Tadabbur Ayat Solat
Surah Al-Anfal Ayat 3 (Halaman 177)
Tajuk: Formula Kemenangan
Surah Al-Anfal (8:3)
ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ ٣
Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
Lihat juga ayat 1-2
Keterangan Ayat
Al-Anfal bermakna rampasan perang. Dikumpulkan harta-harta tersebut dan dibahagikan kepada 5 bahagian. Satu untuk ketua, 4/5 dibahagi-bahagikan kepada tentera-tentera.
Sehubungan ini, ketua organisasi harus memberikan nafl (tambahan) kepada mereka yang membantu dalam gerakan fi sabilillah.
Pada zaman sekarang, tentera diberikan gaji tetap, harta rampasan diserahkan kepada negara.
Surah Al-Anfal adalah surah ke-8 dalam Al-Quran yang diturunkan di Madinah setelah Perang Badar. Umat Islam yang sedikit berjaya mengalahkan kaum musyirikin yang ramai. Kemenangan itu juga dinamakan seagai Yaum al-Furqan iaitu Hari Pembeza kerana ia membezakan antara yang kebenaran (Islam) dengan kebatilan (syirik).
Surah ini mengandung banyak pengajaran penting tentang peraturan kemenangan dan sebab kekalahan bagi umat Islam. Ayat 3 dari surah ini memberikan penekanan khusus pada sifat-sifat orang beriman yang menjadi kunci kemenangan.
1. Mendirikan Solat
Solat adalah tiang agama dan bentuk ibadah utama yang menunjukkan ketaatan kita kepada Allah. Mendirikan solat bermakna melaksanakan solat dengan khusyuk, tepat waktu, dan sesuai dengan syariat yang telah diajarkan oleh Nabi SAW.
Solat yang khusyuk dapat memperkuatkan hubungan kita dengan Allah, memberikan ketenangan jiwa, dan membimbing kita dalam setiap aspek kehidupan. Ini adalah landasan utama bagi kemenangan spiritual dan material.
2. Menginfakkan Sebahagian daripada Rezeki
Menginfakkan rezeki adalah adalah natijah dari rasa syukur kepada Allah dan kepedulian terhadap sesama manusia. Ini mencakupi zakat, sedekah, dan segala bentuk pemberian kepada yang memerlukan.
Infak dan sedekah membersihkan harta, meningkatkan rasa empati, dan memperkuat perpaduan sosial. Ini juga menjadi salah satu cara untuk mendapatkan keberkatan dan perlindungan daripada Allah.
Hubungan dengan Ayat 1 dan 2 serta Tema Surah
Ayat 1: Pertanyaan tentang Harta Rampasan Perang
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَنفَالِ ۖ قُلِ الْأَنفَالُ لِلَّهِ وَالرَّسُولِ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصْلِحُوا ذَاتَ بَيْنِكُمْ ۖ وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: "Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman".
Ayat ini menekankan pentingnya ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, serta memperbaiki hubungan antara sesama. Ini menjadi dasar untuk kesatuan dan kekuatan umat Islam, yang merupakan salah satu kunci kemenangan.
Orang yang beriman ada disiplin dalam urusan pembahagian harta rampasan.
Allah ingatkan kita supaya bertakwa kepada Allah dan perbaiki perhubungan jika betul kita orang beriman. Kita diajar bahawa dalam kehidupan ini hendaklah utamakan Allah dan rasul.
Ayat 2: Ciri-Ciri Orang Beriman
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”
Ayat ini menjelaskan ciri-ciri orang beriman yang memiliki rasa takut kepada Allah, iman yang bertambah ketika mendengar ayat-ayat Allah, dan kebergantungan penuh kepada-Nya. Ayat 3 melanjutkan penjelasan dengan menegaskan pentingnya solat dan infak sebagai manifestasi iman.
Sebagaimana dijelaskan dalam ayat 1, kemenangan diperoleh melalui ketaatan penuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Orang yang beriman dan menegakkan solat akan mendapat bantuan dan bimbingan daripada Allah (ayat 2 dan 3).
