PERKATAAN HARI INI
مَكَّنَ Memberi kuasa, menaikkan taraf.
18 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
Allah SWT memberi kuasa kepada Dzulqarnain (18:84)
Dzulqarnain melawat rakyatnya (18:85-93)
Pengurusan projek menghadapi Yakjuj Makjuj (18:94-97)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 303 untuk terus kita mendalami halaman-halaman hujung Surah al-Kahf. Surah ini penuh dengan kisah dan jawapan bagaimana kita hendak menguruskan 4 cabaran akhir zaman iaitu cabaran agama, ilmu, harta dan kuasa.
Hari ini kita akan lihat bagaimana untuk menguruskan kuasa. Ini adalah mesej kepada pemimpin-pemimpin di dalam organisasi, negeri ataupun negara. Kalau kuasa tidak diuruskan dengan baik, nanti mudah ditipu oleh dajjal.
Dajjal ada kuasa yang lebih. Dia dapat menguasai macam-macam dengan izin Allah SWT yang boleh menyebabkan iman kita terjejas. Kalau tidak dengan bantuan dan rahmat daripada Allah SWT, maka seseorang penguasa itu akan tunduk kepada dajjal laknatullah. Semoga kita dijauhkan daripada dajjal.
Pada ayat 83, Allah SWT memulakan cerita mengenai Dzulqarnain. Ada yang mengatakan dia adalah Alexander the Great atau Cyrus seorang pemerintah Iran. Ini memerlukan kita mengkaji lebih dalam tentang sejarah.
Ayat 18: 84
إِنَّا مَكَّنَّا لَهُۥ فِى ٱلْأَرْضِ وَءَاتَيْنَٰهُ مِن كُلِّ شَىْءٍ سَبَبًا
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.
Ayat 18: 85
فَأَتْبَعَ سَبَبًا
Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).
Pengajaran Ayat 84-85
Allah SWT memberikan kepada Dzulqarnain kekuasaan memerintah di bumi. Allah SWT berikan bermacam-macam sumber; ketenteraan, wang, sosial, sumber asli dan sebagainya.
Dzulqarnain mendekati Allah, berbuat baik, taqwa maka dia diberikan kuasa dan kuasanya itu ditampung dengan bantuan daripada Allah. Dzulkarnain menggunakan semua sumber yang Allah SWT kurniakan untuk mencapai misi yang ada.
Ini berbeza dengan orang yang gila kuasa; dia bukan mencari Tuhan, dia mencari kuasa. Dapat kuasa dia jadi gila, dan dia kena guna kekuatannya untuk dapat sumber (سَبَبًا). Masalahnya, dia mungkin tidak disokong oleh masyarakat. Bila Allah tidak beri bantuan, dia tidak dapat melaksanakan misi untuk kebaikan.
Allah-lah yang menaikkan seseorang itu, bukan orang itu mencari kuasa. Contoh: Bila Allah SWT menaikkan Nabi Yusuf jadi menteri. Allah SWT bantu Nabi Yusuf menjayakan perancangan untuk membangunkan ekonomi Mesir. Orang beginilah yang akan dibantu. Kita doakan semoga pemimpin kita adalah yang Allah SWT angkat, bukannya angkat diri sendiri.
Bila ada kuasa kita kena perhatikan betul-betul. Segala percakapan, dasar yang dibuat, ia memberi kesan kepada orang yang mendengar. Contoh: Bila pemimpin diberi kuasa, janganlah bersekongkol dengan mereka yang rasuah. Dikhuatiri akan hilang keberkatan dan pertolongan daripada Allah SWT.
Ayat 18: 86
حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ ٱلشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِى عَيْنٍ حَمِئَةٍ وَوَجَدَ عِندَهَا قَوْمًا قُلْنَا يَٰذَا ٱلْقَرْنَيْنِ إِمَّآ أَن تُعَذِّبَ وَإِمَّآ أَن تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًا
Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): "Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka".
Pengajaran
Dzulqarnain dan tenteranya pergi ke tempat terbenam matahari (barat) dan mereka bertemu dengan satu kaum.
Allah SWT memberi ilham kepada Dzulqarnain untuk membuat apa sahaja kepada kaum tersebut kerana kuasa ada padanya.
Ayat 18: 87
قَالَ أَمَّا مَن ظَلَمَ فَسَوْفَ نُعَذِّبُهُۥ ثُمَّ يُرَدُّ إِلَىٰ رَبِّهِۦ فَيُعَذِّبُهُۥ عَذَابًا نُّكْرًا
Ia berkata: "Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.
Pengajaran
Ini adalah prinsip yang mesti dilakukan oleh pemimpin. Orang-orang yang bersalah dan berlaku zalim, mereka dihukum dan di akhirat nanti mereka akan diazab oleh Allah SWT.
Ayat 18: 88
وَأَمَّا مَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَٰلِحًا فَلَهُۥ جَزَآءً ٱلْحُسْنَىٰ وَسَنَقُولُ لَهُۥ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا
Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati".
Pengajaran
Sesiapa yang beriman dan beramal soleh akan mendapat ganjaran yang terbaik (ٱلْحُسْنَىٰ).
