PERKATAAN HARI INI
حَاط / حَوَطَ Menjaga, meliputi. 28 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Menghibur dan menenteramkan hati Nabi Muhammad SAW atas penolakan terhadap dakwah baginda (29:53)
- Fasa dan tahapan dalam kehidupan manusia (29:54)
- Hari kebangkitan dan perbandingannya dengan keadaan dunia (29:55-57)
- Fungsi dan tugas al-Quran dalam memaparkan dalil-dalil tauhid serta perintah kepada Nabi Muhammad SAW agar sabar dalam menghadapi berbagai celaan dalam berdakwah (29:58-60)
- Pengakuan orang Musyrik terhadap Allah SWT Yang Maha Mencipta, Yang Maha Memberi Rezeki dan Yang Maha Menghidupkan (29:61-63)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 403. Kita bersyukur dapat bersama al-Quran di antara halaman-halaman terakhir Surah al-‘Ankabut.
Imam Nawawi menyatakan, paling kurang kita baca sekurang-kurangnya 10 ayat sehari. Ia adalah dos penawar yang penting bagi diri kita. Kalau kita tidak mengamalkannya, lambat-laun kita rasa kita sihat tetapi sebenarnya kita sudah kena kanser spiritual yang kita tidak perasan. Keadaan ini hanya akan dapat dilihat oleh pakar spiritual bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kita.
Ayat 29:53
وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِٱلْعَذَابِ وَلَوْلَآ أَجَلٌ مُّسَمًّى لَّجَآءَهُمُ ٱلْعَذَابُ وَلَيَأْتِيَنَّهُم بَغْتَةً وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan azab (yang dijanjikan); dan kalau tidaklah kerana adanya tempoh yang telah ditetapkan, tentulah azab itu akan datang menimpa mereka; dan azab itu tetap akan datang menimpa mereka secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya.
Pengajaran
- Mereka yang tidak beriman kepada kebenaran amatlah rugi. Mereka meminta mukjizat selain dari al-Quran. Mereka sebenarnya mengundang azab. Al-Quran adalah anugerah Allah SWT.
- Allah SWT sudah tetapkan kiamat pada masa tertentu untuk memberi peluang bagi mereka untuk kembali kepadaNya.
Ayat 29:54
يَسْتَعْجِلُونَكَ بِٱلْعَذَابِ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحِيطَةٌۢ بِٱلْكَٰفِرِينَ
Mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan azab itu, padahal sesungguhnya neraka Jahannam tetap akan meliputi orang-orang yang kafir.
Pengajaran
- Mereka meminta disegerakan azab. Neraka jahanam sebenarnya memang meliputi orang-orang yang kafir.
- Allah SWT memberi pujukan ini kepada para sahabat yang diazab, seperti Khabab, Bilal b Rabbah, Mus'ab b Umair. Umpama ayah yang memujuk adik yang dipukul oleh abangnya.
Ayat 29:55
يَوْمَ يَغْشَىٰهُمُ ٱلْعَذَابُ مِن فَوْقِهِمْ وَمِن تَحْتِ أَرْجُلِهِمْ وَيَقُولُ ذُوقُوا۟ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Pada hari azab itu menyelubungi mereka dari sebelah atas mereka dan dari bawah kaki mereka; dan (malaikat yang melakukannya) akan berkata kepada mereka: "Rasalah kamu (balasan) apa yang kamu telah kerjakan".
Pengajaran
- Pada hari itu, azab menyelubungi mereka dari sebelah atas mereka dan dari bawah kaki mereka.
- Malaikat yang mengazab mereka akan memberi tekanan psikologi dengan berkata kepada mereka: "Rasalah kamu balasan apa yang kamu telah kerjakan".
- Allah SWT memberitahu kepada orang musyrik yang merasakan mereka itu berbuat baik, untuk menerima balasan azab di atas apa yang mereka lakukan kerana tidak bertepatan dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Ayat 29:56
يَٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّ أَرْضِى وَٰسِعَةٌ فَإِيَّٰىَ فَٱعْبُدُونِ
Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Sesungguhnya bumiKu adalah luas (untuk kamu bebas beribadat); oleh itu, (di mana sahaja kamu dapat berbuat demikian) maka hendaklah kamu ikhlaskan ibadat kamu kepadaKu.
Pengajaran
- Ini adalah panggilan pujukan kepada Nabi SAW, para sahabat dan juga kepada kita. Allah SWT memanggil wahai hamba-hambaKu yang disayangi.
- Ini adalah mesej bahawa sudah masanya untuk berhijrah. Kalau di Mekah mereka tidak boleh beriman, mereka dihenyak dan tidak boleh beribadat, maka mereka boleh berhijrah.
- Yang pentingnya kalau tempat kerja atau tempat tinggal kita tidak membolehkan kita beriman, maka berhijrahlah.
- Bumi Allah SWT amat luas. Para sahabat dibenarkan berhijrah ke tempat lain agar mereka bebas beribadat.
- Allah SWT ingatkan, di mana sahaja mereka dapat beribadat, maka hendaklah ibadat itu diikhlaskan kepada Allah SWT.
- Bagi kita, boleh juga berhijrah dari tempat kerja di mana keimanan kita tergugat dan hendaklah dilakukan ikhlas kerana Allah SWT.
Ayat 29:57
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).
Pengajaran
- Kehidupan para sahabat yang berjuang mempertahankan iman itu, setiap helaan nafas mereka sangat bernilai kerana kehidupan mereka sentiasa diancam demi menjaga iman mereka. Mereka boleh memilih sama ada hendak kekal di Mekah atau kena hijrah ke Madinah.
