janji, maka mereka akan diazab oleh Allah SWT.

 

Iman ini bukan sekadar beriman kepada Allah, tetapi juga iman kepada hari akhirat. Kita tahu apa yang kita buat akan memberi kesan dalam jangka masa panjang. Kalau kita kata beriman tetapi tidak mengira dosa pahala dan tidak ingin ikut peraturan yang dicontohkan oleh Rasul, maka kita bermasalah.

 


Ayat [4:163]

 

إِنَّآ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ كَمَآ أَوْحَيْنَآ إِلَىٰ نُوحٍۢ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ مِنۢ بَعْدِهِۦ ۚ وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَإِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ وَٱلْأَسْبَاطِ وَعِيسَىٰ وَأَيُّوبَ وَيُونُسَ وَهَـٰرُونَ وَسُلَيْمَـٰنَ ۚ وَءَاتَيْنَا دَاوُۥدَ زَبُورًۭا

 

"Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur."

 

Pengajaran

 

1. Nama nabi-nabi yang disebut dalam ayat ini adalah nabi-nabi yang terkenal dalam kalangan Bani Israel.

2.  Orang Yahudi bangga dengan Nabi Ibrahim dan keturunan Nabi Yaakub tetapi mereka tidak menerima Nabi SAW.  Seperti orang sekarang, kononnya mengikut Nabi Muhammad SAW, berdemo untuk mempertahankan sesuatu berkenaan agama, tetapi meninggalkan solat.

3. Taurat diberi kepada Nabi Musa secara sekali gus. Banyak peraturan di dalamnya.  Kitab Zabur diturunkan kepada Nabi Daud mengingatkan 'nilai'. Al-Quran adalah gabungan antara Taurat dan Zabur tetapi syariatnya berbeza. Bani Israel, kadang-kadang kerana terlalu mahu mengikut peraturan sehinggakan hilang nilai. Contohnya tidak berlaku adil. Dalam keadaan kita sekarang, umpamanya, jerung lepas, tetapi ikan bilis tidak terlepas (Golongan bangsawan terlepas dari hukuman sekiranya melakukan kesalahan tetapi golongan rakyat marhaen tidak terlepas dari hukuman). Kita tidak mahu negara ini dipenuhi dengan jerung yang dilepaskan kerana mereka ini memutar belitkan peraturan dan meninggalkan nilai.

4. Janganlah kita ikut perangai Bani Israel yang mengenepikan nilai walaupun mengikut peraturan sehingga tidak berlaku adil.

 


Ayat [4:164]

 

وَرُسُلًۭا قَدْ قَصَصْنَـٰهُمْ عَلَيْكَ مِن قَبْلُ وَرُسُلًۭا لَّمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ ۚ وَكَلَّمَ ٱللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًۭا

 

"Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan)."


 Pengajaran 

  1. Allah cerita kepada Nabi SAW tentang beberapa orang rasul terdahulu dan ada juga rasul-rasul yang tidak diceritakan. Mengikut Abu Dzar dalam sahih Ibnu Hiban, jumlah nabi adalah 124,000 orang. Rasul pula ada 313 orang. Yang kita tahu hanya 25 orang sahaja.
  2. Kaum terdahulu diberikan kitab tetapi mereka mengubah kandungan kitab mengikut kehendak mereka sehingga rosak agama tersebut.
  3. Allah menceritakan kisah kaum terdahulu supaya kita mengambil pelajaran.
  4. Al-Quran tidak akan boleh diubah. Tanpa al-Quran, agama kita akan rosak.
  5. Allah berikan kelebihan kepada Nabi Musa dapat berbicara dengan Allah secara langsung.
  6. Allah berbicara dengan kita melalui al-Quran hingga sekarang. Inilah mukjizat yang kekal sampai hari ini. Subhanallah!

Ayat [4:165]

 

رُّسُلًۭا مُّبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى ٱللَّهِ حُجَّةٌۢ بَعْدَ ٱلرُّسُلِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًۭا

 

"Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."


