Wednesday, December 4, 2024

Ayat Solat-13 : Al-Maidah Ayat 6

Tadabbur ayat Solat

 

Surah Al-Maidah Ayat 6 (ms 108)


Tajuk: Syarat Awal Mendirikan Solat


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغْسِلُوا۟ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى ٱلْمَرَافِقِ وَٱمْسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى ٱلْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًۭا فَٱطَّهَّرُوا۟ ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰٓ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَآءَ أَحَدٌۭ مِّنكُم مِّنَ ٱلْغَآئِطِ أَوْ لَـٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَلَمْ تَجِدُوا۟ مَآءًۭ فَتَيَمَّمُوا۟ صَعِيدًۭا طَيِّبًۭا فَٱمْسَحُوا۟ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ ۚ مَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍۢ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُۥ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ 


“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”


Nota: Tentang wuduk, mandi wajib dan tayammum juga terdapat dalam Surah An-Nisa’ ayat 43.


Sinopsis Surah 


Al-Maidah, bermakna hidangan. 


Tema surah ini ialah "Apabila Allah memberikan sesuatu nikmat/kurniaan, maka kita perlu gunakannya untuk berjuang di jalan Allah". Semakin banyak kurniaan yang Allah beri, Allah akan bertanya apa yang kita manfaatkan, sebagaimana Hawariyyun iaitu pengikut Nabi Isa ditanyakan kepada mereka apakah mereka akan terus berjuang setelah mendapat hidangan dari langit (5:111-115).


Surah Al-Maidah ini menjelaskan tentang keadilan dan perjuangan. Allah menjanjikan keampunan dan ganjaran yang besar kepada orang beriman dan beramal soleh kerana mereka memperjuangkan keadilan.


Surah ini dimulakan dengan seruan kepada orang beriman supaya menunaikan segala perjanjian yang telah dibuat. Allah ingatkan orang-orang beriman supaya tunaikan janji-janji (  أَوۡفُوا۟ بِٱلۡعُقُودِۚ) yang telah dibuat. Menurut Imam Al-Alusi ada 3 jenis janji (akad):

1. Janji dengan Tuhan

2. Janji dengan diri untuk menjadi manusia yang baik

3. Janji dengan sesama manusia


Dihalalkan semua binatang ternakan kecuali berburu semasa ihram haji.


Diakhiri dengan janji Allah: Hari kiamat adalah hari yang cukup bermakna ke atas mereka yang membenarkan risalah nabi. Untuk mereka disediakan Syurga yang terdapat anak sungai, kekal abadi di dalamnya.


Sebahagian pendapat menyatakan bahawa ayat ini turun di Mekah selepas kejayaan umat Islam menawan Mekah. Islam sudah menang. Nabi SAW wafat 83 hari selepas turun ayat [5:3]. Ayat ini bukan hanya hukum, ini juga merupakan bayangan kepada para sahabat bahawa selepas Nabi wafat, mereka akan terus berjuang dan mereka akan berhadapan dengan ahli-ahli kitab di banyak tempat seperti di Rom.


Keterangan Ayat


1. Allah ingatkan kita, orang mukmin, bila hendak mendirikan solat, kita perlu mengambil wuduk terlebih dahulu. Dengan membasuh muka; membasuh kedua tangan sampai ke siku; menyapu air ke kepala; dan membasuh kaki hingga ke buku lali. 

2. Bila kita berjunub, kita perlu mandi wajib. 

3. Bila kita sakit atau musafir atau membuang air besar atau kecil, atau tersentuh kulit perempuan, jika tidak ada air, bolehlah kita bertayamum dengan menyapu debu tanah pada muka dan kedua tangan. 

4. Allah tidak akan memberatkan kita untuk mendapatkan air untuk tujuan wuduk, Yang penting ialah menyucikan diri dari najis dan hadas. 

5. Dalam waktu yang sama, itulah caranya Allah menyempurnakan pemberian nikmat-Nya kepada kita. Mudah-mudahan kita akan bersyukur.


