PERKATAAN HARI INI
عَظُمَ Menghargai, membesarkan. 128 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Kisah Luqman al-Hakim dan wasiat kepada puteranya (31:12-19)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 412 surah Luqman. Hari ini kita akan melihat nasihat-nasihat daripada seorang individu yang diberikan hikmah oleh Allah SWT. Semoga kita diberikan hikmah oleh Allah SWT dengan kita selalu berinteraksi dengan kitab al-Quran yang penuh hikmah.
Kita hendak melihat nasihat yang ada pada halaman ini yang penting bagi ibu ayah memahami tentang perkara ini.
Ayat 31:12
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا لُقْمَـٰنَ ٱلْحِكْمَةَ أَنِ ٱشْكُرْ لِلَّهِ ۚ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Pengajaran
- Allah SWT memberikan hikmah kepada Luqman, seorang yang hidup beberapa ribu tahun yang lepas. Ada yang mengatakan dia adalah seorang kulit hitam. Ada yang mengatakan dia adalah tukang kayu. Itu tidak penting tetapi yang penting namanya Luqman. Ia diberikan hikmah oleh Allah SWT.
- Penting dimaklumi bahawa hikmah itu bukanlah diusahakan oleh Luqman tetapi ia adalah anugerah daripada Allah SWT. Mengiktiraf Allah SWT sebagai pemberi anugerah adalah penting bagi segala nikmat yang kita ada.
- Luqman mendapat hikmah ini dengan berinteraksi dengan wahyu yang mempunyai hikmah di dalam kehidupan. Bila kita baca al-Quran berulang kali, kita sebenarnya sedang mencedok hikmah kepada diri kita.
- Puncak kepada hikmah ialah apabila seseorang itu bersyukur kepada Allah SWT. Kalau belajar tinggi, banyak ilmu, kalau kita tengok akhlaknya itu mampu bersyukur.
- ‘Syakara’ bila diterbalikkan perkataan itu ia jadi ‘syaraka’. ‘Syaraka’ ialah orang yang memberi pujian kepada tempat yang salah iaitu syirik. ‘Syakara’ ataupun syukur ialah orang yang memberi pujian kepada tempat yang betul. Segala nikmat yang ada dalam diri kita ini, sebenarnya hanya layak pujian itu kepada Allah SWT.
- Orang bersyukur itu adalah orang yang memberi kesan kepada dirinya. Orang yang ucapkan terima kasih itu dia yang dapat manfaat terlebih awal berbanding dengan orang yang diucapkan terima kasih tersebut.
- Apabila kita bersyukur kepada Allah SWT, sebenarnya ia bukan untuk Allah SWT, tetapi kesannya itu kepada diri kita sendiri. Kalau seseorang itu kufur kepada sesuatu nikmat, maka sesungguhnya Allah SWT itu ‘Ghaniy’ (Allah Maha Kaya). Allah SWT tidak perlu kesyukuran daripada kita untuk solat, untuk kita baca al-Quran dan lain-lain. Allah SWT adalah ‘Hamid’, iaitu Maha Terpuji. Allah SWT tetap juga dimuliakan, tetap dipuji oleh makhluk seluruh dunia, walaupun kita tidak bersyukur kepada Allah SWT.
- Pelajaran: Pastikan kita hari ini senaraikan tiga empat perkara yang kita syukur. Ciri orang beriman dia syukur, ciri orang tidak beriman dia kufur. Orang yang kufur ini dia putus asa daripada rahmat Allah SWT. Kesannya bila berhadapan dengan sesuatu cabaran, dia tetap fokus kepada yang tidak baik. Orang yang ada hikmah walaupun ujiannya amat perit, dia masih fokus kepada kebaikan yang Allah SWT anugerahkan. Itu memberi kesan kepada kita.
Ayat 31:13
وَإِذْ قَالَ لُقْمَـٰنُ لِٱبْنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَـٰبُنَىَّ لَا تُشْرِكْ بِٱللَّهِ ۖ إِنَّ ٱلشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".
Pengajaran
- Ini adalah frasa yang hebat. Allah SWT suruh kita ‘flashback’ semula sejarah bagaimana seorang ayah sedang bercakap kepada anaknya. Semoga ayah-ayah yang memberi nasihat kepada anak mencapai standard ayat ini.
- Ayat ini memberi perhatian kepada ayah, tidak diberi perhatian kepada anak. Mesejnya, sebagai ayah, kena cari peluang/ruang untuk bercakap dengan anak. Kalau ayah mempunyai hubungan yang baik dengan anaknya dia dapat cakap dengan anaknya.
- Mengikut sunah, tidak elok memberi nasihat masa anak tengah makan. Nasihat mesti diberi pada masa yang sesuai atau apabila diminta.
- يَعِظُهُۥ وَهُوَ menunjukkan nasihat ini diberi semasa anak bersama ayah atau semasa anak memerlukan pertolongan atau minta nasihat daripada ayah.
- Luqman memberi nasihat kepada anaknya supaya jangan mensyirikkan Allah SWT. Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang paling besar.
- ظُلْمٌ ialah kegelapan yang menyebabkan kita stres. Bila buat dosa, kita akan makin stres seperti yang berlaku kepada Nabi Adam AS sehingga baginda berdoa.
