PERKATAAN HARI
SINOPSIS
- Proses hukuman kaum kafir di akhirat (41:21-25)
- Penghalang untuk mendengar ayat suci al-Quran (41:26-29)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 479 Surah Fussilat.
Sempena hari Nuzul Quran, kita ingin memahami proses penurunan al-Quran. Al-Quran turun dari langit atas ke langit bawah sekali gus pada malam Al-Qadar. Turun kepada Nabi Muhammad SAW dari langit bawah secara berperingkat. Surah al-Alaq adalah surah yang pertama turun kepada Nabi Muhammad SAW di Gua Hira' pada 17 Ramadan menurut sebahagian besar ulamak.
Yang pentingnya kita ingin memastikan bahawa al-Quran itu turun kepada hati kita.
Ayat 41:21
وَقَالُوا۟ لِجُلُودِهِمْ لِمَ شَهِدتُّمْ عَلَيْنَا ۖ قَالُوٓا۟ أَنطَقَنَا ٱللَّهُ ٱلَّذِىٓ أَنطَقَ كُلَّ شَىْءٍ وَهُوَ خَلَقَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: "Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit-kulit badan mereka menjawab: "Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata - telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).
Pengajaran
- Bila sampai di akhirat nanti, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka akan menjadi saksi.
- Mereka bertanya kenapa kulit-kulit mereka menjadi saksi. Kulit berkata: "Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata - telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan untuk menerima balasan."
- Peringatan: Kulit kita menjadi saksi atas apa yang kita lakukan semasa di dunia. Harapnya kulit kita bersaksi dengan al-Quran kita gunakan kulit yang ada untuk mendekati al-Quran.
Ayat 41:22
وَمَا كُنتُمْ تَسْتَتِرُونَ أَن يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَآ أَبْصَـٰرُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ وَلَـٰكِن ظَنَنتُمْ أَنَّ ٱللَّهَ لَا يَعْلَمُ كَثِيرًا مِّمَّا تَعْمَلُونَ
"Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu).
Pengajaran
- Orang berdosa tidak boleh bersembunyi daripada penyaksian pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan. Semuanya akan menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan mereka.
- Mereka menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang mereka lakukan secara bersembunyi itu.
- Ingatlah, walau tiada CCTV, kita kena membina integriti kita.
Ayat 41:23
وَذَٰلِكُمْ ظَنُّكُمُ ٱلَّذِى ظَنَنتُم بِرَبِّكُمْ أَرْدَىٰكُمْ فَأَصْبَحْتُم مِّنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ
"Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!"
Pengajaran
- Sangkaan mereka yang demikian terhadap Tuhan telah menjadilah mereka daripada orang-orang yang rugi.
- Allah SWT mengetahui yang besar, yang kecil, semuanya akan dihisab oleh Allah SWT.
- Jangan ambil enteng kesaksian kulit terhadap kebaikan dan keburukan yang kita lakukan.
Ayat 41:24
فَإِن يَصْبِرُوا۟ فَٱلنَّارُ مَثْوًى لَّهُمْ ۖ وَإِن يَسْتَعْتِبُوا۟ فَمَا هُم مِّنَ ٱلْمُعْتَبِينَ
Oleh itu, sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana nerakalah tempat tinggal mereka; dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredaan Allah, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang yang diterima permohonannya.
Pengajaran
- Sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya maka sama sahaja kerana nerakalah tempat tinggal mereka.
- Jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredaan Allah, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang yang diterima permohonannya.
- Neraka itu satu tempat yang lama sebagai satu siksaan kepada orang yang bersabar melakukan keburukan di atas dunia ini.
- Semoga kita bersabar melakukan kebaikan, bukan bersabar melakukan keburukan.
Ayat 41:25
وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَآءَ فَزَيَّنُوا۟ لَهُم مَّا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَحَقَّ عَلَيْهِمُ ٱلْقَوْلُ فِىٓ أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِم مِّنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ خَـٰسِرِينَ
Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).
Pengajaran
- Allah SWT berikan pada setiap orang teman-teman rapat (qarin) dari jin dan manusia, lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka mengenai perkara-perkara yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka.
- Qarin akan hiaskan kalau kita tertinggal dengan perkara-perkara keburukan dan membuatkan rasa cukup dengan amalan yang telah dibuat.
