Tadabbur Ayat Solat
Surah Al-Baqarah ayat 277
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
Keterangan Ayat
Pada mukasurat 47 (ayat 275 hingga 279), Allah SWT mengingatkan kita tentang riba dan pelbagai kesan negatif kepada individu dan masyarakat.
Dalam ayat 275, Allah SWT menyatakan bahawa ada orang yang mahu untung cepat di dunia ini dengan mengambil riba. Riba ialah kata nama Arab yang berasal daripada kata kerja 'ra ba' yarg bermaksud 'bertambah', 'berkembang', dan 'melebihi'. Terdapa beberapa jenis riba. Antaranya riba nasi'ah dan riba fadhl.
Riba nasi'ah: Ada pihak yang memberi pinjaman duit sebanyak RM100 dan selepas tiga bulan, peminjam perlu membayar semula sebanyak RM130. Ini banyak berlaku dalam sistem perbankan ceti dan sebagainya. la mungkin digelar dengan nama-nama lain seperti bunga, faedah dan sebagainya.
Riba fadhl: la melibatkan pertukaran item riba yang sama tetapi berbeza dari segi berat dan kuantiti. Misalnya, menukar 10kg beras biasa dengan 5kg beras basmathi; kedua-duanya adalah beras tetapi berbeza kualiti dan kuantiti.
Riba mempunyai akibat yang negatif dan membinasakan, baik secara peribadi mahupun sosial. Oleh itu, orang yang beriman dan takut kepada Allah SWT dilarang melakukan amalan riba dan diperintahkan mencari alternatif yang halal dan adil dalam muamalah mereka.
Adalah penting bagi kita untuk memahami hukum riba dan berusaha menjauhinya dalam semua aspek kehidupan mereka termasuk dalam urusan pinjaman, insuran, pelaburan dan perbankan. Ini selaras dengan prinsip keadilan dan etika Islam dalam berurusan dengan wang dan harta.
Ayat 2:277 ini adalah ayat Tabshir (beri berita gembira). Ayat ini membicarakan tentang pahala dan nikmat yang dikurniakan Allah kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mendirikan solat, dan menunaikan zakat. Ayat ini secara umumnya menggariskan kepentingan iman, amal soleh, dan ketaatan kepada Allah dalam kehidupan seorang Muslim.
إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
Beriman itu maksudnya beriman dengan sempurna dan tidak melakukan syirik.
Beramal soleh itu pula adalah melakukan amal ibadah yang ada contoh daripada Nabi SAW.
وَأَقامُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءآتَوُا ٱلزَّڪَوٰةَ
dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat,
Allah SWT menyebut dua jenis hubungan iaitu hubungan dengan Allah SWT (ibadat) dan hubungan dengan makhluk (adat). Salat adalah ibadat terbaik dan zakat adalah contoh terbaik dari adat.
Masyarakat Islam yang mengamalkan salat berjamaah dan mengeluarkan zakat adalah masyarakat yang tidak mengamalkan riba. Sepatutnya dalam masyarakat Islam, yang kaya menolong yang miskin supaya tidak perlu sangat meminjam.
Yang kaya sepatutnya suka untuk infak dan yang miskin tidak meminta-minta yang tidak perlu kerana mereka tahu yang Islam tidak suka umatnya meminta-minta kecuali kalau terdesak. Maka, mereka akan belajar redha dengan keadaan mereka.
لَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم
mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka,
Allah SWT janjikan pahala kepada mereka yang melakukan amal soleh, solat dan zakat. Allah SWT maha pemurah dan bersedia untuk beri balasan yang berganda-ganda asalkan mahu taat kepada-Nya.
وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Mereka tidak ada ketakutan untuk menghadapi akhirat.
Mereka tidak berdukacita untuk meninggalkan dunia ini kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.
Pada ayat 276,
"Allah menghilangkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya."
Sebagaimana yang dimaklumkan, riba ini sangat berbeza dengan sedekah. Apabila kita bersedekah, Allah SWT mengurniakan sebanyak 700 kali ganda daripada nilai yang diberi. 700 kurniaan Allah SWT itu boleh jadi ia datang dalam bentuk rezeki, atau kita diselamatkan daripada kerugian yang senilai dengan apa yang sepatutnya kita dapat. Pertolongan dan balasan Allah SWT ini sebenarnya boleh hadir dengan pelbagai bentuk dan rupa.
la mungkin tidak nampak dengan mata kasar. Namun jika dilihat dengan mata hati, insya-Allah kita akan nampak bahawa apa yang Allah SWT ganjarkan itu sangat baik dan bernilal
"Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus kekufuran, dan selalu melakukan dosa."
Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang bukan setakat kekal berbuat dosa, malah melakukan dosa berulang Mohonlah keampunan jika ada yang terlibat dengan riba berulang kali. Atau jika ada melakukan dosa-dosa lain, maka pintu taubat sentiasa terbuka untuk mereka yang menyesal. Sesungguh Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
"Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba, yang memberi makan dengan harta riba, dua saksinya dan penulisnya.” (HR Ahmad: 13744)
Ayat 277 mengajak kita untuk beriman, beramal soleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Ia adalah tanda kita bertaubat kepada Allah SWT daripada terjebak dengan riba. Malah, ia adalah ajakan yang sangat menarik berbanding melakukan amalan riba.
