Friday, June 2, 2023

Halaman 120 Al-Ma'idah, 5:71-76

 

PERKATAAN HARI INI           

 

فَتَنَ  Ujian (Fatana ialah ujian yang besar tetapi ia dekat di hati)

60 kali disebut dalam al-Quran



SINOPSIS  

  1. Kesan apabila membunuh para nabi atau utusan Allah SWT [5:71]
  2. Ideologi umat Masehi yang menuhankan al-Masih, padahal baginda hanyalah seorang manusia yang menjadi rasul [5:72-75]
  3. Membahas ideologi menyembah Tuhan selain Allah SWT [5:76]


Mukaddimah

 

Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 120. Kita memulakan minggu ini dengan melihat hidayah daripada Allah SWT. Semoga kita sihat sejahtera. Bagi yang mungkin tidak sihat, kita doakan diberi sejahtera dan keberkatan daripada Allah SWT.

 

Pada halaman lepas, kita telah melihat bagaimana Bani Israel yang diambil perjanjian daripada mereka tetapi mereka telah mendustakan sampai membunuh pembawa mesej kebaikan kerana mereka merasakan mesej baik itu mengganggu kehidupan mereka. Orang buat baik, mereka bunuh. Di sebalik semua ini, ada syaitan yang tidak mahu mesej kebaikan tersebar di seluruh dunia. Semoga kita menjadi agen untuk membuat kebaikan. Berbuat kebaikan itu adalah tugas rasul dan kita ingin meneruskan tugas tersebut.

 


Ayat [5:71] 

وَحَسِبُوٓا۟ أَلَّا تَكُونَ فِتْنَةٌۭ فَعَمُوا۟ وَصَمُّوا۟ ثُمَّ تَابَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ ثُمَّ عَمُوا۟ وَصَمُّوا۟ كَثِيرٌۭ مِّنْهُمْ ۚ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِمَا يَعْمَلُونَ

 

"Dan mereka juga menyangka bahawa tidak akan berlaku sebarang bencana, lalu mereka membutakan mata dan memekakkan telinga, kemudian Allah menerima taubat mereka, setelah itu kebanyakan dari mereka membutakan mata dan memekakkan telinga lagi. Padahal Allah Maha Melihat akan apa yang mereka lakukan."

 

Pengajaran

 

  1. Allah ingatkan kita bahawa Bani Israel menyangka perbuatan keji mereka yang berulang-kali itu tidak membawa kesan buruk. Mereka mengabaikan segala peringatan daripada Allah tetapi Allah tetap kembali kepada mereka dan memberi mereka peluang kepada mereka untuk bertaubat.
  2. Kesan mendustakan pembawa kebaikan menyebabkan bencana demi bencana kepada mereka; 1) Tiada pemimpin membawa kebenaran, 2) Mereka berpecah, 3) Dijajah oleh Firaun, 4) Mereka hilang keberkatan dalam negeri  mereka, 5) Mereka berpusing-pusing 40 tahun untuk masuk ke Palestine, 6) Tanah menjadi gersang, ekonomi merundum. Semua itu berlaku kerana mereka tidak bergantung kepada kebaikan dan keberkatan daripada Allah SWT.
  3. Peringatan bagi kita yang sedang menghadapi ujian COVID19: Sebenarnya kita perlukan barakah daripada Allah SWT untuk menangani isu ini. Kita tidak mampu selesaikan masalah dengan bergantung kepada diri kita sendiri. 
  4. Bila sedar kita ada masalah, hendaklah kita bertaubat. Allah akan bantu kita selesaikan apa jua masalah yang dihadapi. 
  5. Janganlah jadi seperti Bani Israel yang degil, membutakan mata, memekakkan telinga, terus mengulangi kesalahan-kesalahan mereka. Allah nampak apa yang kita lakukan.
  6. Syarat untuk kita naik semula setelah jatuh kerana COVID19 ini ialah dengan bertaubat. Dosa kita banyak. Istighfar banyak-banyak, minta ampun daripada Allah SWT. Jika majoriti rakyat negara ini bertaubat, Allah akan membantu kita mendapat kemenangan semula.  Allah pencipta COVID19 dan Allah lah yang dapat menghilangkannya.


