Friday, August 4, 2023

Halaman 304 : Al-Kahf, 98-110

PERKATAAN HARI INI

نَفَخَ   Meniup, Menghembus.

20 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS

   

  1. Dzulqarnain memuji Allah SWT atas kejayaan projek (18:98-99)

  2. Balasan bagi orang kafir (18:100-106)

  3. Ganjaran bagi orang mukmin dan luasnya pengetahuan Allah SWT serta keesaan-Nya (18:107-110)



Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 304, iaitu kesimpulan surah al-Kahf yang amat penting untuk kita bagi menghadapi cabaran akhir zaman. 


Pada halaman lepas kita telah melihat bagaimana Dzulqarnain membina tembok untuk menghalang Yakjuj dan Makjuj. 



Ayat 18: 98


قَالَ هَٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّى فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ رَبِّى جَعَلَهُۥ دَكَّآءَ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّى حَقًّا


(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar".


Pengajaran


  1. Dzulqarnain mengembalikan pujian kepada Allah SWT. Dia kembalikan balik kepada Allah SWT kerana kelebihan yang bermacam-macam itu datangnya daripada Allah SWT, bukan dari diri beliau sendiri. Inilah ciri pemimpin yang boleh dibantu oleh Allah SWT. Inilah kaedah untuk kita lakukan apabila berjaya melakukan sesuatu projek.

  2. Janji yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah janji pada hari akhirat. Ini yang cuba dipadamkan oleh orang-orang Yahudi. Mereka tidak beriman kepada hari akhirat. 

  3. Dzulqarnain menggunakan kejayaannya untuk membawa kepada Rabb dan kepada hari akhirat. Inilah contoh pemimpin yang akan dibantu oleh Allah SWT.



Ayat 18: 99


وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍ يَمُوجُ فِى بَعْضٍ وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَجَمَعْنَٰهُمْ جَمْعًا


Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.


Pengajaran


  1. Ayat ini petunjuk bahawa benteng itu akan runtuh, dapat dipanjat oleh Yakjuj dan Makjuj maka mereka akan masuk ke semua negara yang ada di dunia. 

  2. Kalau keimanan kita tidak dapat perlindungan daripada Allah SWT, kita akan kalah kerana Yakjuj dan Makjuj membawa banyak kerosakan di bumi.



Ayat 18: 100


وَعَرَضْنَا جَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ لِّلْكَٰفِرِينَ عَرْضًا


Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata;


Pengajaran


  1. Menurut  Imam Ibnu Kathir, sebelum masuk ke neraka, Allah SWT akan nampakkan dahulu neraka itu supaya orang-orang kafir merasa kecewa kerana telah diberi masa untuk beriman. 

  2. Allah SWT menangguhkan saat akhir kita kerana Allah SWT hendak kita kembali kepada-Nya. 

  3. Kepada pemimpin-pemimpin yang masih diberi peluang memimpin, Allah tangguhkan kejatuhan supaya mereka kembali beri pujian dan kredit kepada Allah SWT. 

  4. Pemimpin hendaklah berlaku adil. Jangan sekadar baca surah al-Kahf saban minggu tetapi bab ketidakadilan masih diteruskan. 

  5. Kita memerlukan rahmat daripada Allah SWT untuk berjaya. 



Ayat 18: 101


ٱلَّذِينَ كَانَتْ أَعْيُنُهُمْ فِى غِطَآءٍ عَن ذِكْرِى وَكَانُوا۟ لَا يَسْتَطِيعُونَ سَمْعًا


(Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.


Pengajaran


  1. Biasanya zikir selalu dikaitkan dengan hati. Di sini, ia dikaitkan dengan pandangan mata. Di dunia ini kita boleh tengok alam, komputer, tv dll kehebatan daripada Allah SWT. 

  2. Kita dapat tengok tv/komputer ini pun kerana kita mendapat signal/satellite yang Allah SWT izinkan. TV/komputer adalah bukti bahawa signal daripada Allah SWT itu penting. 



