Friday, June 2, 2023

Halaman 121 Al-Ma'idah, 5:77-82

 

PERKATAAN HARI INI           

 

حَقَّ /  حَقَقَ   Kebenaran, hak

287 kali disebut dalam al-Quran




SINOPSIS  


  1. Perbahasan ideologi kaum Nasrani yang menuhankan Isa al-Masih, menuntut ahlul kitab agar tidak melampaui batas agama, serta laknat Allah SWT terhadap Bani Israel kerana tidak mencegah kemungkaran (77-81)
  2. Antara Yahudi dan Nasrani - siapa lebih dekat dengan orang beriman (82)





Mukaddimah

 

Alhamdulillah kita berada pada halaman terakhir Juz Keenam. Dengan membaca al-Fatihah kita berdoa agar diberikan jalan orang orang-orang yang mendapat nikmat, bukan jalan orang yang dimurkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat. Pada halaman lepas Allah mengingatkan kepada kita tentang fahaman yang tidak benar dalam agama Nasrani. 

 

Ayat [5:77]

 

قُلْ يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لَا تَغْلُوا۟ فِى دِينِكُمْ غَيْرَ ٱلْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوٓا۟ أَهْوَآءَ قَوْمٍۢ قَدْ ضَلُّوا۟ مِن قَبْلُ وَأَضَلُّوا۟ كَثِيرًۭا وَضَلُّوا۟ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ

 

Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul"

 

Pengajaran

 

  1. Menurut Ibnu Qayyim al Jauziah, ada dua seruan dalam ayat ini. Seruan pertama; "Janganlah kamu berlebih-lebihan dengan cara yang tidak benar dalam agamamu," dituju kepada orang-orang Yahudi. Seruan kedua, "janganlah kamu mengikuti keinginan orang-orang yang telah tersesat," ditujukan kepada orang Nasrani.
  2. Allah menegur orang Yahudi supaya jangan berlebih-lebihan dalam ugama. Mereka merasa bahawa diri mereka suci, mereka adalah the chosen ones (golongan terpilih)
  3. 'Ghulu', berbuat sesuatu yang bukan dari al-Haq. Ada orang buat acara, berpakaian dan buat simbol-simbol Rasullullah SAW untuk mendekatkan diri kepada Nabi tetapi tidak ada asas al-Quran dan sunnah. 'Ghulu' inilah yang kita tidak mahu berlaku di dalam masyarakat kita. Jika ada idea yang haram, kita tegur. Contohnya, arak haram dan bila kita menjadi pemimpin, jika kita terus membiarkannya itu adalah 'ghulu'.
  4. Orang Nasrani, mereka mengikut hawa nafsu sehingga memuja/mengangkat Nabi Isa sebagai tuhan. Dalam agama Kristian, pendeta mereka berceramah tentang perkara yang bukan dari al-Haq.
  5. Hendaklah kita berhati-hati mendengar ceramah dan kuliah agama. Pastikan ia ada teras al-Haq daripada al-Quran dan sunnah.

 

Ayat [5:78]

 

لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنۢ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ يَعْتَدُونَ

 

"Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh."

 

Ayat [5:79]

 

كَانُوا۟ لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍۢ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَفْعَلُونَ

 

"Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan."

 

Pengajaran Ayat 78-79

 

  1. Nabi Daud ada Zabur, Nabi Isa ada Injil. Mereka mempunyai kitab yang mengandungi nilai-nilai kebaikan. Nabi Daud dan Nabi Isa melaknat Bani Israel kerana mereka menderhaka dan melampaui batas.
  2. Mereka buat salah dan tidak mahu ditegur. Mereka juga tidak menegur kejahatan yang berlaku.
  3. Allah menegaskan bahawa perbuatan mereka itu amatlah buruk. 

Ayat [5:80-81] adalah pemahaman tentang diplomasi /hubungan antarabangsa, antara agama. Allah beri panduan kepada Nabi s.a.w. bagaimana cara untuk berinteraksi dengan kaum Yahudi dan Nasara.