Allah SWT juga menjanjikan kepada kita kebahagiaan dan fiada dukacita apabila melakukan empat perkara ini.
Sesungguhnya, Allah SWT akan memberikan kebahagiaan dalam hidup apabila kita membebaskan diri daripada riba.
Pada ayat 278, Allah SWT memberi penekanan sekali lagi dengan seruan supaya bertakwa kepada-Nya. Tanda kita benar- benar bertakwa ialah dengan meninggalkan sisa atau saki-baki riba yang belum diambil daripada pemiutang.
Pengajaran
1. Ayat ini menegaskan bahawa ganjaran dan balasan baik hanya diberikan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman.
2. Ayat ini mengajar kita untuk mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT dan menyumbang kepada kebaikan sosial.
3. Orang yang beriman dan beramal soleh tidak akan takut atau sedih. Ini mengajar umat Islam untuk mempunyai keyakinan dan ketenangan dalam menjalani kehidupan, kerana mereka menyedari bahawa segala-galanya di bawah kawalan Allah.
4. Kepentingan menjauhi riba dan mengamalkan keadilan dalam urusan ekonomi.
5. Janganlah terlibat lagi dengan sistem riba agar hidup kita beroleh rahmat, redha dan kebahagiaan sama ada di dunia dan akhirat. Tinggalkan saki-baki riba yang masih belum kita ambil dan terima sahaja nilai asal yang telah dipinjamkan.
Bagaimana solat dan zakat boleh elakkan riba?
1. Solat adalah ibadah yang memperkukuh hubungan kita dengan Allah. Melalui solat yang khusyuk, kita akan memperolehi kesedaran rohani yang lebih kuat. Kesedaran ini membantu kita mengelakkan tingkah laku yang bertentangan dengan ajaran agama termasuk terlibat dalam riba. Solat membimbing kita untuk hidup dalam ketaatan kepada Allah, termasuk menjauhi riba.
2. Solat mengajar nilai-nilai keadilan dan kebaikan. Apabila kita berdiri di hadapan Allah dalam solat, kita diingatkan untuk mensyukuri nikmat Allah dengan berlaku adil dan berbuat baik kepada orang lain. Dengan mengamalkan keadilan dalam urus niaga dan memberi perhatian kepada keperluan orang lain, kita akan menjauhi amalan riba yang melibatkan penindasan dan eksploitasi.
3. Dengan pemberian zakat, kita diingatkan tentang kepentingan berkongsi harta dan menjaga keadilan sosial. Zakat membantu mengurangkan ketidaksamaan ekonomi dan mengukuhkan perpaduan sosial, supaya orang ramai tidak terjebak dalam meminjam wang pada kadar faedah yang tinggi atau terlibat dalam amalan riba.
4. Melalui amalan solat dan zakat yang betul, kita akan hidup berlandaskan prinsip Islam termasuk menjauhi riba dan berlaku adil dalam urusan ekonomi.
Bagaimana solat dan zakat boleh menjadi penyelesaian kepada ketakutan dan kesedihan?
1. Solat adalah satu cara untuk berkomunikasi secara langsung dengan Allah. Apabila seseorang solat dengan khusyuk, mereka berasa dekat dengan-Nya dan menyedari bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala keadaan dan keperluan kita. Ini memberi kita rasa tenang dan keyakinan bahawa Tuhan akan mendengar doa kita, mengambil perhatian tentang kesusahan kita, dan menyediakan bantuan-Nya.
2. Solat dan zakat adalah bentuk ketaatan kepada Allah yang mendatangkan berkat dan rahmatNya. Dengan menunaikan solat dan mengeluarkan zakat secara bersungguh-sungguh, kita merasakan kehadiran Allah dalam hidup kita. Ia memberikan rasa kita dilindungi, mengingatkan kita bahawa Allah adalah pemilik sebenar segala sesuatu dan Dia akan memberikan yang terbaik untuk hamba-Nya yang taat.
3. Solat dan zakat membantu kita menguatkan rasa syukur kita kepada Allah. Apabila kita menunaikan solat, kita bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikanNya. Sedangkan melalui zakat, kita mengakui bahawa segala harta yang kita miliki datangnya daripada-Nya, dan dengan memberikan sebahagian harta kita kepada yang berhak menerimanya, kita menzahirkan rasa syukur dan kesedaran bahawa harta-harta tersebut hanyalah amanah daripada-Nya.
4. Melalui zakat, kita mengambil bahagian dalam memperbaiki keadaan sosial dan membantu mereka yang memerlukan. Dengan berzakat, kita merasai kebahagiaan dan kepuasan batin kerana kita menyumbang untuk membantu orang lain. Ini boleh mengurangkan rasa takut dan sedih, kerana kita tahu bahawa kita telah mengambil tindakan positif dan membantu meringankan beban orang lain.
