Sunday, October 1, 2023

Halaman 421 : Al-Ahzab, 33:23-30

PERKATAAN HARI INI

  نَحَبَ  Waktu kematian. 1 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS    

  1. Sambungan kisah Perang Khandak (33:23-27)
  2. Pilihan kepada para isteri Nabi Muhammad SAW antara dunia atau akhirat, timbangan pahala serta hukuman yang Allah SWT sediakan untuk mereka (33:28-30)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 421 surah al-Ahzab. 

Allah SWT mengajak kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai tauladan di dalam kehidupan kita. Semoga kita dapat bertemu dengan baginda SAW nanti.  

Ayat 33:23

مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا۟ مَا عَٰهَدُوا۟ ٱللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُۥ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا۟ تَبْدِيلًا

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Pengajaran

  1. Allah SWT menceritakan sifat orang beriman. Baginda SAW pernah menangis bila teringat kisah Mus'ab b Umair yang mengubah kehidupannya dari seorang yang mewah sehingga bila ia syahid, kain kapan pun tidak cukup untuk menutup tubuhnya. Beliau adalah lelaki yang membenarkan janjinya kepada Allah SWT.
  2. Imam Ibnu Kathir memberi contoh tentang sahabat-sahabat yang telah membenarkan janji-janji mereka kepada Allah SWT:
    • Anas b Nadar iaitu pak cik kepada Anas b Malik. Anas b Nadar tidak dapat menyertai Perang Badar. Di Perang Uhud, beliau ikut serta walaupun beliau sudah tua. Bila ditanya oleh seorang sahabat kenapa beliau turut pergi, beliau menjawab yang beliau telah terbau bau-bauan syurga yang dijanjikan oleh Allah SWT. Di jenazah Anas, terdapat 80 kesan tusukan dan ahli keluarganya hanya dapat mengenalinya melalui jarinya.
    • Satu hari bila baginda SAW membaca ayat ini di atas mimbar, seorang lelaki mengangkat tangan dan bertanya baginda SAW, siapa yang Allah SWT maksudkan, yang membenarkan janji kepadaNya? Rasulullah SAW menunjuk ke arah Thalhah yang tangannya lumpuh kerana menahan senjata musuh daripada terkena Rasulullah SAW sewaktu berperang.
  3. Di dalam solat, kita hari-hari berjanji dengan Allah SWT. Kita janji dalam doa iftitah, "Sesungguhnya solatku, hidupku, matiku hanyalah kerana Allah SWT". Tetapi setiap hari kita banyak melakukan dosa. Maka, selalulah  bertaubat, memohon keampunan Allah SWT.

Ayat 33:24

لِّيَجْزِىَ ٱللَّهُ ٱلصَّٰدِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ ٱلْمُنَٰفِقِينَ إِن شَآءَ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

(Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Ia kehendaki, atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Pengajaran

  1. Allah SWT masih memberi peluang kepada orang beriman untuk bertaubat dan bersedia mengampunkan kita. Jika kita ada menzalimi orang lain, kita kembalikan hak mereka kerana itu adalah sebahagian daripada syarat taubat.  

Ayat 33:25

وَرَدَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِغَيْظِهِمْ لَمْ يَنَالُوا۟ خَيْرًا وَكَفَى ٱللَّهُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلْقِتَالَ وَكَانَ ٱللَّهُ قَوِيًّا عَزِيزًا

Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Pengajaran

  1. Perang Ahzab ini ialah kemuncak peperangan. Selepas itu, orang musyrik tidak dapat lagi mengalahkan orang Islam. 
  2. Mereka tidak berjaya masuk ke Madinah walaupun tentera Islam hanya 3 ribu orang berbanding mereka,10 ribu orang kerana Allah SWT menghantar tenteraNya iaitu angin dan tentera yang tidak dapat lihat oleh mata.

Ayat 33:26

وَأَنزَلَ ٱلَّذِينَ ظَٰهَرُوهُم مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَٰبِ مِن صَيَاصِيهِمْ وَقَذَفَ فِى قُلُوبِهِمُ ٱلرُّعْبَ فَرِيقًا تَقْتُلُونَ وَتَأْسِرُونَ فَرِيقًا

Dan Ia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikanNya hati mereka dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman); sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan.

Pengajaran

  1. Allah SWT mencampakkan rasa takut di hati orang-orang Yahudi yang membantu tentera musuh dan mereka akhirnya kalah.

Ayat 33:27

وَأَوْرَثَكُمْ أَرْضَهُمْ وَدِيَٰرَهُمْ وَأَمْوَٰلَهُمْ وَأَرْضًا لَّمْ تَطَـُٔوهَا وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرًا

Dan Ia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Pengajaran

  1. Allah SWT mewariskan harta-harta golongan Yahudi kepada orang Islam. Itulah janji Allah SWT. 

Ayat 33:28

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزْوَٰجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.

