PERKATAAN HARI INI
28 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Penurunan hujan dan penundukan binatang ternak (23:18-22)
- Kisah Nabi Nuh A.S (23:23-27)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada Juz 18, Surah 23 di halaman 343. Kita hargai hidayah daripada Allah SWT untuk terus manfaatkan sihat kita untuk bersama hidayah Allah SWT. Semoga kita dapat kembali ke Syurga Firdaus seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Pada halaman lepas, Allah SWT ingatkan kita bahawa apa sahaja yang ada di 7 petala langit dan di muka bumi ini termasuk kita, binatang, serangga dan tumbuhan adalah ciptaanNya. Allah tidak pernah lalai untuk menguruskannya. Yang pentingnya kita sendiri yang perlu bersujud menjaga hak-hak Allah SWT. Hendaklah kita jaga amalan solat wajib dan solat sunat dengan merancang hidup di sekitar solat.
Ayat 23:18
وَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۢ بِقَدَرٍ فَأَسْكَنَّٰهُ فِى ٱلْأَرْضِ وَإِنَّا عَلَىٰ ذَهَابٍۭ بِهِۦ لَقَٰدِرُونَ
Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.
Pengajaran
- Allah SWT turunkan hujan dengan kadarNya, tidak kurang tidak lebih. Ikut keperluan yang ada di atas muka bumi ini. Inilah cara Allah SWT menunjukkan kasih sayangNya. Allah SWT tidak lalai menjaga segala makhluk. Kita kena pastikan kita jangan lalai, jangan sibuk sangat sampai solat terganggu.
- Sebenarnya Allah SWT berkuasa untuk lenyapkan air untuk orang yang tidak solat, tetapi Allah SWT Maha Penyayang dan tidak berkira-kira untuk memberi kepada hambaNya. Janganlah kita berkira-kira dengan Allah SWT.
Surah 23:19
فَأَنشَأْنَا لَكُم بِهِۦ جَنَّٰتٍ مِّن نَّخِيلٍ وَأَعْنَٰبٍ لَّكُمْ فِيهَا فَوَٰكِهُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
Kemudian, Kami tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar (kurma) dan anggur. Kamu beroleh dalam kebun-kebun itu (berbagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak, dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.
Pengajaran
- Pada halaman 342 kita telah belajar tentang penciptaan manusia dari air mani. Air masuk ke perut ibu dan lahirnya manusia. Air hujan ada kaitan dengan penciptaan kita. Air hujan turun ke perut bumi, keluar tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan (فَوَٰكِهُ) yang banyak yang membuat kita tersenyum ketika memakannya.
- Daripada air mani, sperma, benih masuk ke perut ibu, sepatutnya bila lahir, juga memberi banyak manfaat seperti tumbuh-tumbuhan itu daripada air yang sama.
- Allah SWT menyuruh kita lihat alam yang amat banyak pengajarannya untuk kita.
Surah 23:20
وَشَجَرَةً تَخْرُجُ مِن طُورِ سَيْنَآءَ تَنۢبُتُ بِٱلدُّهْنِ وَصِبْغٍ لِّلْءَاكِلِينَ
Dan (Kami juga menumbuhkan untuk kamu) pokok yang asal tumbuhnya di kawasan Gunung Tursina, yang mengeluarkan minyak dan lauk bagi orang-orang yang makan.
Pengajaran
- Allah SWT tumbuhkan pokok zaitun yang asal tumbuhnya di Gunung Tursina.
- Pokok zaitun menghasilkan minyak serta menjadi bahan makanan berkhasiat.
Surah 23:21
وَإِنَّ لَكُمْ فِى ٱلْأَنْعَٰمِ لَعِبْرَةً نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِى بُطُونِهَا وَلَكُمْ فِيهَا مَنَٰفِعُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu
Pengajaran
- Pada binatang ternakan ada ibrah yang menyebabkan perasaan kita teruja.
- Daripada perut haiwan, kita dapat susu. Bercampur air kencing, darah, kuman, boleh pula keluar susu yang bersih dan faedah-faedah yang lain.
- Pelajaran untuk kita: Bila kita hadir di atas muka bumi ini kita bercampur dengan macam-macam jenis orang, baik, buruk dan makhluk lain, tetapi kita tetap dapat mengeluarkan amal yang ikhlas kepada Allah SWT.
Surah 23:22
وَعَلَيْهَا وَعَلَى ٱلْفُلْكِ تُحْمَلُونَ
Dan di atas binatang-binatang ternak itu, serta di atas kapal-kapal kamu diangkut.
Pengajaran
- Binatang ternakan boleh juga dijadikan tunggangan.
- Allah SWT kaitkan apa yang ada di atas bumi dengan apa yang ada di air. Semuanya berada dalam kitaran yang Allah SWT jadikan untuk kita.
- Tiba-tiba disebut kapal yang menjadi pengangkutan. Ini transisi kepada cerita Nabi Nuh AS.
Surah 23:23
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦ فَقَالَ يَٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُۥٓ أَفَلَا تَتَّقُونَ
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?".
Pengajaran
- Nabi Nuh AS diutus kepada kaumnya untuk menyembah Allah SAW.
- Nabi Nuh AS mengajak mereka untuk bertakwa kepada Allah SWT. Takwa ialah untuk mendapat bantuan daripada Tuhan bagi mengelakkan daripada bahaya.