5. Perkara-perkara ini boleh membantu mengatasi rasa takut dan sedih, kerana kita sedar bahawa kita sentiasa dalam perlindungan Allah dan kita mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu orang lain.
Petunjuk dan tindakan
1. Memperkukuh iman melalui amal soleh.
2. Meningkatkan hubungan dengan Allah melalui solat.
3. Menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
4. Memupuk rasa optimistik, menjaga kesihatan mental, dan berusaha mewujudkan persekitaran yang penuh kedamaian dan kebahagiaan. Ini boleh dilakukan dengan mengelakkan dosa, mengekalkan hubungan baik dengan orang lain, dan menguruskan emosi dengan bijak.
5. Mengelak muamalah yang melibatkan riba.
6. Mencari alternatif yang halal dan adil dalam urusan kewangan, dan membangunkan pemahaman yang lebih baik tentang hukum riba dalam Islam.
7. Institusi wakaf dan zakat di negara kita mesti dikuatkan kerana ia dapat membantu orang-orang yang memerlukan agar tidak terlibat dengan riba seperti meminjam daripada ceti dll.
Bagaimana ayat ini mampu memajukan gaya hidup saya sebagai seorang ibu, isteri dan pendakwah?
1. Ayat ini menekankan kepentingan memiliki iman yang kuat dalam menjalani kehidupan seharian. Sebagai seorang ibu, isteri, dan pendakwah, iman yang kuat akan memberikan kita kekuatan dan keazaman untuk menghadapi cabaran dan tugasan yang dihadapi. Ia juga akan membantu kita untuk menjadi contoh yang baik untuk keluarga dan komuniti.
2. Ayat ini menekankan kepentingan beramal termasuk solat dan mengeluarkan zakat. Sebagai ibu, isteri dan pendakwah, kita boleh mengambil inisiatif untuk melibatkan keluarga dan masyarakat dalam aktiviti yang baik seperti membantu orang yang memerlukan, menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan, dan menyertai aktiviti sosial yang berfaedah.
3. Ayat ini menyatakan bahawa orang yang beriman dan beramal soleh tidak akan takut atau sedih. Sebagai seorang ibu, isteri dan pendakwah, apabila kita kuat iman dan berusaha untuk melakukan kebaikan, kita akan merasai ketenangan dan kebahagiaan dalaman. Amalan ini dapat mewujudkan suasana positif dalam keluarga kita dan memancarkan kebahagiaan kepada orang di sekeliling kita.
4. Sebagai ibu, isteri dan pendakwah, kita boleh memainkan peranan dalam memberikan pemahaman yang betul tentang riba dan membantu mendidik keluarga dan orang lain tentang amalan kewangan yang mematuhi prinsip Islam.
5. Sebagai ibu dan isteri, kita mempunyai peranan penting dalam membentuk watak dan nilai keluarga kita. Dengan menghayati ajaran dan nilai yang terkandung dalam ayat-ayat ini, kita akan menunjukkan teladan yang baik kepada ahli keluarga kita. Sebagai pendakwah, kita juga akan menjadi contoh yang baik kepada masyarakat dalam menjalani kehidupan berlandaskan ajaran agama.
Bagaimana ayat ini meningkatkan kehambaan yang membawa kita kepada kemenangan di akhirat?
1. Ayat ini mengingatkan kita tentang kepentingan solat dan mengeluarkan zakat. Sebagai hamba Allah, kita diperintahkan untuk melaksanakan ibadah ini dengan bersungguh-sungguh sebagai bentuk ketaatan kepada-Nya. Melalui solat dan zakat yang ikhlas, kita memperbaiki hubungan kita dengan Allah dan menguatkan iman kita. Ini akan membantu kita mencapai kejayaan di akhirat, kerana amal soleh ini akan menjadi pelaburan yang akan terus mengalir pahala untuk kita selepas mati.
2. Ayat ini secara umumnya menekankan kepentingan amal soleh dalam menjalani kehidupan sebagai hamba Allah. Selain solat dan zakat, kehambaan juga merangkumi pelbagai lagi kebaikan, seperti bersedekah, beramal, menyebarkan ilmu yang bermanfaat, dan berbuat baik kepada orang lain. Dengan melaksanakan amal soleh ini dalam kehidupan seharian, kita akan membina asas kebaikan yang akan menyokong kejayaan kita di akhirat kelak.
3. Ayat ini juga mengajar kita betapa pentingnya menjauhi larangan dan maksiat dalam menjalani kehidupan sebagai hamba Allah. Kita dituntut untuk menjauhi perbuatan maksiat termasuk amalan riba yang dilarang oleh Allah. Dengan menjauhi larangan dan maksiat, kita menguatkan iman, membersihkan hati, dan membentuk akhlak yang baik. Ini akan membantu kita mencapai kejayaan di akhirat dengan mendapat keredhaan dan rahmat Allah untuk memasuki syurga-Nya.
Rujukan
1. Nota My #Qurantime
2. Tafsir Al-Munir
3. celiktafsir.net
4. Kamus Asfahani
5. Buku “Memahami Al-Quran Petunjuk Kita”, Haji Mohamed Ayob Yasin
Wallahua’lam