PERKATAAN HARI INI
6 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Balasan kebaikan dan kejahatan (27:89-90)
- Perintah untuk sibuk ibadah kepada Allah SWT, memujiNya dan membaca Al Quran (27:91-93)
- Pertolongan terhadap orang yang dilemahkan (28:1-5)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 385. Semoga kita ceria gembira bersama al-Quran dan mendapat ketenangan. Hari ini kita melihat kesimpulan surah al-Naml dan permulaan surah al-Qasas.
Ayat 27:89
مَن جَآءَ بِٱلْحَسَنَةِ فَلَهُۥ خَيْرٌ مِّنْهَا وَهُم مِّن فَزَعٍ يَوْمَئِذٍ ءَامِنُونَ
Sesiapa yang datang membawa amal kebajikan (yang telah dikerjakannya) maka ia akan beroleh balasan yang lebih baik daripadanya, dan mereka akan beroleh aman sentosa daripada kejadian-kejadian yang mengerikan pada hari kiamat itu.
- Sesiapa yang datang (جَآءَ) berjumpa Allah SWT membawa amal yang bersungguh-sungguh, Allah SWT akan menggandakan ganjaran baginya. Inilah motivasi daripada Allah SWT dalam kita melakukan kebaikan.
- Orang yang melakukan kebaikan, akan merasa aman di hari kiamat. Mereka tidak berasa takut (فَزَعٍ).
Ayat 27:90
وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَكُبَّتْ وُجُوهُهُمْ فِى ٱلنَّارِ هَلْ تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang telah dikerjakannya) maka sudah tentu mereka akan ditumuskan mukanya ke dalam api neraka, (sambil dikatakan kepada mereka): "Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan".
Pengajaran
- Sesiapa yang datang membawa amal jahat, akan disungkurkan wajah mereka ke dalam neraka.
- Allah SWT Maha Baik. Allah SWT beritahu akibat perbuatan jahat di dalam al-Quran. Jika buat silap, taubat dan kembali kepada Allah SWT.
Ayat 27:91
إِنَّمَآ أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ رَبَّ هَٰذِهِ ٱلْبَلْدَةِ ٱلَّذِى حَرَّمَهَا وَلَهُۥ كُلُّ شَىْءٍ وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ
(Katakanlah wahai Muhammad):" Aku hanyalah diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri (Makkah) ini yang telah menjadikannya suci lagi dihormati dan yang menguasai segala-galanya; dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi dari orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat kepadaNya),
Pengajaran
- Nabi SAW diperintahkan untuk beribadah di tempat yang mesti disucikan. Ketika itu, di Mekah ada berhala dan tidak suci.
- Ini adalah motivasi kepada Nabi SAW selepas hijrah bahawa baginda SAW akan kembali ke Mekah untuk menyucikannya. Allah akan membantu.
- Kita juga, kalau buat kebaikan, kita baca al-Quran, bermakna kita hendak menyucikan diri, keluarga dan negara kita. Kita tidak mahu buat perkara kotor. Yang pentingnya kita perlu melaksanakan ibadah kepada Allah SWT dengan sebaik mungkin.
Ayat 27:92
وَأَنْ أَتْلُوَا۟ ٱلْقُرْءَانَ فَمَنِ ٱهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِى لِنَفْسِهِۦ وَمَن ضَلَّ فَقُلْ إِنَّمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُنذِرِينَ
"Dan supaya aku sentiasa membaca Al-Quran". Oleh itu, sesiapa yang menurut petunjuk (Al-Quran dan beramal dengannya) maka faedah perbuatannya itu akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat, maka katakanlah kepadanya: "Sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi amaran".
Pengajaran
- Di awal surah al-Naml disebut bahawa al-Quran ini adalah sumber hidayah. Ada cabaran, umpamanya ujian covid, banjir tetapi orang yang ada Quran, akan dapat khabar gembira. Allah SWT akan nampakkan sesuatu yang hebat selepas ini.
- Untuk kekal berada dalam semangat positif ini, sudah tentunya Quran. Quran adalah punca hidayah.
