PERKATAAN HARI INI
صَمَّ Menutup, menyumbat, memekakkan telinga. 15 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Angin dan hujan sebagai bukti kebesaran Allah SWT (30:51)
- Menghibur dan menenteramkan hati Nabi Muhammad SAW atas penolakan terhadap dakwah baginda (30:52-53)
- Fasa dan tahap-tahapan kehidupan manusia (30:54)
- Keadaan hari kebangkitan dan perbandingannya dengan keadaan dunia (30:55-57)
- Fungsi dan tugas al-Quran dalam memaparkan dalil ketauhidan serta perintah kepada Nabi Muhammad SAW agar sabar dalam menghadapi berbagai celaan dalam berdakwah (30:58-60)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman akhir surah al-Rum. Surah ini penuh dengan perumpamaan daripada Allah SWT. Allah SWT mendatangkan ayat demi ayat, kebesaran Allah SWT demi kebesaran, untuk kita meningkatkan daya fikir kita dan lebih daripada itu kita dapat melihat kepada apakah formula untuk mencapai kemenangan sesebuah tamadun, negara ataupun negeri.
Pada awal surah ini Allah SWT mengatakan bahawa Rum akan dikalahkan. Kemudian Rum pula mengalahkan Parsi. Pada tahun yang sama, tahun dua hijrah di Madinah, umat Islam berjaya mengalahkan musyrik Mekah dalam Perang Badar.
Kemenangan sesuatu tamadun ada kaitan dengan mengikut panduan daripada Allah SWT.
Ayat 30:51
وَلَئِنْ أَرْسَلْنَا رِيحًا فَرَأَوْهُ مُصْفَرًّا لَّظَلُّوا۟ مِنۢ بَعْدِهِۦ يَكْفُرُونَ
Dan demi sesungguhnya, jika Kami hantarkan angin (menyerang tanaman) lalu mereka melihat tanaman itu menjadi kuning kering, nescaya mereka sesudah itu, terus kembali kufur (tidak mengenangkan nikmat-nikmat Allah serta berputus asa).
Pengajaran
- Menurut Ibnu Hatim dalam tafsir Hamka, ada lapan jenis angin yang disampaikan dalam al-Quran. Empat baik dan empat yang tidak baik.
- Angin yang baik:
- Al-Nasyirat: angin yang menyebarkan rahmat Allah SWT seluas-luasnya
- Al-Mubasyirat: angin yang membawa kegembiraan
- Al-Mursalat: angin yang membawa kebaikan
- Al-Dzariat: angin yang membawa debunga
- Angin yang tidak baik:
- Al-Aqim: yang menyebabkan bunga daripada pokok jatuh
- Al-Sorsoran: yang berputar keras dan menerbangkan rumah dan bangunan
- 'Asif: yang menyebabkan gelombang besar dan lautan menjadi gelap
- Qasif: angin taufan yang akan menenggelamkan kapal
- Angin diutus oleh Allah SWT, dalam masa sama Allah yang sama mengutus rasul kerana Allah SWT hendak kita menghargai kepada rasul.
- Dalam ayat ini Allah SWT menghantarkan angin bahaya (رِيحًا) yang menyebabkan tanam-tanaman menjadi kuning kering.
Ayat 30:52
فَإِنَّكَ لَا تُسْمِعُ ٱلْمَوْتَىٰ وَلَا تُسْمِعُ ٱلصُّمَّ ٱلدُّعَآءَ إِذَا وَلَّوْا۟ مُدْبِرِينَ
(Maka janganlah engkau berdukacita - wahai Muhammad - terhadap keadaan mereka yang demikian), kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berpaling undur (disebabkan keingkarannya).
Pengajaran
- Allah memberikan yang baik pun mereka tidak bersyukur, memberi yang tidak baik pun tidak ambil pelajaran kerana mereka tidak dapat mendengar disebabkan hati mereka pekak. Mereka tidak memahami mesej yang sedang Allah SWT sampaikan di sebalik angin yang dihantar.
- Hati mereka menjadi pekak disebabkan keingkaran mereka.
Ayat 30:53
وَمَآ أَنتَ بِهَـٰدِ ٱلْعُمْىِ عَن ضَلَـٰلَتِهِمْ ۖ إِن تُسْمِعُ إِلَّا مَن يُؤْمِنُ بِـَٔايَـٰتِنَا فَهُم مُّسْلِمُونَ
Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta (matahatinya) supaya menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sedia beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang menurut perintah.
