SABAR DENGAN UJIAN MATERIAL
Tadabbur ayat 80 Surah Al-Qasas (ms 395)
وَقَالَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ ٱللَّهِ خَيْرٌۭ لِّمَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًۭا وَلَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلصَّـٰبِرُونَ
Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar". (Al-Qasas, 28:80)
Lihat juga beberapa ayat sebelum dan selepas, serta awal surah dan akhir surah.
Tema surah: Percaya janji Allah
Keterangan Ayat
Al-Qasas bermaksud cerita-cerita. Nama surah disebut dalam ayat 25 iaitu kisah Nabi Musa a.s yang menceritakan sebab penghijrahannya kepada seorang syeikh tua di Madyan. Pada masa itu, Nabi Musa a.s sudah hilang segala-galanya selepas baginda lari dari Mesir. Kisah Nabi Musa a.s mirip dengan kisah Nabi Muhammad SAW.
Sebahagian ayat diturunkan pada waktu Rasulullah SAW hijrah dari Mekah ke Madinah. Baginda sedih kerana terpaksa tinggalkan Mekah. Surah ini memberi motivasi kepada Rasulullah SAW dan orang-orang beriman tentang misi dakwah yang penting.
Surah bermula dengan Allah SWT bersumpah dengan huruf dalam al-Quran: THA, SIIN, MIM, untuk membuktikan keagungan al-Quran yang mempunyai ayat-ayat yang jelas dan nyata sebagai petunjuk kehidupan.
Surah diakhiri dengan peringatan, jangan sekali-kali menyembah Tuhan yang lain daripada Allah, kerana Tuhan yang lain itu akan binasa akhirnya. Yang kekal hanya Tuhan yang memiliki alam ini. Semuanya akan kembali semula kepada Allah di akhirat nanti.
Lebih separuh surah ini menceritakan kisah Nabi Musa a.s dari zaman bayi sehingga baginda berhijrah ke Madyan.
Pada ayat 76-84 Allah SWT membawakan kisah Qarun, salah seorang dari kaum Nabi Musa a.s yang kufur nikmat setelah diberi ilmu dan kekayaan. Qarun berfikiran bahawa kekayaan yang diperolehi adalah atas kerana ilmu dan usahanya sendiri. Dia bersikap sombong dan menunjuk-nunjuk kekayaan yang dimilikinya.
Sebahagian Bani Israel yang melihatnya merasa kagum dengan kekayaan Qarun dan berangan-angan untuk memiliki kekayaan sepertinya. Mereka beranggapan Qarun amat bernasib baik. Kekaguman mereka itu ditegur oleh orang yang alim dengan mengingatkan bahawa mereka tidak sepatutnya bercita-cita demikian.
Qorun mati ditimbus oleh Allah SWT bersama hartanya di dalam tanah. Dia tidak mampu menolak kebinasaan dengan kekayaannya. Melihatkan itu, mereka yang bercita-cita hendak kaya seperti Qarun sebelum ini, tersedar bahawa Allah hanya memberikan rezekinya kepada siapa yang dikehendakinya saja dan mengazab orang yang kufur nikmat, ‘ujub, sombong, lagi angkuh.
Pengajaran dan Kaedah Beramal
1. Ayat ini adalah untuk mensikapi orang-orang yang memaparkan kekayaan dunia mereka. Makin kita belajar al-Quran, kita dapat ilmu maka kita akan sedar bahawa ganjaran di sisi Allah SWT adalah lebih baik dan lebih kekal. Jangan kagum kepada harta kekayaan.
2. Lawan orang berilmu adalah orang yang sukakan kehidupan dunia. Jangan biarkan hati kita terpaut dengan dengan dunia. Dunia ini rendah, sedikit sangat, tidak kekal. Kita sepatutnya lebih berharap kepada pembalasan di akhirat. Syurga itu lebih baik tetapi syurga itu mahal, maka perlu berusaha. Bukan boleh dapat dengan hanya goyang kaki sahaja, tetapi perlu berusaha setiap masa dan usaha itu memerlukan kesabaran.