 Mesej dan Tindakan

  1. Peranan rasul-rasul ialah sebagai pemberi khabar gembira kepada orang beriman dan juga memberi amaran kepada orang kafir. Sekarang, para rasul telah tiada. Namun, kita ada sunnah Rasul dan al-Quran sebagai panduan.
  2. Allah ini sifatnya al-Aziz, Maha Perkasa. Allah ini tegas, boleh buat apa sahaja yang dikehendaki-Nya.
  3. Allah juga al-Hakim, Maha Bijaksana, tidak menampakkan diri-Nya secara terus kepada Nabi Musa a.s. dan Nabi Muhammad SAW. Allah hanya utuskan malaikat untuk menyampaikan wahyu kepada Nabi dan Rasul. Allah lantik rasul dari kalangan manusia sebagai contoh tauladan untuk kita.
  4. Hendaklah kita bersyukur kerana kita ada wahyu daripada Allah SWT.

Ayat [4:166]

 

لَّـٰكِنِ ٱللَّهُ يَشْهَدُ بِمَآ أَنزَلَ إِلَيْكَ ۖ أَنزَلَهُۥ بِعِلْمِهِۦ ۖ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَشْهَدُونَ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدًا

 

"(Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran yang telah diturunkanNya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmuNya, dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini)."


Pengajaran

  1. Al-Quran dan Sunnah adalah perkara yang penting. Allah yang menjadi saksi atas kenabian para nabi dan menjadi saksi kepada kebenaran al-Quran. Malaikat menjadi saksi turunnya al-Quran.
  2.  Allah menurunkan al-Quran dengan ilmunya. Bila kita baca al-Quran, bermakna Allah sedang turunkan ilmu-Nya kepada kita.
  3. Cukuplah Allah yang menghantar ilmu dan menjadi saksi akan kebenaran al-Quran.

Ayat [4:167]

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَصَدُّوا۟ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ قَدْ ضَلُّوا۟ ضَلَـٰلًۢا بَعِيدًا

 

"Sesungguhnya orang-orang yang kafir serta menghalang orang-orang lain dari jalan Allah (ugama Islam), sebenarnya mereka telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh."

 

Pengajaran

  1. Orang kafir menghalang manusia dari jalan Allah. Mereka didatangi rasul, namun mereka memilih untuk menutup kebenaran. Mereka sesat dengan kesesatan yang jauh.
  2. Nabi SAW bukan sekadar bercakap sahaja. Baginda walked the talk. Nabi SAW berakhlak atas dasar hidayah. 
  3. Janganlah kita menutup kebenaran.

Ayat [4:168]

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَظَلَمُوا۟ لَمْ يَكُنِ ٱللَّهُ لِيَغْفِرَ لَهُمْ وَلَا لِيَهْدِيَهُمْ طَرِيقًا

 

"Sesungguhnya orang-orang yang kafir serta berlaku zalim, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka dan tidak akan menunjukkan jalan kepada mereka:"

 

Pengajaran

  1. Allah tidak akan membantu orang kafir. Kafir bermakna setelah diajar tentang kebenaran (Islam), mereka tetap tidak mahu menerima. Orang yang tidak diberi kefahaman dan diajar tentang agama, orang itu dikategorikan sebagai jahil.
  2. Allah tidak akan mengampunkan orang kafir dan orang yang melakukan kezaliman.
  3. Allah juga tidak akan menunjukkan jalan kepada orang-orang kafir kerana mereka sendiri yang menutup jalan kebenaran yang disampaikan kepada mereka dan menzalimi rasul.

Ayat [4:169]

 

إِلَّا طَرِيقَ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًۭا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًۭا

 

"Selain dari jalan neraka jahanam, yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya; dan balasan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."

