|
Mukadimah
Alhamdulillah, kita
dapat meneruskan pengajian pada halaman 469 Surah Ghafir. Semoga kita terus diberi
kekuatan untuk terus bersama al-Quran. Hidayah diperlukan untuk kita buat
kebaikan dan kita dipimpin untuk istiqomah dalam kebaikan sehingga kita
diizinkan dengan rahmat Allah SWT sampai ke syurgaNya.
Ayat 40:17
ٱلْيَوْمَ تُجْزَىٰ
كُلُّ نَفْسٍۭ بِمَا كَسَبَتْ لَا ظُلْمَ ٱلْيَوْمَ
إِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ
ٱلْحِسَابِ
"Pada hari
ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya; tidak ada
hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan
hisabNya.
Pengajaran
- Ini adalah
amaran daripada Allah SWT. Apa yang kita buat bukan sia-sia dan Allah SWT
akan memberi balasan untuk semuanya. Di akhirat nanti, balasannya adil dan
sangat cepat perhitungannya.
- Di dunia ini, bab
rezeki Allah SWT beri on time. Di akhirat nanti audit Allah SWT juga on time.
- Selama ini kita
كَسَبَتْ iaitu berusaha bersungguh-sungguh
untuk kehidupan. Kita juga mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk masuk ke
syurga Allah SWT.
Ayat 40:18
وَأَنذِرْهُمْ يَوْمَ ٱلْءَازِفَةِ إِذِ ٱلْقُلُوبُ لَدَى ٱلْحَنَاجِرِ كَٰظِمِينَ
مَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنْ حَمِيمٍ وَلَا شَفِيعٍ يُطَاعُ
Dan berilah
amaran (wahai Muhammad) kepada mereka tentang (hari kiamat) yang dekat (masa
datangnya), iaitu ketika hati seseorang merasa resah gelisah, kerana cemas
takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu. (Pada saat itu)
orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh
membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima
pertolongannya.
Pengajaran
- Bila kita
dipanggil kembali oleh Allah SWT, itulah perjalanan ke arah kiamat. Memang
masa itu pendek. Bila kita diberi peluang untuk baca Quran, masih diberi
nafas, itu adalah rahmat daripada Allah SWT.
- Pada hari
kiamat manusia akan rasa amat takut, rasa amat menyesal kerana rasa tidak
cukup apa yang dibuat di dunia. Ini motivasi kepada kepada kita bila rasa
lemah. Semoga Allah SWT beri kekuatan kepada kita untuk tambah amal ibadat. Kalau
kita berkira-kira untuk berinfaq, Allah SWT juga akan berkira-kira dengan
kita di akhirat nanti.
- Tidak ada teman
setia (حَمِيمٍ) bagi orang
yang zalim. Orang yang zalim sehidup
bila waktu senang tetapi bila susah, mereka tidak mampu menjadi kawan yang
membantu sampai di akhirat nanti.
- Hendaklah kita
semak adakah kawan-kawan kita setia sampai ke syurga.
Ayat 40:19
يَعْلَمُ خَآئِنَةَ
ٱلْأَعْيُنِ وَمَا
تُخْفِى ٱلصُّدُورُ
Allah
mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata
seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati.
Pengajaran
- Imam Qurtubi
menyatakan ada satu kumpulan lelaki berjumpa seorang wanita. Allah SWT tahu
apa yang ada di hati mereka.
- Di zaman Nabi
SAW, ada orang yang menggunakan mata mereka sahaja untuk memperlekehkan Nabi
SAW.
- Dalam hidup ini
kita kena jaga pandangan kerana Allah SWT tahu apa yang ada dalam hati kita.
- Orang yang
takut kepada hisab hari akhirat tidak akan menggunakan mata, lisan untuk
berbuat khianat.