Pengajaran
- Allah SWT juga mengingatkan kepada Nabi SAW bahawa baginda tidak dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta mata hati.
- Hanya orang-orang yang beriman akan mendengar seruan Nabi SAW.
- Pelajaran: Dengan telinga dan mata yang Allah SWT beri, hendaklah kita serah diri kepada Allah SWT. Tengok pasangan dapat ketenangan, dengar pelbagai bahasa dapat merasakan kebesaran Allah SWT, yang menyebabkan kita beriman dan menyerah diri kepada Allah SWT. Inilah yang akan menyebabkan Allah SWT bantu kita untuk membina sesebuah tamadun.
Ayat 30:54
ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنۢ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنۢ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ ۚ وَهُوَ ٱلْعَلِيمُ ٱلْقَدِيرُ
Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan tentang penciptaan diri kita yang bermula dengan keadaan lemah, kemudian Allah SWT menjadikan kita kuat, kemudian Allah SWT menjadikan kita lemah serta tua beruban.
- Allah SWT memperkenalkan sekali lagi tentang kepentingan bertauhid. Allah SWT memperingatkan bahawa kita ini diciptakan. Kesan tauhid ini bukan sekadar mengatakan kita beriman kepada Allah, tetapi kesan daripada beriman kepada Allah ialah kita akan buat yang terbaik seperti mana Allah SWT buat yang terbaik ketika menjadikan kita.
- Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. Allah Maha Mengetahui yang mengajar kita. Kuasa yang kita ada juga dipinjamkan oleh Allah Yang Maha Kuasa kepada kita.
- Dengan ilmu dan kuasa yang Allah SWT beri, janganlah kita salah menggunakannya seperti Qarun dan Firaun. Mereka itu adalah orang-orang yang tidak terkesan walaupun mereka tahu bahawa Allah SWT lah yang mencipta alam ini.
- Allah SWT menyatakan perkara ini untuk kita sedar bahawa Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Kuasa adalah Allah SWT. Ilmu dan kekuatan adalah lambang kepada kemenangan.
- Sesebuah negara, sesebuah tamadun itu menang apabila ia ada ilmu dan kekuatan. Ada masa ia lemah, kemudian ia akan kuat dan kemudian ia akan lemah juga. Itu adalah cara kita memandang diri kita dan kita memandang kepada sesebuah negara.
- Penting sangat seseorang itu beriman kepada Allah SWT, dia akan mengambil pelajaran daripada lemah, kuat, lemah itu untuk membuat persediaan. Bukannya bila tengok sudah lemah, sudah beruban masih tidak ingat akhirat.
Ayat 30:55
وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ يُقْسِمُ ٱلْمُجْرِمُونَ مَا لَبِثُوا۟ غَيْرَ سَاعَةٍ ۚ كَذَٰلِكَ كَانُوا۟ يُؤْفَكُونَ
Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya dari memperkatakan yang benar).
Pengajaran
- Mereka itu tidak terkesan kerana mengambil ringan tentang peristiwa hari kiamat. Mereka merasakan tinggal dalam kubur hanya sekejap sahaja.
- Mereka tidak sedar bahawa sebenarnya mereka itu adalah ditetapkan oleh Allah SWT.
- Mereka hanya pandai jawab bab dunia. Contoh: berapa harga emas naik, berapa diskaun di Shopee. Kalau bab solat, puasa tidak berapa sedar kerana kurang merujuk kepada kitab Allah untuk membuat persediaan menghadapi hari kiamat.
- Semoga dengan kita tilawah al-Quran ini kita sensitif pasal solat, zakat dan persediaan untuk hari akhirat.
Ayat 30:56
وَقَالَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ وَٱلْإِيمَـٰنَ لَقَدْ لَبِثْتُمْ فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْبَعْثِ ۖ فَهَـٰذَا يَوْمُ ٱلْبَعْثِ وَلَـٰكِنَّكُمْ كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman: "Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal - menurut yang terkandung dalam Kitab Allah - sampai ke hari kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan (yang dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui (kebenarannya)".
Pengajaran
- Pada hari kebangkitan, orang-orang yang berilmu dan beriman menempelak kepada orang-orang kafir bahawa inilah hari kebangkitan yang mereka tidak ambil kisah masa di dunia. Mereka tidak cari ilmu tentang hari kebangkitan dan tidak membaca al-Quran.
- Semoga kita dapat mengubah diri dan keluarga jangan sampai kita ditempelak begitu di akhirat nanti.
