Saturday, September 9, 2023

Halaman 389 al-Qasas, 28:29-35

 

PERKATAAN HARI INI


 سَارَ / سَيَرَ Berjalan pada waktu malam. 

27 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS  

1.     Kembalinya Nabi Musa A.S ke Mesir dan perolehan kenabian (28:29-32)

2.   Kenabian Harun A.S dan pendustaan Firaun (28:33-35)










     
     


Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 389 untuk menyambung kisah Nabi Musa AS.


 

Ayat 28:29

 

۞ فَلَمَّا قَضَىٰ مُوسَى ٱلْأَجَلَ وَسَارَ بِأَهْلِهِۦٓ ءَانَسَ مِن جَانِبِ ٱلطُّورِ نَارًا قَالَ لِأَهْلِهِ ٱمْكُثُوٓا۟ إِنِّىٓ ءَانَسْتُ نَارًا لَّعَلِّىٓ ءَاتِيكُم مِّنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ جَذْوَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ لَعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ

 

Setelah Musa menyempurnakan tempoh kerjanya itu dan (mendapat izin) berjalan dengan isterinya (kembali ke Mesir), ia melihat (dalam perjalanannya itu) api dari sebelah Gunung Tursina. (Ketika itu) berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah; sesungguhnya aku ada melihat api, semoga aku dapat membawa kepada kamu sesuatu berita dari situ, atau sepuntung dari api itu, supaya kamu dapat memanaskan diri".

 

Pengajaran

 

  1. Setelah Nabi Musa AS selesaikan tempoh kerjanya dengan Nabi Syuaib AS, baginda berjalan pulang ke Mesir dengan senang hati (سَارَ) bersama keluarganya. Ini menunjukkan Musa (belum jadi Nabi) pergi dengan mudah, tidak disekat oleh mertuanya.
  2. Mereka jalan pada malam hari dalam keadaan gelap. Bila lihat dari jauh ada api, baginda menyuruh keluarga berhenti sementara baginda pergi ke tempat api untuk dapatkan berita atau sepuntung api untuk memanaskan diri.

 

Ayat 28:30

 

فَلَمَّآ أَتَىٰهَا نُودِىَ مِن شَـٰطِئِ ٱلْوَادِ ٱلْأَيْمَنِ فِى ٱلْبُقْعَةِ ٱلْمُبَـٰرَكَةِ مِنَ ٱلشَّجَرَةِ أَن يَـٰمُوسَىٰٓ إِنِّىٓ أَنَا ٱللَّهُ رَبُّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

 

Maka ketika ia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) ia diseru dari tepi lembah yang di sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat, dari arah pohon kayu (yang ada di situ): "Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Tuhan sekalian alam.

 

Pengajaran

 

  1. Ketika baginda sampai ke tempat api, baginda diseru dari tepi lembah sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat, dari pohon kayu di situ.
  2. Allah SWT memanggil Musa. Allah SWT memperkenalkan diriNya sebagai Tuhan sekalian alam.

 

Ayat 28:31

 

وَأَنْ أَلْقِ عَصَاكَ ۖ فَلَمَّا رَءَاهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَآنٌّ وَلَّىٰ مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ ۚ يَـٰمُوسَىٰٓ أَقْبِلْ وَلَا تَخَفْ ۖ إِنَّكَ مِنَ ٱلْـَٔامِنِينَ

 

"Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu". (Ia pun mencampaknya), maka apabila ia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah ia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu ia diseru): "Wahai Musa, datanglah ke mari dan janganlah engkau takut. Sesungguhnya engkau dari orang-orang yang beroleh aman.”

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT perintahkan Musa supaya campakkan tongkatnya. Ini latihan menggunakan mukjizat tongkat. Pelajaran: Kita kena buat latihan/rehearsal sebelum persembahan sebenar.
  2. Tongkatnya bertukar menjadi ular besar yang bergerak tangkas. Musa berpaling melarikan diri dan tidak menoleh lagi.
  3. Allah SWT panggil baginda kembali dan memujuknya agar jangan takut. Pelajaran:
    • Nabi Musa AS pun ada rasa takut, kita apatah lagi. Tetapi bila ada Allah SWT yang mententeramkan baginda, Nabi Musa AS teruskan perjuangan.
    • Kalau ada rasa takut atau masalah, hendaklah kita hadap, jangan lari.
  4.  Allah SWT menegaskan bahawa baginda adalah dalam kalangan orang yang mendapat keamanan. Aman daripada ular, aman daripada Firaun. Inilah janji Allah SWT.
  5. Baca al-Quran ini adalah latihan/rehearsal untuk kita menghadapi berbagai ujian yang ada. Bila kita rasa ada banyak cabaran, kita akan dapat inspirasi, kita tidak akan berpatah, terus maju ke depan menuju Allah SWT.

