Saturday, September 9, 2023

Halaman 387 al-Qasas, 28:14-21

 

PERKATAAN HARI INI 


  وَكَزَ  Memukul dengan keras. 

1 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS  


1.     Anugerah kepada Nabi Musa AS (28:14)

2. Tersalah membunuh orang Mesir dan pergi dari Mesir (28:15-21)


Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 387 untuk menyambung kisah Nabi Musa AS yang penuh dengan penerangan yang mendebarkan.

 

Ayat 28:14

 

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُۥ وَٱسْتَوَىٰٓ ءَاتَيْنَٰهُ حُكْمًا وَعِلْمًا وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ

 

Dan ketika Musa sampai ke peringkat umurnya yang cukup kekuatannya dan sempurna, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikian Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

 

Pengajaran

 

  1. Pada halaman lepas kita telah melihat kebimbangan ibu Nabi Musa AS terlerai. Ibu Nabi Musa AS dipertemukan semula dengannya. Nabi Musa AS dibesarkan di istana Firaun selama 30 tahun.
  2. Bila baginda dewasa, Allah SWT memberinya kebijaksanaan dan hikmah kenabian. Perkataan  ٱلْمُحْسِنِينَ  juga kita jumpa di dalam Surah Yusuf. Nabi Yusuf AS adalah moyang Nabi Musa AS.
  3. وَٱسْتَوَىٰٓ bermakna Allah SWT sempurnakan dari fizikal dan ilmu kepada Nabi Musa AS.  Pendidikan Nabi Musa AS tidak sama dengan apa yang didapati oleh Nabi Yusuf AS yang belajar dari ayahnya dan selepas itu, belajar sendiri.
  4. Nabi Musa AS dibesarkan di istana selama 30 tahun dan cara belajarnya tersusun. Baginda mempunyai dua ibu, ibu angkat dan juga ibu sendiri yang kedua-duanya beriman.  Ini adalah tarbiyah Allah SWT sebelum Nabi Musa AS dilantik menjadi rasul. 
  5. Allah SWT beri ganjaran hikmah dan ilmu kepada orang yang berbuat baik. Ini adalah anugerah besar daripada Allah SWT.
  6. Kalau kita berusaha jadi baik, Allah SWT akan beri kita hikmah dan ilmu.  Ini penting untuk kita sebagai pemimpin keluarga, organisasi dan negara. Pemimpin yang tidak ada hikmah dan ilmu, tidak matang dalam membuat sesuatu keputusan.

 

Ayat 28:15

 

وَدَخَلَ ٱلْمَدِينَةَ عَلَىٰ حِينِ غَفْلَةٍ مِّنْ أَهْلِهَا فَوَجَدَ فِيهَا رَجُلَيْنِ يَقْتَتِلَانِ هَٰذَا مِن شِيعَتِهِۦ وَهَٰذَا مِنْ عَدُوِّهِۦ فَٱسْتَغَٰثَهُ ٱلَّذِى مِن شِيعَتِهِۦ عَلَى ٱلَّذِى مِنْ عَدُوِّهِۦ فَوَكَزَهُۥ مُوسَىٰ فَقَضَىٰ عَلَيْهِ قَالَ هَٰذَا مِنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَٰنِ إِنَّهُۥ عَدُوٌّ مُّضِلٌّ مُّبِينٌ

 

Dan masuklah ia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi - seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: "Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya)".

 

Pengajaran

 

  1. Suatu hari Nabi Musa AS masuk ke bandar Mesir dan bertemu dua orang bergaduh. Satu dari Bani Israel dan satu dari golongan Kibti. Orang dari Bani Israel meminta pertolongan baginda.
  2. Nabi Musa AS menolong dengan memukul lawannya menyebabkan orang Kibti itu mati. Nabi Musa AS tidak berniat membunuhnya dan katanya itu adalah amalan syaitan. Nabi Musa AS mengaku kesilapannya.

 

Ayat 28:16

 

قَالَ رَبِّ إِنِّى ظَلَمْتُ نَفْسِى فَٱغْفِرْ لِى فَغَفَرَ لَهُۥٓ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

 

Ia merayu (dengan sesalnya): "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah - apalah jua kiranya - akan dosaku". (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Musa AS belum menjadi rasul lagi waktu ini. Baginda sudah ada ilham didikan yang baik daripada ibu kandung dan ibu angkatnya yang beriman.
  2. Baginda turun ke bandar untuk melihat keadaan rakyat. Namun bila baginda terbunuh orang Kibti itu, baginda mengaku kesilapan. Baginda berdoa memohon ampun dari Allah SWT.
  3. Mengaku silap ini amat penting bagi pemimpin. Kalau tersilap jangan putus asa. Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang. Teruskan berjuang untuk kebaikan seperti Nabi Musa AS.

 

Ayat 28:17

 

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًا لِّلْمُجْرِمِينَ

 

Ia merayu lagi: "Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah".

 

Pengajaran

 

  1. Baginda berdoa agar dapat menggunakan nikmat hikmah ilmu dan kekuatan yang diberi kepadanya untuk menyokong kebaikan dan yang hak, bukan menyokong golongan yang bersalah (مُجْرِمِينَ).