Ayat 7


1. Kerana itu, wajarlah kita mengingati selalu nikmat yang telah kita terima. 

2. Tunaikan janji yang telah dibuat. 

3. Bila kita sudah berikrar menerima dan akan menunaikan janji yang dibuat, bertakwalah kepada Allah kerana Allah itu tahu apa yang tersemat di sudut hati kita.


Peringatan


1. Ayat sebelum ini bercakap tentang makanan. Hendaklah kita jaga makanan fizikal dengan memilih yang halalan toiyyibah dan jaga makanan rohani dengan bersuci, berwuduk dan mengerjakan solat. 

2. Maknanan yang baik dan kebersihan diri amat penting untuk menjaga hubungan dengan Allah SWT. 

3. Wuduk lambang kebersihan dan kesempurnaan. Bab bersih ini memang amat penting dalam Islam. 

4. Allah melengkapkan nikmat-Nya bila kita jaga makanan, kebersihan fizikal, berwuduk, dan solat. 

5. Nikmat bukan percuma. Ingat nikmat ingat perjanjian kita "Kami dengar dan kami taat (akan perintah-perintah Allah dan RasulNya)".

6. Allah Maha Mengetahui segala yang ada di dalam hati manusia.

7. Allah ingin mengangkat darjat kita dengan ujian dan pastikan kita berwuduk dan solat.

8. Wuduk ada kaitan dengan persediaan keadilan.



Petunjuk dan Tindakan Beramal


1. Menjalankan tata cara bersuci dan solat dengan betul adalah bentuk ketaatan dan disiplin dalam ibadah. Ini mengajar kita untuk menjadi seorang yang tertib dan berdisiplin dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim.

2. Allah tidak memberatkan hamba-Nya. Agama Islam mengajarkan keseimbangan dan kemudahan dalam melaksanakan perintah Allah. Sebagai hamba-Nya kita pula jangan menyusahkan orang lain yang berurusan dengan kita.

3. Proses menyucikan sebelum solat bukan sekadar perbuatan fizikal, tetapi juga mewujudkan kesedaran tentang kehadiran Tuhan. Ini menimbulkan rasa taqwa dan ketaatan kepada Allah yang dapat menjadikan kita berhati-hati dalam memilih makanan, percakapan, dan perbuatan. 

4. Menjaga makanan, bersuci dan wuduk mencerminkan nilai-nilai kebersihan dalaman dan luaran, yang dapat mewujudkan sikap bersih pada diri, rumah tangga dan persekitaran.

5. Kesederhanaan dan kemudahan dalam melaksanakan ibadah menunjukkan kebijaksanaan Allah dalam menyediakan peraturan yang mudah diikuti oleh hamba-Nya. Maka sebagai ketua dalam rumah atau organisasi kita mestilah sediakan peraturan yang jelas, flexible dan mudah diikuti oleh orang lain.

6. Allah SWT berikan macam-macam nikmat kepada kita, maka kita hendaklah menjadi orang yang bersyukur.

7. Kalau kita rasa kelam kabut bagaimanapun, pastikan ambil makanan yang toyyibah, bersuci dengan betul, sempurnakan wuduk, jaga hubungan dengan Allah melalui solat sebagai tanda kita menepati janji kepada Allah untuk menjadi hamba-Nya yang khusyuk dan khalifah-Nya yang bertanggungjawab, insyaAllah akan berjaya di dunia dan di akhirat berjaya mendapat ganjaran syurga Firdaus yang tertinggi.



رَبِّ أَوْزِعْنِىٓ أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَىَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَـٰلِحًۭا تَرْضَىٰهُ وَأَدْخِلْنِى بِرَحْمَتِكَ فِى عِبَادِكَ ٱلصَّـٰلِحِينَ 


"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".


Wallahua’lam



Rujukan


1. Nota My #Qurantime

2. Memahami Al-Quran Petunjuk Kita, Haji Mohamed Ayob Yasin

3. Tafsir Al-Munir



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...