Friday, June 2, 2023

Halaman 119 Al-Ma'idah, 5:65-70


PERKATAAN HARI INI                            

  

نَعِمَ   Nikmat, kemanisan sesuatu perkara

144 kali disebut dalam al-Quran





  SINOPSIS 

  1. Ganjaran keimanan ahlul kitab [65-66]
  2. Kewajipan Rasullullah SAW menyampaikan risalah Islam dan seruan kepada ahli kitab untuk beriman kepada risalah/mesej yang dibawa [5:67-69]
  3. Sikap kaum Yahudi yang mendustakan dan membunuh para rasul yang diutus kepada mereka [5:70]


Mukaddimah

 

Alhamdulilah kita bersyukur dapat mendalami kalam daripada Allah SWT, Surah al-Mai’dah, halaman yang ke-119 menyambung kepada perbincangan tentang panduan bagaimana kita berinteraksi dengan ahlil kitab, memahami tentang agama samawi (agama dari langit) yang sudah pun diubah, iaitu Yahudi dan Nasrani. Ini penting untuk kita faham dan lebih daripada itu untuk kita menghargai bahawa kita ada kitab daripada langit. Jangan kita ulangi apa yang telah dibuat oleh orang-orang terdahulu.

 

Komitmen kita untuk memahami al-Quran ini adalah langkah penting  untuk kita memperjuangkan nilai yang baik dalam al-Quran dan install ke dalam hati kita, anak-anak kita, keluarga kita, masyarakat kita sehinggakan kita mampu utuk berjaya di dunia dan di akhirat.

 

Dengan membaca surah al-Fatihah, kita memohon agar tidak menjadi orang yang dimurkai dan disesatkan. Dalam surah al-Baqarah panjang Allah menceritakan tentang orang-orang yang dimurkai iaitu Yahudi manakala dalam surah al-Imran pula tentang orang-orang yang disesatkan iaitu Nasrani. Pada surah al-Ma'idah ini Allah ulang semula kisah Yahudi dan Nasrani kerana inilah pencerahan daripada apa yang pernah berlaku supaya kita mengambil pelajaran.

 

Pada halaman lepas kita berbincang tentang kumpulan rabbani dan ahbar iaitu para ulamak dan pendeta kaum Yahudi yang tidak menegur kesilapan atau apa yang songsang (Ideologi/cara berpendapat) dalam masyarakat serta tidak menegur orang yang makan harta tidak sah kerana mereka sudah dibayar untuk menutup mulut mereka. Ini apa yang berlaku sehinggakan orang Yahudi sanggup mengatakan 'tangan Allah terbelenggu (kedekut)'. Zaman sekarang bila ada orang yang mengutuk Nabi atau mempersenda Allah SWT seperti 'mengapa Allah bagi COVID19 atau mengapa Tuhan ini tak ada kerja lain ka?'. Semua itu adalah perbuatan yang syirik tetapi ia perlulah diperjuangkan oleh golongan cerdik pandai dalam kalangan umat Islam. Kalau dahulu, rabbai  tidak mahu memperjuangkan dan menegur.



Ayat [5:65]

 

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَكَفَّرْنَا عَنْهُمْ سَيِّـَٔاتِهِمْ وَلَأَدْخَلْنَـٰهُمْ جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ

 

"Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertaqwa tentulah Kami akan hapuskan dari mereka kejahatan-kejahatan mereka, dan tentulah Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat."

 

Pengajaran

 

  1. Ahli Kitab merujuk kepada semua orang Yahudi dan Nasrani. ‘Uutul Kitab’ pula ialah golongan yang diberi kitab dan mereka mengikut kitab yang asal secara tepat.
  2. Kalau ahli kitab beriman dan bertakwa, Allah akan hapuskan kejahatan-kejahatan mereka dan Allah akan masukkan mereka ke dalam syurga-syurga yang penuh nikmat.
  3. Ayat ini adalah untuk mengajak Yahudi dan Nasrani kembali kepada Islam. Bila Islam menang, Islam tidak memusuhi orang lain tetapi terus mengajak mereka kepada kebenaran. Kalau mereka beriman dan bertakwa, Allah akan tutupkan kesilapan mereka dan memberi mereka ganjaran syurga. Yang lepas itu biarlah lepas.
  4. Inilah mindset untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan bukan menghukum.
  5. Allah mengajar kita, selagi masih hidup, ada peluang untuk bertaubat.