- Hendaklah kita faham bahawa kalau kita dapat al-Quran, sebenarnya ini adalah satu nikmat yang besar. Kita kena perjuangkan, kita kena pastikan ianya kekal kerana kita semua akan kembali kepada Allah SWT.
- Apakah yang kita akan bawa untuk bertemu Allah SWT? Amal yang bersungguh-sungguh atau amal kita yang duduk-duduk, tidak mengajak orang lain kepada perjuangan iman yang ditunjukkan dalam surah ini.
- Perjalanan kita masih jauh. Banyak ‘mehnah dan tribulasi’ yang akan kita lalui. Semoga setiap hela nafas kita disirami dengan ayat-ayat Allah SWT. Tetaplah istiqamah bersama al-Quran.
Ayat 29:58
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَنُبَوِّئَنَّهُم مِّنَ ٱلْجَنَّةِ غُرَفًا تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا نِعْمَ أَجْرُ ٱلْعَٰمِلِينَ
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh.
Pengajaran
- Orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan ditempatkan dalam mahligai-mahligai di Syurga di bawahnya mengalir sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya.
- Inilah janji Allah SWT sebagai semangat kepada sahabat-sahabat yang diseksa kerana mempertahankan iman.
- Ini juga semangat untuk kita terus istiqamah bersama al-Quran, bersabar bersama al-Quran dan menggantungkan segala usaha kita kepada Allah SWT.
Ayat 29:59
ٱلَّذِينَ صَبَرُوا۟ وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
(Iaitu) mereka yang sabar, dan mereka pula berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya.
Pengajaran
- Mereka bersabar dan berserah sepenuh pergantungan kepada Allah SWT.
Ayat 29:60
وَكَأَيِّن مِّن دَآبَّةٍ لَّا تَحْمِلُ رِزْقَهَا ٱللَّهُ يَرْزُقُهَا وَإِيَّاكُمْ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Pengajaran
- Nabi SAW dan para sahabat, pada satu ketika kena embargo. Mereka tidak boleh berjual beli beberapa tahun, sehingga ada yang terpaksa makan akar kayu pada waktu itu.
- Pada masa itu muncul isu rezeki. Maka Allah SWT ingatkan bahawa setiap binatang itu tidak memikul rezekinya, tetapi Allah SWT yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kita.
- Allah Maha Mendengar keperitan yang dialami oleh para sahabat dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka rasakan.
- Ini adalah pengalaman yang mungkin sebahagian daripada kita juga pernah mengalaminya bila tidak ada duit.
- Rupa-rupanya perjuangan para sahabat adalah tanpa makanan yang biasa mereka makan. Mus'ab b Umair adalah anak orang kaya, terkenal, dan tampan, yang sanggup berjuang dan bersusah bersama para sahabat yang diboikot pada waktu itu.
Ayat 29:61
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَسَخَّرَ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?
Pengajaran
- Kalau kita tanya kepada sesiapa pun, "siapa yang mencipta langit dan bumi, yang menyusun semuanya?", mereka akan menjawab Allah SWT. Tetapi bila ditanya sama ada mahu kehidupan mereka disusun dengan peraturan Allah SWT, mereka tidak suka.
- Iman kepada Allah SWT bukan sekadar percaya sahaja, tetapi surah-surah Makkiyyah ini juga mempasakkan kepada kita kesan keimanan. Natijahnya kita kena setuju untuk ikut peraturan Allah SWT yang dimaktubkan dalam al-Quran.
Ayat 29:62
ٱللَّهُ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥٓ إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ
Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (rezeki itu) baginya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Pengajaran
- Allah SWT menyusun rezeki manusia. Ada yang dimewahkan rezekinya dan ada yang disempitkan rezekinya. Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
- Kalau beriman kepada Allah SWT maka kita kena bersetuju untuk ikut peraturan daripadaNya.
Ayat 29:63
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَحْيَا بِهِ ٱلْأَرْضَ مِنۢ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ قُلِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik).
Pengajaran
- Allah SWT tanyakan sekali lagi kepada orang musyrik siapa yang menurunkan hujan dari langit lalu menghidupkan tumbuh-tumbuhan, mereka menjawab Allah SWT.
- Ini menunjukkan yang berkuasa menyusun semua perkara itu adalah Allah SWT.
- Allah SWT bawakan ini agar kita gunakan pemikiran sehingga kita dapat menghargai bahawa rezeki kita semuanya daripada Allah SWT.
- Allah SWT Maha Adil dan al-Quran memperjuangkan keadilan.
- Kita ucapkan Alhamdulillah di atas segala rezeki dariNya. Kesan Alhamdulillah ini kita juga akan bangkit memperjuangkan keadilan seperti Nabi SAW dan para sahabat.
- Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi ia menyebabkan kita memperjuangkan keadilan. Hendaklah kita menegur orang yang zalim supaya jika kita ditanya di akhirat nanti, kita ada jawapan.
RESOLUSI
Ingat!
- Elakkan berdoa memohon azab atau hukuman disegerakan (21:53)
- Selalu melihat peluang terbentang jika ada ujian (29:56)
- Buat persediaan menghadapi kematian (29:57)
Saya berasa lega, Allah SWT beri peluang yang terbentang jika ada ujian.
Saya jelas saya mesti elakkan berdoa memohon azab atau hukuman disegerakan. Saya jelas untuk selalu melihat peluang terbentang jika ada ujian. Saya jelas saya mesti buat persediaan menghadapi kematian.
Ya Allah, jauhkan kami daripada azab atau hukumanMu di dunia dan di akhirat. Ya Allah, kurniakan kemampuan untuk kami selalu melihat peluang terbentang jika ada ujian. Ya Alah, bimbing kami untuk buat persediaan menghadapi kematian.
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.