- Punca stres paling tinggi ialah syirik kepada Allah SWT. Kembalikan pujian kepada empunya iaitu Allah SWT untuk elak stres.
Ayat 31:14
وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَـٰلُهُۥ فِى عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِى وَلِوَٰلِدَيْكَ إِلَىَّ ٱلْمَصِيرُ
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
Pengajaran
- Allah SWT mewasiatkan supaya manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.
- Ibunya telah mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan.
- Orang yang bersyukur dia tidak minta orang lain bersyukur kepadanya. Dia hanya bersyukur kepada Allah SWT. Dia tidak mengungkit apa yang telah dibuat.
- Luqman bukanlah orang mengungkit, maka Allah SWT yang memberikan wasiat supaya jaga betul-betul hak ibu bapa.
Ayat 31:15
وَإِن جَـٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشْرِكَ بِى مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِى ٱلدُّنْيَا مَعْرُوفًا ۖ وَٱتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَىَّ ۚ ثُمَّ إِلَىَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaul lah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
Pengajaran
- Jika ibu bapa mendesak supaya mensyirikkan Allah SWT, janganlah kita taat.
- Bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik.
- Kita akan dikembalikan kepada Allah SWT, maka Allah SWT akan perhatikan apa yang telah kita buat.
- Ini adalah nasihat daripada Allah SWT kepada anak agar anak menjadi orang yang berhikmah dan bersyukur. Orang yang bersyukur tidak suruh orang taat kepadanya.
Ayat 31:16
يَـٰبُنَىَّ إِنَّهَآ إِن تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ فَتَكُن فِى صَخْرَةٍ أَوْ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ أَوْ فِى ٱلْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ
(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.
Pengajaran
- Menyambung nasihat Luqman. Luqman memanggil anaknya dengan panggilan manja, dengan nada kasih sayang. Inilah lambang hikmah.
- Ini adalah nasihat daripada Luqman untuk melambangkan muraqabah Allah SWT. Anak bila diajar jangan syirik, seterusnya dia kena rasa bahawa Allah SWT itu amat dekat. Allah itu Latif, Allah amat seni.
- Apa sahaja yang ada dalam diri kita, dalam hati kita, ketika orang lain tidak nampak apa yang dilakukan, sebenarnya Allah SWT amat mudah untuk nampak walaupun sebesar biji sawi di dalam batu yang besar.
- Ini adalah satu peringatan untuk anak, untuk kita semua bahawa sebenarnya apa sahaja yang ada dalam hidup ini perlu diuruskan secara Latif, secara seni, amat ‘detail’, dan amat merasakan bahawa Allah SWT mengetahui perkara tersebut.
- Bila perasaan ini muncul, anak ini akan dibekalkan dengan tauhid, integriti. Bila dia berada di sekolah, bekerja, dia bukan sekadar seorang yang berusaha baik bila di depan orang ramai tetapi di belakang orang juga baik.
Ayat 31:17
يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
Pengajaran
- Seseorang yang sensitif dengan Allah SWT, akan mendirikan solat.
- Kalau solat didirikan dengan betul, hasilnya seseorang itu akan perjuangkan kebaikan dan melarang daripada perbuatan yang mungkar. Anak yang solat menjadi pemberani kerana dia ada Allah SWT. Dia sedar Allah SWT tahu walaupun sebesar biji sawi.
- Untuk memperjuangkan kebaikan memang ada cabaran. Maka bersabarlah atas apa ujian yag melanda. Hendak buat kebaikan memang berat tetapi ia berbaloi kerana ia adalah ciri nabi-nabi Ulul Azmi.
- Inilah standard yang perlu kita ikut untuk mendidik anak iaitu solat dan memperjuangkan keadilan.
Ayat 31:18
وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِى ٱلْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
Pengajaran
- Jangan palingkan wajah dan jangan berjalan dengan lagak sombong.
- Allah SWT tidak suka orang-orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.
- Jaga bahasa badan/muka. Ayah boleh nasihat dengan elok.
Ayat 31:19
وَٱقْصِدْ فِى مَشْيِكَ وَٱغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلْأَصْوَٰتِ لَصَوْتُ ٱلْحَمِيرِ
"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".
Pengajaran
- Sederhanakan langkah semasa berjalan.
- Rendahkan suara semasa bercakap, sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.
- Ibu ayah hendaklah sampaikan nasihat kepada anak dengan penuh kasih sayang.
RESOLUSI
Ingat!
- Sentiasa syukur dan yakin ia akan memberi manfaat besar pada diri (31:12)
- Elakkan punca stres paling besar: syirik (31:13)
- Kenang jasa ibu bapa dalam membina sifat syukur kepada Allah SWT (31:14)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan jangan syirik agar terhindar dari stres.
Saya jelas untuk sentiasa syukur dan yakin ia akan memberi manfaat besar pada diri. Saya jelas untuk elakkan punca stres paling besar iaitu syirik. Saya jelas untuk kenang jasa ibu bapa dalam membina sifat syukur kepada Allah SWT.
Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa bersyukur dan tingkatkan keyakinan kami bahawa ia akan memberi manfaat besar pada diri. Ya Allah, elakkan kami daripada syirik agar kami terhindar daripada stres. Ya Allah, ampunkan dosa ibu-bapa kami, kurniakan kebaikan kepada mereka di dunia dan di akhirat.
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.