LATIH DIRI UNTUK ISTIQAMAH
Surah Hud Ayat 115
وَٱصْبِرْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُحْسِنِينَ
Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan. (QS Hud, 11:115)
Ayat sebelum (Hud, 11:112-114)
فَٱسْتَقِمْ كَمَآ أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا۟ ۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ
Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. (QS Hud, 11:112)
وَلَا تَرْكَنُوٓا۟ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنْ أَوْلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (QS Hud, 11:113)
وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَىِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفًۭا مِّنَ ٱلَّيْلِ ۚ إِنَّ ٱلْحَسَنَـٰتِ يُذْهِبْنَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ
Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.
TADABBUR
Surah Hud – Merujuk kepada nama Nabi Hud a.s (QS Hud, 11:50, 53, 58, 60, 89)
Makkiyyah
Tema: Bersederhana membela kebenaran
Salah satu surah yang menyebabkan Nabi SAW beruban (HR Tirmidzi No 3219) kerana baginda gerun dengan perincian kisah-kisah azab yang menimpa kaum Nuh, Hud, Soleh, Luth, Syuaib, dan Musa a.s. Baginda bimbang kaum Quraisy juga akan diazab.
Memberi motivasi kepada Rasulullah SAW untuk istiqamah berdakwah dan memberi amaran penghabisan kepada kaum Quraisy.
- Allah SWT memerintah Rasulullah SAW supaya sabar dalam mengerjakan suruhan-Nya.
- Allah SWT tegaskan bahawa Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
- Sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah.
- Janganlah melampaui batas hukum-hukum Allah.
- Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
- Jangan cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim.
- Kalau cenderung kepada mereka, api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah.
- Allah perintah supaya sembahyang.
- Amal-amal kebajikan terutama sembahyang itu menghapuskan kejahatan.
- Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.
PERINGATAN
- lstiqamah Hati - sentiasa teguh mempertahankan kesucian iman dan memelihara hati dari perkara syirik, menjauhkan diri daripada sifat-sifat tercela seperti riak, dan menyuburkan hati dengan sifat-sifat terpuji seperti ikhlas.
- lstiqamah Lisan - memelihara lisan dan tuturkata kita dari ungkapan cela dan sentiasa berkata benar, jujur, tidak berpura-pura, tidak bermukamuka dan tidak berdolak-dalik seiring dengan tindakan yang dilakukan. Berani menyatakan dan mempertahankan kebenaran dan hanya takut kepada Allah SWT semata-mata.
- lstiqamah Perbuatan - merangkumi ketekunan kita dalam melakukan amalan atau apa sahaja usaha untuk mencapai kejayaan yang diredhai oleh Allah SWT sehingga menghasilkan sikap dedikasi dan konsisten tanpa timbul rasa cepat kecewa, lemah semangat atau berputus asa.
PETUNJUK DAN TINDAKAN
4 rukun istiqamah (2 Do's dan 2 Don'ts)
- Jangan melampau dalam beragama - iaitu melakukan sesuatu amalan lebih daripada apa yang dituntut oleh Allah. Contoh: berpuasa tidak mahu berbuka/solat malam tidak mahu tidur.
- Jangan cenderung kepada orang zalim- orang zalim adalah adalah orang yang melampau. Meletakkan sesuatu perkara bukan pada haknya. Sama ada melampau dalam aspek beragama, ataupun dalam aspek keduniaan, seperti menindas hak orang lain dan salah guna kuasa. Kita dilarang redho dan menyokong orang yang zalim
- Dirikan solat - istiqamah sangat bergantung pada perlaksanaan solat. Solatlah yang menjadi penghubung antara kita dengan Allah secara terus menerus. Setiap hari pada waktu siang dan malam, solat menjadikan kita sedar, kita ini hamba yang bertuhankan Allah. Orang yang bercinta sanggup berbual berjam-jam dengan kekasihnya. Jika kita terbeban dengan solat, bermakna kita terhijab daripada cintakan Allah.
- Bersabar - optimumkan potensi diri dengan melakukan perkara yang Allah suka. Dengan bersabar kita boleh menundukkan diri daripada berlebih-lebihan dalam beremosi sehingga jadi golongan yang melampau. Sabar juga menghalang kita daripada tertipu dan bongkak dengan ilmu yang dipelajari, harta yang diusahakan, dan kuasa yang didapati. Tanpa sabar, ilmu akan menjadi alat memecah-belahkan orang lain, harta akan menjadi sebab mengambil hak orang lain, kuasa akan menjadi alat menindas orang lain.
Semoga kita dapat pertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabdian diri kepada-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan itu, kita akan dipayungi rahmat Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Ya Allah, Jadikanlah kami dan daripada keturunan kami orang-orang yang istiqamah mendirikan solat secara berjemaah, menunaikan zakat, mengerjakan ibadah haji, berpuasa di bulan Ramadhan, mewakafkan harta dan berinfaq pada jalan yang Engkau redhai. Sesungguhnya hanya kepadaMu jua Ya Allah tempat Kami mengadu dan memohon pertolongan.
RUJUKAN
- Amru Kholid, Khowatir Qur’aniyah
- Syaari Ab Rahman, Kompas 114
- Fazrul Ismail, Sinopsis 114 Surah
Wallahua’lam