Surah 23:24
فَقَالَ ٱلْمَلَؤُا۟ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦ مَا هَٰذَآ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُرِيدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيْكُمْ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَنزَلَ مَلَٰٓئِكَةً مَّا سَمِعْنَا بِهَٰذَا فِىٓ ءَابَآئِنَا ٱلْأَوَّلِينَ
Maka ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri)): "Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) tentulah Ia menurunkan malaikat menjadi RasulNya. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu
Pengajaran
- Ini adalah kata-kata balasan daripada al-Mala’ (ketua-ketua) apabila Nabi Nuh AS mengajak mereka menyembah Allah SWT.
- Di zaman Nabi Nuh AS al-Mala’ adalah orang yang berpengaruh. Percakapan mereka memberi kesan kepada orang ramai. Mereka menentang keras mesej yang dibawa oleh Nabi Nuh AS dan membuat propaganda memburukkan baginda.
- Mereka berkeras untuk terus melakukan kesesatan yang diamalkan oleh nenek moyang mereka.
Surah 23:25
إِنْ هُوَ إِلَّا رَجُلٌۢ بِهِۦ جِنَّةٌ فَتَرَبَّصُوا۟ بِهِۦ حَتَّىٰ حِينٍ
"Ia tidak lain hanyalah seorang lelaki yang mengidap penyakit gila. Oleh itu tunggulah akan perubahan keadaannya hingga ke suatu masa".
Pengajaran
- Mereka tuduh Nabi Huh AS gila.
- Mereka membiarkan mesej yang dibawa oleh Nuh AS dan terus membuat serangan peribadi. Mereka menafikan kebenaran.
- Abaikan peringatan mesej kebenaran dan menyerang orang yang menyampaikan kebenaran, ini ciri orang berdusta atau menafikan kebenaran.
- Kita kena berjaga-jaga pada waktu ini, jangan hanya fokus kepada luaran sahaja. Contoh: cara orang itu berpakaian, berkopiah, berjubah baru mahu percaya. Yang pakai 'jeans' sahaja, terus menolak.
- Sepatutnya, kita dengar apa mesej yang disampaikan oleh seseorang itu.
Surah 23:26
قَالَ رَبِّ ٱنصُرْنِى بِمَا كَذَّبُونِ
Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku tolonglah daku, kerana mereka mendustakan seruanku".
Pengajaran
- Selepas 950 tahun berdakwah, hanya 70 orang sahaja yang beriman. Nabi Nuh AS berdoa kepada Allah SWT memohon pertolongan: "Wahai Tuhanku tolonglah daku, kerana mereka mendustakan seruanku".
- Nabi Nuh AS dan Nabi Muhammad SAW berdakwah dengan penuh sabar. Hendaklah kita ikut contoh perjuangan mereka untuk menyampaikan mesej daripada Allah SWT yang disampaikan dalam al-Quran.
Surah 23:27
فَأَوْحَيْنَآ إِلَيْهِ أَنِ ٱصْنَعِ ٱلْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا فَإِذَا جَآءَ أَمْرُنَا وَفَارَ ٱلتَّنُّورُ فَٱسْلُكْ فِيهَا مِن كُلٍّ زَوْجَيْنِ ٱثْنَيْنِ وَأَهْلَكَ إِلَّا مَن سَبَقَ عَلَيْهِ ٱلْقَوْلُ مِنْهُمْ وَلَا تُخَٰطِبْنِى فِى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ إِنَّهُم مُّغْرَقُونَ
Lalu Kami wahyukan kepadanya: "Buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); kemudian apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), maka masukkanlah ke dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu (dan pengikut-pengikutmu) kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya di antara mereka (disebabkan kekufurannya); dan janganlah engkau merayu kepadaku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan dengan taufan sehingga mati lemas.
Pengajaran
- Apabila Nabi Nuh AS telah berusaha bersungguh-sungguh begitu lama, Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Nuh AS untuk membuat kapal dengan pengawasanNya. Allah SWT memberi bantuan kepada Nabi Nuh AS agar semuanya betul.
- Apabila siap, air pun memancar dari bumi membuak-buak. Allah SWT perintahkan Nabi Nuh AS masukkan pengikut-pengikutnya yang beriman dan binatang-binatang berpasangan.
- Orang yang degil, termasuk anaknya, tidak naik. Mereka ditenggelamkan kerana tidak mahu bersujud kepada Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat!
- Pelajari ilmu sains dan perhatikan alam untuk menghargai hari kebangkitan dan buat persediaan (23:18)
- Rancang bagaimana diri ini boleh memberi manfaat pada alam sebagaimana ditunjukkan oleh pohon (23:19)
- Dengar mesej, bukan fokus pada orang yang menyampaikan (23:24)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya rancang untuk jadi orang yang bermanfaat.
Saya jelas saya mesti pelajari ilmu sains dan perhatikan alam untuk menghargai hari kebangkitan dan buat persediaan. Saya mesti rancang bagaimana diri ini boleh memberi manfaat pada alam sebagaimana ditunjukkan oleh pohon. Saya jelas saya mesti dengar mesej, bukan fokus pada orang yang menyampaikan.
Ya Allah, bimbing kami untuk pelajari ilmu sains dan perhatikan alam untuk menghargai hari kebangkitan dan buat persediaan. Ya Allah, jadikan kami orang yang boleh memberi manfaat pada alam sebagaimana ditunjukkan oleh pohon. Ya Allah, bimbing kami untuk dengar mesej, bukan fokus pada orang yang menyampaikan.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib