Sunday, October 1, 2023

Halaman 404 : Al-'Ankabut, 29:64-69 dan Al-Rum, 30:1-5

PERKATAAN HARI INI 

خَطِفَ Menyambar. 7 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Penjelasan tentang keadaan dunia dan kekacauan kepada orang kafir (29:64-68)
  2. Bersungguh-sungguh pada jalan Allah SWT untuk dipimpin dan mendapat hidayah (29:69)
  3. Berita mengenai perkara ghaib yang akan terjadi pada masa akan datang (30:1-5)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 404. Kita bersyukur dapat bersama al-Quran di halaman terakhir surah al-‘Ankabut dan permulaan surah al-Rum. 

Kita akan berpisah dengan surah al-‘Ankabut. Surah-surah akan datang, lebih pendek-pendek. Ini mengingatkan kita bahawa nafas kita juga semakin lama semakin pendek.

Ayat 29:64

وَمَا هَٰذِهِ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ وَإِنَّ ٱلدَّارَ ٱلْءَاخِرَةَ لَهِىَ ٱلْحَيَوَانُ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).

Pengajaran

  1. Kehidupan di dunia ini adalah ibarat hiburan dan permainan. Maksudnya ia tidak kekal. Kalau gembira pun hanya sekejap. Bila habis tirai dilabuhkan dalam kehidupan ini, kita akan pergi kepada ciri hidup yang sebenar-benarnya di akhirat. 
  2. Kehidupan di dunia hanya sementara. Cabarannya, ramai yang nampak dunia ini lebih dekat, lebih cepat, berbanding dengan ‘darul akhirah’. Sedangkan kehidupan di sana, 'hayawan' kekal, tidak ada letih, tidak ada kotoran, tidak ada tidur. 
  3. Akhirat itulah yang perlu diperjuangkan. Jangan izinkan dunia ini menghalang kita daripada beriman bersungguh-sungguh kerana Allah SWT.

Ayat 29:65

فَإِذَا رَكِبُوا۟ فِى ٱلْفُلْكِ دَعَوُا۟ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ فَلَمَّا نَجَّىٰهُمْ إِلَى ٱلْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ

Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.

Pengajaran

  1. Allah SWT mendedahkan psikologi manusia pada ayat-ayat akhir surah al-'Ankabut ini.
  2. Bila menaiki bahtera dan menghadapi bahaya, mereka memohon pertolongan Allah SWT. Bila sudah selamat, mereka kembali mensyirikkan Allah SWT. 
  3. Jangan main-main bila berada di lautan. 

Ayat 29:66

لِيَكْفُرُوا۟ بِمَآ ءَاتَيْنَٰهُمْ وَلِيَتَمَتَّعُوا۟ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ

(Akibat syirik itu) menjadilah mereka orang-orang yang kufurkan nikmat yang Kami telah berikan kepadanya, dan (menjadi) orang-orang yang hanya dapat bersuka ria di dunia; kemudian mereka akan mengetahui kelak akibat buruk apa yang mereka lakukan.

Pengajaran

  1. Ini adalah teguran kepada orang yang kufur dan juga kepada kita. 
  2. Allah SWT berikan ujian, kecil atau besar adalah untuk kita kembali mentauhidkan kehidupan kita hanya kepada Allah SWT.
  3. Allah SWT sudah memberi kita macam-macam nikmat, maka hendaklah kita bersyukur.
  4. Tidak payahlah hendak mencipta dunia baru seperti duduk di planet Marikh. Kosnya amat tinggi. Baiklah kita gunakan bajet itu untuk tolong orang di atas muka bumi ini. Sebagai orang beriman, tunggu sahaja kehidupan baharu di akhirat kelak.

Ayat 29:67

أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّا جَعَلْنَا حَرَمًا ءَامِنًا وَيُتَخَطَّفُ ٱلنَّاسُ مِنْ حَوْلِهِمْ أَفَبِٱلْبَٰطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَةِ ٱللَّهِ يَكْفُرُونَ

Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah, negeri mereka) tanah suci yang dihormati, lagi aman; sedang orang-orang ramai yang tinggal (dalam daerah-daerah) di sekeliling mereka sentiasa diculik (untuk ditawan atau dibunuh)? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah?

