Sunday, October 1, 2023

Halaman 406 : Al-Rum, 30:16-24

PERKATAAN HARI INI

 صبح Menjadi, memasuki waktu pagi. 45 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Walau menafikan, tetap rasai azab (30:16)
  2. Menyuci dan memuji Allah SWT dalam setiap keadaan (30:17-19)
  3. Beberapa bukti keesaan dan kuasa Allah SWT serta bukti atas terjadinya Hari Berkumpul (30:20-24)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 406. Surah al-Rum ini adalah berkenaan pembinaan tamadun. Allah SWT bawakan bukti demi bukti kebesaran Allah SWT kerana Allah lah yang mengatur segala kebesaran dan kehebatan ini untuk membina tamadun yang berjaya di dunia ini sampai ke akhirat.

Ayat 30:16

وَأَمَّا ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَلِقَآئِ ٱلْـَٔاخِرَةِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ فِى ٱلْعَذَابِ مُحْضَرُونَ

Dan sebaliknya kumpulan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran) serta mendustakan pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap berada dalam azab seksa selama-lamanya.

Pengajaran

  1. Kumpulan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat al-Quran serta mendustakan pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap berada dalam azab seksa selama-lamanya.
  2. Dalam hidup kita ini, kalau kita mendustakan peraturan yang ada, sebenarnya tetap kena azab. Kalau betul-betul tidak tahu, Allah SWT akan memaafkan.   

Ayat 30:17

فَسُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ حِينَ تُمْسُونَ وَحِينَ تُصْبِحُونَ

(Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh.

Pengajaran

  1. Cara untuk dijauhkan dari azab ialah membanyakkan bertasbih kepada Allah SWT pada waktu malam dan waktu pagi. 
  2. Kalau ingin berjaya, solat Subuh jangan diabaikan.

Ayat 30:18

وَلَهُ ٱلْحَمْدُ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَعَشِيًّا وَحِينَ تُظْهِرُونَ

Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala puji (dari sekalian makhlukNya) di langit dan di bumi, dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu zuhur.

Pengajaran

  1. Pujian kepada Allah SWT pada waktu petang dan waktu zuhur. 
  2. Jaga solat sebagai tiang agama untuk mengelakkan daripada terjerumus ke dalam neraka.
  3. Ini adalah solusi yang penting untuk mengelakkan daripada azab dan untuk berjaya dalam kehidupan.

Ayat 30:19

يُخْرِجُ ٱلْحَىَّ مِنَ ٱلْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ ٱلْمَيِّتَ مِنَ ٱلْحَىِّ وَيُحْىِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا ۚ وَكَذَٰلِكَ تُخْرَجُونَ

Ia mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup, serta menghidupkan bumi sesudah matinya; dan sedemikian itulah kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).

Pengajaran

  1. Allah SWT mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati.
  2. Allah SWT mengeluarkan sesuatu yang mati dari sesuatu yang hidup.
  3. Allah SWT menghidupkan bumi sesudah matinya.
  4. Demikianlah kita akan dibangkitkan daripada kubur.
  5. Ayat ini juga dikaitkan dengan kebangkitan sesebuah tamadun apabila ada orang menyeru kepada kebaikan, mencegah daripada kemungkaran.
  6. Apabila dibangkitkan daripada kubur, berjaya atau tidak seseorang itu, bergantung kepada bagaimana dia menghargai kepada Allah SWT yang amat berkuasa.
  7. Semoga kita diberi rahmat oleh Allah SWT, berjaya di dunia sampai ke akhirat.
  8. Allah SWT suruh kita perhatikan bagaimana Dia mengeluarkan kehidupan daripada mati. Contohnya daripada biji benih yang tidak hidup keluar pokok.
  9. Dengan ayat al-Quran, hati kita dihidupkan sehingga bangkit untuk membina keluarga dan tamadun yang boleh membantu kepada ramai orang.
  10. Perkataan dikeluarkan dan dihidupkan ini amat menarik. Yang paling pastinya, yang mengeluarkan dan yang menghidupkan adalah Allah SWT. 
  11. Sesuatu tamadun itu akan naik, akan hidup, akan berjaya, sebenarnya adalah dengan izin daripada Allah SWT. Syaratnya, kita dapat menghargai kepada ayat-ayat Allah SWT.

Ayat 30:20

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ إِذَآ أَنتُم بَشَرٌ تَنتَشِرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.


Pengajaran

  1. Di antara tanda-tanda kekuasaan Allah SWT ialah Dia ciptakan kita daripada debu. 
  2. Setelah sempurna peringkat-peringkat kejadiannya, manusia hidup bertebaran di muka bumi.
  3. Allah SWT suruh kita tengok kejadian diri kita supaya kita jangan sombong. Bila sedar kita daripada debu, kita tidak mudah bongkak bila berjaya dalam kehidupan kita.

