Saturday, September 9, 2023

Halaman 384 Al-Naml, 77-88 Juz 20

 

PERKATAAN HARI INI


دَبَرَ Membelakang, berpaling. 

44  kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS 

  1. Bukti kenabian Nabi Muhammad SAW dengan al-Quran (27:77-81)
  2. Tanda Hari Kiamat: Keluarnya binatang melata dari bumi dan dikumpulkan di hadapan Allah SWT orang zalim yang mendustakan ayat Allah SWT dan para rasul (27: 82-86)
  3. anda Hari Kiamat: Tiupan angin sangkakala dan berjalannya gunung-ganang (27:87-88)




Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 384 untuk melihat permata daripada surah al-Naml.

 

Pada ayat 76, Allah SWT memberitahu bahawa al-Quran ini menceritakan kepada Bani Israel sebahgaian besar daripada cerita-cerita yang mereka perselisihkan. Ini clue kepada surah seterusnya iaitu al-Qasas yang bermakna cerita-cerita. Qasas ada kaitan dengan menjejak.

 

Ayat 27:77

 

وَإِنَّهُۥ لَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

 

Dan sesungguhnya Al-Quran itu menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

 

Pengajaran

 

  1.  Al-Quran diturunkan kepada Bani Israel untuk menjadi hidayah tetapi mereka bertelingkah. Mereka tidak berpuas hati dengan Nabi Isa AS dan mereka mengatakan Nabi Isa AS adalah anak luar nikah. Orang Kristian mendapati Nabi Isa AS istimewa sangat kerana tiada ayah dan menganggapnya anak tuhan. Dua-dua kumpulan itu silap. Al-Quran itu menjelaskan apa yang mereka pertelingkahkan.
  2. Jika mereka mahu beriman, mereka tetap diberi peluang untuk mendapat hidayah dan rahmat walaupun mereka buat perangai sebelum ini. Inilah kasih sayang Allah SWT.
  3. Pelajaran untuk kita: Kalau kita, keluarga pernah buat silap dalam hidup ini, ambillah al-Quran, baca betul-betul ia tetap menjadi hidayah. Iman kita dikuatkan apabila berinteraksi dengan al-Quran.

 

Ayat 27:78

 

إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِى بَيْنَهُم بِحُكْمِهِۦ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْعَلِيمُ

 

Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) akan memutuskan di antara mereka dengan hukumNya, dan Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT penuh dengan kebijaksanaan. Ada perkara, seperti kisah Nabi Musa AS, Nabi Sulaiman AS, Allah SWT rancang dengan penuh kebijaksanaan. Bila kita fikir, boleh ke Nabi Sulaiman AS bercakap dengan semut? Bila kita lihat National Geography dan kita lihat interaksi mereka dengan buaya, kucing, tidak mustahil Nabi Sulaiman AS boleh memahami bahasa semut dan burung. Ini kebijaksanaan yang didapati daripada Allah yang Maha Bijaksana Maha Mengetahui.
  2.  ٱلْعَلِيمُ ٱلْعَزِيزُ, Allah SWT Maha Berkuasa dan Mengetahui segala perkara yang dikuasainya. Kalau kita tidak bergantung kepada ٱلْعَلِيمُ ٱلْعَزِيزُ, tidak tunduk bertauhid kepada Allah, akhirnya Allah SWT tidak akan menolong kita untuk mengetahui dan memandu kita dalam memimpin sesuatu masyarakat, keluarga, organisasi dan negara.

 

Ayat 27:79

 

فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ إِنَّكَ عَلَى ٱلْحَقِّ ٱلْمُبِينِ

 

Oleh itu, berserahlah kepada Allah, sesungguhnya engkau berada di atas kebenaran yang jelas nyata.

 

Pengajaran

 

1.     Bergantunglah kepada Allah SWT.

2.     Jangan kisah tentang orang lain kerana Allah SWT tahu dan Allah SWT boleh membantu untuk memimpin dengan cara yang berkesan dalam hidup kita.

 

Ayat 27:80

 

إِنَّكَ لَا تُسْمِعُ ٱلْمَوْتَىٰ وَلَا تُسْمِعُ ٱلصُّمَّ ٱلدُّعَآءَ إِذَا وَلَّوْا۟ مُدْبِرِينَ

 

Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berundur ke belakang (disebabkan keingkarannya).

 

Pengajaran

 

1.     Ayat ini berkaitan dengan deria telinga. Dalam Surah al-Syu'ara', dimulakan dengan tumbuh-tumbuhan yang kita kena tengok. Dalam surah ini pula, dimulakan dengan cerita yang kita dengar dan akhirnya tentang tumbuh-tumbuhan yang kita kena tengok.