 

Pengajaran


Kita semua berada di atas sirat yang sama, umpama highway yang luas. Kalau kita tidak mengikut hidayah al-Quran, kita akan tersasar ke jalan-jalan sempit (sabil) dan lorong-lorong yang semakin sempit (tariq) dan akhirnya sesat selama-lamanya.

  1. Kalau kita menutup kebenaran kita akan terus sesat hingga sampai ke neraka jahanam.
  2. Orang kafir akan kekal berada di dalam neraka. Balasan ini mudah bagi Allah.
  3. Janganlah kita mempermudah-mudahkan hidayah daripada Allah. Carilah ilmu al-Quran bersungguh-sungguh agar kita tidak sesat ke neraka.

Ayat [4:170]

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَكُمُ ٱلرَّسُولُ بِٱلْحَقِّ مِن رَّبِّكُمْ فَـَٔامِنُوا۟ خَيْرًۭا لَّكُمْ ۚ وَإِن تَكْفُرُوا۟ فَإِنَّ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًۭا

 

"Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Allah (Muhammad s.a.w) dengan membawa kebenaran dari Tuhan kamu, maka berimanlah kamu (kerana yang demikian itu) amatlah baiknya bagi kamu. Dan jika kamu kufur ingkar (maka kekufuran kamu itu tidak mendatangkan kerugian apa-apa kepada Allah), kerana sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan di bumi; dan Allah sentiasa Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

 

Pengajaran

 

Ini adalah mesej kepada semua manusia ( يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ). Allah menyampaikan mesej universal yang mempunyai banyak pengajaran yang menjadi fitrah kepada manusia.

  1. Allah beritahu bahawa telah datang rasul yang membawa kebenaran. Rasul sebagai guru yang mengajar manusia kaedah penyelesaian masalah yang diturunkan oleh Allah SWT.
  2. Mesej yang ada dalam al-Quran adalah untuk semua manusia.  Semua orang, termasuk yang dari agama lain, memohon kepada Tuhan (مِن رَّبِّكُمْ) untuk menyelesaikan masalah. Tuhan yang mencipta dan mendidik kita tahu penyelesaian kepada masalah kita.
  3. Beriman itu pastinya lebih baik. Jika pelajar tidak percaya kepada cikgu, ini menunjukkan bukan orang yang benar-benar nak belajar.
  4. Allah memiliki langit dan bumi. Allah mengurus segalanya dengan baik. Jika kita protes tentang Allah, cuba lawan matahari, gunung, satellite. Sudah pasti kita tak mampu melawan semua itu. Apatah lagi nak melawan Allah.
  5. Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana. Semuanya di dalam kuasa-Nya. Allah bagi al-Quran sedikit-sedikit, Allah hantar malaikat kepada Nabi dan hantar Nabi kepada kita sebagai contoh teladan.
  6. Kalau kita hendak berborak dengan kawan-kawan yang bukan Islam, kaji ayat-ayat yang bermula dengan "Wahai sekalian manusia".

RESOLUSI 


Ingat !!    

  1. Yakin kepada keseluruhan rasul yang diutuskan [163]
  2. Sedar bahawa kita tidak mampu mengelak daripada balasan Allah [165)
  3. Jaga diri daripada kufur dan zalim kerana ia menutup pintu keampunan [168]

Lega kerana Allah SWT turunkan rasul sebagai guru dan al-Quran sebagai panduan kehidupan.

 

Saya jelas untuk yakin kepada kesemua rasul yang Allah utuskan. Saya jelas bahawa saya tidak mampu mengelak balasan Allah. Saya juga jelas saya mesti jaga diri daripada kufur dan zalim supaya dapat keampunan Allah.

 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan dalam hidup kami.

 

Ya Allah,  tambahkan iman kami kepada kesemua rasul yang Engkau utuskan. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Ya Allah, jauhi kami daripada  sifat kufur dan zalim. Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan Menyukai Kemaafan, maka ampunkan dan maafkan segala dosa-dosa kami.

 

Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.






























































 





Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...