 

Ayat 28:32

 

ٱسْلُكْ يَدَكَ فِى جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَآءَ مِنْ غَيْرِ سُوٓءٍ وَٱضْمُمْ إِلَيْكَ جَنَاحَكَ مِنَ ٱلرَّهْبِ ۖ فَذَٰنِكَ بُرْهَـٰنَانِ مِن رَّبِّكَ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِۦٓ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمًا فَـٰسِقِينَ

 

"Masukkanlah tanganmu melalui belahan dada bajumu, nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tiada cacat; dan kepitlah tanganmu di celah ketiakmu ketika merasa takut (nescaya hilanglah takutmu). Yang demikian adalah dua bukti dari Tuhanmu (untuk engkau menunjukkannya) kepada Firaun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka"

 

Pengajaran

 

  1. Mukjizat kedua ialah tangan Nabi Musa AS menjadi putih bercahaya.
  2. Allah SWT menasihatkan Nabi Musa supaya mendakap kedua tangan ke dada apabila ketakutan.
  3. Itulah dua bukti daripada Tuhan untuk ditunjukkan kepada Firaun dan kaumnya. Mereka adalah kaum yang fasik.
  4. Allah SWT berikan kepada Nabi Musa AS dan keluarganya keselamatan. Bukan sekadar selamat sampai ke Mesir tetapi selamat sampai ke syurga.
  5. Manusia merancang, tetapi Allah akan bagi lebih, syaratnya kita bersifat ihsan dalam apa sahaja yang kita buat. Allah SWT akan membalas dengan lebih ihsan.

 

Ayat 28:33

 

قَالَ رَبِّ إِنِّى قَتَلْتُ مِنْهُمْ نَفْسًا فَأَخَافُ أَن يَقْتُلُونِ

 

Nabi Musa merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku, bahawa aku telah membunuh seorang dari kalangan mereka; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku"

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Musa AS merayu mengatakan dia telah membunuh seorang dari kalangan mereka sehingga dia takut mereka akan membunuhnya.
  2. Misi dan latihan sudah diberikan kepada Nabi Musa, tetapi masih ada trauma kepada perkara yang lepas.

 

Ayat 28:34

 

وَأَخِى هَـٰرُونُ هُوَ أَفْصَحُ مِنِّى لِسَانًا فَأَرْسِلْهُ مَعِىَ رِدْءًا يُصَدِّقُنِىٓ ۖ إِنِّىٓ أَخَافُ أَن يُكَذِّبُونِ

 

"Dan saudaraku - Harun, ia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong yang mengakui kebenaranku; sesungguhnya aku bimbang bahawa mereka akan mendustakan daku".

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Musa AS memohon supaya abangnya Nabi Harun AS menjadi pembantu kerana dia lebih fasih bercakap.
  2. Pelajaran: Kalau kita diberi sesuatu tugas dan kita tahu ada orang lain yang lebih pakar, bila Allah SWT beri kita peluang untuk berbuat baik, ambil tanggungjawab tersebut, kalau perlukan bantuan, minta Allah berikan bantuan. Jangan terus menolak kerana itu adalah seperti Bani Israel yang pernah kita belajar dalam surah al-Baqarah. Mereka cuba untuk mengelak daripada tanggungjawab.
  3. Nabi Musa AS minta bantuan daripada Allah SWT untuk lakukan tugasnya dengan baik. Abangnya akan meneguhkan tugasnya dengan bantuan Allah SWT.
  4. Pelajaran: Kita kena cari orang-orang yang meneguhkan kita dalam berbuat kebaikan. Contoh: Nabi Muhammad SAW ada Khadijah yang sentiasa sokong baginda. Kalau boleh, pasangan kita jadilah sebagai tulang belakang (رِدْءًا) yang mengukuhkan kedudukan kita untuk berbuat kebaikan.
  5. Nabi Musa AS bimbang Firaun dan kuncu-kuncunya akan mendustakannya.


         Ayat 28:35

 

قَالَ سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخِيكَ وَنَجْعَلُ لَكُمَا سُلْطَـٰنًا فَلَا يَصِلُونَ إِلَيْكُمَا بِـَٔايَـٰتِنَآ أَنتُمَا وَمَنِ ٱتَّبَعَكُمَا ٱلْغَـٰلِبُونَ

 

Allah berfirman: "Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang".

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menjawab bahawa Dia akan menguatkan tenaga dan daya usaha baginda dengan saudaranya Harun.
  2. Allah SWT akan memberikan kuasa kemenangan kepada mereka berdua.
  3. Allah SWT berjanji untuk memberi bantuan supaya Firaun dan kuncunya tidak akan dapat membahayakan atau mengalahkan mereka.
  4. Sunnah untuk kita berdoa apabila kita ada masalah emosi. Terus mengadu kepada Allah SWT.
  5. Kalau kita bersama mukjizat al-Quran, pasti menang.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


1.     Sentiasa prihatin menjaga keluarga (28:29)

2.     Mengakui kesilapan dan terus memperjuangkan kebaikan (28:33)

3.     Berpasukan dalam menyebarkan kebaikan (28:35)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan bantu kalau saya bersungguh-sungguh buat kebaikan.

 

Saya jelas saya mesti sentiasa prihatin menjaga keluarga. Saya jelas untuk mengakui kesilapan dan terus memperjuangkan kebaikan. Saya jelas saya mesti berpasukan dalam menyebarkan kebaikan.

 

Ya Allah, bantu kami untuk prihatin menjaga keluarga. Ya Allah, kami mengaku kesilapan yang telah kami lakukan, bantu kami untuk terus memperjuangkan kebaikan. Ya Allah, pimpin kami untuk berpasukan dalam menyebarkan kebaikan.

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...