Ayat [5:72]

 

لَقَدْ كَفَرَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْمَسِيحُ ٱبْنُ مَرْيَمَ ۖ وَقَالَ ٱلْمَسِيحُ يَـٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ رَبِّى وَرَبَّكُمْ ۖ إِنَّهُۥ مَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِ ٱلْجَنَّةَ وَمَأْوَىٰهُ ٱلنَّارُ ۖ وَمَا لِلظَّـٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍۢ

 

"Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim"

 

Pengajaran

 

  1. Bila mencapai kemenangan, hendaklah kita teruskan dakwah. Ajak kepada kebaikan dan cegah kemungkaran.  Kemenangan umat Islam dahulu  ialah dengan mereka bertaubat.
  2. Allah menegaskan sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan "Allah adalah Nabi Isa". Sedangkan Nabi Isa sendiri menyuruh mereka menyembah Allah.
  3. Allah ingatkan, sesiapa yang syirik, tempatnya ialah di neraka. Tiada penolong bagi orang yang mensyirikkan Allah.
  4. Kegelapan ( ظَّـٰلِمِ zalim --> gelap) yang paling besar ialah syirik kepadaAllah. Bila gelap, jadi stres. Punca stres yang paling besar adalah syirik.
  5. Dalam menghadapi cabaran, janganlah kita syirikkan Allah. Hendaklah kita berdoa kepada Allah, kembali kepada Quran. Itu akan menenangkan. Dengan membaca al-Quran, kita bersihkan diri kita daripada syirik.
  6. Janganlah persoalkan Allah. Persoalkan diri kita yang kena taubat. Salah satu cara taubat ialah kita kembali kepada al-Quran. Orang yang baca dan memahami al-Quran, rasa taubat itu akan sentiasa muncul.

 

Ayat [5:73]

لَّقَدْ كَفَرَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ ثَالِثُ ثَلَـٰثَةٍۢ ۘ وَمَا مِنْ إِلَـٰهٍ إِلَّآ إِلَـٰهٌۭ وَٰحِدٌۭ ۚ وَإِن لَّمْ يَنتَهُوا۟ عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

 

"Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya."

 

Pengajaran

 

Allah menegaskan bahawa orang yang menyatakan "Allah ialah satu daripada tiga tuhan" adalah kafir.

  1. Menurut Hamka, idea ini adalah pengaruh yang diambil daripada konsep triniti dalam Hinduism. Dalam agama Hindu; Brahma itu sebagai pencipta, Vishu sebagai pemelihara dan Shiva sebagai pengatur dan penghancur alam. Sebenarnya Rasul menyampaikan bahawa Allah lah yang mencipta, memelihara dan menghancurkan alam. Kristian mengasing-asingkan nama itu dijadikan tiga, dicampur-campur dengan konsep yang macam-macam, maka jadilah  ثَالِثُ ثَلَـٰثَةٍۢ. Agama Kristian wujud 300 selepas Nabi Isa a.s yang direka oleh orang pada waktu itu kerana kagum kepada Nabi Isa sehingga  mengangkatnya sebagai tuhan.
  2. Kita mesti yakin bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, Tuhan yang Maha Esa.
  3. Allah ingatkan kita jangan syirikkan Allah.
  4. Perbuatan syirik boleh menjemput azab yang sengsara.
  5. Zaman sahabat, mereka kagum dengan Nabi Muhammad s.a.w. tetapi mereka tidak mengangkatnya sebagai tuhan, begitu juga dengan kita. Kita sayang Nabi Muhammad SAW, jangan angkat sampai jadi tuhan yang boleh menyembuhkan dll.

 

Ayat [5:74]       

 

أَفَلَا يَتُوبُونَ إِلَى ٱللَّهِ وَيَسْتَغْفِرُونَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ

 

"Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

 

Pengajaran

 

