Friday, June 2, 2023

Halaman 102 : Al-Nisa' (4:148-154)

PERKATAAN HARI INI 

 جَهَرَ Jelas, terang

16 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS  

  1. Mengutarakan keburukan secara terang-terangan (148)
  2. Memaafkan perbuatan tidak baik, menampakkan amal perbuatan baik dan menyembunyikannya (149)
  3. Kufur, iman dan balasan masing-masing (150-152)
  4. Pelbagai sikap kepala batu kaum Yahudi (153-154)

Mukaddimah

Alhamdulillah kita dapat teruskan ke Juz keenam. Ini adalah anugerah daripada Allah SWT kita dapat baca, faham dan amal al-Quran hingga halaman 102.
 
Bacaan al-Fatihah mengingatkan bahawa kita memerlukan hidayah daripada Allah SWT. Setiap hari kita meminta hidayah dari Allah. Hidayah ini ada beberapa peringkat:
  1. Hidayah bila kita diberi deria untuk menangkapi apa yang ada di sekitar kita
  2. Hidayah kembali kepada al-Quran daripada Nabi SAW
  3. Hidayah apabila kita ini betul-betul mencari cahaya demi cahaya, bukan sekadar beriman secara umum, tetapi kita mencari kebenaran
  4. Hidayah bila Allah tunjukkan kita sampai dipimpin ke syurga.

Ayat [4:148]


لَّا يُحِبُّ ٱللَّهُ ٱلْجَهْرَ بِٱلسُّوٓءِ مِنَ ٱلْقَوْلِ إِلَّا مَن ظُلِمَ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا
 
"Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Pengajaran


  1. Allah tidak suka kita mendedahkan kejahatan ( ٱلسُّوٓءِ ) orang lain.  ٱلسُّوٓءِ ialah perkara yang buruk dan membawa kepada maksiat.
  2. Contoh: Viralkan keburukan orang dalam media sosial atau cikgu umumkan keburukan pelajar di khalayak ramai, ibu bapa menyebut-nyebut kesalahan dan aib seorang anak kepada adik-beradik lain atau orang luar.
  3. Orang yang dizalimi dibolehkan untuk menceritakan keburukan orang yang menzaliminya kepada orang yang bertanggungjawab supaya dia terbela. Elakkan dari menceritakannya secara public.
  4. Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui. Allah tahu apa sahaja yang kita kata dan sebar. Jika orang tertentu sahaja yang diberitahu, Allah juga tahu.

Ayat [4:149]

 
إِن تُبْدُوا۟ خَيْرًا أَوْ تُخْفُوهُ أَوْ تَعْفُوا۟ عَن سُوٓءٍۢ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوًّۭا قَدِيرًا
 
"Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa."

Pengajaran

  Allah tahu jika kita menzahirkan atau menyembunyikan kebaikan.
  1. Perlu melihat kesesuaian keadaan ketika mahu menzahirkan kebaikan. Jangan kerana mahu mencari content (isi) untuk Youtube, kita sampai menampakkan segala yang kita ada termasuk hal-hal yang tidak baik. Masyarakat hari ini ada yang seperti kera mendapat bunga. Bunga memang cantik, tetapi bila dibagi kepada kera, akan disiat-siatnya. 
  2. Janganlah kita buka dan sebarkan kesilapan orang. Dalam keluarga, sekolah, pejabat jika kita beritahu yang bersalah secara peribadi, itu lebih baik. Sebaiknya nasihat dan selesaikannya secara berhadapan dan tertutup
  3. Maafkan orang yang buat silap dengan kita.
  4. Allah Maha Pemaaf dan Allah boleh menghapuskan segala kekurangan yang ada dan memaafkan kesilapan lalu.

Ayat [4:150]


إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦ وَيُرِيدُونَ أَن يُفَرِّقُوا۟ بَيْنَ ٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦ وَيَقُولُونَ نُؤْمِنُ بِبَعْضٍۢ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍۢ وَيُرِيدُونَ أَن يَتَّخِذُوا۟ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا
 
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) berkata: "Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain", serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu:"


Ayat [4:151]


أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْكَـٰفِرُونَ حَقًّۭا ۚ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَـٰفِرِينَ عَذَابًۭا مُّهِينًۭا
 
"Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. Dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang menghina."


Pengajaran Ayat 150-151

  1. Hendaklah kita beriman kepada Allah dan Rasul sepenuhnya.
  2. Agama Islam berbeza dengan agama lain. Agama islam sahaja agama yang benar. Kita beriman dengan al-Quran dan hadis secara menyeluruh. Jangan asingkan Allah dan Rasul.
  3. Orang kufur asingkan Rasul daripada Allah. Mereka suka memilih-milih. Jika mereka disuruh pergi berperang mereka tidak suka, tetapi bila mendapat harta rampasan perang, mereka suka. Mereka mementingkan diri.
  4. Allah sediakan azab yang menghinakan kepada orang kafir.
  5. Kita tidak mahu pada diri kita ada sifat-sifat orang munafik yang suka menyebarkan keburukan dan memilih-milih untuk buat kebaikan.