- Peranan Nabi SAW ialah mentilawahkan al-Quran termasuk kepada yang bukan Islam. Kita juga kena menjejaki baginda SAW untuk berbuat demikian. Tilawah bukan sekadar baca, tetapi mesti diikuti dengan faham dan pengamalan kita.
- Siapa yang dapat petunjuk, itu adalah untuk dirinya. Bukan untuk orang lain. Bila kita berusaha bersungguh-sungguh, manfaat adalah untuk diri kita. Kita perlukan sangat hidayah ini untuk diri kita, keluarga dan orang di sekeliing kita. Inilah kebaikan yang kita hendak buat.
- Quran akan memberi inspirasi kepada kita untuk mengikut perkataan Allah SWT.
Ayat 27:93
وَقُلِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ سَيُرِيكُمْ ءَايَٰتِهِۦ فَتَعْرِفُونَهَا وَمَا رَبُّكَ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Segala puji tertentu bagi Allah (yang melimpahkan nikmat-nikmatNya yang tidak terhitung), Ia akan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya supaya kamu dapat mengetahuinya (dengan jelas nyata)"; dan Tuhanmu tidaklah lalai akan segala yang kamu lakukan.
Pengajaran
- Apabila kita sudah dapat hidayah daripada al-Quran, ucapkan Alhamdulillah.
- Kebesaran Allah SWT akhirnya akan nampak juga apabila kita bersama al-Quran dan ucapakan Alhamdulillah kerana lambat laun orang yang tidak beriman akan nampak juga kebenaran yang ada di dalam al-Quran.
- Allah SWT tidak pernah lalai daripada apa yang kita lakukan. Kalau kita share, bangun awal, tengok nota, Allah SWT akan mengira semua itu. Semoga itulah yang menjadi asbab untuk kita mendapat ganjaran yang lebih baik daripada Allah SWT.
Surah 28: Al-Qasas
Surah ini menceritakan kisah Nabi Musa AS secara panjang lebar. Kita akan lihat kisah Nabi Musa AS berdakwah kepada Firaun sebelum hijrah menyeberang laut dan selepas itu berdakwah kepada kaumnya yang munafik. Ia paralel dengan kisah Nabi Muhammad SAW.
Hijrah ini banyak cabarannya. Yang pastinya, dengan al-Quran ini ia akan memberi panduan hidayah kepada kita.
Ayat 28:1
طسٓمٓ
Taa, Siin, Miim.
Pengajaran
- Al-Qasas bermaksud kisah-kisah. Bila kita membaca cerita-cerita di dalam al-Quran ini, bukan sekadar ia penglipur lara tetapi ia adalah satu perkara yang kita perlu ikut secara dekat untuk menuju kepada jalan hidayah Allah SWT.
- طسٓمٓ adalah huruf mukhoto'ah. Kita tidak tahu maksudnya. Yang tahu hanyalah Allah SWT. Sikap kita ialah dengan rasa rendah diri kita masuk ke surah ini, kita pasti akan dapat sesuatu kalau kita ada sikap yang kita tidak tahu banyak benda. Kita minta Allah SWT berikan ilmu yang sesuai untuk kita.
Ayat 28:2
تِلْكَ ءَايَٰتُ ٱلْكِتَٰبِ ٱلْمُبِينِ
Inilah ayat-ayat Kitab - Al-Quran - yang memberi penjelasan.
Pengajaran
- Al-Quran adalah kebesaran Allah SWT. Ayat-ayat yang tertulis dengan jelas nyata. Makin kita baca al-Quran, kita akan nampak kebesaran Allah yang jelas.
- Ada tiga kaedah: Dari atas, ayat-ayatnya, dari belakang adalah dari sejarahnya. Tengok tempat-tempat bersejarah ini, ia memang mubin (jelas nyata).
- Kalau kita tengok maya pada ini seperti air, gunung, memang jelas kebesaran Allah SWT. Allah SWT sudah buat yang terbaik, adakah kita sudah buat yang terbaik dalam kehidupan kita?
Ayat 28:3
نَتْلُوا۟ عَلَيْكَ مِن نَّبَإِ مُوسَىٰ وَفِرْعَوْنَ بِٱلْحَقِّ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari kisah Nabi Musa dan Firaun dengan keterangan yang benar bagi orang-orang yang beriman.