 

Ayat [5:80]

 

تَرَىٰ كَثِيرًۭا مِّنْهُمْ يَتَوَلَّوْنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ۚ لَبِئْسَ مَا قَدَّمَتْ لَهُمْ أَنفُسُهُمْ أَن سَخِطَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ وَفِى ٱلْعَذَابِ هُمْ خَـٰلِدُونَ

 

"Engkau melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik) teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab (neraka)."

 

Pengajaran

  1. Mereka menjadikan orang kufur teman rapat.
  2. Sebagai orang yang beriman, hendaklah kita menegur dengan kasih sayang bila ada kemungkaran berlaku dan jangan jadikan orang kufur sebagai teman rapat. Jangan beri ruang kepada orang yang memusuhi Allah.
  3. Allah murka kepada mereka dan disediakan untuk mereka azab neraka.





















































Ayat [5:81]

 

وَلَوْ كَانُوا۟ يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلنَّبِىِّ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مَا ٱتَّخَذُوهُمْ أَوْلِيَآءَ وَلَـٰكِنَّ كَثِيرًۭا مِّنْهُمْ فَـٰسِقُونَ

 

"Sekiranya mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang diturunkan kepadanya, nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang (musyrik) sebagai teman rapat, akan tetapi kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasik."

 

Pengajaran

 

Ada tiga perkara tersebut di sini:

  1. Beriman kepada Allah. Kesan beriman kepada Allah ialah percaya kepada hari akhirat. Bila percaya kepada hari akhirat, akan membuat kita berfikir tentang akibat perbuatan kita yang baik, yang buruk.
  2. Percaya kepada nabi. Beriman kepada risalah yang dibawa oleh Nabi SAW yang menunjukkan kebenaran.
  3. Percaya kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi. Orang Yahudi dan Nasrani, mereka juga percaya kepada  Allah. Namun, bila Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan, orang Yahudi tidak mahu menerima kerana bukan dari kalangan mereka, the chosen ones. Orang Nasrani pula sudah menganggap Nabi Isa tuhan, jadi bila Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan, ia mengganggu kepercayaan mereka.

 















Ayat [5:82]

 

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةًۭ لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلْيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةًۭ لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّا نَصَـٰرَىٰ  ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًۭا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

 

"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong."

 

Pengajaran

 

  1. Dua kumpulan yang memusuhi orang beriman: 1) Yahudi, 2) Orang-orang Musyrik.
  2. Kumpulan yang lebih dekat dengan orang beriman ialah orang Nasrani kerana mereka ada dalam kalangan mereka pendita-pendita dan ahli ibadat yang tidak sombong. Contoh zaman sekarang: Sewaktu peristiwa September 11 memang nampak jelas orang Yahudi memusuhi Islam. Yang kawan dulu pun, bertukar menjadi musuh. Sebaliknya, orang Kristian yang mengikut kitab mereka yang benar, tidak begitu. Mereka lebih memahami dan dekat dengan orang Islam.















RESOLUSI

 

Ingat !!

  1. Jangan melampau dalam hal agama - asaskan kepada kebenaran hujah (77)
  2. Saling mencegah kemungkaran untuk mengelakkan dilaknat (79)
  3. Jangan sombong untuk lebih dekat dengan kebenaran (82)

 

Lega kerana Allah SWT tidak akan laknat saya sekiranya saya menyampaikan kebenaran dan saling mencegah kemungkaran.

 

Saya jelas untuk tidak melampau dalam hal agama. Saya mesti saling mencegah kemungkaran agar tidak dilaknat. Saya juga jelas untuk tidak berlaku sombong supaya lebih dekat dengan kebenaran.

 

Ya Allah, janganlah Engkau biarkan kami melampau dalam hal agama. Ya Allah pimpin kami untuk saling mencegah kemungkaran. Jauhi kami dari sifat sombong.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...