Menginfakkan rezeki membantu memperkuat ukhuwah dan mendatangkan keberkatan (ayat 3). Jika umat Islam tidak memperbaiki hubungan dan tidak taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka kesatuan akan melemah dan membuka jalan bagi kekalahan (ayat 1).
Tanpa iman yang kuat dan ketergantungan penuh kepada Allah, umat Islam akan mudah goyah dalam menghadapi ujian (ayat 2). Tawakal kepada Allah setelah menjalankan usaha yang patut, terutama persiapan sebelum perang.
Mengabaikan solat dan tidak peduli kepada sesama manusia akan melemahkan kesatuan dan merugikan secara spiritual dan material (ayat 3). Untuk berjihad di jalan Allah, kita mesti mempersiapkan diri dengan kekuatan spiritual dan material, melindungi dan saling tolong menolong di antara satu sama lain.
Rumusan
5 ciri-ciri orang beriman yang menjadi formula kemenangan:
1. Rasa takut yang sempurna terhadap Allah SWT.
2. Bertambah keimanan dan semangat beramal soleh dengan membaca al-Quran.
3. Bertawakal kepada Allah SWT.
4. Mendirikan solat.
5. Berinfak di jalan Allah.
Orang-orang yang mempunyai ciri-ciri di atas adalah orang mukmin yang sebenarnya. Untuk mereka disediakan darjat yang tinggi, pengampunan dan rezeki yang diberkati (ayat 4)
Petunjuk dan Tindakan Beramal
1. Memastikan solat lima waktu dilakukan tepat waktu dan dengan khusyuk.
2. Belajar dan memahami makna dari bacaan-bacaan dalam solat untuk meningkatkan kekhusyukan.
3. Mengikuti kelas pengajian tentang tata cara solat yang tepat.
4. Menetapkan jadual rutin untuk bersedekah, baik secara harian, mingguan, mahupun bulanan.
5. Memahami hukum dan peraturan zakat sehingga dapat melaksanakan kewajiban zakat dengan betul.
6. Melibatkan diri dalam kegiatan sosial yang membantu orang yang kurang mampu, seperti mengikuti program bantuan kemanusiaan atau menjadi sukarelawan.
7. Berinfak dengan niat yang ikhlas tanpa mengharapkan pujian daripada orang lain.
8. Mengajak keluarga untuk ikut serta dalam berinfak dan bersedekah.
9. Menjadi contoh dalam melakukan kebaikan dan menyebarkannya kepada orang lain.
10. Menjauhi perbuatan-perbuatan yang tidak sesuai dengan ajaran Islam, seperti ghibah, fitnah, dan hasad.
11. Menjalin hubungan yang baik dengan keluarga, kawan, dan jiran
Tindakan ini tidak hanya memperkuat hubungan kita dengan Allah tetapi juga membantu kita untuk menjadi individu yang lebih baik dalam masyarakat. Semoga dengan mengamalkan ajaran-ajaran ini, kita dapat mencapai kemenangan dalam hidup dan menghindari kekalahan, baik di dunia mahupun di akhirat.
Doa
رَبِّ ٱجۡعَلۡنِي مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِيۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
رَبِّ اَوْزِعْنِيْٓ اَنْ اَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِيْٓ اَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلٰى وَالِدَيَّ وَاَنْ اَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضٰىهُ وَاَدْخِلْنِيْ بِرَحْمَتِكَ فِيْ عِبَادِكَ الصّٰلِحِيْنَ
“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai: dan masukkanlah daku dengan limpah rahmat-Mu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". (Surah an-Naml: 19)
Wallahua’lam
Rujukan
1. Tafsir Al-Munir
2. Nota My #QuranTime
3. Memahami Al-Quran Petunjuk Kita, Haji Mohamed Ayob Yasin
4. Ensiklopedia Al-Quran