Ayat 30:21

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Pengajaran

  1. Ayat ini bercakap tentang pembinaan keluarga. Apabila sesuatu keluarga dapat mencapai sakinah (tenteram), maka bagusnya sebuah rumah itu, akan memberi kesan kepada komuniti, memberi kesan kepada negeri dan negara. 
  2. Kalau sesuatu negara mahu kepimpinannya bagus, sebenarnya asasnya itu bermula daripada rumah tangga yang sakinah, bukannya bergaduh atau saling tidak puas hati yang akan terjelma dalam sesebuah tamadun yang rosak.
  3. Tamadun sesebuah negara dapat dibina oleh sebuah keluarga yang sakinah.
  4. Tiga fungsi pasangan:
    • Untuk mencapai ketenangan. Ketenangan ada dua; ketenangan masa iaitu di waktu malam, dan pasangan. Kalau sesebuah keluarga tidak memanfaatkan masa malam dan pasangannya, sebuah rumah tangga itu akan hancur. Contoh: Kalau seseorang itu kerja siang malam, langsung tidak berhenti waktu malam, dia akan ‘breakdown’, stres. Kalau dia ada pasangan, tetapi tidak sakinah dengan pasangannya pada waktu malam, ia akan menyebabkan keluarga berantakan yang akan memberi kesan kepada pejabat, negeri dan negara.
    • Mawaddah iaitu kecintaan yang melampau. 
    • ‘Rahmah’ iaitu kasih sayang tanpa syarat semasa pasangan sakit, atau sudah tua.
  5. Pada peringkat awal perkahwinan, sakinah dan mawaddah banyak. Semakin lama membina rumah tangga, sakinah dan mawaddah mungkin berkurang tetapi ‘rahmah’ kena bertambah. Kalau ‘rahmah’ tidak bertambah, sebuah rumah tangga akan berantakan dan ia akan memberi kesan kepada sebuah pejabat, negeri dan negara.

Ayat 30:22

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦ خَلْقُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَٰنِكُمْ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّلْعَـٰلِمِينَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.

Pengajaran

  1. Ayat 21 berkenaan keluarga, ayat ini berkenaan komuniti dan alam sekitar kita.
  2. Allah SWT suruh kita perhatikan kejadian langit dan bumi, juga perbezaan bahasa dan warna kulit. 
  3. Bercakap mengenai membina tamadun, seseorang itu akan dapat menghargai kehebatan Allah SWT pada alam mayapada ini dan dia akan memanfaatkan dengan baik. Selain itu, dia akan belajar banyak bahasa dan dia akan menghargai berbagai bangsa, baru boleh menjadi tamadun yang berjaya. 

Ayat 30:23

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦ مَنَامُكُم بِٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱبْتِغَآؤُكُم مِّن فَضْلِهِۦٓ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَسْمَعُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).

Pengajaran

  1. Salah satu daripada tabiat akhlak tamadun yang hebat ialah apabila kita menghargai malam untuk tidur. 
  2. Tamadun yang rosak ialah apabila malamnya itu digunakan untuk kerja ataupun berhibur sehinggakan terbalik, siang pula dia tidur. Tamadun yang mengganggu malam dan siang akhirnya hancur.
  3. Malam perlu digunakan untuk bertenang dalam hidup.
  4. Allah SWT suruh kita dengar betul-betul perintah dalam ayat ini bahawa malam adalah masa untuk tidur. Tidur ini banyak manfaatnya. Proses penyahtoksik, penyembuhan dan lain-lain dengan izin daripada Allah SWT.
  5. Kajian tidur ini penting supaya kita betul-betul menghargai waktu malam dan tidur.
  6. Siang untuk mencari kurniaan daripada Allah SWT. Kurniaan Allah SWT ada dua; kurniaan di dunia dan satu lagi kurniaan di akhirat. Kita disuruh cari bahagian di akhirat, tetapi jangan lupa bab dunia kita. Jangan sampai cari dunia sahaja sehingga bab akhirat diabaikan. Dua-dua kena dicari. 
  7. Itulah peranan bagi sebuah tamadun yang berjaya yang sentiasa peka kepada polisi-polisi yang menyebabkan seseorang itu kena kerja terlampau lama atau suami isteri kena berpisah sehingga tidak mampu untuk membina keluarga yang bahagia.

Ayat 30:24

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦ يُرِيكُمُ ٱلْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا وَيُنَزِّلُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَيُحْىِۦ بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَآ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.

Pengajaran

  1. Allah SWT juga suruh kita fikirkan tentang kilat yang menakutkan dan hujan yang turun dari langit memberi harapan untuk menghidupkan bumi sesudah matinya.
  2. Wahyu datang dalam bentuk yang menakutkan dan juga harapan. Seseorang yang dapat wahyu daripada Allah SWT yang turun daripada langit yang sama itu akan hidup hatinya, hidup hati-hati keluarganya, maka jadilah sebuah tamadun. Inilah cara membina tamadun dalam surah al-Rum ini.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Yakin janji Allah SWT bahawa azab untuk yang kufur (30:16)
  2. Banyakkan bertasbih dan memuji Allah SWT pagi dan petang (30:17-18)
  3. Bina kasih sayang dan rahmat dalam hidup berkeluarga (30:21)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan untuk bina kasih sayang dan rahmat dalam hidup berkeluarga.

Saya jelas saya mesti yakin janji Allah SWT bahawa azab untuk yang kufur. Saya jelas untuk membanyakkan bertasbih dan memuji Allah SWT pagi dan petang. Saya jelas untuk bina kasih sayang dan rahmat dalam hidup berkeluarga.

Ya Allah, jauhkan kami daripada menjadi orang yang kufur kerana kami yakin janjiMu bahawa azab untuk mereka. Ya Allah, ingatkan kami untuk membanyakkan bertasbih dan memujiMu pagi dan petang. Ya Allah, bimbing kami untuk bina kasih sayang dan rahmat dalam hidup berkeluarga.

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...