Thursday, May 4, 2023

Halaman 68 : Ali-'Imran, 3:141-148

PERKATAAN HARI INI 


  مَحَصَ  Membersihkan

2 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   


1. Allah membersihkan orang beriman dan menghancurkan orang kafir [3:141]

2. Teguran terhadap sebahagian pasukan Perang Uhud akan kesucian jihad dan keharusan teguh dalam memegang prinsip dan mengingatkan bahawa kematian terjadi adalah atas izin Allah SWT [3:141-148]


Mukadimah


Alhamdulillah hari ini kita akan menyambung perbincangan bagaimana tentera Islam mendepani tentera musuh dan mereka mengalami kekalahan pada pusingan kedua Uhud.


Dengan membaca al-Fatihah kita memohon jalan yang lurus. Untuk menjadi baik, ada cabaran, ada dugaan, ada luka, dan ada sakit di dalam perjuangan hidup ini. Itu adalah lumrah. Kalau kita rasa terluka, orang dahulu pun terluka. Alang-alang luka, biar sampai ke syurga. Kita tidak mahu disakiti sampai ke akhirat. Semoga dengan memahami ayat-ayat dalam halaman ini kita akan terus bersemangat sebagaimana tentera Uhud yang bangkit dan berjaya selepas mendapat suntikan motivasi daripada Allah SWT.


Cabaran paling tinggi ialah cabaran maut. Di mana-mana dan bila-bila, walau atas katil atau medan perang kita boleh pergi.  Alang-alang pergi, biarlah pergi di atas jalan ilahi.


Ayat [3:141]

وَلِيُمَحِّصَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَيَمْحَقَ ٱلْكَـٰفِرِينَ

"Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir."


Pengajaran


1. Allah menggilirkan menang dan kalah untuk menguji siapakah yang beriman dan juga yang menjadi syahid. 

2. Allah tidak suka orang-orang yang zalim yang tidak melihat ujian itu untuk dekat kepada Allah SWT. 

3. Ujian (sakit, luka, terluka, dilukai) adalah untuk sentiasa membersihkan (وَلِيُمَحِّصَ) orang-orang beriman daripada dosa supaya tidak dibakar di akhirat. Umpama untuk hasilkan rantai emas yang cantik, asalnya ialah bijih emas yang kotor. Ia perlu melalui proses pembersihan sebelum menjadi cantik. Selepas dibakar pada suhu yang sangat tinggi, dibersih dan dibentuk, baru lah ia menjadi emas asli.

4. Allah memberi ujian untuk orang-orang tidak beriman adalah untuk melenyek/mengazab (وَيَمْحَقَ) mereka. 

5. Kita semua ada perjuangan masing-masing di rumah, pejabat, organisasi dan negara. 

6. Teruskan perjuangan untuk menjadi orang beriman yang tulen.


Ayat [3:142]

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ مِنكُمْ وَيَعْلَمَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?"


Pengajaran


1. Dua perkara yang mesti dibuktikan oleh orang yang hendak masuk ke syurga iaitu:

a. Jihad - bermaksud bersungguh-sungguh dalam berbuat sesuatu kebaikan. Jihad termasuklah: berperang untuk menegakkan Islam dan melindungi orang Islam; memerangi hawa nafsu; mendermakan harta benda untuk kebaikan Islam dan umat Islam; membanteras kejahatan dan menegakkan kebenaran. Paling tinggi ialah di medan perang. Memasak, bekerja, belajar bersungguh-sungguh adalah juga jihad.

b. Sabar dalam perjuangan. Seperti seorang guru yang ada 40 orang murid. Guru tahu siapa yang lemah dan guru beri ujian untuk mereka tahu siapa yang belajar bersungguh-sungguh atau siapa tak belajar. 

2. Iman bukan sekadar di mulut dan baca al-Quran, tetapi mesti kita masukkan iman ke dalam dunia realiti kita.


Ayat [3: 143]

وَلَقَدْ كُنتُمْ تَمَنَّوْنَ ٱلْمَوْتَ مِن قَبْلِ أَن تَلْقَوْهُ فَقَدْ رَأَيْتُمُوهُ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ

"Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri)."


1. Untuk mengharapkan mati syahid, kita mesti menghadapi realiti dalam apa juga perjuangan dalam hidup. Tidak boleh melarikan diri atau melihat dari jauh. Dalam perang Uhud, ada sahabat bersemangat mengharapkan mati syahid. Orang Munafik takut menghadapi perang dan mahu duduk dalam Madinah. Nabi juga di Madinah tetapi bukan kerana takut tetapi ia adalah strategi.

2. Semangat dalam perjuangan mestilah melihat realiti dan lakukan dengan strategi yang betul.

3. Kebaikan yang hendak dilakukan mestilah dengan niat yang betul dan yang paling penting ialah kita mahu kebaikan masuk ke dalam realiti kehidupan. Contoh: Kita tilawah al-Quran adalah untuk memberi kefahaman bagi membina iman dan melaksanakannya dalam kehidupan.


Ayat [3:144]

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌۭ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ ٱلرُّسُلُ ۚ أَفَإِي۟ن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ ٱنقَلَبْتُمْ عَلَىٰٓ أَعْقَـٰبِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ ٱللَّهَ شَيْـًۭٔا ۗ وَسَيَجْزِى ٱللَّهُ ٱلشَّـٰكِرِينَ

"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)."