Ayat 40:20
وَٱللَّهُ يَقْضِى
بِٱلْحَقِّ وَٱلَّذِينَ يَدْعُونَ
مِن دُونِهِۦ لَا يَقْضُونَ بِشَىْءٍ
إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ
Dan Allah
memutuskan hukum dengan adil, sedang yang mereka sembah yang lain dari Allah
- tidak dapat memberikan sebarang keputusan. Sesungguhnya Allah Dia lah Yang
Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan
bahawa Dia adalah hakim yang menetapkan kebenaran dengan haq.
- Ayat ini
memujuk Nabi SAW untuk teruskan perjuangan. Allah SWT sentiasa melihat
segala-galanya. Kalau kita rasa dizalimi, ingatlah Allah SWT akan menilai
dengan kebenaran.
- Allah Maha
Mendengar Maha Melihat apa yang berlaku. Allah SWT tidak menilai hanya satu
minit, Allah Maha Adil.
- Pelajaran untuk
kita, jangan kita cepat menghukum bila kita melihat apa-apa video yang
ditularkan.
Ayat 40:21
أَوَلَمْ يَسِيرُوا۟
فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟
كَيْفَ كَانَ
عَٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ كَانُوا۟
مِن قَبْلِهِمْ كَانُوا۟
هُمْ أَشَدَّ مِنْهُمْ
قُوَّةً وَءَاثَارًا فِى ٱلْأَرْضِ فَأَخَذَهُمُ
ٱللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ وَمَا كَانَ لَهُم مِّنَ ٱللَّهِ
مِن وَاقٍ
Tidakkah mereka
telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka
memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka?
Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan
tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun
demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah
bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah.
Pengajaran
- Kaum musyrik
Mekah boleh tengok kesan tinggalan dari kaum yang diazab, seperti kaum
Madyan, Aad dan piramid di Mesir. Mereka itu hebat tetapi diazab oleh Allah
SWT kerana kufur kepada Allah SWT.
- Ada masanya
kita rasa boleh terlepas bila kita berbuat dosa. Jika kita ada tersilap,
cepat-cepat istighfar. Dengan kita memahami ayat-ayat yang dibaca, hati kita
akan mudah tersentuh.
- Tidak ada lagi
perlindungan daripada Allah SWT di akhirat. Hendaklah kita jaga diri dan
keluarga kita di dunia ini agar tidak azab di akhirat nanti.
- Semoga kita dapat
buat persediaan untuk menghadapi hari kiamat. Ambil masa untuk muhasabah diri
tentang dosa-dosa kita di bulan Ramadan ini untuk menyucikan jiwa kita.
Ayat 40:22
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ
كَانَت تَّأْتِيهِمْ رُسُلُهُم
بِٱلْبَيِّنَٰتِ فَكَفَرُوا۟ فَأَخَذَهُمُ
ٱللَّهُ إِنَّهُۥ قَوِىٌّ
شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
(Kebinasaan
mereka) yang demikian ialah kerana mereka sentiasa didatangi Rasul-rasul yang
diutuskan kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (hukum-hukum dan
mukjizat) yang jelas nyata, maka mereka kufur ingkar, lalu Allah menyeksa
mereka, sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat lagi Maha berat azab seksaNya.
Pengajaran
- Mereka telah
didatangi oleh rasul-rasul dengan mukjizat-mukjizat yang ada tetapi mereka
kufur, lalu Allah SWT menghukum mereka.
- Allah SWT Maha
Kuat lagi Maha berat azab siksanya. Orang terdahulu lebih kuat daripada kita
dari segi fizikal dan strategi. Tetapi mereka tetap diazab oleh Allah SWT
kerana kekufuran mereka.
- Jangan kita rasa
selamat dengan kesilapan dosa yang ada. Bila ada orang tegur, jangan
memandang enteng teguran tersebut. Jangan kita meremehkan Allah SWT. Semoga
iman kita lebih diatur mengikut panduan al-Quran.
