Wednesday, December 4, 2024

Ayat Solat-21 : Al-A’raf Ayat 170

Tadabbur Ayat Solat


Surah Al-A’raf ayat 170 (Halaman 172)


Tajuk: Musleh


Surah Al-A’raf (7:170)


وَٱلَّذِينَ يُمَسِّكُونَ بِٱلْكِتَـٰبِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُصْلِحِينَ ١٧٠


Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya).


Keterangan Ayat


Nama surah Al-A’raf bermaksud tempat tertinggi yang menjadi perbatasan antara syurga dengan neraka. Di atasnya terdapat sekelompok manusia yang sama timbangan kebaikan dan keburukannya; hingga Allah SWT pun menempatkan mereka di Al-A'raf dalam beberapa waktu yang mereka tidak tahu kemanakah akhir dari perjalanan mereka.


Tema surah Al-A’raf: Jadilah golongan syurga, bukan atas pagar.


Pada ayat-ayat sebelumnya, Allah SWT telah menyebutkan beberapa sifat buruk kaum Yahudi dan siksaan yang ditimpakan terhadap mereka iaitu menjadikan mereka sebagai kera. Allah mengazab mereka sampai hari kiamat yang berupa kehinaan, permusuhan, dan mencerai beraikan mereka di muka bumi. Ini dapat dilihat sampai ke hari ini, hidup mereka tidak aman di Israel.


Allah uji mereka dengan berbagai nikmat dan bencana agar mereka kembali kepada kebenaran. Setelah itu datang generasi yang mewarisi Taurat namun mereka menentang hukum-hukum agama dan membuat kerosakan di muka bumi. Generasi penerus mereka adalah orang-orang yang bersifat materialism dengan obses dunia. 


Dalam ayat 170, Allah SWT memuji segolongan mereka yang mengikut ajaran yang terkandung di dalam kitab Taurat. 


وَالَّذينَ يُمَسِّكونَ بِالكِتٰبِ

Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah


Di sini digunakan kalimah يُمَسِّكونَ daripada katadasar م س ك yang bermaksud pegang dengan kuat. Mereka mengikut bersungguh-sungguh apa yang disebut dalam kitab dan mereka terima semuanya. Mereka terima Nabi Muhammad SAW dan berpegang teguh kepada al-Quran yang dibawa oleh Nabi SAW. Contoh mereka pada zaman Nabi SAW ialah Abdullah bin Salam.

 

وَأَقامُوا الصَّلوٰةَ

serta mendirikan sembahyang, 


Tanda mereka yang beriman dengan kitab wahyu iaitu orang itu akan menjaga ibadat. Di sini disebut ibadah solat secara khusus kerana ia adalah ibadat yang paling utama. Sekiranya boleh dijaga ibadah solat, maka ibadah lain akan senang dijaga. 


Oleh sebab itu, solat amat perlu dijaga. Ia adalah amalan pertama yang dinilai di akhirat kelak seperti disebut di dalam sebuah hadith:


Sesungguhnya amalan yang mula dihisab atas seseorang hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya maka baik segala amalannya, sekiranya buruk solatnya maka buruk segala amalannya. (Hadith Riwayat At-Tabrani (1859))

 

إِنّا لا نُضيعُ أَجرَ المُصلِحينَ

sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki 


Allah SWT tidak akan menghampakan mereka yang berusaha memperbaiki keadaan mereka daripada seorang yang kufur kepada menjadi seorang yang taat. Daripada amal yang toleh kepada amal yang soleh. Yang buruk menjadi baik. Yang syirik menjadi tauhid. Mereka berusaha beramal mengikut sunnah Nabi SAW.


Di dalam ayat ini Allah SWT beritahu yang Dia akan memberikan pahala kepada mereka. Allah SWT memberi motivasi kepada kita supaya beramal dengan kebaikan walau sekecil mana pun; Allah SWT tidak akan sia-siakan.


Maka sekecil mana pun amalan kebaikan, teruslah kita melakukannya. Amalan yang mudah saja seperti senyum kepada orang, menyusun kasut di masjid, memberi bantuan kepada orang walau dengan hanya membantu membukakan pintu atau mengemas meja makan di restoran setelah selesai makan. 


Di dalam ayat ini digunakan kalimah المُصلِحينَ yang bermaksud mereka bukan sahaja baik, tetapi memperbaiki diri orang lain juga. Mereka juga bukan sahaja memperbaiki keadaan peribadi mereka, tetapi mereka juga memperbaiki masyarakat. Mereka melakukan islah (pembaikan) dalam masyarakat. Mereka itulah orang yang tetap akan mendapat pahala daripada Allah SWT. Mereka tidak mementingkan dan menyelamatkan diri sendiri sahaja.


Rujuk juga Surah Al-‘Asr:


إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ ٢

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian


إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ ٣


“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”


Petunjuk dan Tindakan Beramal


1. Hendaklah kita sentiasa berpegang teguh dengan Kitab Allah! Jangan meninggalkan panduan Al-Quran!

2. Hendaklah kita sentiasa menjaga solat! Menjaga rukun dan syaratnya! Dirikanlah solat dengan sempurna!

3. Hendaklah kita berpegang teguh kepada perintah Allah! Jangan mempermainkan agama Allah! Jangan jual agama kerana habuan dunia!

4. Hendaklah kita mempelajari Kitab Allah dengan cara betul! Fahamilah dan beramallah dengan petunjuknya! Jangan melanggar perintahNya!

5. Jadi orang musleh  dengan berusaha memperbaiki amalan seharian dan ajak orang orang lain jadi soleh untuk menambahkan pahala supaya berat timbang amal kebaikan agar tidak jadi ahli Al-A’raf. Transformasikan kebaikan kepada masyarakat keliling.

6. Buktikan kita berpegang teguh kepada kitab dengan menjaga solat, mengajak orang buat kebaikan dan menahan diri perbuatan yang Allah larang.

7. Jangan mendiamkan sebarang kemungkaran agar kita dapat membebaskan diri daripada dosa dan sebagai hujjah di depan Allah pada hari akhirat nanti. Kalau kita tidak tegur, nanti kita akan berpecah, dihina dan mudah dimanipulasi oleh orang zalim. 

8. Jangan jadi seperti orang Yahudi yang memiliki kitab tetapi masih melakukan kemungkaran dan maksiat. Ada yang ikut kitab tapi tidak menasihat orang lain yang buat kemungkaran.

9. Jangan jadikan kitab Allah sebagai alat untuk mendapat habuan dunia. Cinta dan tamakkan dunia adalah penyebab utama kesesatan manusia.


Sila tambah petunjuk dan tindakan beramal anda.


Doa


Ya Allah, jadikan kami orang musleh. Ya Allah, bantu kami untuk beri peringatan dan cegah kemungkaran agar kami selamat dari azab Mu. Ya Allah, ampuni kami dan jauhi kami daripada azab di dunia dan azab di akhirat. Ya Allah, bimbing kami untuk berjaga-jaga dengan ujian kebaikan dan keburukan. Ya Allah, bantu kami untuk segera kembali kepada Mu dalam apa jua keadaan.

Ya Allah jadikanlah kami orang yang sentiasa berpegang teguh kepada KitabMu, bantulah kami untuk mendirikan solat dengan sempurna. Aamiin.


Wallahua’lam


Rujukan


1. Tafsir Al-Munir

2. Nota My #QuranTime

3. celiktafsir.net 

4. Memahami Al-Quran Petunjuk Kita, Haji Mohamed Ayob Yasin

5. Telegram Majlis Al-Quran, March 30,2020


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...