- Tetaplah hukuman atas mereka bersama-sama dengan umat umat yang sesat dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Mereka semuanya adalah golongan yang rugi kerana ikut penasihat qarin.
Ayat 41:26
وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَا تَسْمَعُوا۟ لِهَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ وَٱلْغَوْا۟ فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ
Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!"
Pengajaran
- Ubat untuk melawan qarin ialah al-Quran, tetapi orang-orang yang kafir melarang daripada mendengar al-Quran.
- Mereka membuat bising dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak.
- Kita kena baca dan kaji isi kandungan al-Quran satu demi satu, bukan sekadar kaji kitab kuning.
Ayat 41:27
فَلَنُذِيقَنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ عَذَابًا شَدِيدًا وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَسْوَأَ ٱلَّذِى كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Maka, demi sesungguhnya! Kami akan merasakan orang-orang yang kafir itu azab seksa yang seberat-beratnya, dan Kami akan membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.
Pengajaran
- Allah SWT akan membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.
- Ini amaran dalam hidup kita agar sentiasa mengangkat al-Quran dalam semua aspek kehidupan.
- Al-Quran ubat kepada hati kerana qarin sentiasa meniupkan was-was dalam hati kita untuk melakukan keburukan.
Ayat 41:28
ذَٰلِكَ جَزَآءُ أَعْدَآءِ ٱللَّهِ ٱلنَّارُ ۖ لَهُمْ فِيهَا دَارُ ٱلْخُلْدِ ۖ جَزَآءًۢ بِمَا كَانُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا يَجْحَدُونَ
Demikianlah keadaannya balasan musuh-musuh Allah iaitu neraka; disediakan untuk mereka tempat tinggal yang kekal didalamnya, sebagai balasan bagi perbuatan mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat Kami.
Pengajaran
- Neraka ialah balasan kepada musuh-musuh Allah yang membuat bising, yang cuba melenyapkan Quran.
- Jangan engkar dan degil bila al-Quran dibacakan.
- Jangan percaya kepada falsafah-falsafah yang tidak benar.
- Neraka itu tempat tinggal yang kekal abadi, sebagai balasan bagi perbuatan mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat Allah SWT.
- Semoga kita dijauhkan daripada bisikan qarin yang membawa kepada keburukan.
Ayat 41:29
وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ رَبَّنَآ أَرِنَا ٱلَّذَيْنِ أَضَلَّانَا مِنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ نَجْعَلْهُمَا تَحْتَ أَقْدَامِنَا لِيَكُونَا مِنَ ٱلْأَسْفَلِينَ
Dan orang-orang yang kafir berkata: "Wahai Tuhan kami! Perlihatkanlah kepada kami dua golongan yang telah menyesatkan kami dari jin dan manusia, untuk kami meletakkan mereka di bawah tapak kaki kami, supaya mereka menjadi golongan yang terkebawah dalam kehinaan".
Pengajaran
- Orang-orang yang kafir kecewa apabila ditempatkan di neraka kerana mengikut qarin yang tidak membawa kepada rahmat Allah SWT.
- Mereka menyalahkan qarin yang menyesatkan mereka sedangkan Allah SWT memberi pilihan untuk mereka lakukan kebaikan atau keburukan.
RESOLUSI
Ingat!
- Sentiasa berasa diri diperhatikan dan berbaik sangka kepada Allah SWT (41:22-23)
- Memohon perlindungan agar dijauhkan daripada pengaruh syaitan yang direjam (41:25)
- Berusaha menyampaikan dakwah al-Quran agar tersebar ilmu al-Quran lebih meluas (41:26)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan bahawa kulit-kulit saya menjadi saksi atas segala perbuatan saya semasa di dunia.
Saya jelas saya mesti sentiasa berasa diri diperhatikan dan berbaik sangka kepada Allah SWT. Saya jelas saya mesti memohon perlindungan agar dijauhkan daripada pengaruh syaitan yang direjam. Saya jelas saya mesti berusaha menyampaikan dakwah al-Quran agar tersebar ilmu al-Quran lebih meluas.
Ya Allah, bimbing kami agar berasa diri diperhatikan dan berbaik sangka kepada Mu. Ya Allah, jauhkan kami daripada pengaruh syaitan yang direjam. Ya Allah, pimpin kami menyampaikan dakwah al-Quran agar tersebar ilmu al-Quran lebih meluas.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, ampunkan dosa kami. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami daripada azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.