Tadabbur ayat Solat
Surah Al-Nisa’ ayat 101 (ms 94)
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱلْكَـٰفِرِينَ كَانُوا۟ لَكُمْ عَدُوًّۭا مُّبِينًۭا
Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.
Asbabun Nuzul
Ibnu Jarir meriwayatkan bahwa Ali berkata, “Beberapa orang dari Bani Najjar bertanya kepada Rasulullah saw.,”Wahai Rasulullah, apabila kami bepergian, bagaimana kami shalat?’ Lalu Allah menurunkan
Keterangan Ayat
Musafir ini banyak jenis. Ada musafir untuk menegakkan agama Allah (dakwah) dan ada musafir yang biasa. Asal nama musafir sahaja, hukum yang akan disebutkan dalam ayat ini akan terpakai. Apabila dalam musafir, kita boleh qasar solat jadi pendek. Iaitu solat yang empat rakaat jadi dua rakaat. Solat yang selain dari itu tidak ada Qasar.
Ada yang mengatakan kerana Qur’an menggunakan kalimah ‘tidaklah berdosa’ dalam ayat ini, ia menunjukkan bahawa Qasar tidaklah wajib, cuma dibenarkan sahaja. Maka perbincangan tentang perkara ini amat panjang tapi kita cuba ringkaskan di sini:
1. Pendapat Imam Syafie, qasr tidaklah wajib tapi tidak melakukannya menyalahi Sunnah.
2. Pendapat Imam Ahmad, qasr tidak wajib tapi makruh meninggalkannya.
3. Pendapat Imam Abu Hanifah (dan mungkin juga Imam Malik), qasr adalah wajib.
Perlu kita tahu bahawa banyak sangat hadis Nabi Muhammad SAW mengqasar solat baginda dalam musafir baginda. Maka Sunnah dalam hal ini adalah mengqasar solat dalam musafir.
Jadi ayat tentang qasr ini bukanlah sebagai kebenaran sahaja, tapi nak membetulkan fahaman manusia yang sangka berdosa atau pahala kurang kalau memendekkan solat.
Dalam ayat ini, seperti kemudahan ini diberikan jikalau bimbang diserang oleh musuh kafir. Tetapi, dalam perbuatan Nabi dan sahabat, kita boleh lihat bagaimana syarat ini bukan sahaja dalam keadaan takut, malah boleh dilakukan dalam keadaan aman juga, asalkan dalam musafir.
Ya’laa bin Umayyah berkata: Aku pernah bertanya kepada Umar al-Khattab radiallahu-anhu berkenaan firman Allah – “maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir”; sedangkan pada masa sekarang manusia telah pun berada dalam keadaan aman.
Umar menjawab: Aku sendiri pernah merasa hairan juga seperti kamu, oleh itu aku telah bertanya kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tentang hal ini lalu beliau bersabda: Itu adalah sedeqah yang diberikan oleh Allah Azza wa Jalla kepada kalian, maka terimalah sedekahNya itu. Maksud hadith riwayat Imam Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Abu Daud, Sunan Abu Daud
Jadi, kalau kita tidak mengqasar solat, ianya seperti kita tidak suka dengan pemberian dari Allah itu.
Abu Bakar ibnu Abu Syaibah mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yazid ibnu Harun, telah menceritakan kepada kami Ibnu Aun, dari Ibnu Sirin, dari Ibnu Abbas yang menceritakan, “Kami salat bersama Rasulullah Saw. di antara Mekah dan Madinah sebanyak dua rakaat-dua rakaat, padahal kami dalam keadaan aman dan tidak takut dengan apa pun di antara Mekah dan Madinah itu.”
Malangnya, ramai yang tidak mengqasar solat mereka kerana tidak faham anjuran ini. Mereka rasa macam tidak perlu untuk mengqasar solat kerana mereka rasa tidak susah dalam perjalanan mereka.
Orang kafir adalah musuh apabila mereka menentang agama Allah. Macam zaman sekarang, penentangan terhadap Islam tidaklah nampak jelas. Mereka yang menentang pun menggunakan bahasa yang berlapik supaya menjaga hati umat Islam secara keseluruhannya. Maka tidaklah boleh nak serang dan berperang dengan mereka.
Penting untuk diingat bahwa dalam Islam, hanya Allah yang berhak menilai hati dan iman seseorang, bukan tugas manusia untuk menghakimi orang lain atas status keimanan mereka. Sikap hormat dan toleransi terhadap perbedaan keyakinan dihargai dalam ajaran Islam.
Kalimah kafara, bermakna mengingkari nikmat dan mengingkari syariat. Orangnya disebut kaafirun, iaitu merujuk kepada orang yang ingkar setelah diberikan hujah. Mereka membangkang keesaan Allah, atau terhadap kenabian atau terhadap syariat atau mengingari ketiga-tiganya. Mereka menutup diri dari kebenaran.
Ini berdasarkan Firman Allah dari surah al-Baqarah, ayat 111 dan 112.
Al-Baqarah 2:111
وَقَالُوْا لَنْ يَّدْخُلَ الْجَنَّةَ اِلَّا مَنْ كَانَ هُوْدًا اَوْ نَصٰرٰي ؕ تِلْكَ اَمَانِيُّهُمْ ؕ قُلْ هَاتُوْا بُرْهَانَكُمْ اِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِيْنَ
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".