Ayat [4:152]


وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦ وَلَمْ يُفَرِّقُوا۟ بَيْنَ أَحَدٍۢ مِّنْهُمْ أُو۟لَـٰٓئِكَ سَوْفَ يُؤْتِيهِمْ أُجُورَهُمْ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا
 
"Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya dan mereka pula tidak membeza-bezakan (imannya terhadap) seseorang pun di antara rasul-rasul itu, (maka) mereka yang demikian, Allah akan memberi mereka pahala mereka. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


Pengajaran

  1. Allah akan berikan pahala kepada orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya. Orang Yahudi dan Nasrani tidak menerima Nabi Muhammad SAW. Sebagai orang yang beriman, kita  menerima semua nabi-nabi dan rasul-rasul.
  2. Allah boleh sahaja mengampunkan kesalahan orang yang berusaha memperbaiki diri dari kesalahan tersebut.


Ayat [4:153]

 
يَسْـَٔلُكَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ أَن تُنَزِّلَ عَلَيْهِمْ كِتَـٰبًۭا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ ۚ فَقَدْ سَأَلُوا۟ مُوسَىٰٓ أَكْبَرَ مِن ذَٰلِكَ فَقَالُوٓا۟ أَرِنَا ٱللَّهَ جَهْرَةًۭ فَأَخَذَتْهُمُ ٱلصَّـٰعِقَةُ بِظُلْمِهِمْ ۚ ثُمَّ ٱتَّخَذُوا۟    ٱلْعِجْلَ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ فَعَفَوْنَا عَن ذَٰلِكَ ۚ وَءَاتَيْنَا مُوسَىٰ سُلْطَـٰنًۭا مُّبِينًۭا
 
"Ahli Kitab (kaum Yahudi) meminta kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. (Janganlah engkau merasa pelik), kerana sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu. Mereka berkata: "(Wahai Musa) perlihatkanlah Allah kepada kami dengan nyata (supaya kami dapat melihatNya dan percaya kepadaNya)". Lalu mereka disambar oleh petir dengan sebab kezaliman mereka (menderhaka kepada Allah); kemudian mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (mukjizat), lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan yang sedemikian itu (ketika mereka bertaubat). Dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan yang nyata (untuk mengalahkan kaum yang kafir itu)."
 

Pengajaran

  1. Allah membongkar perangai ahli kitab yang meminta perkara yang pelik-pelik daripada Nabi SAW kerana mereka tidak mahu menerima Nabi Muhammad SAW.
  2. Allah ceritakan perangai ahli kitab yang sombong dan balasan yang mereka terima kerana menderhaka kepada Allah. Janganlah kita bersifat sombong seperti ahli kitab.
  3. Allah memaafkan orang yang bertaubat. Hebat macam mana pun kesalahan mereka, Allah Maha Pengampun.
  4. Cukuplah bagi kita mukjizat al-Quran yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai hadiah untuk kita.


Ayat [4:154] 


وَرَفَعْنَا فَوْقَهُمُ ٱلطُّورَ بِمِيثَـٰقِهِمْ وَقُلْنَا لَهُمُ ٱدْخُلُوا۟ ٱلْبَابَ سُجَّدًۭا وَقُلْنَا لَهُمْ لَا تَعْدُوا۟ فِى ٱلسَّبْتِ وَأَخَذْنَا مِنْهُم مِّيثَـٰقًا غَلِيظًۭا ١٥٤
 
"Dan Kami telah mengangkat "Gunung Tursina" ke atas mereka disebabkan (mereka ingkar akan) perjanjian setia mereka (mematuhi hukum-hukum Taurat), dan Kami perintahkan mereka: "Masuklah kamu melalui pintu (negeri) itu dengan merendah diri" dan Kami juga perintahkan mereka: "Janganlah kamu melanggar perintah larangan yang ditentukan pada hari Sabtu", dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian setia yang teguh (yang mewajibkan mereka mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya)."


Pengajaran

  1. Allah mengangkat Gunung Tursina ke atas Bani Israel untuk menguatkan perjanjian mereka. Mereka berjanji dengan Allah untuk mengikut peraturan-peraturan, namun mereka ingkar. Mereka tetap tidak berpuas hati dengan Allah. Mereka degil melampau.
  2. Allah ceritakan tentang Bani Israel supaya janganlah ada perangai degil mereka dalam diri kita.
  3. Hendaklah kita ambil serious dengan peraturan-peraturan di dalam al-Quran. Sekarang kita berhadapan dengan COVID19. Jangan sampai kita di kelilingi orang mati oleh wabak itu, baru kita mahu mengikut peraturan-peraturan yang Allah tetapkan dalam al-Quran

RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Jangan mengucapkan kata-kata buruk kepada seseorang kecuali dizalimi (148)
  2. Membina iman sebenarnya dengan tidak memilih-milih kebenaran wahyu (152)
  3. Ambil pelajaran dari bani Israel yang mempermainkan wahyu (153)
  4. Lega kerana Allah SWT turunkan al-Quran sebagai mukjizat sepanjang zaman.
Saya jelas untuk tidak mendedahkan keburukan orang lain kecuali dizalimi. Saya mesti membina iman yang sebenarnya dan tidak memilih-milih kebenaran al-Quran. Saya jelas untuk ambil pelajaran daripada kisah Bani Israel.
 
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan dalam hidup kami.
 
Ya Allah, jauhi kami daripada sifat-sifat buruk Bani Israel. Ya Allah, kurniakan kami iman yang sempurna seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.
 
Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.
 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...