Pengajaran


1. Allah menyebut Muhammad, bermakna itu adalah panggilan untuk orang yang sangat dekat dengan-Nya. 

2. Allah memberi motivasi kepada orang yang berjuang untuk terus bersemangat walaupun ketua/ikon telah meninggal. Dalam perang Uhud, bila tentera Islam mendengar khabar angin kewafatan Rasulullah SAW mereka terus lemah semangat.

3. Bersyukur kerana Allah utuskan Nabi Muhammad SAW untuk membawa nikmat Islam kepada kita.

4. Sebagai tanda syukur, kita hendaklah teruskan perjuangan Nabi SAW walaupun Baginda SAW telah wafat.  

5. Jangan biarkan perjuangan  terganggu dengan tokoh yang meninggal. Jika kita bersyukur dengan ustaz-ustaz yang memberi pencerahan kepada kita, hendaklah kita teruskan perjuangan mereka. 

6. Alah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur.


Ayat [3:145]

وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ كِتَـٰبًۭا مُّؤَجَّلًۭا ۗ وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ ٱلدُّنْيَا نُؤْتِهِۦ مِنْهَا وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ ٱلْـَٔاخِرَةِ نُؤْتِهِۦ مِنْهَا ۚ وَسَنَجْزِى ٱلشَّـٰكِرِينَ

"Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur."


Pengajaran


1. Kita hendaklah membuat persediaan untuk kematian yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

2. Allah akan beri balasan di dunia kepada orang yang bersungguh-sungguh mencari balasan di dunia.

3. Sesiapa yang berjuang bersungguh-sungguh untuk akhirat, Allah akan berikan balasan di akhirat yang jauh lebih baik daripada apa yang didapati di dunia.

4. Jadilah orang yang bersyukur dengan meneruskan perjuangan Nabi SAW

5. Allah memberi ganjaran kepada orang yang bersyukur.


Ayat [3:146]

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِىٍّۢ قَـٰتَلَ مَعَهُۥ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌۭ فَمَا وَهَنُوا۟ لِمَآ أَصَابَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا۟ وَمَا ٱسْتَكَانُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّـٰبِرِينَ

"Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar."


Pengajaran


1. Sabar dan syukur amat penting dalam perjuangan. 

2. Orang yang dekat dengan Nabi SAW akan berjuang bersungguh-sungguh dengan sabar. Mereka tidak merasa takut, tidak lemah dan tidak menyerah bulat-bulat kepada musuh.  

3. Allah cinta kepada orang-orang yang sabar. 

4. Nabi SAW sudah wafat tetapi kita mesti teruskan perjuangan Baginda SAW. 


Ayat [3:147]

وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ إِلَّآ أَن قَالُوا۟ رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِىٓ أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ

"Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir."


Pengajaran


1. Untuk mendapatkan kesabaran bagi meneruskan perjuangan Nabi SAW, hendaklah kita sentiasa berdoa dengan tiga perkara; minta ampun, minta ditetapkan pendirian, minta dilindungi daripada orang-orang kafir

2. Janganlah kita suka membongkar dosa-dosa orang lain, bimbang Allah akan bongkar dosa-dosa kita.

3. Dosa adalah sesuatu yang memalukan dan boleh menyebabkan tekanan perasaan. Sentiasalah berdoa minta Allah ampunkan dosa agar hidup kita tidak stres.

4. Kalau menang dalam perjuangan atau kaya, jangan sombong dan bertindak melampau. Dalam peperangan, orang dulu membunuh wanita dan kanak-kanak serta memusnahkan tempat ibadah. 

5. Dosa dan pendirian ada kaitan. Orang yang banyak dosa, pendiriannya senang berubah. Ada orang kafir yang tidak suka orang Islam kembali kepada al-Quran kerana ia akan mengganggu urusan mereka yang berkaitan dengan arak dan riba. 

6. Jika kita bersyukur dan bersabar dalam proses ujian, kita akan nampak sisi baik sesuatu ujian itu. 

7. Sabar dan syukur harus bersama. Sabar tanpa syukur akan menyebabkan kita tertekan.


Ayat [3:148]

فَـَٔاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ ثَوَابَ ٱلدُّنْيَا وَحُسْنَ ثَوَابِ ٱلْـَٔاخِرَةِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ

"Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan."


Pengajaran


1. Siapa yang mahukan akhirat, Allah akan bagi ganjaran di dunia dan ganjaran yang jauh lebih baik lagi di akhirat. Contoh: Ada orang yang solat tahajud kerana hendak dunia, yang solat dhuha untuk dunia, Allah bagi. Yang solat kerana mendapatkan redha Allah semata-mata, Allah beri dunia dan akhirat.

2. Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan ( ٱلْمُحْسِنِينَ ).

3. Orang muhsin ialah orang yang buat cemerlang dalam semua perbuatannya dan sentiasa memohon keampunan. 


RESOLUSI 


Ingat !!

1. Sedia berjuang dan membersihkan diri bagi orang beriman [3:141]

2. Berjihad dan bersabar untuk dikurniakan rahmat ke syurga [3:142]

3. Fokus pada perjuangan, bukan tokoh [3:144]


Lega kerana Allah SWT ajar doa untuk menjadi orang yang bersabar dalam perjuangan.


Saya jelas untuk teruskan perjuangan Nabi SAW dengan sabar dan membersihkan diri daripada dosa.


Ya Allah tunjukkan kami jalan untuk melakukan kebaikan.  Kurniakan kami kesabaran dan semangat yang tinggi untuk meneruskan perjuangan Nabi SAW. "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir." Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...