Ayat 18: 102


أَفَحَسِبَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَن يَتَّخِذُوا۟ عِبَادِى مِن دُونِىٓ أَوْلِيَآءَ إِنَّآ أَعْتَدْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَٰفِرِينَ نُزُلًا


Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.


Pengajaran


  1. Allah SWT memberi peringatan bahawa orang-orang yang mengambil makhluk lain sebagai penyelamat, disediakan untuk mereka neraka jahannam. 

  2. Orang Kristian mengambil Nabi Isa AS sebagai penyelamat. Orang-orang Yahudi pula menganggap Dzulqarnain sebagai penyelamat mereka.

  3. نُزُلًا ialah permulaan, iaitu seperti halwa (manisan) yang diberi sebelum main course. Bila dikatakan neraka jahannam itu permulaan yang manis, bermakna akan ada neraka yang lebih menakutkan disediakan untuk orang yang mensyirikkan Allah SWT. 



Ayat 18: 103


قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِٱلْأَخْسَرِينَ أَعْمَٰلًا


Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?


Ayat 18: 104


ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا


(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". 


Pengajaran


  1. Allah SWT peringatkan bahawa orang yang paling rugi amal-amal perbuatan mereka adalah orang-orang ada sifat materialism.

  2. Mereka buat bersungguh-sungguh dalam bab kehidupan tetapi mereka buat bukan kerana Allah SWT. Mereka rasa apa yang mereka buat itu adalah bagus tetapi rupa-rupanya tertolak di sisi Allah SWT. Jangan jadi seperti pemuda yang ada dua kebun yang akhirnya hancur.



Ayat 18: 105


أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَٰتِ رَبِّهِمْ وَلِقَآئِهِۦ فَحَبِطَتْ أَعْمَٰلُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ وَزْنًا


Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.


Pengajaran


  1. Ciri-ciri orang yang kufur ialah mereka yang tidak mahu berjumpa Allah SWT. Orang yang hendak jumpa Allah SWT merasakan akhirat itu penting. 

  2. Mereka hendakkan orang lain memberi kredit atas usaha mereka dan tidak mahu memberi kredit kepada Allah SWT. Ini bermakna cinta dunia sudah masuk dalam hati mereka.



Ayat 18: 106


ذَٰلِكَ جَزَآؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا۟ وَٱتَّخَذُوٓا۟ ءَايَٰتِى وَرُسُلِى هُزُوًا


(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.


Pengajaran


  1. Orang-orang yang bersifat demikian, balasannya neraka jahannam. 

  2. Mereka juga memperolok-olokkan atau perlekehkan ayat-ayat al-Quran dan rasul-rasul. Contohnya: Mempersoalkan al-Quran boleh menyelesaikan masalah.



Ayat 18: 107


إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّٰتُ ٱلْفِرْدَوْسِ نُزُلًا


Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).


Ayat 18: 108


خَٰلِدِينَ فِيهَا لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلًا


Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.


Pengajaran


  1. Untuk orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah SWT sediakan kepada mereka syurga-syurga Firdaus sebagai syurga pengenalan (  نُزُلًا  ٱلْفِرْدَوْسِ جَنَّٰتُ). Ada lagi yang lebih baik Allah hendak bagi. Kita rasa syurga pengenalan itu sudah sedap, tetapi Allah tawarkan syurga yang lebih baik lagi.

  2. Preview samada kita sedang menuju ke tempat yang sedap itu atau tidak, kalau kita dapat Kitab kita rasa sedap. Sesiapa yang suka al-Quran, tidak puas bersama al-Quran, itulah antara preview perasaan bila berada di syurga kerana dia sudah merasakan keluasan ilmu Allah SWT.

  3. Semoga kita mendapat ganjaran syurga Firdaus dengan rahmat Allah SWT.



Ayat 18: 109


قُل لَّوْ كَانَ ٱلْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَٰتِ رَبِّى لَنَفِدَ ٱلْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَٰتُ رَبِّى وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِۦ مَدَدًا


Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".


Pengajaran


  1. مَدَدًا ialah pena untuk memanjangkan. Dengan pena kita boleh memanjang pemikiran, memanjangkan ilmu. 