Ayat 30:57
فَيَوْمَئِذٍ لَّا يَنفَعُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مَعْذِرَتُهُمْ وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ
Maka pada hari itu tidak berguna lagi bagi orang-orang yang zalim, sebarang alasan yang mereka kemukakan untuk melepaskan diri, dan mereka pula tidak diberi peluang untuk memohon keredaan Allah.
Pengajaran
- Pada hari kebangkitan tidak bermanfaat lagi bagi orang-orang yang zalim segala alasan (مَعْذِرَتُهُمْ) yang mereka kemukakan.
- Mereka tidak lagi diberi peluang untuk memohon keredaan Allah SWT.
- Ini adalah amaran kepada kita untuk mengingatkan diri dan ahli keluarga bahawa mencari ilmu dunia adalah penting tetapi ilmu akhirat itu adalah lebih penting. Malah mencari ilmu akhirat ini bukan menidakkan kita belajar sains. Banyak perkara sains yang Allah SWT bawakan dalam surah al-Rum ini.
- Semua perkara dunia adalah menjadi jambatan ke akhirat, sehinggakan mengambil etika daripada al-Quran. Orang yang belajar perkara dunia tanpa ilmu akhirat akan mudah melakukan kerosakan.
- Hendaklah kita menguarkan kepada masyarakat supaya cari ilmu al-Quran. Mereka yang belajar kejuruteraan, perubatan dan lain-lain, akan lebih menghargai ilmu dan kebijaksanaan Allah SWT dalam bidang masing-masing dan akan buat kerja dengan lebih amanah kerana sedar semuanya akan dipersoalkan di hari kebangkitan.
Ayat 30:58
وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِى هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ مِن كُلِّ مَثَلٍ ۚ وَلَئِن جِئْتَهُم بِـَٔايَةٍ لَّيَقُولَنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا مُبْطِلُونَ
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai kisah dan perbandingan di dalam Al-Quran ini; dan demi sesungguhnya jika engkau membawa kepada mereka sebarang keterangan, sudah tentu orang-orang kafir itu akan berkata: "Kamu ini tidak lain hanyalah orang-orang yang membuat dakwaan palsu".
Pengajaran
- Allah SWT memberikan dalam al-Quran ini banyak perumpamaan. Kalau kita faham, kita akan dapat banyak pelajaran.
- Orang-orang yang kafir yang didatangkan ayat-ayat kebesaran Allah SWT ini hanya mengatakan itu adalah dakwaan palsu.
Ayat 30:59
كَذَٰلِكَ يَطْبَعُ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِ ٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Demikianlah Allah meteraikan hati orang-orang yang tidak mahu menerima jalan mengetahui (kebenaran).
Pengajaran
- Mereka bersikap demikian kerana Allah SWT telah mengunci hati mereka kerana mereka tidak ada ilmu.
- Dengan ilmu kita buat persediaan. Orang yang mendapat ilmu daripada al-Quran, hati mereka tidak terkunci. Mereka akan ubah cara hidup, ubah amalan kerana takut nanti diazab oleh Allah SWT.
Ayat 30:60
فَٱصْبِرْ إِنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ ۖ وَلَا يَسْتَخِفَّنَّكَ ٱلَّذِينَ لَا يُوقِنُونَ
Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.
Pengajaran
- Ayat ini memberi semangat kepada Nabi SAW dan kepada kita untuk bersabar mengajak kepada kebaikan.
- Hendaklah kita terus mengingatkan, jangan rasa gelisah kerana sesungguhnya janji Allah SWT itu benar. Inilah caranya untuk membina kejayaan dalam sesebuah negeri, negara.
RESOLUSI
Ingat!
- Ambil pelajaran daripada tumbuh-tumbuhan yang menguning - akan hancur (30:51)
- Yakin dengan kuasa Allah SWT pada setiap sesuatu (30:54)
- Sentiasa merebut peluang taubat setiap hari (30:57)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya rebut peluang taubat setiap hari.
Saya jelas untuk ambil pelajaran daripada tumbuh-tumbuhan yang menguning - akan hancur. Saya jelas saya mesti yakin dengan kuasa Allah SWT pada setiap sesuatu. Saya jelas untuk sentiasa merebut peluang taubat setiap hari.
Ya Allah, bimbing kami untuk ambil pelajaran daripada tumbuh-tumbuhan yang menguning. Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami terhadap kekuasaanMu pada setiap sesuatu. Ya Allah, bantu kami untuk sentiasa merebut peluang taubat setiap hari.
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.