Tadabbur ayat Solat
Tajuk: Dua Sifat Munafik
Surah An-Nisa’ ayat 142 (ms 101)
إِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ يُخَـٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَهُوَ خَـٰدِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوٓا۟ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ قَامُوا۟ كُسَالَىٰ يُرَآءُونَ ٱلنَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ إِلَّا قَلِيلًۭا
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).
Perkataan Fokus
Munafik atau Munāfiq ( منافق, jamak munāfiqūn) adalah terminologi dalam Islam yang merujuk kepada mereka yang berpura-pura mengikuti ajaran agama namun sebenarnya tidak mengakuinya dalam hatinya.
Sifat Munafik yang lain: Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.”
خَدَعَ berhelah atau menipu seseorang dengan menyorokkan kebenaran untuk mendapatkan keuntungan.
Konsep - menipu, mengkhianati
Keterangan Ayat
1. Orang Munafik menipu Allah SWT dan orang-orang beriman. Mereka berpura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya. Ini seperti yang Allah SWT telah berfirman dalam ayat yang lain:
يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا
Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman. (Al-Baqarah, 2:9)
2. Mereka berhelah atau menipu dengan menyorokkan kebenaran untuk mendapatkan keuntungan.
3. Allah SWT membiarkan mereka berbuat apa yang mereka inginkan, sehinggakan mereka menyangka yang mereka telah berjaya menipu semua orang, dan menipu Allah SWT tetapi sebenarnya mereka yang tertipu. Itulah maknanya, Allah SWT memperdayakan mereka.
4. Allah SWT menceritakan bagaimana mereka berdiri untuk solat dengan cara yang sangat malas. Mereka terpaksa solat kerana zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, semua orang Islam solat di masjid. Jadi kalau mereka tidak solat, memang nampaklah kemunafikan mereka.
5. Mereka tidak mengingati Allah SWT pun dalam solat, melainkan sedikit sahaja. Ini adalah kerana mereka solat itu tidak lain melainkan hanya ingin menunjuk sahaja.
Pengajaran
1. Berhelah atau menipu seseorang dengan menyorokkan kebenaran untuk mendapatkan keuntungan adalah sifat golongan munafik.
2. Munafik adalah orang yang berpura-pura beriman tetapi memiliki niat yang jahat di dalam hatinya.
3. Pentingnya keikhlasan dalam ibadah kepada Allah. Ia mengingatkan kita bahawa solat dan amalan-agama lainnya mestilah dilakukan dengan niat yang ikhlas dan bukan untuk memperlihatkan kepada manusia.
4. Allah mengetahui segala yang tersembunyi, termasuk isi hati manusia. Oleh itu, kita diingatkan bahawa kita tidak dapat menyembunyikan niat kita daripada Allah.
5. Amalan tidak hanya dilihat dari tindakan lahiriah tetapi juga dari niat di dalam hati. Oleh itu, kita diingatkan untuk menjaga agar niat agar selalu bersih dan tulus dalam melakukan ibadah dan amalan seharian.
Peringatan
1. Kalau kita solat dengan malas, kita pun mempunyai sifat munafik. Maka kenalah periksa perasaan kita semasa kita hendak memulakan solat itu: adakah kita rasa berat sahaja atau kita suka untuk solat? Kalau ada perasaan malas, maka ada sifat munafik dalam diri kita.
2. Riak adalah masalah hati yang bahaya. Bukan dalam solat sahaja kita dilarang dari menunjuk-nunjuk, tapi dalam segala amal ibadat. ‘Riak’ itu maksudnya menunjuk-nunjuk kepada orang lain, supaya mereka mendapat pujian dari mereka. Sedangkan sepatutnya kita mengharapkan pujian dari Allah SWT, bukannya dari manusia.
