Tadabbur ayat Solat
Surah Al-Nisa’ Ayat 43
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَقرَبُوا الصَّلَوٰةَ وَأَنتُم سُكٰرىٰ حَتّىٰ تَعلَموا ما تَقولونَ وَلا جُنُبًا إِلّا عابِري سَبيلٍ حَتّىٰ تَغتَسِلوا ۚ وَإِن كُنتُم مَّرضىٰ أَو عَلىٰ سَفَرٍ أَو جاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِنَ الغائِطِ أَو لٰمَستُمُ النِّساءَ فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا صَعيدًا طَيِّبًا فَامسَحوا بِوُجوهِكُم وَأَيديكُم ۗ إِنَّ اللهَ كانَ عَفُوًّا غَفورًا
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. (Al-Nisa, 4:43)
Asbabun Nuzul
Ada disebut kisah bagaimana seorang sahabat telah tersilap membaca Surah Al-Kafirun dalam solat kerana beliau dalam keadaan mabuk. Ayat ini diturunkan berkenaan perkara itu.
Dari Ali bin Abu Talib ia berkata, "Abdurrahman bin 'Auf pernah membuatkan makanan dan menyajikan khamr untuk kami, sampai kami (mabuk) kerananya. Ketika waktu solat telah tiba, mereka mendorongku (menjadi imam), kemudian aku membaca; Katakanlah (Muhammad): Hai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kalian sembah, dan kami akan menyembah apa yang kalian sembah." lalu Allah menurunkan (ayat): "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu salat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan." (HR Tirmizi no. 2952)
Keterangan Ayat
Ayat ini tentang asas kepada solat. Dalam solat kita kena sedar apa yang kita lafazkan. Oleh kerana itu, larangan dalam ayat ini amat penting: Jangan mabuk semasa dalam solat. Jangan solat dalam keadaan mabuk.
Allah telah suruh kita solat, tapi nak solat pun kena ikut cara yang Allah hendak kita lakukan sebagaimana yang telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.
Ayat ini diturunkan sebelum ayat arak diharamkan sepenuhnya dalam surah Al-Maidah:90. Tapi ayat larangan ini diturunkan selepas Allah memberitahu yang arak itu tidak baik dalam surah Al-Baqarah:219. Oleh itu, kita tahu yang Allah tidak haramkan arak sekaligus. Allah haramkan berperingkat kerana arak telah sebati dengan masyarakat Arab dan kalau diharamkan sekaligus, ia akan memberi kesan yang buruk kepada mereka dan mereka mungkin akan protes.
سُكارَى (Loss of Intellect/Senses/Mabuk) - Ertinya keadaan seseorang yang terganggu akalnya kerana minum arak, dadah, takut, marah, kecintaan yang mendalam.
Kita tidak dibenarkan solat dalam keadaan mabuk supaya kita tahu apa yang dibaca dalam solat. Kena sedar apa yang kita sedang baca. Ini adalah kerana solat itu adalah amalan zikir dan doa untuk mengharapkan keampunan, kemaafan, hidayah, taufik, dan rahmat daripada Allah.
Oleh itu, ayat ini memberitahu kepada kita, kita kena faham apa yang disebut dalam solat. Solat adalah waktu yang dituntut kita kena sedar dan ingat kepada Allah. Kita kena menjaga hubungan dengan Allah dan solat adalah hubungan yang paling rapat sekali antara kita dan Allah. Kita sedang mengadap Allah taala dalam solat kita.
Jadi orang yang tidak memahami apa yang dibaca dalam solat adalah seperti mereka yang mabuk dan solat itu tidak akan memberi kesan kepada diri mereka. Sebab itu kena faham apa yang kita baca. Untuk faham, kena belajar tafsir dan tadabbur supaya kita faham surah-surah dan ayat-ayat yang kita baca dalam solat. Dan kena belajar apakah kalimah-kalimah yang disebut dalam solat itu supaya kalimat itu semua memberi makna kepada kita.
Ini yang dipanggil tafhim (faham apa yang disebut). Oleh itu, mungkin pada peringkat permulaan, bacalah surah-surah yang kita faham. Surah pendek pun tidak mengapa, asalkan kita faham dan dapat memberi perhatian kepada ayat-ayat yang kita baca itu.
Nabi juga melarang untuk solat dalam keadaan mengantuk. Ini menunjukkan kepentingan sedar semasa dalam solat supaya kita tahu apa yang kita lafazkan.
"Jika salah seorang dari kalian mengantuk saat solat, hendaklah ia tidur hingga hilang kantuknya, kerana bila melaksanakan solat dalam keadaan mengantuk, ia tak sedar, mungkin ia bermaksud beristighfar padahal boleh jadi ia sebenarnya mencaci dirinya." (HR. Bukhari: 205)
Selepas disebut larangan untuk mengerjakan solat dalam keadaan mabuk, Allah menyambung ayat ini dengan menyebut larangan lain yang terlibat dengan solat.
