Wednesday, December 4, 2024

Surah Al-Anfal Ayat 46

Formula untuk Kekalkan Kejayaan

Tadabbur Surah Al-Anfal Ayat 46


Nama surah Al-Anfal bermakna "Harta-harta Rampasan Perang"

Ayat ini turun selepas Perang Badr. Ini hendak mengingatkan umat Islam untuk bersedia di peperangan yang lain selepas Perang Badr. Ia memberi isyarat kepada Perang Uhud yang akan terjadi selepas itu.


Lihat ayat pertama: Ayat [8:1]


يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْأَنفَالِ ۖ قُلِ ٱلْأَنفَالُ لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَصْلِحُوا۟ ذَاتَ بَيْنِكُمْ ۖ وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: "Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman".


Keterangan ayat:


  1. Al-Anfal maksudnya harta rampasan perang. Ada beberapa istilah berkaitan perang: a) Ghanimah - harta rampasan yang belum di bahagi-bahagi, b) Anfal - bermakna dikumpulkan harta-harta tersebut dan dibahagikan kepada 5 bahagian. Satu untuk ketua, 4/5 dibahagi-bahagikan kepada tentera-tentera.
  2. Ada sahabat yang bertanya apa yang mereka dapat daripada harta rampasan. Nabi SAW diajarkan untuk memberitahu mereka  bahawa  harta rampasan adalah milik Allah dan Rasul. Allah mulakan surah ini dengan memberi peringatan dahulu sebelum memberitahu cara pembahagian harta rampasan perang.  Orang yang beriman ada disiplin dalam urusan pembahagian harta rampasan.
  3. Pelajaran: Allah ingatkan kita supaya bertakwa kepada Allah dan perbaiki perhubungan jika betul kita orang beriman.  Kita diajar bahawa dalam kehidupan ini hendaklah utamakan Allah dan rasul.


Ayat 8:46


وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ وَلا تَنٰزَعوا فَتَفشَلوا وَتَذهَبَ ريحُكُم ۖ وَاصبِروا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ

Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.


Keterangan ayat:


Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman supaya taat kepada Allah dan RasulNya dengan ketaatan yang tidak berbelah bahagi!

Taat kepada Allah dan rasul seperti yang terdapat dalam al-Quran dan sunnah.

Allah SWT melarang orang-orang beriman bertelingkah dan saling berbantah! Kerana ia akan menjadikan mereka lemah semangat dan hilang kekuatan!

Lafaz وَتَذهَبَ ريحُكُم bermaksud ‘angin sudah pergi’. Seperti kapal layar yang tidak ada angin untuk meniup kapal itu bergerak, kapal itu tidak boleh bergerak. 

Angin digunakan sebagai perumpamaan dalam ayat ini kerana angin merujuk kepada kekuatan. Jika angin kuat yang menjadi tornado, ia boleh membawa kemusnahan. Jika tiada angina tau terlalu lembut, kapal layer tidak bergerak.

Begitu jugalah kita dalam berjihad, kita memerlukan ‘angin’ yang dapat menguatkan semangat. Kadang-kadang badan dan minda kita penat, namun kalau ada ‘angin baik’, semangat akan terus berkobar. 

Namun, dalam usaha jihad fi sabilillah/atau membuat program kebajikan umat Islam, ada angin yang tidak elok seperti ajk saling bercakaran, tuduh menuduh, tidak bersatu, tentu lemah semangat untuk melibatkan diri dalam program tersebut.

Maka, dalam usaha membuat kerja kebajikan/fi sabilillah, hendaklah kita elakkan daripada bergaduh sesama sendiri. Jangan termakan dengan bisikan syaitan kerana syaitan tahu taktik ini. Mereka akan bisikkan ke telinga setiap ahli pasukan untuk menyebabkan mereka berkelahi. 


Allah SWT memerintahkan orang-orang beriman supaya bersabar. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar!


Sabar ini ada tiga jenis:

  • Sabar dalam taat. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎SWT dan Rasul.
  • Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah SWT dan Rasul. 
  • Sabar dalam menerima musibah dan ujian.