3. Kalau orang yang solat kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia, mungkin mereka akan mendapat apa yang mereka inginkan itu. Mungkin mereka solat dengan lama dan kerana itu mereka akan mendapat pujian dari orang. Tetapi mereka tidak akan mendapat bahagian dari akhirat. Di dalam sebuah hadis disebutkan: "Barang siapa yang memperdengarkan, maka Allah akan memperdengarkan tentangnya, dan barang siapa yang memperlihatkan (riya’), maka Allah akan memperlihatkan tentangnya." (HR Bukhari #6018)
4. Bagaimana kita hendak tahu yang kita ikhlas atau tidak ketika dalam solat kita? Bandingkan solat kita kalau sendirian dan kalau di hadapan orang lain. Kalau di hadapan orang lain lagi bagus kita solat, maka kita ada masalah.
5. Menurut Tafsir Al-Munir, hukuman orang Munafik adalah berada di bahagian bawah neraka iaitu Neraka Hawiyah.
Petunjuk dan Tindakan Beramal
1. Jauhilah perilaku munafik atau berpura-pura dalam ibadah. Bukan sekadar penampilan lahiriah yang penting, tetapi juga kejujuran dan ketulusan di dalam hati. Apabila kita melakukan ibadah dengan ikhlas, kita akan khusyuk dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah.
2. Jelas bahawa Allah mengetahui segala sesuatu, termasuk isi hati dan niat kita. Ini menjadi dorongan untuk menjaga khusyuk dalam ibadah kita, karena kita tahu bahwa kita berada di hadapan Allah Yang Maha Mengetahui.
3. Selalu pertimbangkan tujuan sebenar di sebalik setiap ibadah yang kita lakukan. Apakah kita melakukan solat hanya sebagai rutin atau karena cinta dan ketaatan kepada Allah? Kesedaran akan tujuan ibadah kita dapat membantu meningkatkan khusyuk.
4. Usahakan untuk menemukan kegembiraan dan ketenangan dalam ibadah kita. Jika kita merasa senang dalam beribadah, kita akan lebih bermotivasi untuk mendirikan solat.
5. Hendaklah kita mempelajari cara untuk menjadikan solat itu sesuatu yang nikmat bagi diri kita. Kita mestilah sedar yang kita sedang mengadap Allah SWT dan dapat bercakap-cakap dengan Allah SWT dan itu adalah satu nikmat yang amat besar. Perasaan ini hanya dapat diterapkan ke dalam hati kita hanya jika kita mempunyai ilmu.
6. Untuk mendapat kemanisan solat, kita kenalah mempelajari dan mendalami falsafah dan kepentingan solat. Kalau setakat kita mempelajari perbuatan fizikal dalam solat, itu tidak belum dapat mencapai tahap kemanisan solat.
7. Janganlah kita lakukan solat dengan cepat-cepat, seolah-olah solat itu adalah beban yang perlu dilepaskan dengan segera dan rasa ‘gembira’ dan ‘lega’ apabila sudah habis solat. Cuba fikir balik: Adakah kita mempunyai perasaan sebegini?
8. Hendaklah kita faham akan kepentingan solat. Inilah masa bertemu dengan Allah SWT dan mengadu kepadaNya. Tidak melengah-lengahkan solat kerana mementingkan Allah SWT dari perkara-perkara yang lain.
9. Pastikan bahwa kita melakukan ibadah semata-mata karena Allah dan bukan untuk tujuan lain, seperti pujian dari manusia atau motif-motif duniawi.
10. Selalu ingatkan diri kita tentang tujuan sebenarnya dari ibadah kita, iaitu mendekatkan diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya.
11. Selalu refleksi, muhasabah diri kita dan pertimbangkan apakah kita telah mendirikan solat dan hidup sesuai dengan peraturan-Nya. Jika kita merasa melakukan kesalahan, bersedia untuk bertaubat dan memperbaiki diri. “Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).” (An-Nisa’, 4:147)
اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْفَقْرِ وَالْكُفْرِ، وَالْفُسُوقِ، وَالشِّقَاقِ، وَالنِّفَاقِ، وَالسُّمْعَةِ، وَالرِّيَاءِ
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kefakiran, kekufuran, kefasikan, kederhakaan, kemunafikan dan riak.”
Wallahua’lam
Rujukan
1. Nota My #Qurantime
2. 732 Konsep dalam Al-Quran
3. celiktafsir.net
4. Tafsir Al-Munir