Pengajaran

  1. Setelah tentera Islam mendapat kemenangan, musuh telah pun berundur. Rasulullah SAW juga telah meletakkan senjata. Tiba-tiba datang malaikat Jibril bertanya adakah baginda SAW telah meletakkan senjata dan memberitahu Nabi SAW Bani Quraizah yang ada di dalam Madinah telah mengkhianati Rasullulah SAW. Perkampungan Bani Quraizah dikepung selama 25 hari. Allah SWT telah mewariskan harta rampasan yang banyak kepada orang Islam.
  2. Allah SWT mendidik isteri-isteri Nabi SAW. Ada di kalangan isteri-isteri Nabi SAW yang meminta nafkah lebih kerana melihat harta rampasan tersebut. Tidak seharusnya berlaku di dalam rumah tangga Nabi SAW kemahuan terhadap dunia. Itu yang Allah SWT hendak didik kepada isteri-isteri Nabi SAW. 
  3. Setelah tamatnya Perang Ahzab, Saidina  Abu Bakar dan Saidina Umar datang ke rumah baginda SAW. Hanya mereka berdua yang dibenarkan masuk. Mereka telah mengetahui tentang isteri baginda SAW yang meminta nafkah lebih. Saidina Umar sempat bergurau dan menyatakan yang jika isterinya yang meminta nafkah lebih, beliau akan memegang ('grip') lehernya. Gurauan Saidina Umar ialah untuk mengendurkan keadaan yang sedikit tegang dan dingin waktu itu. 
  4. Hendaklah kita jadikan rumah tangga Nabi SAW sebagai model kehidupan berkeluarga. Rumah tangga hendaklah dibimbing dengan wahyu seperti yang Allah SWT didik kepada baginda SAW. Jangan kita hanya baca al-Quran sahaja tetapi tidak menjadikannya bimbingan dalam kehidupan berkeluarga.

Ayat 33:29

وَإِن كُنتُنَّ تُرِدۡنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلدَّارَ ٱلۡـَٔاخِرَةَ فَإِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلۡمُحۡسِنَـٰتِ مِنكُنَّ أَجۡرًا عَظِیمࣰا

"Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar".

Pengajaran

  1. Allah SWT menyediakan ganjaran pahala yang besar di akhirat kepada isteri-isteri Nabi SAW sekiranya mereka mahukan keredaan Allah dan RasulNya. 

Ayat 33:30

يَٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ مَن يَأْتِ مِنكُنَّ بِفَٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ يُضَٰعَفْ لَهَا ٱلْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا

Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.

Pengajaran

  1. Perhatikan bagaimana Allah SWT memelihara rumah tangga Nabi SAW. Allah SWT berikan didikan secara terus kepada Rasulullah SAW dan isteri-isterinya.
  2. Hendaklah kita jadikan al-Quran sebagai bimbingan dalam kekeluargaan. 
  3. Ayat ini menunjukkan al-Quran bukan dikarang oleh Nabi Muhammad SAW. Kalau Nabi SAW karang sendiri, baginda tidak akan cerita masalah rumah tangganya.
  4. Tingginya kedudukan baginda SAW sehingga kehidupan baginda diwahyukan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.
  5. Hendaklah kita ikut Rasullullah SAW dan jangan menyalahi baginda SAW. 
  6. Jika isteri Nabi SAW membuat kesalahan, azabnya dua kali ganda kerana al-Quran diturunkan di rumah mereka. Mereka tahu ayat-ayat al-Quran adalah wahyu daripada Allah SWT. 
  7. Allah SWT ceritakan ayat-ayat ini supaya ia menjadi contoh dalam rumah tangga kita.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Sentiasa mengotakan janji kepada Allah SWT untuk berjuang (33:23)
  2. Yakin Allah SWT yang menakutkan orang kafir apabila orang beriman menunaikan janji tetap berjuang (33:25)
  3. Buat pilihan yang jelas kepada pasangan: habuan dunia atau terus berjuang menuju akhirat (33:28-29)
Saya berasa lega, Allah SWT takutkan orang kafir sekiranya saya menunaikan janji tetap berjuang.

Saya jelas untuk sentiasa mengotakan janji kepada Allah SWT untuk berjuang. Saya jelas saya mesti yakin Allah SWT yang menakutkan orang kafir apabila orang beriman menunaikan janji tetap berjuang. Saya jelas untuk buat pilihan yang jelas kepada pasangan: habuan dunia atau terus berjuang menuju akhirat.

Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa mengotakan janji kepada Mu untuk berjuang. Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami bahawa Engkau yang menakutkan orang kafir apabila orang beriman menunaikan janji tetap berjuang. Ya Allah, bimbing kami untuk terus berjuang menuju akhirat.

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

"Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang beriman lebih dahulu dari kami. Janganlah Engkau tanamkan ke dalam hati kami perasaaan dengki kepada orang-orang yang telah beriman lebih dahulu. Wahai tuhan kami, sungguh Engkau Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kepada semua makhluk-Nya." ( al-Hasyr ayat 10)

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...