  2. Allah SWT hendak memanjangkan bantuan-bantuan kepada kita apabila Allah SWT berikan kalimah al-Quran kepada kita. 

  3. Ilmu yang kita dapat dalam 6000 lebih perkataan dalam al-Quran sudah terasa banyak. Jika kita panggil pakar-pakar untuk mengulas setiap halaman, satu halaman pun boleh sampai 3-4 hari untuk mempelajarinya. Kita akan nampak lebih banyak kehebatan Allah SWT bila kita dalami ilmu Allah SWT. 



Ayat 18: 110


قُلْ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَٰحِدٌ فَمَن كَانَ يَرْجُوا۟ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَٰلِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدًۢا


Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".


Pengajaran


  1. Ayat ini menunjukkan kerendahan hati Nabi Muhammad SAW. Makin kita bersama dengan al-Quran, makin kita rendah diri, makin rindu hendak bertemu Allah SWT. 

  2. Kesan rindu itu kita semakin hendak beramal soleh banyak-banyak, serahkan pujian kepada Allah SWT dan tidak mempersekutukan Allah SWT.

  3. Bukan seperti orang Kristian yang buat kerana Jesus, padahal mempertuhankan Jesus adalah syirik terbesar dalam dunia manusia. 

  4. Begitulah tanda kita rindu kepada Allah SWT kerana Allah SWT telah memberi macam-macam kepada kita di dunia ini. 

  5. Menurut ulama dari India, ada kalanya apabila negara-negara dijajah, ada orang-orang berlindung di madrasah-madrasah untuk menyelamatkan iman dengan inspirasi daripada pemuda al-Kahf.

  6. Selepas penjajah pergi, ada orang yang beragama tetapi ramai yang ditinggalkan dengan fahaman materialistik. Mereka merasakan tidak ada apa-apa dengan al-Quran, berbangga dengan cara fikir yang tersendiri. Inilah yang diwakili oleh pemuda dua kebun. Dia merasakan bahawa iman adalah low class. Mereka bangga dengan material dan pengikut yang banyak. 

  7. Dalam menghadapi akhir zaman ini kita kena bersabar seperti Nabi Musa AS. Kadang-kadang kita kecewa membawa mesej al-Quran bila ada orang kecam. Hendaklah terus baca al-Quran, terus beramal, terus membina integriti di tempat kerja. 

  8. Seperti cerita Dzulqarnain, ada masa akan ada pemimpin yang akan memimpin dengan manhaj nubuwwah. Syaratnya kita kena beramal soleh, bersabar, buat yang terbaik. Kadang-kadang kita tidak nampak apa yang Allah SWT sedang siapkan. Allah SWT akan naikkan pemimpin yang bagus, maka itulah kemenangan akhir zaman, satu-satunya yang tinggal bagi umat Islam.


RESOLUSI


Ingat!

  1. Memberi pujian kepada Allah SWT atas projek besar atau kecil yang berjaya (18:98)

  2. Dalami ayat Allah SWT dan buat persediaan hari akhirat agar tidak tergolong daripada orang yang rugi (18:103-105)

  3. Dalami ilmu Allah SWT yang luas dan jangan mudah tertipu dengan dunia (18:109)


Saya berasa lega, saya tidak akan mudah tertipu dengan dunia sekiranya saya dalami ilmu Allah SWT dan mendalami ayat-ayat Nya.


Saya jelas untuk memberi pujian kepada Allah SWT atas projek besar atau kecil yang berjaya. Saya jelas saya mesti dalami ayat Allah SWT dan buat persediaan hari akhirat agar tidak tergolong daripada orang yang rugi. Saya jelas untuk dalami ilmu Allah SWT yang luas agar tidak mudah tertipu dengan dunia.


Ya Allah, bimbing kami untuk memberi pujian kepada-Mu atas projek besar atau kecil yang berjaya. Ya Allah, ajarkan kami al-Quran supaya kami dapat buat persediaan hari akhirat agar tidak tergolong daripada orang yang rugi. Ya Allah, bimbing kami untuk dalami ilmu-Mu yang luas agar kami tidak mudah tertipu dengan dunia.


Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama. 


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...