Ayat 40:23
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا
مُوسَىٰ بِـَٔايَٰتِنَا وَسُلْطَٰنٍ
مُّبِينٍ
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan
bukti (mukjizat) yang jelas nyata
Ayat 40:24
إِلَىٰ فِرْعَوْنَ
وَهَٰمَٰنَ وَقَٰرُونَ فَقَالُوا۟
سَٰحِرٌ كَذَّابٌ
Kepada Firaun
dan Haman serta Qarun; maka mereka (menuduhnya dengan) berkata: "Ia
seorang ahli sihir, lagi pendusta!"
Pengajaran
- Allah SWT
bawakan kisah Nabi Musa AS dalam konteks yang menarik. Nabi Musa AS diutuskan
dengan mukjizat kepada Firaun, Haman serta Qarun.
- Mereka menuduh
baginda seorang ahli sihir lagi pendusta.
- Mereka
merancang macam-macam untuk memperlekehkan Nabi Musa AS. Mereka hendak mengatakan
baginda ahli sihir tetapi dikalahkan oleh Allah SWT.
- Kalau ada orang
yang tidak setuju dengan idea yang berteraskan al-Quran, jangan bimbang
kerana Allah SWT akan izinkan ianya berjaya. Ini adalah pujukan kepada Nabi
SAW di Mekah. Semua perancangan orang musyrik gagal dengan bantuan daripada
Allah SWT.
Ayat 40:25
فَلَمَّا جَآءَهُم
بِٱلْحَقِّ مِنْ
عِندِنَا قَالُوا۟ ٱقْتُلُوٓا۟
أَبْنَآءَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟
مَعَهُۥ وَٱسْتَحْيُوا۟ نِسَآءَهُمْ
وَمَا كَيْدُ ٱلْكَٰفِرِينَ
إِلَّا فِى
ضَلَٰلٍ
Setelah Nabi
Musa datang kepada mereka dengan membawa kebenaran dari sisi Kami, mereka
berkata (dengan marahnya): "Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang
beriman yang mengikutnya, dan biarkan hidup anak-anak perempuan mereka".
(Tetapi usaha) dan tipu daya orang-orang kafir itu hanya menyebabkan mereka
tenggelam dalam kesesatan dan kebinasaan sahaja.
Pengajaran
- Nabi Musa AS
dan Nabi Muhammad SAW datang dengan kebenaran dari sisi Allah SWT. Kita
beriman dengan Nabi Muhammad SAW. Kita dijalan benar.
- Mereka dahulu
mahu membunuh anak-anak lelaki dan membiarkan anak-anak perempuan hidup.
Mereka merancang, Allah SWT tahu apa yang mereka rancang dan Allah SWT menyatakan semua itu sia-sia.
- Walau ada orang
hendak menjatuhkan kita, jika kita buat kebaikan atas dasar al-haq, tidak
mampu dijatuhkan kerana Allah SWT akan tolong kita.
- Tipu daya
orang-orang kafir sepanjang zaman akan sia-sia sahaja. Ini memberi semangat
untuk Nabi SAW dan kita meneruskan perjuangan untuk kebenaran.
Puasa Ramadan hadir
kembali
Baca Quran isinya
dipahat
Terus berjuang walaupun
tidak dihargai
Allah Amat
Mendengar Amat Melihat
RESOLUSI
Ingat!
- Berazam meningkatkan amal kebaikan setiap
hari (40:17)
- Jaga pandangan mata dan hati daripada
perkara maksiat (40:19)
- Berjalan, menghayati dan mengkaji kandungan
sejarah dalam al-Quran (40:21)
Saya berasa lega,
Allah SWT ingatkan supaya tingkatkan amal kebaikan setiap hari.
Saya jelas
saya mesti berazam meningkatkan amal kebaikan setiap hari. Saya jelas saya
mesti jaga pandangan mata dan hati daripada perkara maksiat. Saya jelas untuk
berjalan, menghayati dan mengkaji kandungan sejarah dalam al-Quran.
Ya Allah, pimpin
kami meningkatkan amal kebaikan setiap hari. Ya Allah, bimbing kami jaga
pandangan mata dan hati daripada perkara maksiat. Ya Allah, beri kami peluang
berjalan, menghayati dan mengkaji kandungan sejarah dalam al-Quran.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
|