  1. Allah marah kepada orang syirik kerana mereka tidak meletakkan kebenaran dalam cara mereka berfikir. Kesan syirik terjelma dalam kehidupan seharian. Contohnya: menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal. Nota: Dalam agama Kristian pun, terdapat 200 mazhab akidah. Cara berfikir begini mengganggu kehidupan. Mereka  percaya tuhan tetapi syariat mereka salah. Mereka menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal. Contoh: Dalam kitab mereka yang asli, arak haram tetapi mereka menukar-nukar untuk membolehkan arak pada orang yang nak berhibur dan orang yang nak buat bisnes kerana ada kepentingan.
  2. Hendaklah kita pastikan yang kita menjaga peraturan Allah, tidak menukar-nukar isi al-Quran demi kepentingan individu/kumpulan tertentu. Apa sahaja yang datang daripada Allah kita terima. Kalau susah kita rasakan susah dalam diri kita. Jangan label-labelkan orang yang hendak mengikut peraturan Allah.
  3. Allah ingatkan mereka yang telah berbuat syirik untuk bertaubat dan memohon keampunan Nya. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 


Ayat [5:75]

 

مَّا ٱلْمَسِيحُ ٱبْنُ مَرْيَمَ إِلَّا رَسُولٌۭ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ ٱلرُّسُلُ وَأُمُّهُۥ صِدِّيقَةٌۭ ۖ كَانَا يَأْكُلَانِ ٱلطَّعَامَ ۗ ٱنظُرْ كَيْفَ نُبَيِّنُ لَهُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ ثُمَّ ٱنظُرْ أَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

 

"Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu)."

 

Pengajaran

  1. Allah ingatkan, Isa adalah seorang rasul seperti rasul-rasul terdahulu. Ibunya adalah seorang yang amat menjaga peraturan daripada Allah SWT, bukan ibu tuhan.
  2. Sifat yang dikongsi oleh Nabi Isa dan ibunya adalah makan. Ini menandakan mereka makan kerana ada lapar. Lapar itu tandanya lemah. Kalau lemah itu bukannya tuhan.  Maka jelas mereka adalah manusia.
  3. Orang yang dekat dengan al-Quran dapat tahu bahawa cara Allah menerangkan kebenaran amat mantap. Allah jelaskan satu demi satu kerana Alah sayangkan kita.
  4. Janganlah kita jadi orang yang bila diberikan hujjah betul, tetapi lepas itu berpaling kerana ada keinginan sendiri lebih tinggi daripada Allah. Itulah namanya syirik kepada Allah SWT.


Ayat [5:76]

 

قُلْ أَتَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّۭا وَلَا نَفْعًۭا ۚ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

 

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

 

Pengajaran

 

Allah ingatkan, jika menyembah orang-orang yang kita kagum, orang itu juga adalah manusia yang makan. Bila bertemu dengan orang yang kita kagum, ingat bahawa mereka adalah makhluk Allah. Jangan dipuji sampai dipuja.

  1. Cabarannya, bila kita mengangkat seseorang semakin tinggi, orang itu mungkin tak ada apa-apa sangat, tetapi pengikutnya yang membuat ajaran-ajaran yang sesat/tidak betul.
  2. Allah beri kita yang terbaik. Maka penting untuk kita bertauhid kepada Allah. Kalau nak memimpin sesuatu organisasi, jangan takut kepada orang di sekitar! Asalkan membawa manfaat dengan panduan daripada Allah. Kalau kita takut sangat dengan masyarakat kata apa, orang cakap apa, kita kena ikut orang itu orang ini, padahal Allah sudahpun mencipta kita tanpa bertanya kepada orang-orang ini.Allah Amat Mendengar lagi Maha Mengetahui. 
  3. Allah tahu tentang apakah yang kita ada dalam hidup kita. Tak perlu kita pakai perantara (mediator). Orang Kristian pakai Nabi Isa sebagai perantara. Kita boleh minta orang alim untuk tolong tapi pada masa sama kita sendiri kena minta terus daripada Allah SWT.




























 

RESOLUSI

 

Ingat !!


1.     Berhati-hati kesan dosa yang dibuat pada setiap masa [5:71]

2.     Elakkan perbuatan syirik yang akan menzalimi diri sendiri [5:72]

3.     Bertaubat segera jika tersilap dan terjebak perkara syirik [5:74]

 

Lega kerana Allah SWT akan keluarkan saya dari kegelapan/stres sekiranya saya bertaubat.

 

Saya jelas untuk berhati-hati agar terhindar dari dosa kerana dosa akan menggelapkan hidup saya. Saya mesti segera bertaubat jika tersilap dan terjebak perkara syirik.

 

Ya Allah, pimpin kami untuk menjauhi dosa dan mengelakkan perbuatan syirik. Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami. Terimalah taubat kami. Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.







 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...