PERKATAAN HARI INI
ناب / نوب Kembali. 18 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Beberapa bukti keesaan dan kuasa Allah SWT serta bukti atas terjadinya hari Mahsyar (30:25-27)
- Pengukuhan keesaan Allah SWT dengan dalil dan bukti daripada realiti manusia (30:28-29)
- Perintah untuk mengikuti agama Islam yang merupakan agama fitrah dan tauhid (30:30-32)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 407.
Ayat 30:25
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَن تَقُومَ ٱلسَّمَآءُ وَٱلْأَرْضُ بِأَمْرِهِۦ ۚ ثُمَّ إِذَا دَعَاكُمْ دَعْوَةً مِّنَ ٱلْأَرْضِ إِذَآ أَنتُمْ تَخْرُجُونَ
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Ia menyeru kamu dengan satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta merta keluar (dari kubur masing-masing).
Pengajaran
- Allah SWT mengajak kita untuk melihat tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dengan melihat langit dan bumi.
- Keimanan kepada Allah SWT bukan sekadar cakap di mulut, tetapi mereka tidak mahu mengambil kesan daripada keimanan itu. Kalau Allah SWT sudah susun alam ini cantik-cantik, kita sepatutnya bersyukur sangat. Maka kita juga bersedia untuk disusun oleh Allah SWT pada setiap apa yang diseru kepada kita.
- Allah SWT mengingatkan kepada kita, apabila sampai satu masa nanti dipanggil dengan tiupan sangkakala oleh Israfil semua orang akan keluar daripada kubur masing-masing pergi bertemu Allah SWT.
- Allah SWT yang mendirikan segala-galanya, maka mudah bagi Allah SWT untuk membangunkan kita daripada kubur. Kalau dalam kehidupan ini kita tidak mendirikan apa yang Allah SWT seru; solat, membaca al-Quran, membayar zakat, nanti tidak boleh lagi berdalih.
Ayat 30:26
وَلَهُۥ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ كُلٌّ لَّهُۥ قَـٰنِتُونَ
Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaanNya, masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturanNya.
Pengajaran
- Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaan Allah SWT.
- Masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturanNya.
- Keluar daripada kubur adalah saat yang mendebarkan. Bila waktu kematian tiba, tidak boleh lagi kembali ke dunia ini.
- Hendaklah kita selalu menyahut seruan Allah SWT untuk solat, membaca al-Quran dan berbuat kebaikan.
- Kalau kita berbuat kesilapan, cepat-cepat istighfar kepada Allah SWT.
Ayat 30:27
وَهُوَ ٱلَّذِى يَبْدَؤُا۟ ٱلْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُۥ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ ۚ وَلَهُ ٱلْمَثَلُ ٱلْأَعْلَىٰ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Dan Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan kita betapa mudahnya Dia menguruskan segala yang ada di langit dan bumi.
- Untuk membina tamadun, kita perlu menggunakan akal kita melihat kebesaran Allah SWT dan kita tahu tamadun akan dinaikkan kalau kita menggunakan akal bagi menghargai tauhid.
- Allah SWT yang memulakan penciptaan, kemudian mengulangnya.
- ‘Point’nya, memulakan adalah lebih sukar sebenarnya. Untuk ulang adalah lebih mudah bagi kita. Dan lebih daripada itu, bagi Allah SWT mencipta kita kemudian mengulangnya adalah mudah bagi Allah SWT.
- Orang-orang yang kufur mempersoalkan tentang hari akhirat.
- Perumpamaan bagi Allah SWT adalah melampau. BagiNya sifat yang tertinggi di langit dan di bumi.
- Allah SWT juga Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. Allah SWT memberi peluang kepada kita untuk membaiki amalan seharian. Perhati kesan perbuatan kita sampai ke akhirat.
Ayat 30:28
ضَرَبَ لَكُم مَّثَلًا مِّنْ أَنفُسِكُمْ ۖ هَل لَّكُم مِّن مَّا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُم مِّن شُرَكَآءَ فِى مَا رَزَقْنَـٰكُمْ فَأَنتُمْ فِيهِ سَوَآءٌ تَخَافُونَهُمْ كَخِيفَتِكُمْ أَنفُسَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Ia mengemukakan kepada kamu satu misal perbandingan dari keadaan diri kamu sendiri, iaitu: Relakah kamu menerima sebahagian dari hamba-hamba abdi yang kamu miliki itu menjadi rakan kongsi kamu pada harta benda yang Kami telah kurniakan kepada kamu, supaya dengan penerimaan kamu itu, mereka dengan kamu menjadi sama-sama berhak padanya, sehingga kamu pun tidak berani (menguruskan harta benda itu dengan tiada persetujuan) mereka, sebagaimana kamu tidak berani (berbuat demikian dengan orang-orang yang berkongsi dengan kamu - yang setaraf dengan) diri kamu? Demikianlah Kami menjelaskan keterangan-keterangan satu persatu bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahaminya.
Pengajaran
- Untuk membina tamadun, kita kena fikir tahap tinggi. Contoh: Tengok burung, dapat bina kapal terbang.
- Dalam ayat ini Allah SWT bawa perumpamaan manusia. Kebimbangan kita untuk menguruskan harta kepunyaan kita, tidak sama dengan pembantu/staf kita.