2.     Allah mulakan dengan kisah nabi-nabi terdahulu, kemudian tentang langit, bumi, gunung. Allah SWT suruh kita dengar cerita dan tengok yang di alam ini.

3.     Bagi orang yang buta atau pekak dalam hati, dia tengok dan dengar tetapi tidak dikaitkan dengan hati. Contoh: Firaun tengok mukjizat Nabi Musa AS tetapi dia tidak bersujud dan kembali kepada Allah SWT. Dia sekadar kagum sahaja.

 

Ayat 27:81

 

وَمَآ أَنتَ بِهَٰدِى ٱلْعُمْىِ عَن ضَلَٰلَتِهِمْ إِن تُسْمِعُ إِلَّا مَن يُؤْمِنُ بِـَٔايَٰتِنَا فَهُم مُّسْلِمُونَ

 

Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta supaya menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sanggup beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang berserah diri dengan ikhlas.

 

Pengajaran

 

  1. Hendaklah kita guna mata dan telinga dengan cara yang betul. Bila lihat matahari, kita fikir bahawa di sebalik matahari adalah kehebatan Allah SWT. Akhirnya kita percaya ini adalah kebesaran Allah SWT, maka kita menyerah diri kepada Allah SWT.
  2. Al-Quran akan mengoptimumkan penglihatan dan pendengaran kita melalui ayat-ayat tentang alam dan kisah orang-orang terdahulu.

 

Ayat 27:82

 

وَإِذَا وَقَعَ ٱلْقَوْلُ عَلَيْهِمْ أَخْرَجْنَا لَهُمْ دَآبَّةً مِّنَ ٱلْأَرْضِ تُكَلِّمُهُمْ أَنَّ ٱلنَّاسَ كَانُوا۟ بِـَٔايَٰتِنَا لَا يُوقِنُونَ

 

Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.

 

Pengajaran

 

  1. Ayat ini adalah tentang petanda hari kiamat. Banyak perbincangan ulama’ tentang binatang yang melata itu. Yang lebih penting ialah untuk kita membuat persediaan menghadapi hari kiamat.
  2. Berdoalah "Ya Allah, janganlah jadikan kami orang yang tidak yakin kepada ayat-ayatMu. Ya Allah, jadikanlah telinga dan mata kami digunakan untuk berinteraksi dengan Quran dan kami semakin tawakal kepada Mu." Itulah cara kita berinteraksi dengan tanda-tanda akhir zaman. Bukan mencari binatang apa atau di mana.
  3. Semoga dengan tadabbur al-Quran kita semakin dekat dengan Allah SWT. Mata kita tengok kebesaran Allah, kita semakin yakin, beriman, menyerah diri kepada Allah SWT. Hati kita akan bercahaya kembali.

 

 Ayat 27:83

 

وَيَوْمَ نَحْشُرُ مِن كُلِّ أُمَّةٍ فَوْجًا مِّمَّن يُكَذِّبُ بِـَٔايَٰتِنَا فَهُمْ يُوزَعُونَ

 

Dan (ingatlah) hari Kami himpunkan dari tiap-tiap umat sekumpulan besar orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.

 

Pengajaran

 

  1. Pada hari tersebut, dikumpulkan (يُوزَعُونَ) mereka dalam kelompok-kelompok mengikut apa yang dibuat semasa di dunia.
  2. Orang yang buat jahat akan dibariskan mengikut jenayahnya. Dalam hidup ini, biarlah kita ini tersusun, berbincang pada perkara kebaikan. Kita tidak mahu berbincang untuk menjatuhkan orang, menyusahkan rakyat. Kita tidak mahu dikumpulkan dengan orang-orang yang berbuat jenayah. 
  3. Sebenarnya orang yang يُوزَعُونَ dari zaman manapun akan dibariskan bersama. Kita kalau boleh, hendak berbaris dengan Saidina Abu Bakar, Abdul Rahman b Auf, Nabi Ibrahim AS. Subhanallah.

 

Ayat 27:84

 

حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءُو قَالَ أَكَذَّبْتُم بِـَٔايَٰتِى وَلَمْ تُحِيطُوا۟ بِهَا عِلْمًا أَمَّاذَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

 

Sehingga apabila mereka datang (ke tempat pengadilan), Allah Taala berfirman: "Adakah kamu mendustakan ayat-ayat keteranganKu dengan tidak lebih dahulu kamu mengetahuinya secara meliputi? Atau apakah yang kamu telah lakukan?"

 

Pengajaran

 

  1. Kesan bila mendustakan al-Quran ialah tidak amanah dalam melakukan kerja. Semoga kita sentiasa dipimpin oleh Allah SWT.
  2. Nanti kita akan disuruh untuk menunjukkan amalan yang dibuat. Pada masa itu tidak ada lagi hujah bagi kita untuk menyelamatkan diri, sebab malaikat ada segala catatan.