Pengajaran
- Allah SWT tilawahkan al-Quran kepada Nabi SAW. Nabi tilawahkan al-Quran sehingga sampai kepada kita sekarang. Kalau kita tilawah al-Quran, kita bersama Allah SWT. Kita berada pada jalan نَتْلُوا۟. Kami itu bermaksud, yang terlibat adalah malaikat, rasul, cikgu-cikgu yang tilawah Quran.
- Ini adalah kisah besar yang ada tujuan. Kita perlu ambil perhatian dengan benar. Ia ada 'triple action'. Bila kita tengok kisah Nabi Musa AS, kita kaitkan dengan kisah Nabi Muhammad SAW dan kaitkan dengan kita.
- Kalau kita baca kisah atau tengok matahari bulan, itu adalah action pertama. Action kedua, kita kaitkan dengan Nabi Muhammad SAW bila baca ayat tersebut, action yang ketiga, kaitkan kesannya kepada diri kita.
- Ia ada kesan kepada orang-orang yang sedang membina iman. Bila kita terus baca dan baca lagi, kita percaya al-Quran ada manfaat. Kerana iman Allah SWT akan pandu kita.
- Kita baca al-Quran dengan mindset untuk beriman, bukan untuk berhujah. Kita hendak cari ibrah untuk kita ambil manfaat, bukan untuk bangkang apa yang Allah SWT cakap. Semuanya Allah SWT beri untuk kita ambil manfaat.
Ayat 28:4
إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِى ٱلْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَآئِفَةً مِّنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَآءَهُمْ وَيَسْتَحْىِۦ نِسَآءَهُمْ إِنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلْمُفْسِدِينَ
Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.
Pengajaran
- Firaun hebat tetapi sombong. Dia mengurus dengan divide and conquer iaitu pecah-pecahkan rakyatnya. Kita kena ingat supaya jangan dipecah-pecahkan sebegitu.
- Firaun menindas rakyatnya. Kaumnya menerima sahaja yang Firaun buat sehingga Firaun membunuh anak-anak lelaki. Anak perempuan dibiarkan hidup. Ini adalah sifat orang yang berbuat kerosakan.
- Syarat berbuat kerosakan ini, dimula dengan pecahkan. Diharapkan dengan al-Quran kita bersatu dan semoga al-Quran menghidupkan hati-hati kita.
Ayat 28:5
وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى ٱلَّذِينَ ٱسْتُضْعِفُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ ٱلْوَٰرِثِينَ
Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).
Pengajaran
- Ini clue kepada Nabi Muhammad SAW supaya kembali untuk membersihkan Mekah dan baginda SAW akan menjadi imam di situ.
- Nabi Musa AS akhirnya mewarisi legasi di Mesir itu kerana mereka mulanya ditindas yang akhirnya menang.
- Kita juga akan mewarisi sesuatu tempat jika kita berbuat kebaikan dengan cara yang sebenar-benarnya.
RESOLUSI
Ingat!
- Terus berbuat kebaikan kerana ia akan menyelamatkan seseorang di dunia dan di akhirat (27:89)
- Tilawah Al Quran dengan baca dan fahaminya untuk terus dipimpin hidayah Allah SWT (27:92)
- Biarpun lemah awalnya, yakin Allah SWT akan mengangkat orang yang bertakwa (28:5)
Saya berasa lega, Allah SWT akan selamatkan saya di dunia dan akhirat sekiranya saya terus berbuat kebaikan.
Saya jelas saya mesti terus berbuat kebaikan kerana ia akan menyelamatkan saya di dunia dan di akhirat. Saya jelas saya mesti tilawah al-Quran dengan baca dan fahaminya untuk terus dipimpin hidayah Allah SWT. Saya jelas, biarpun lemah awalnya, yakin Allah SWT akan mengangkat orang yang bertakwa.
Ya Allah, bantu kami untuk terus berbuat kebaikan agar kami selamat di dunia dan di akhirat. Ya Allah, bimbing kami untuk tilawah al-Quran dengan baca dan fahaminya, pimpinlah kami dengan hidayah Mu. Ya Allah, tingkatkan keimanan dan ketakwaan kami.
Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.