- Mesejnya: bab rezeki kita, yang menguruskan betul-betul adalah Allah SWT kerana kita adalah milikNya. Macam mana pun kita fikir tentang rezeki kita, yang berkuasa adalah Allah SWT. Dia yang memulakan setiap penciptaan.
- Ekonomi kita jangan dibimbang sangat. Serahkan diri kepada Allah SWT. Jangan menyamakan kita dengan Tuhan, padahal Tuhan berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
- Asas membina tamadun adalah tauhid.
Ayat 30:29
بَلِ ٱتَّبَعَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ أَهْوَآءَهُم بِغَيْرِ عِلْمٍ ۖ فَمَن يَهْدِى مَنْ أَضَلَّ ٱللَّهُ ۖ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ
Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab.
Pengajaran
- Apabila mengikut hawa nafsu tanpa ilmu yang benar daripada Allah SWT, ia membawa kita turun.
- Berbuat zalim boleh membawa seseorang jatuh seperti sejarah Nabi Adam AS.
- Dosa atau perkara kezaliman yang kita buat dalam kehidupan ini, akan menjatuhkan kita ke bawah.
- Sesebuah tamadun jatuh bukanlah kerana tiada sumber ekonomi atau tiada kepakaran tetapi kerana kezaliman itu sendiri.
- Pemimpin kena jaga amanah, jangan zalim ikut hawa nafsu sendiri. Kita telah belajar Firaun ada kuasa, ikut hawa nafsunya, hancur. Qarun ada harta, salah guna harta, menunjuk-nunjuk, hancur.
- Bila kita tidak mendapat hidayah dan pertolongan daripada Allah SWT, seorang ayah ibu mungkin akan menjatuhkan sebuah keluarga. Dalam sebuah organisasi, negara, kalau tidak dapat hidayah dengan ilmu yang benar, tidak dapat pertolongan daripada Allah SWT, hancur. Tetapi dengan pertolongan Allah SWT para sahabat menang dalam Perang Badar walaupun hanya 313 orang sahaja pada waktu itu.
Ayat 30:30
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Pengajaran
- Untuk mendapat pertolongan daripada Allah SWT, hendaklah kita menghadapkan wajah hanya kepada agama yang lurus iaitu kepada agama Islam ini.
- Tidak perlulah kita mencari kehidupan di planet lain. Kesian kepada mereka yang tidak ada al-Quran kerana mereka tidak tahu tentang akhirat. Mereka pergi kaji planet lain untuk buat kehidupan yang lain.
- Fitrah Allah SWT itu adalah sesuatu yang Allah SWT sudah masukkan dalam hati kita setiap insan seperti yang dinyatakan dalam surah al-A'raf ayat 172 berkenaan pertanyaan dalam alam roh, "Bukankah Aku Tuhan kamu?", maka semua roh menjawab, "Benar, kami menjadi saksi".
- Fitrah nurani itu; kembali tauhid kepada Allah SWT, berbuat baik kepada Allah SWT kerana Allah SWT berbuat baik kepada kita, tidak ada perubahan daripada dulu sampai sekarang.
- Inilah agama yang lurus tetapi ramai yang tidak tahu kerana tidak ada ilmu yang datang daripada al-Quran. Al-Quran ini adalah ‘password’ untuk membuka fitrah dalam diri kita. Nur dalam diri kita bercampur dengan nur daripada al-Quran maka akan jadi nur 'ala nur.
- Kita boleh kembali kepada Allah SWT dengan suluhan cahaya daripada al-Quran.
Ayat 30:31
مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَٱتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَلَا تَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ
Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya; dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna; dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik -
Pengajaran
- Hendaklah kita sentiasa rujuk kembali kepada Allah SWT, bertakwa, mendirikan solat dan jangan menjadi orang-orang yang musyrik.
- Al-Quran akan membawa seseorang itu kembali kepada fitrah.
Ayat 30:32
مِنَ ٱلَّذِينَ فَرَّقُوا۟ دِينَهُمْ وَكَانُوا۟ شِيَعًا ۖ كُلُّ حِزْبٍۭ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman ugama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu).
Pengajaran
- Orang musyrik itu adalah mereka yang memecah belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan.
- Fitrahnya Islam, tetapi jadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Asalnya hendak buat ibadat, tetapi kerana tidak guna panduan al-Quran, akhirnya terkunci dengan fahaman dan amalan yang terpesong.
RESOLUSI
Ingat!
- Yakin dan buat persediaan apabila diri dibangkitkan semula (30:25)
- Sentiasa tunduk dan siap siaga dengan perintah Allah SWT (30:26)
- Yakin Allah SWT amat berkuasa dan cara Allah SWT kendalikan urusan adalah melangkaui batas makhluk (30:27)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya buat persediaan untuk dibangkitkan semula.
Saya jelas saya mesti yakin dan buat persediaan apabila diri dibangkitkan semula. Saya jelas untuk sentiasa tunduk dan siap siaga dengan perintah Allah SWT. Saya jelas saya mesti yakin Allah SWT amat berkuasa dan cara Allah SWT kendalikan urusan adalah melangkaui batas makhluk.
Ya Allah, bimbing kami untuk buat persediaan untuk dibangkitkan semula. Ya Allah, jadikan kami orang yang sentiasa tunduk dan siap siaga dengan perintahMu. Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami bahawa Engkau amat berkuasa.
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.