 

Ayat 27:85

 

وَوَقَعَ ٱلْقَوْلُ عَلَيْهِم بِمَا ظَلَمُوا۟ فَهُمْ لَا يَنطِقُونَ

 

Dan jatuhlah hukuman atas mereka (dengan azab) disebabkan kezaliman mereka (berlaku kufur ingkar), lalu mereka diam membisu.

 

Pengajaran

 

  1. Bila dijatuhkan azab mereka diam membisu.
  2. Semoga Allah SWT mengampun dan memaafkan segala dosa kita dan dijauhkan daripada azab di hari akhirat.

 

Ayat 27:86

 

أَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّا جَعَلْنَا ٱلَّيْلَ لِيَسْكُنُوا۟ فِيهِ وَٱلنَّهَارَ مُبْصِرًا إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

 

Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.

 

Pengajaran

 

  1. Tiba-tiba muncul tentang malam dan siang. Allah SWT beri nikmat tetapi mereka zalim.
  2. Allah SWT berikan malam untuk tenang. Dalam keadaan banjir sekarang ada orang yang tidak tenang, tetapi orang yang ada segalanya, namun tidak buat apa-apa. Allah SWT suruh kita perhatikan dan bantu orang lain.
  3. Kita tidak mahu menjadi orang yang duduk selesa di rumah, dapat amanah tetapi tidak  membantu. Kita mahu menjadi seperti Nabi Sulaiman AS yang amat cakna kepada rakyat. Nabi Lut AS yang berdakwah untuk menyelamatkan kaumnya yang hidup selesa tetapi melampau batas.

 

Ayat 27:87

 

وَيَوْمَ يُنفَخُ فِى ٱلصُّورِ فَفَزِعَ مَن فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَن فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا مَن شَآءَ ٱللَّهُ وَكُلٌّ أَتَوْهُ دَٰخِرِينَ

 

Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah - gerun gementar - makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikekhendaki Allah; dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh.

 

Pengajaran

 

  1. Bila ditiup sangkakala, semua makhluk akan terkejut. Mereka datang dengan keadaan  tunduk patuh.
  2. Orang yang beriman akan dibantu dalam menghadapi hari kiamat. 

Ayat 27:88

 

وَتَرَى ٱلْجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةً وَهِىَ تَمُرُّ مَرَّ ٱلسَّحَابِ صُنْعَ ٱللَّهِ ٱلَّذِىٓ أَتْقَنَ كُلَّ شَىْءٍ إِنَّهُۥ خَبِيرٌۢ بِمَا تَفْعَلُونَ

 

Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap - tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Ia Amat mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.

 

Pengajaran

 

  1. Kalau alam ini Allah SWT uruskan segala sesuatu dengan sempurna (أَتْقَنَ), maka kita juga kena lakukan amanah dengan sempurna.
  2. Allah SWT menjadikan gunung ganang dengan cara terbaik dan tidak merosakkan ekosistem.
  3. Allah SWT tahu apa yang kita lakukan. Allah SWT sudah buat yang terbaik untuk kita, apakah dengan semua itu, kita telah melakukan yang terbaik?
  4. Kalau kita belum buat yang terbaik, bangkit, dan jangan biarkan diri selesa tanpa melakukan tanggungjawab.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Komited mendapatkan hidayah dan rahmat dengan menghayati al-Quran (27:77)
  2. Tingkatkan kebergantungan kepada Allah SWT (tawakal) atas kebenaran yang diberikan (27:79)
  3. Beriman dan berserah diri kepada Allah SWT selepas menyaksikan kebesaran dan ayat Allah SWT (27:81)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan berikan hidayah dan rahmat sekiranya saya komited menghayati al-Quran.

 

Saya jelas saya mesti komited mendapatkan hidayah dan rahmat dengan menghayati al-Quran. Saya jelas untuk tingkatkan kebergantungan kepada Allah SWT (tawakal) atas kebenaran yang diberikan. Saya jelas untuk beriman dan berserah diri kepada Allah SWT selepas menyaksikan kebesaran dan ayat Allah SWT.

 

Ya Allah, bimbing kami komited mendapatkan hidayah dan rahmat dengan menghayati al-Quran. Ya Allah, pimpin kami untuk tingkatkan kebergantungan kepada Mu atas kebenaran yang diberikan. Ya Allah, jadikan orang-orang yang beriman dan berserah diri kepada Mu selepas menyaksikan kebesaran dan ayat Mu.

 

Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

 




Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...