 

Ayat [5:66]

 

وَلَوْ أَنَّهُمْ أَقَامُوا۟ ٱلتَّوْرَىٰةَ وَٱلْإِنجِيلَ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِم مِّن رَّبِّهِمْ لَأَكَلُوا۟ مِن فَوْقِهِمْ وَمِن تَحْتِ أَرْجُلِهِم ۚ مِّنْهُمْ أُمَّةٌۭ مُّقْتَصِدَةٌۭ ۖ وَكَثِيرٌۭ مِّنْهُمْ سَآءَ مَا يَعْمَلُونَ

 

"Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil, dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya."

 

Pengajaran

  1. Allah ingatkan, jika Yahudi dan Nasrani betul-betul mengikut perintah di dalam Taurat, Injil dan suhuf-suhuf yang asli, mereka akan diberikan rezeki berlipat kali ganda.
  2. Sebahagian daripada mereka jujur dan taat dengan memilih jalan petengahan   (مُّقْتَصِدَةٌ ), iaitu akhirnya kembali kepada Islam.
  3. Tetapi kebanyakan mereka adalah sangat buruk apa yang mereka lakukan. Sekiranya mereka tidak mahu ikut Quran, sila ikut kepada kitab dan suhuf yang original. Kalau mereka ikut kitab yang betul, akhirnya mereka akan bertemu bahawa Nabi Muhammad SAW adalah utusan yang akhir.
  4. Ulamak dan pendeta Yahudi menutup kebenaran bila menyampaikan hal agama. Pernah berlaku di zaman Nabi SAW, Abdullah b Salam, seorang Yahudi yang kemudiannya masuk Islam,  mengenepikan tangan pendeta yang cuba menutup dan menyembunyikan kebenaran yang tertulis dalam Taurat.
  5. Pelajarannya untuk kita: مُّقْتَصِدَةٌ itu akan ada selepas kita ikut betul-betul kepada kebenaran. Tetapi ramai juga yang tidak kisah untuk baca dan faham. Hamka ada menegur, ada orang yang fokus kepada baca sahaja tetapi tidak mahu memahami. Perkara ini telah lama berlaku. Semoga kita dapat baca dan faham betul-betul agar al-Quran dapat membuat transformasi dalam jiwa manusia dan memberi kesan kepada dunia.



Ayat [5:67]

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغْ مَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ۖ وَإِن لَّمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ ٱلنَّاسِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْكَـٰفِرِينَ

 

"Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir."

 

Pengajaran

  1. Allah SWT perintahkan kepada Rasul SAW untuk jalankan tanggungjawab sampaikan al-Quran kepada manusia.
  2. Allah ingatkan bahawa Dia menghantar rasul dengan fungsi yang tepat iaitu untuk menyampaikan dan bukan menyembunyikan sebahagian perkara untuk manfaat diri sendiri. Itulah yang berlaku kepada  golongan rabbaniyyun dan ahbar Yahudi yang menutup mulut tentang kebenaran kerana pentingkan diri sendiri.  Itulah punca kesesatan dan kejatuhan Yahudi dan Nasrani. Kita tidak mahu menjadi seperti mereka.
  3. Pastikan bila kita merujuk kepada pakar, mereka tidak menyembunyikan mesej sebenar seperti yang disampaikan oleh Alah SWT. Kita hendaklah kritikal mengikut kebenaran.
  4. Proses menyampaikan kebenaran ini sangat penting. Kalau tak betul kita kena pendakwah dan dalam diri kita. tegur. Kalau betul kita sokong. Inilah yang kita kena hidupkan dalam kalangan
  5. Hendaklah kita pentingkan mesej, bukan orang yang menyampaikan mesej. Rujuk kepada pakar dan pastikan mesej ( رِسَالَتَهُ ) yang disampaikan benar-benar mengikut al-Quran.
  6. Cabaran akan ada iaitu ada orang yang tidak suka kita menyampaikan mesej yang sebenar. Pada zaman nabi, Baginda SAW ditentang hinggakan diancam bunuh. Allah memberi jaminan melindungi rasul dari dibunuh. Bagi kita, walaupun mungkin terbunuh, Allah akan lindungi dari api neraka.
  7. Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir. Kafir ialah orang yang menolak kebenaran bila; 1) Mereka cakap apa yang Allah tidak cakap dan, 2) Mereka sendiri tidak dapat menerima apa yang mereka cakap.
  8. Kita yakin bahawa Rasulullah SAW sudah melaksanakan tugas baginda dan mesej sudah sampai.
  9. Hendaklah kita menjalankan amanah menyampaikan mesej Islam dengan bersungguh sebagaimana yang dilakukan Nabi SAW.
  10. Jika mesej sudah sampai, dan orang yang menerima mesej tetap menolak dan melawan, barulah orang itu dipanggil kafirin. Jika kita ada kawan yang belum lagi disampaikan mesej tentang Islam, jangan memanggilnya kafir.