Dilihat daripada susunan nasihat daripada Allah SWT ini setelah disebut tentang jangan berpecah belah, sikap sabarlah yang penting seharusnya ada. Ini kerana walaupun kita di dalam satu pasukan, tetapi kita semua tidak sama. Pengalaman hidup, kematangan fikiran, pendidikan dan sebagainya akan mempengaruhi fikiran atau kelakuan kita. Keputusan kita tidak semestinya sama dengan orang lain kerana minda dan emosi kita sendiri tidak sama.

Oleh itu, kadangkala pendapat kita berlainan dengan orang lain. Kalau kita tidak ada sabar di dalam diri kita, mungkin kita hendak juga idea kita diterima dan disokong oleh orang lain. Namun orang lain pun hendakkan idea dia juga diterimapakai. Maka, kadangkala perkara ini boleh menyebabkan perbalahan dan pasukan akan menjadi lemah. Oleh sebab itu, kenalah simpan sahaja fikiran dan idea kita jikalau ia boleh menyebabkan perpecahan.

Ini agak sukar untuk dilakukan jika tidak ada sifat sabar. Namun Allah SWT menjanjikan balasan yang besar kepada orang yang dapat bersabar. Sabar ini tidak ada disebut pahalanya kerana ia tidak ada had dan terpulang kepada Allah SWT berapa banyak Dia hendak beri. Allah ‎SWT  sebut di dalam [ Zumar: 10 ]


إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ


Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira


Allah SWT berikan janji-Nya dalam ayat ini, kalau kita bersabar, Allah ‎SWT akan bersama dengan kita, berada di pihak kita dan akan bantu kita. 


Antara Petunjuk Ayat:


  1. Ketaatan kepada Allah dan RasulNya adalah punca kekuatan dan kemenangan! Orang yang taat adalah orang yang kuat dan berjaya! 
  2. Bertelingkah dan saling berbantah adalah punca kelemahan dan kekalahan! Orang yang berbalah adalah orang yang lemah dan tidak berjaya!
  3. Bersabar adalah sifat orang beriman yang berjaya! Untuk berjaya kita perlu bersabar! Allah beserta orang-orang yang sabar!  


Kaedah Beramal:


  1. Hendaklah kita taat kepada Allah dan RasulNya dengan ketaatan yang tidak berbelah bahagi dalam semua keadaan!
  2. Hendaklah kita menjauhi perbalahan! Jauhi perbalahan yang merugikan dan melemahkan kekuatan!
  3. Hendaklah kita bersabar dalam melaksanakan perintah Allah! Kuatkan keazaman dan jangan lemah semangat! 


Kesan beramal dengan ayat 8:46

Dengan berkat kesabaran daripada Rasul dan ketaatan sahabat-sahabat kepadanya dalam semua apa yang diperintahkannya kepada mereka, akhirnya mereka berhasil membuka hati manusia dan berhasil pula membuka banyak daerah dalam waktu yang singkat. Padahal jumlah mereka sedikit kalau dibandingkan dengan pasukan daerah lainnya seperti pasukan bangsa Romawi, Persia, dan Turki.

Para sahabat berhasil mengalahkan kesemuanya sehingga kalimah Allah ‎SWT menjadi tinggi dan agama-Nya menang di atas semua agama lainnya. Kerajaan Islam makin meluas kekuasaannya di belahan timur dan barat bumi ini dalam waktu yang kurang daripada tiga puluh tahun.


Doa

Semoga Allah ‎SWT melimpahkan redha-Nya kepada kita dalam usaha untuk meneruskan perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat menyebarkan Islam yang sebenarnya berdasarkan nilai-nilai daripada al-Quran dan sunnah.

Ya Allah bantulah kami untuk mentaati perintahMu, jauhkanlah kami dari perbalahan yang sia-sia, curahkanlah kesabaran kepada kami. Aamiin.


Wallahua’lam


Rujukan:

  1. Majlis Al-Quran https://www.facebook.com/drwifaq/
  2. celiktafsir.net


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...