3. Orang berilmu dapat menghargai tentang ganjaran di sisi Allah SWT adalah lebih baik kepada orang yang terus membina iman dan terus beramal soleh. Dia sanggup mengejar iman berbanding mengejar kekayaan. Janganlah kita mengejar kekayaan sehingga mengenepikan iman dan amal soleh.
4. Kita tidak akan dapat ganjaran di sisi Allah kecuali menjadi orang-orang yang sabar. Hendak sabar ini kena ramai-ramai. Kena saling ingat mengingati. Sentiasa tegur-menegur dan ingat-memperingati antara satu sama lain sebagai tanda kita orang yang berilmu.
5. Allah SWT benamkan Qarun bersama dengan rumahnya di dalam tanah. Dia ada banyak pengikut tetapi tidak ada sesiapa yang dapat menolongnya. Ini mengingatkan kita bahawa segala kekuatan, harta, pengaruh dan sebagainya tidak berfungsi langsung. Harta kekayaan semuanya akan menjadi debu. Semoga kita dapat gunakan harta yang ada untuk bina iman dan amal soleh kita.
6. Hendaklah kita sedar bahawa Allah SWT yang melapangkan rezeki seseorang kepada sesiapa yang Allah SWT kehendaki daripada hamba-hambaNya dan juga menyempitkannya. Semuanya Allah SWT telah letak qadarnya. Kesenangan dan rezeki yang banyak adalah ujian. Jadikan apa yang kita peroleh di dunia ini sebagai jambatan untuk ke syurga. Apa-apa sahaja yang kita dapat, hendaklah dipulangkan kembali kepada Allah SWT yang telah berikan kepada kita.
7. Hakikat apa yang ada pada Qarun itu bukanlah untuk dikagumi. Kalau ada orang yang menunjuk-nunjuk, jangan kagum pada mereka kerana ia tidak menambah iman dan amal kita. Kalau kita jadi pengikutnya kita pun terbenam sama.
8. Allah SWT menegaskan bahawa orang-orang yang kufur itu tidak akan berjaya. Qarun adalah lambang kepada salah guna harta. Kita harus faham bagaimana menguruskan kuasa dan harta, jangan sampai hidup kita merana. Qarun adalah model orang yang gagal dalam ujian material. Qarun dibenamkan dalam bumi bersama kekayaanya kerana sombong dengan kekuasaan dan kedudukan yang dinikmatinya dan berbuat kerosakan. Maka hendaklah kita waspada agar jangan bersifat sombong dan berbuat kerosakan seperti Qarun. Contoh: Janganlah kita menunjukkan kekayaan di sosial media kerana perbuatan ini mengambil idea daripada Qarun.
9. Allah SWT sediakan negeri akhirat bagi orang-orang yang tidak menyombongkan diri dan tidak berbuat kerosakan di bumi. Kita doakan kalau tidak banyak harta pun kita sentiasa berusaha menambahkan iman. Kalau banyak harta kita akan jadi orang yang menyokong kepada amalan takwa. Hendaklah kita sentiasa sedar semua nikmat adalah anugerah Allah SWT, bukan kerana kekuatan diri.
10. Allah SWT memberi motivasi kepada kita, kalau kita buat baik, kita akan dapat balasan yang lebih baik daripada Allah. Kalau buat yang tidak baik, Allah balas sekadarnya sahaja apa yang kita lakukan. Ini memberi semangat kepada kita untuk terus membina iman dan amal soleh. Jangan kagum kepada kuasa. Latih anak kita, staf kita, agar jangan jadi seperti Qarun dan Firaun bila sudah meningkat harta dan kuasa. Rebut ganjaran di sisi Allah dengan iman, berbuat kebaikan dan bersabar.
11. Berdoa agar kita dilindungi oleh Allah SWT daripada Talbis Iblis (belitan Iblis) yang membisikkan perasaan Ghurur dalam hati manusia. Manusia menyangka mereka hebat hingga lupa bahawa kehebatan dan apa sahaja yang mereka ada itu adalah daripada Allah SWT.