Ayat [5:68]

 

قُلْ يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لَسْتُمْ عَلَىٰ شَىْءٍ حَتَّىٰ تُقِيمُوا۟ ٱلتَّوْرَىٰةَ وَٱلْإِنجِيلَ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْكُم مِّن رَّبِّكُمْ ۗ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرًۭا مِّنْهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ طُغْيَـٰنًۭا وَكُفْرًۭا ۖ فَلَا تَأْسَ عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ

 

"Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak dikira mempunyai sesuatu ugama sehingga kamu tegakkan ajaran Kitab-kitab Taurat dan Injil (yang membawa kamu percaya kepada Nabi Muhammad) dan apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu (iaitu Al-Quran)" Dan demi sesungguhnya, apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu itu, akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran kepada kebanyakan mereka. Oleh itu janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu."

 

Pengajaran

  1. Ayat ini meneruskan perbicaraan bagaimana berinteraksi dengan ahli kitab yang diajarkan kepada Nabi Muhammad SAW, para Sahabat dan seterusnya kepada kita. Peringatan ini turun ketika Nabi Muhammad SAW sudah hampir di hujung usia. Nabi SAW tidak boleh berhenti menyampaikan risalah. Walaupun Islam sudah menang, Rasulullah SAW tetap diingatkan untuk terus menyampaikan mesej Islam.
  2. Pelajaran untuk kita: Walaupun kita sudah sampai umur 60'an, mestilah terus menyampaikan risalah daripada al-Quran sampai ke hujung usia.
  3. Allah SWT menegaskan bahawa ahli kitab itu tiada apa-apa pun kecuali jika mereka mengikut dan beramal dengan Taurat, Injil, Zabur dan suhuf-suhuf. Sekiranya mereka betul-betul beriman dengan kitab-kitab tersebut, pasti mereka akan berjumpa tentang rasul akhir zaman dan al-Quran yang tersebut di dalamnya.
  4. Sebenarnya Yahudi dan Nasrani itu derhaka ( طُغْيَـٰنًۭا ) dan kufur. Sudah ada kebenaran yang tidak boleh disangkal lagi, tetapi mereka tetap tolak.
  5. Inilah realiti yang Allah bongkar tentang ahli kitab. Taurat dan Injil telah ditukar-tukar oleh golongan rabbaniyyun dan ahbar mengikut hawa nafsu mereka. Orang agama sendiri yang memberi kesan kepada mereka.
  6. Ini adalah satu peringatan kepada para penyampai, ustaz/ustazah bahawa kita mesti membina cara berfikir masyarakat yang betul. Jika tidak, akan ada yang menyatakan cukuplah sekadar kita ingat pada cara berpakaian Nabi dan ada simbol seperti Nabi tetapi tidak payah baca apa isi yang Nabi perjuangkan tentang isi al-Quran. Perkara-perkara itu boleh merosakkan pemikiran dalam masyarakat.
  7. Jika kita mengajak orang kepada kebaikan/agama dan mereka tidak mahu mengikut, jangan bersedih hati ( تَأْسَ ) sampai hendak tarik diri. Kalau orang Islam sendiri pun ada yang tidak mahu ikut, jangan sedih hati. Ini pernah berlaku di zaman Nabi SAW. Yang penting kita mesti jadi orang yang beriman dan beramal soleh. Pegang semangat tidak berputus asa dalam menyampaikan. " Don't give up, keep it up".