Pengajaran

  1. Ini adalah di Mekah. Di sekitar mereka ada Parsi dan tamadun-tamadun lain dan berlaku macam-macam di sana seperti rompak tetapi Mekah aman dan tidak diserang. 
  2. Ada orang merasakan nasib baik dengan keamanan yang ada. Mereka rasa itu adalah atas usaha mereka dan tidak memberi kredit kepada Allah SWT. Mereka kufur kepada nikmat Allah SWT.
  3. Jangan sampai kita kufur atau memberi kredit itu kepada nenek moyang atau manusia tetapi hendaklah kita memberi kredit kepada Allah SWT. 
  4. Kita bersyukur kerana dalam keadaan yang gawat sekarang ini, kita masih diberi al-Quran yang merupakan satu nikmat yang besar.
  5. Leraikanlah dunia dari menjadi raja di hati kita. Tiada dua cinta dalam satu hati. Boleh dapatkan dunia mengikut keperluan dan keutamaan namun jadikan ia jambatan untuk kita menuju akhirat.

Ayat 29:68

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوْ كَذَّبَ بِٱلْحَقِّ لَمَّا جَآءَهُۥٓ أَلَيْسَ فِى جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْكَٰفِرِينَ

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau mendustakan kebenaran setelah kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?

Pengajaran

  1. Mereka ‘claim’ walau apa pun yang mereka buat, akhirnya akan masuk ke syurga juga.
  2. Mereka merendahkan ancaman Allah SWT atau mendustakan kebenaran. Bila datang nabi, datang al-Quran, datang peringatan mereka remehkan. Ujian yang datang mereka rasakan seperti azab.
  3. Sebenarnya, ujian dan cabaran datang untuk bersihkan kita seperti emas yang dibakar, akhirnya jadi emas yang tulen dan bersih. Tidak payah bakar lagi bila sampai akhirat nanti. Kita akan menjadi orang yang digelar ‘muhsinin’.

Ayat 29:69

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Pengajaran

  1. Ayat ini adalah kesimpulan yang mantap bagi surah al-‘Ankabut. Ini adalah pujukan kepada para sahabat dan juga kepada kita bahawa sesiapa yang bersungguh-sungguh berjihad (tidak berperang), Allah SWT akan memimpin mereka ke jalan-jalan yang diredhaiNya.
  2. Nabi SAW dan para sahabat jihad dengan niat kerana Allah SWT, ikut perintah Allah SWT. Mereka lakukan dengan penuh disiplin. Ini adalah ‘tarbiyah’ di Mekah selama 13 tahun yang membina para sahabat yang utuh bila sampai di Madinah. 
  3. Kalau kita bersungguh-sungguh jihad kerana Allah SWT, manfaatnya, Allah SWT akan bukakan pintu hidayah kepada lorong-lorong kebaikan yang membawa kita kepada ‘sirath’ (highway ke syurga). Contoh: kalau dulu tidak suka al-Quran, Allah SWT akan bawa dia kepada al-Quran. Dulu susah solat, sekarang disiplin solat. Itulah jalan-jalan untuk kita mendekati ‘sirat’ yang membawa kita ke laluan syurga dengan izin Allah SWT.
  4. Hidup kita adalah proses perjalanan untuk bertemu Allah SWT. Hidup kita bukan macam naik lif. Masuk Islam sahaja, terus dapat masuk syurga. Bukan begitu. Hendaklah kita buat baik, beriman dan beramal soleh, dengan izin Allah SWT kita akan bersama dengan nabi-nabi dan orang soleh di akhirat nanti. 
  5. Bagi orang muhsin (yang pure), Allah SWT akan bersama mereka kerana mereka telah diuji berulang kali sehingga bersih.

