Tadabbur ayat Solat
Tajuk: Ilmu, Asas Iman dan Taqwa
Surah Al-Nisa’ ayat 162 (ms 103)
لَّـٰكِنِ ٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ مِنْهُمْ وَٱلْمُؤْمِنُونَ يُؤْمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ ۚ وَٱلْمُقِيمِينَ ٱلصَّلَوٰةَ ۚ وَٱلْمُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلْمُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ أُو۟لَـٰٓئِكَ سَنُؤْتِيهِمْ أَجْرًا عَظِيمًا
Tetapi orang-orang yang teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang yang beriman, sekaliannya beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu (Al-Quran), dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu, - khasnya orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan orang-orang yang menunaikan zakat, serta yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; mereka itulah yang Kami akan berikan kepadanya pahala (balasan) yang amat besar.
Sinopsis Surah Al-Nisa’
an-Nisa’ (Wanita)
Tema: Adil dan kasih sayang hatta pada yang lemah
4:1
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
ٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ
2 kali disebut dalam al-Quran (ayat lain Ali-‘Imran, 3:7)
Bermaksud “orang-orang yang teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya”
Keterangan Ayat
Pada ayat 153-161, Allah SWT mengingatkan tentang berbagai sikap zalim dan kepala batu kaum Yahudi.
1. Mereka tidak mahu tunduk kepada kebenaran.
2. Selalu membantah dan mendebat.
3. Melakukan helah untuk menghindar daripada kebenaran.
4. Mempersulitkan keadaan.
5. Suka menipu.
6. Merosak perjanjian.
7. Membunuh para Nabi.
8. Melontar tuduhan palsu kepada Sayidatina Mariam (Ibu Nabi Isa).
9. Mengharamkan perkara yang dihalalkan ke atas mereka.
10. Menghalang orang beriman melakukan ibadat
11. Memakan riba yang dilarang oleh Allah SWT.
12. Memakan harta orang lain secara batil dalam bentuk rasuah, penipuan dan penggelapan.
Sikap yang demikian itu menyebabkan mereka dimurkai oleh Allah SWT.
1. Allah mengharamkan bagi mereka makanan baik yang sebelumnya dihalalkan.
2. Mendapat balasan akhirat yang amat pedih iaitu neraka Jahannam.
3. Allah SWT menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Pada ayat 162, Allah SWT memberitahu ada kaum Yahudi yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam dan beriman.
1. Beriman kepada al-Quran.
2. Beriman kepada kitab-kitab terdahulu.
3. Solat
4. Keluarkan zakat
5. Beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Mereka itu akan mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah SWT.
Selain itu, dalam surah Al-Mujadalah ayat 11, Allah SWT juga mengingatkan kita bahawa Allah akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat:
يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
“Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah, 58:11]
Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [HR Muslim #4867]
Peringatan
1. Pentingnya pengetahuan dan pemahaman yang mendalam tentang ajaran agama kerana ilmu yang jelas menjadi asas iman dan taqwa.
2. Kombinasi antara ilmu dan iman dapat mengarah pada perbuatan yang benar.
3. Orang yang berilmu dan beriman mendirikan solat untuk menjaga hubungan dengan Allah SWT dan mengeluarkan zakat untuk menjaga hubungan sesama manusia.
4. Semua amalan kebaikan yang dilakukan adalah kesan daripada beriman kepada Allah dan hari akhirat.
5. Allah SWT Maha Adil dan Maha Penyayang. Orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertaqwa akan mendapat pahala yang besar daripada Allah SWT. Orang yang zalim dan kufur seperti Yahudi akan mendapat azab yang pedih.
6. Menuntut ilmu merupakan kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan. Ini kerana, ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan samada perkara tersebut baik atau tidak.
7. Banyak kelebihan menuntut ilmu:
• Allah SWT akan memudahkan jalan ke Syurga.
• Mendapat sakinah dan rahmat daripada Allah SWT.
• Mendapat perlindungan daripada para malaikat.
Petunjuk dan Tindakan beramal
1. Ilmu yang mendalam amat penting sebagai asas untuk beriman dan beramal. Maka kita mestilah bersungguh-sungguh mendalami sumber ilmu iaitu al-Quran dan sunnah agar dapat semak amalan kita samada bertepatan dengan perintah dan larangan Allah SWT.
2. Hasil daripada ilmu yang mendalam, iman dan takwa akan meningkat, kesannya kita akan berhati-hati dengan tindak tanduk seharian.
3. Kita akan menjaga hubungan dengan Allah dengan mendirikan solat dan menjaga hubungan dengan manusia mengeluarkan zakat.
4. Bersyukur kerana Allah SWT yang menghadiahkan al-Quran kepada kita sebagai panduan menuju syurga. Maka kita mesti hargai hadiah ini dengan mendalami ilmu yang terdapat dalam al-Quran.
5. Jangan jadi seperti orang Yahudi, mereka ada kitab tetapi mereka tidak menggunakan ilmu di dalamnya.
6. Sangat penting untuk kita membina iman. Membaca al-Quran sepatutnya menambahkan iman. Jika dengan membaca al-Quran tidak bertambah iman, kita hendaklah berdoa supaya Allah tambah keimanan kita.
7. Iman itu fokusnya di hati yang akan dijelmakan dalam tingkah laku dan perbuatan kita.
8. Allah SWT sentiasa memerhati kita. Kita perlulah sentiasa membetulkan niat kita dalam setiap perkara yang kita lakukan terutamanya dalam menuntut ilmu.
Semoga Allah SWT memberi kita ilmu-ilmu yang bermanfaat dan memberi kita kefahaman yang mendalam dalam agama ini agar kita dapat beramal yang betul dan sampaikannya kepada orang lain. Amin.
Wallahua’lam
Rujukan
1. Nota My #Qurantime
2. celiktafsir.net
3. Tafsir Al-Munir