Ayat [5:69]

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱلَّذِينَ هَادُوا۟ وَٱلصَّـٰبِـُٔونَ وَٱلنَّصَـٰرَىٰ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًۭا فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

 

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani - sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah (dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."

 

Pengajaran

  1. Allah SWT tegaskan bahawa orang beriman, Yahudi, Sabiin dan Nasrani yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, dan kepada hari akhirat serta beramal soleh pasti akan masuk syurga.
  2. Amal soleh mestilah mengikut al-Quran dan mesti beriman dengan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir.
  3. Ayat ini adalah untuk mengajak orang bukan Islam untuk kembali kepada Islam. Jangan asobiyah kepada golongan sendiri. Kena beriman dengan semua nabi dan bukan memilih-milih nabi yang mahu diikuti. Jika Nabi Musa mereka ikut, Nabi Muhammad s.a.w. mereka tolak, jadilah Yahudi. Nabi Isa mereka terima, malah mengangkatnya sebagai Tuhan, Nabi Muhammad SAW ditolak, maka, jadilah Kristian. 
  4. Orang beriman yang ada fitrah ini dan betul-betul ikut ayat ini pasti masuk syurga.


 

Ayat [5:70]

 

لَقَدْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ وَأَرْسَلْنَآ إِلَيْهِمْ رُسُلًۭا ۖ كُلَّمَا جَآءَهُمْ رَسُولٌۢ بِمَا لَا تَهْوَىٰٓ أَنفُسُهُمْ فَرِيقًۭا كَذَّبُوا۟ وَفَرِيقًۭا يَقْتُلُونَ

 

"Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil perjanjian setia dari Bani Israil dan Kami telah utuskan kepada mereka beberapa orang Rasul. (Tetapi) tiap-tiap kali datang - seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi."

 

Pengajaran

  1. Allah membongkar lagi tentang Bani Israel. Mereka sudah berjanji untuk beriman jika diutuskan rasul. Malangnya apabila diutuskan rasul, mereka mendustakan rasul atau membunuh mereka.
  2. Pengajaran kepada kita: Zaman kita, sudah ada mushaf al-Quran. Di zaman Baginda SAW para sahabat menerima apa sahaja yang keluar dari mulut Baginda SAW. Di zaman itu, al-Quran dan sunnah ada di dalam satu individu iaitu Nabi Muhammad SAW. Tidak terpisah. Terima al-Quran, mesti terima sunnah. Semoga kita menghargai kitab dan tidak mengulangi apa yang telah dilakukan oleh Yahudi dan Nasrani.


RESOLUSI

 

Ingat !!


1.     Bina iman dan takwa agar ditutup kesilapan dan dosa kita [5:65]

2.     Perjuangkan al-Quran agar Allah SWT murahkan rezeki kita [5:66]

3.     Sampaikan risalah dan Allah SWT pasti akan pelihara kita [5:67]

 

Lega kerana Allah SWT akan tutup kesilapan dan dosa saya sekiranya saya bina iman dan takwa. Saya juga lega kerana Allah akan murahkan rezeki saya dan pelihara saya sekiranya saya perjuangkan al-Quran dan menyampaikan risalah-Nya.

 














    Saya jelas untuk bina iman dan takwa agar Allah tutup kesilapan dan dosa saya. Saya mesti perjuangkan al-Quran agar Allah murahkan rezeki saya dan saya jelas 

sampaikan risalah daripada al-Quran agar Allah pelihara saya.

 

Ya Allah, pimpin kami untuk bina iman dan takwa.  Ya Allah, tutuplah kesilapan dan dosa kami. Ya Allah, jadikan kami orang yang perjuangkan al-Quran dan menyampaikan risalah-Mu. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.




 

 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...