 

Ayat 28:18

 

فَأَصْبَحَ فِى ٱلْمَدِينَةِ خَآئِفًا يَتَرَقَّبُ فَإِذَا ٱلَّذِى ٱسْتَنصَرَهُۥ بِٱلْأَمْسِ يَسْتَصْرِخُهُۥ قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰٓ إِنَّكَ لَغَوِىٌّ مُّبِينٌ

 

Semenjak itu, tinggal lah ia di bandar (Mesir) dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya), maka tiba-tiba orang yang meminta pertolongan kepadanya semalam, memanggil meminta pertolongannya lagi. Musa berkata kepadanya: "Sesungguhnya engkau ini orang yang nyata sesatnya!"

 

Pengajaran

 

  1. Pada hari lain, Nabi Musa AS terjumpa semula orang Bani Israel yang ditolongnya. Orang itu memanggil namanya dan meminta pertolongan lagi. Orang itu sebenarnya memang kaki gaduh. Nabi Musa AS menjadi seakan ‘confused’ hendak tolong siapa sebenarnya.
  2. Sebagai seorang yang telah dididik di istana, baginda tidak boleh diskriminasi dengan hanya menolong golongan baginda sahaja. Nabi Musa AS ingin menolong orang yang dizalimi.
  3. Ini penting untuk kita fahami bahawa kaedah al-Quran melarang diskriminasi. Tidak boleh bersifat perkauman tetapi mesti bersifat kebenaran.

 

Ayat 28:19

 

فَلَمَّآ أَنْ أَرَادَ أَن يَبْطِشَ بِٱلَّذِى هُوَ عَدُوٌّ لَّهُمَا قَالَ يَٰمُوسَىٰٓ أَتُرِيدُ أَن تَقْتُلَنِى كَمَا قَتَلْتَ نَفْسًۢا بِٱلْأَمْسِ إِن تُرِيدُ إِلَّآ أَن تَكُونَ جَبَّارًا فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا تُرِيدُ أَن تَكُونَ مِنَ ٱلْمُصْلِحِينَ

 

Maka ketika ia bersedia hendak menumbuk orang yang menjadi musuh bagi mereka berdua berkatalah orang itu: "Wahai Musa, adakah engkau hendak membunuhku sebagaimana engkau membunuh satu jiwa semalam? Sebenarnya engkau hanyalah hendak menjadi seorang yang kejam di bumi, dan tidaklah engkau hendak menjadi seorang pendamai".

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Musa AS hendak menumbuk orang Kibti itu, lalu orang itu bertanya adakah baginda mahu membunuh lagi seperti yang telah berlaku sebelum ini.
  2. Baginda dituduh sebagai orang yang bersifat sewenang-wenangnya dan bukan orang yang mengadakan perdamaian.
  3. Dalam keadaan takut itu, ada orang istana yang mahu membantunya tetapi setelah apa yang dilaluinya, Nabi Musa AS berasa sangsi.
  4. Orang yang ditekan, sifatnya tidak merdeka seperti yang berlaku kepada orang Bani Israel yang ditolong oleh Nabi Musa AS.
  5. Dalam hidup kita ini jangan labelkan orang lain sesuka hati. Itu bukan cara berfikir yang betul dalam kita memimpin. Jangan suka serkap jarang.

 

Ayat 28:20

 

وَجَآءَ رَجُلٌ مِّنْ أَقْصَا ٱلْمَدِينَةِ يَسْعَىٰ قَالَ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّ ٱلْمَلَأَ يَأْتَمِرُونَ بِكَ لِيَقْتُلُوكَ فَٱخْرُجْ إِنِّى لَكَ مِنَ ٱلنَّٰصِحِينَ

 

Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu".

 

Pengajaran

 

  1. Pemuda dari istana datang untuk memberitahu yang Firaun dan pembesar-pembesar telah bermesyuarat untuk membunuh Nabi Musa AS.
  2. Pemuda itu menyuruh Nabi Musa AS supaya keluar dari situ dan mengatakan yang dia memang jujur mahu menasihat.

 

Ayat 28:21

 

فَخَرَجَ مِنْهَا خَآئِفًا يَتَرَقَّبُ قَالَ رَبِّ نَجِّنِى مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّٰلِمِينَ

 

Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim ".

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Musa AS keluar dari Mesir menuju ke Madyan dalam keadaan cemas.
  2. Baginda berdoa kepada Allah SWT agar diselamatkan daripada kaum yang zalim.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


1.     Terus berbuat kebaikan agar Allah SWT beri hikmah dan ilmu (28:14)

2.     Sentiasa memohon ampun atas kesilapan (28:16)

3.     Sedar tidak akan menyokong orang berdosa (28:17)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan beri hikmah dan ilmu kalau saya terus berbuat kebaikan.

 

Saya jelas saya mesti terus berbuat kebaikan agar Allah SWT beri hikmah dan ilmu. Saya jelas untuk sentiasa memohon ampun atas kesilapan. Saya sedar untuk tidak akan menyokong orang berdosa.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk terus berbuat kebaikan, kurniakan kami hikmah dan ilmu. Ya Allah, sesungguhnya kami telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah segala dosa kami. Ya Allah, jauhkan kami daripada menyokong orang berdosa.

 

Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.












Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...