Surah 30: Al-Rum

Surah ini turun pada tahun kelima kenabian Nabi SAW ketika baginda berumur sekitar 45 tahun. Berlaku satu peristiwa, Parsi mengalahkan Rom. Parsi adalah tamadun berasaskan Majusi menyembah api yang mengalahkan Rom yang beragama Kristian pada waktu itu.

Ayat 30:1


الٓمٓ

Alif, Laam, Miim.

Pengajaran

  1. Hanya Allah SWT yang tahu makna huruf-huruf mukhoto'ah.
  2. Kebanyakan surah yang bermula dengan huruf mukhoto'ah dikuti dengan al-Quran. Tetapi dalam surah al-'Ankabut mengenai ujian, dalam surah al-Rum ini adalah berkaitan dengan berita semasa Rom dikalahkan.
  3. Kita kena tahu berita semasa kerana ia ada kaitan dengan al-Quran yang kita baca. 

Ayat 30:2

غُلِبَتِ ٱلرُّومُ

Orang-orang Rom telah dikalahkan -

Pengajaran

  1. Ini adalah satu berita tentang Rom telah dikalahkan oleh Parsi.
  2. Bila berita Rom kalah, para sahabat terkesan dengan berita tersebut. 

Ayat 30:3

فِىٓ أَدْنَى ٱلْأَرْضِ وَهُم مِّنۢ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ

Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya - 

Pengajaran

  1. Ini adalah berita daripada Allah SWT bahawa selepas itu, Rom akan menang. 
  2. Orang Islam sokong Rom kerana mereka beragama Samawi. Orang Parsi pula beragama Majusi, menyembah api yang melambangkan agama musyrik.

Ayat 30:4

فِى بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ ٱلْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِنۢ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ ٱلْمُؤْمِنُونَ

Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira -

Pengajaran

  1. Allah SWT beritahu bahawa dalam masa kurang dari 10 tahun, Rom akan berjaya kalahkan Parsi. 
  2. Pada masa ayat ini turun, orang Islam amat gembira dengan berita ini. 
  3. Waktu Rom berjaya kalahkan Parsi, orang Islam yang berjuang 13 tahun di Mekah dan 2 tahun di Madinah berjaya kalahkan orang musyrik Mekah dalam perang Badar. 

Ayat 30:5

بِنَصْرِ ٱللَّهِ يَنصُرُ مَن يَشَآءُ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

Pengajaran

  1. Hakikatnya, kemenangan itu adalah dengan pertolongan Allah SWT. Allah SWT tolong sesiapa yang dikehendaki.
  2. Allah SWT berkuasa. Allah SWT boleh buat apa sahaja. Allah SWT sentiasa menjaga hamba yang menjaga Allah SWT. 
  3. Mesejnya: kalau kita selalu menjaga hak Allah, Allah SWT akan bantu. Allah Maha Berkuasa. Selama ini Allah berkuasa, Allah Maha Mengasihani. Pasti Allah SWT akan beri kemenangan kepada umat Islam. Yang pentingnya, kita teruskan perjuangan seperti para sahabat. Ujian tetap ujian, teruskan perjuangan, nanti Allah beri kemenangan.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Sedar hakikat dunia sebagai permainan dan senda gurau - hidup yang tidak kekal (29:64)
  2. Jaga iman sama ada ketika selamat atau dalam bahaya (29:65)
  3. Bersungguh-sungguh mencari hidayah Allah SWT (29:69)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya bersungguh-sungguh mencari hidayahNya.

Saya jelas saya mesti sedar hakikat dunia sebagai permainan dan senda gurau - hidup yang tidak kekal. Saya jelas saya mesti jaga iman sama ada ketika selamat atau dalam bahaya. Saya jelas untuk bersungguh-sungguh mencari hidayah Allah SWT.

Ya Allah, kurniakan kami kesedaran bahawa hakikat dunia sebagai permainan dan senda gurau - hidup yang tidak kekal. Ya Allah, pimpin kami untuk jaga iman sama ada ketika selamat atau dalam bahaya. Ya Allah, bantu kami untuk bersungguh-sungguh mencari hidayah Allah SWT.

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...