Pengajaran
1. Allah melarang kita daripada solat dalam keadaan mabuk (lost of intelect/senses) kerana keadaan itu boleh menyebabkan kita tidak sedar dan tidak tahu apa yang dibaca dalam solat.
2. Walaupun tidak minum arak dan mabuk, tetapi jika kita solat dengan tidak tahu apa yang kita baca, ini juga mestilah dielakkan. Kita kena berusaha untuk faham dan hayati apa yang kita baca dalam solat. Jangan mabuk hal dunia di dalam solat.
3. Jangan solat dalam keadaan hadas besar. Mesti mandi wajib dulu.
4. Bila sakit dan bila tiada air, kita dibolehkan bertayamum dengan debu tanah yang bersih di muka dan tapak tangan.
5. Allah Maha Pemaaf Maha Pengampun.
6. Allah amat sayang kepada umat terdahulu dan kepada kita. Hukum-hukum diturunkan secara bertahap. Tidak sekaligus hingga menyusahkan manusia. Begitu juga dengan kita bila berinteraksi dengan manusia, kena ada tahap-tahapnya.
Petunjuk
1. Larangan mendekati solat dalam keadaan mabuk: Ini menunjukkan pentingnya menjaga kekhusyukan dalam ibadah, serta perlunya kesedaran fikiran yang jelas semasa melaksanakan solat.
2. Pentingnya kebersihan fizikal dan spiritual: Mereka yang berada dalam keadaan junub (berhadas besar) harus mandi bersuci sebelum mendekati solat. Ini mengajarkan kita tentang pentingnya menjaga kebersihan dalam menjalani ibadah.
3. Kemudahan dalam agama: Jika seseorang dalam keadaan sakit, sedang dalam perjalanan, atau tidak mempunyai air untuk mandi atau berwuduk, mereka dibolehkan untuk bertayamum dengan debu tanah yang suci. Ini menunjukkan bahwa agama memberikan kemudahan dalam menjalankan ibadah, terutama dalam situasi yang sulit.
4. Pengampunan dan kemaafan Allah: Allah mengampuni ketidaktahuan dan keadaan sulit yang mungkin dihadapi oleh umat Islam dalam menjalankan ibadah. Ini mengajarkan kita untuk bergantung pada kebaikan dan rahmat Allah dalam setiap aspek kehidupan.
Tindakan untuk Beramal
Untuk memastikan bahawa kita mendirikan solat dengan khusyuk dan mengikut garis panduan yang terdapat dalam ayat ini, berikut adalah beberapa langkah yang boleh kita ambil:
1. Mulakan dengan membuat persiapan yang baik sebelum solat. Bersihkan diri secara fizikal dengan mandi atau berwuduk mengikut tuntunan syariat. Berpakaian bersih dan sopan, dan pilih tempat yang tenang tanpa gangguan.
2. Sebelum memulakan solat, luangkan masa untuk fokus dan kosongkan fikiran anda daripada semua perkara dunia. Bertenang dan berserah kepada Allah. Ingatkan diri akan kebesaran dan kehadiran-Nya.
3. Semasa solat, cuba fahami maksud dan tujuan setiap pergerakan dan solat yang kita lakukan. Baca dan fahami ayat-ayat al-Quran yang kita baca dalam solat. Ini akan membantu kita untuk lebih berhubung dengan Allah semasa solat.
4. Apabila melakukan gerakan solat, cuba hayatinya dengan khusyuk. Fokuskan perhatian pada gerak badan, takbiratul ihram, rukuk, sujud, dan lain-lain. Rasai setiap pergerakan dengan kesedaran dan tumpuan yang tinggi.
5. Semasa solat, cuba kawal fikiran supaya tidak terganggu oleh pemikiran yang tidak relevan. Jika fikiran kita mula melayang, kembalikan perhatian kita kepada ibadah yang sedang dilakukan. Baca ayat yang difahami untuk membantu mengekalkan konsentrasi.
6. Apabila membaca ayat-ayat al-Quran dalam solat, cuba baca dengan tajwid yang baik. Belajar tajwid dengan betul dan cuba amalkan ketika membaca al-Quran dalam solat.
7. Selain daripada memperhatikan solat secara langsung, cuba juga mengamalkan ajaran solat dalam kehidupan seharian. Contohnya dengan menjaga kebersihan jasmani dan rohani, memperbaiki akhlak, dan berlaku adil dan jujur dalam semua perkara.
Wallahua’lam
Rujukan
1. Nota My #Qurantime
2. Tafsir Al-Munir
3. celiktafsir.net
4. Kamus Asfahani
5. Buku “Memahami Al-Quran Petunjuk Kita”, Haji Mohamed Ayob Yasin