Dzulqarnain adalah seorang yang adil dan tidak diskriminasi terhadap sesiapa pun. Dia memimpin dengan merit. Prinsipnya amat jelas iaitu iman dan amal soleh.
Menurut Hamka, ini adalah arahan Dzulqarnain tetapi menurut Imam As-Sa'di, ini adalah perkataan daripada Allah SWT. Bagi Dzulqarnain, dia tidak memberat-beratkan rakyatnya. Dari sisi Allah SWT, akan dipermudahkanNya segala urusan bagi orang beriman dan beramal soleh.
Bagi pemimpin yang beriman dan beramal soleh, Allah SWT akan permudahkan urusannya.
Ayat 18: 89
ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.
Ayat 18: 90
حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ ٱلشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَىٰ قَوْمٍ لَّمْ نَجْعَل لَّهُم مِّن دُونِهَا سِتْرًا
Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.
Ayat 18: 91
كَذَٰلِكَ وَقَدْ أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا
Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.
Pengajaran Ayat 89-91
Dzulqarnain dan bala tenteranya pergi pula ke timur (daerah matahari terbit).
Dzulqarnain tetap berlaku adil walau dimana dia memerintah. Allah SWT redha dengan prinsip kepimpinan yang ditunjukkan oleh beliau.
Semuanya adalah di bawah ilmu Allah SWT yang sememangnya memimpin Dzulqarnain dalam menguasai kawasan barat dan timur.
Ayat 18: 92
ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.
Ayat 18: 93
حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ ٱلسَّدَّيْنِ وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا
Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.
Pengajaran Ayat 92-93
Dzulqarnain dan bala tenteranya, pergi ke tempat lain pula.
Sampai di antara dua gunung, mereka bertemu dengan kaum yang bahasa mereka tidak berapa difahami.
Ayat 18: 94
قَالُوا۟ يَٰذَا ٱلْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰٓ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا
Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"
Ayat 18: 95
قَالَ مَا مَكَّنِّى فِيهِ رَبِّى خَيْرٌ فَأَعِينُونِى بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا
Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.
Pengajaran Ayat 94-95
Penduduk di situ meminta pertolongan dari Dzulqarnain untuk melindungi mereka daripada Yakjuj dan Makjuj yang membuat kerosakan di bumi. Dari segi sejarah, dikatakan bahawa Yakjuj dan Makjuj ialah dari keturunan Yafiz, anak Nabi Nuh AS yang tinggal di kawasan Eropah, Cina, Azerbaijan.
Mereka mahu mengupah Dzulqarnain untuk membuat tembok penghalang (سَدًّا) untuk mengelakkan daripada gangguan Yakjuj dan Makjuj.
Dzulqarnain datang dengan 'izzah' untuk menolong dan tidak mahu sebarang upah kerana apa yang ada padanya sudah cukup. Beliau meminta mereka sama-sama membantu untuk membina adalah benteng yang kukuh (رَدْمًا).
Ayat 18: 96
ءَاتُونِى زُبَرَ ٱلْحَدِيدِ حَتَّىٰٓ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ ٱلصَّدَفَيْنِ قَالَ ٱنفُخُوا۟ حَتَّىٰٓ إِذَا جَعَلَهُۥ نَارًا قَالَ ءَاتُونِىٓ أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا
"Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya".
Ayat 18: 97
فَمَا ٱسْطَٰعُوٓا۟ أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا ٱسْتَطَٰعُوا۟ لَهُۥ نَقْبًا
Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
Pengajaran Ayat 96-97
Dzulqarnain bukan sahaja boleh menguruskan orang, dia juga boleh menguruskan projek kejuruteraan. Dia mencipta teknik membina 'alloy' iaitu campuran besi dan tembaga yang tidak mudah karat dan tidak mudah dipanjat. Penduduk di situ selamat daripada Yakjuj dan Makjuj.
Menurut ulama, pergunungan itu adalah di kawasan Armenia dan Azerbaijan.
Zulkarnain ada ilmu tentang apa yang dibuatnya bukan seperti sesetengah pemimpin yang tiada merit, tiada kemampuan untuk menguruskan projek dan mudah tertipu.
Kita bertanggung jawab memilih pemimpin yang bijak menguruskan projek-projek untuk maslahah masyarakat.
RESOLUSI
Ingat!
Dekatkan diri kepada Allah SWT agar ditolong ketika memimpin (18:84)
Mengambil tindakan kepada ahli atau rakyat yang zalim (18:87)
Memberi kemudahan kepada ahli atau rakyat yang patuh (18:88)
Saya berasa lega, Allah SWT akan tolong ketika memimpin sekiranya saya dekatkan diri kepada-Nya.
Saya jelas untuk dekatkan diri kepada Allah SWT agar ditolong ketika memimpin. Saya jelas untuk mengambil tindakan kepada ahli atau rakyat yang zalim. Saya jelas untuk memberi kemudahan kepada ahli atau rakyat yang patuh sekiranya saya memimpin.
Ya Allah, pimpin kami untuk dekatkan diri kepada Mu. Ya Allah, tolonglah kami ketika memimpin agar kami dapat memajukan masyarakat dan mengambil tindakan yang terbaik kepada ahli atau rakyat.
Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.