12. Tuhan tidak suka dengan orang yang bermegah dengan kekayaannya. Perbuatan Qarun itu menyebabkan ada orang yang tidak mampu terpengaruh dan mahu meniru gaya hidup Qarun. Mereka ada sifat materialistik walaupun sebenarnya mereka tidak ada kekayaan. Mereka ini ada penyakit. Allah SWT menyelar orang yang bersifat materialistik. Contoh sekarang: Beli kereta mewah, telefon bimbit yang mewah dan lain-lain lagi, sehinggakan terpaksa berhutang sehingga menyusahkan diri sendiri. Jangan mudah tertipu kekayaan luaran.
13. Hendaklah kita berusaha jadi orang yang berilmu agar dapat membezakan yang perkara yang Allah suka dan apa yang Allah benci. Orang yang beriman dan ada ilmu pengetahuan tentang agama dan tentang akhirat tahu bahawa harta akhirat itu lebih banyak dan lebih kekal. Kekayaan dan kedudukan di dunia bukanlah ukuran kejayaan di sisi Allah SWT. Orang yang sabar dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT akan mendapat balasan syurga di akhirat.
14. Percaya pada janji Allah dan yakin bahawa janji tersebut pasti akan terwujud meskipun waktunya lambat atau situasinya sulit. Terwujudnya janji Allah bergantung kepada pengorbanan dan kesungguhan kita melakukan amal soleh, tidak menyombongkan diri dan tidak membuat kerosakan di muka bumi.
15. Jangan cemburu dan dengki dengan kekayaan dan kejayaan keduniaan yang ada pada orang lain. Ada orang dapat lebih dan ada yang dapat kurang. Itu semua adalah dalam ketentuan Allah SWT. Allah SWT yang menentukan berapa banyak yang kita dapat. Ada yang Allah SWT uji dengan kekurangan dan ada yang Allah SWT uji dengan kelebihan. Isikan hati dengan keyakinan dan kepercayaan kepada Allah dalam setiap takdir dan ketentuan baik dan buruk pada kita.
16. Hendaklah kita rasa cukup dengan apa yang ada, iaitu sifat qana’ah. Jangan asyik mendambakan benda yang kita tidak ada kerana itu adalah kerja yang sia-sia.
17. Sabar juga bermaksud tidak menginginkan duniawi dan hanya berharap kepada pahala Allah SWT di negeri akhirat. Oleh itu, hendaklah kita sabar dalam kehidupan dunia walaupun kehidupan dunia ini susah. Bersabar kerana balasan di akhirat itu lebih baik.
18. Kita perlu ingat bahawa Qarun itu bukan dibenam ke dalam tanah kerana dia kaya, tetapi kerana dia bersifat materialistik dan menunjuk-nunjukkan kekayaannya. Tidaklah salah kalau kaya, tetapi janganlah sampai bersikap materialistik sehingga melebihkan harta daripada agama; jangan sampai harta itu melekakan kita daripada persediaan kita kepada akhirat.
19. Hendaklah kita sampaikan ajaran Al-Quran kepada manusia dengan berterusan. Ajaran pertama yang kita kena sampaikan adalah mengajak kepada Allah SWT iaitu ajaran tauhid.
20. Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada kita untuk memberi kekuatan rohani, jasmani dan intelektual. Al-Quran diturunkan untuk membawa rahmat dari Allah SWT kepada seluruh umat manusia.
Ya Allah, bimbing kami untuk jadi orang yang sentiasa sedar semua nikmat adalah anugerahMu, bukan kerana kekuatan diri. Ya Allah, jaga kami agar tidak mudah tertipu kekayaan luaran. Ya Allah, bantu kami untuk rebut ganjaran di sisiMu dengan iman, berbuat kebaikan dan bersabar.
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Wallahua’lam
Rujukan
1. Sheikh Amru Khalid, Khowatir Qur’aniyah
2. Syaikh Adil Muhammad Khalil, Tadabbur Al-Quran
3. Tadabur Al-Quran Aplikatif
4. Fazrul Ismail, Sinopsis 114 Surah
5. Nota My #Qurantime Episod 508