Al-Baqarah 2:112
بَلٰي مَنْ اَسْلَمَ وَجْهَهٗ لِلّٰهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهٗۤ اَجْرُهٗ عِنْدَ رَبِّهٖ ۪ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُوْنَ
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Dalam kitab tafsir al-Manar juga mendatangkan kupasan al-Ghazali yang menyatakan bahawa kalangan manusia kufur ini terbahagi kepada tiga kelompok, iaitu:
• Mereka yang tidak pernah mendengar hujah menyebabkan mereka tidak menerima Islam.
• Mereka mendengar hujah yang benar, tetapi mereka menolaknya juga.
• Mereka mendengar hujah yang tidak kuat, menyebabkan mereka tidak menerima Islam.
Dalam kupasan al-Imam al-Ghazali, kalangan yang pertama ini terselamat dari neraka. Kalangan yang kedua – iaitu mendengar hujah yang betul, kemudian menolaknya juga, maka ia adalah ahli neraka. Pada kalangan ketiga pula – iaitu tidak mendengar hujah yang kuat, maka ia kekal dalam kekufuran – Al-Imam al-Ghazali menyatakan, ia sama seperti kalangan yang pertama, iaitu terlepas dari azab neraka.
Pengajaran
1. Orang yang sedang bermusafir, boleh menqasarkan solat. Allah mahu mengingatkan bahawa berjuang macam mana pun, tiang agama (solat) jangan diambil mudah.
2. Allah mahu mengingatkan tentang pentingnya solat. Tiada sebarang alasan untuk meninggalkan solat. Tanda orang itu beriman dan berjuang, dia solat. Jika seseorang berhijrah kerana Allah, dia pasti tidak akan meninggalkan solat.
3. Solat ialah ‘dinamo’ (penjana) pancaran IIahi. Begitulah Buya Hamka menerangkan tentang pentingnya solat subuh. Solat sangat bermakna untuk mendapat cahaya, keberkatan dan jikalau pergi, pergi dalam iman.
4. Allah ingatkan bahawa dalam peperangan atau kesulitan untuk hijrah pun diperintahkan untuk solat, apatah lagi dalam kehidupan seharian yang aman. Semasa bekerja, kalau masuk waktu solat, berhenti dan solat dahulu.
5. Solat tanda kita rindu bertemu Allah pada setiap masa sehingga kita kembali bertemu-Nya di syurga.
6. Kalimah kafir merujuk kepada pengingkaran setelah diberikan hujah yang meyakinkan. Lantaran itu, terdapat non-muslim yang tidak kafir, iaitu apabila dia menjadi non-muslim tanpa diberikan hujah yang benar; ataupun dia menjadi non-muslim kerana dia mendapat gambaran yang salah berkenaan Islam.
Petunjuk
1. Ayat ini memberikan kelonggaran kepada umat Islam untuk memendekkan solat ketika mereka sedang dalam perjalanan. Ini adalah untuk memudahkan mereka dalam menjalankan ibadah di tengah-tengah perjalanan yang mungkin memenatkan atau berisiko.
2. Ini menunjukkan kebijaksanaan dan rahmat-Nya dalam memahami kesulitan yang mungkin dihadapi oleh umat-Nya ketika melakukan perjalanan.
3. Hal ini menunjukkan bahwa Allah adalah Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Dengan memahami hal ini, umat Islam dapat memperkuat keyakinan mereka terhadap Allah dan merasa lebih dekat dengan-Nya .
4. Ayat ini juga dapat menumbuhkan rasa syukur dalam hati kita. Dengan menyadari bahwa Allah memberikan keringanan dan kemudahan dalam menjalankan ibadah, kita dapat merasa bersyukur atas nikmat-Nya. Hal ini dapat membantu kita untuk lebih menghargai nikmat yang diberikan oleh Allah dan meningkatkan rasa syukur kita.
5. Ayat ini juga mengingatkan kita tentang pentingnya kewaspadaan terhadap musuh yang nyata. Dalam konteks ayat ini, musuh yang dimaksud adalah orang-orang kafir yang mungkin akan menyerang ketika dalam perjalanan. Dengan memahami hal ini, kita dapat lebih waspada dan mengambil langkah-langkah perlindungan yang diperlukan. Hal ini dapat membantu umat Islam untuk meningkatkan akhlak mereka dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan bersama.
6. Ayat ini juga dapat menumbuhkan kesedaran akan pentingnya solat dalam kehidupan kita Dengan memahami bahwa Allah memberikan keringanan dalam menjalankan ibadah, kita dapat lebih menghargai dan memperhatikan solat kita. Hal ini dapat membantu kita untuk lebih memperbaiki kualiti ibadah dan meningkatkan hubungan dengan Allah
Solat Qasar adalah ‘hadiah’ yang telah diberikan oleh Allah, maka kita hendaklah melakukannya. Sabda Rasullah SAW maksudnya:
“Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci dilakukan maksiat kepadaNya”. (Hadis riwayat Ahmad).
Wallahua’lam
Rujukan
1. Nota My #Qurantime
2. Tafsir Al-Munir
3. celiktafsir.net