PERKATAAN HARI INI
40 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Sifat orang mukmin (23:1-11)
- Penciptaan manusia (23:12-16)
- Penciptaan langit (23:17)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada Juz 18, surah al-Mukminun halaman 342. Semoga kita istiqamah sampai halaman 604.
Surah ini bermula dengan ayat yang pendek-pendek tapi isinya amat tinggi. Pada ayat 77 surah al-Hajj, Allah SWT mengingatkan kita supaya rukuk, sujud, sembahlah Tuhan dan berbuat kebaikan agar berjaya.
Ayat 23:1
قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
Pengajaran
- ٱلْمُؤْمِنُونَ ialah orang yang amat stabil imannya. Kalau di lautan di atas bot, sentiasa berada di atas, tidak bimbang kerana dia sudah melatih dirinya dengan segala kelengkapan sehingga dia sentiasa berada di atas air dengan alat-alat, antaranya, selalu bersama al-Quran dan mengamalkan ciri-ciri yang disebut dalam surah ini.
- أَفْلَحَ ciri orang yang berjaya di dunia dan akhirat seperti petani yang bekerja bersungguh-sungguh menanam tanaman. Tanam hari ini, hasilnya kena menunggu lama.
- Inilah teknik yang Allah SWT berikan untuk kita terus berjaya sampai ke syurga.
Ayat 23:2
ٱلَّذِينَ هُمْ فِى صَلَاتِهِمْ خَٰشِعُونَ
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
Pengajaran
- Sifat orang yang berjaya itu mereka amat khusyuk dalam solat (خَٰشِعُونَ).
- Ini adalah satu perjuangan dalam hidup kita. Bila kita sedang membina iman, mungkin kita kadang-kadang khusyuk, kadang-kadang tidak khusyuk.
- Bila sampai ke tahap khusyuk, apa sahaja yang masuk dalam fikiran ketika solat akan ditepis. Hanya Allah SWT yang ada baginya ketika solat. Ini perlu kita bina. Solat di awal waktu dan jaga wuduk dengan sempurna, tidak tergesa-gesa.
Ayat 23:3
وَٱلَّذِينَ هُمْ عَنِ ٱللَّغْوِ مُعْرِضُونَ
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
Pengajaran
- Orang yang khusyuk dalam solat, memberi kesan kepada hidup. Ia tidak terlibat bercakap perkara sia-sia, membawang, gosip, mengutuk orang.
- Al-Quran memberikan rempah ratus yang mantap untuk membawa seorang itu menjadi khusyuk. Contoh sekarang, banyak buat perkara sia-sia dengan telefon pintar.
- Semoga kita tidak menjadi orang yang melakukan perkara yang sia-sia.
Ayat 23:4
وَٱلَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَوٰةِ فَٰعِلُونَ
Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
Pengajaran
- Ciri yang ketiga, mereka berusaha membersihkan diri (لِلزَّكَوٰةِ).
- Mereka mengelakkan diri daripada buat perkara yang sia-sia. Mereka ada masa berfikir untuk bersihkan diri daripada sifat-sifat buruk seperti membawang, pemalas, pemarah, suka lepak.
- Kalau tidak bersih, kesannya kita tidak jadi al-Mukminun, tetapi jadi Yukminun iaitu orang yang imannya tidak stabil.
Ayat 23:5
وَٱلَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَٰفِظُونَ
Dan mereka yang menjaga kehormatannya
Pengajaran
- Bila seseorang itu membersihkan dirinya, dia menjaga kehormatan dirinya dan menjaga diri daripada pergaulan bebas yang akan merosakkan institusi keluarga.
Ayat 23:6
إِلَّا عَلَىٰٓ أَزْوَٰجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ
Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela:
Pengajaran
- Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.
- Dalam Islam tidak ada lagi perhambaan. Ini tentang hamba di zaman itu yang telah dimiliki. Islam menghapuskan perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah SWT.
Ayat 23:7
فَمَنِ ٱبْتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْعَادُونَ
Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
Pengajaran
- Siapa yang melangkau perjanjian dahulu, dia melampaui batas. Akan menjadi permusuhan jika tidak menjaga batas pergaulan dalam masyarakat.
Ayat 23:8
وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَٰنَٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
Pengajaran
- Bila sudah berjanji, kena jaga amanah dan menepati janji. Kalau sudah kahwin, jaga amanah dalam perkahwinan. Kalau ada anak, ibu ayah kena jaga amanah mendidik anak. Jangan hanya diserah mendidik anak kepada cikgu.
- Pemimpin yang bercakap berdegar-degar dengan menjanjikan bulan dan bintang akhirnya hanya dapat taik bintang sahaja. Itu tandanya adanya masalah keimanan. Jangan pilih pemimpin begitu kerana itu akan merosakkan masyarakat.
Ayat 23:9
وَٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمْ يُحَافِظُونَ
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
Pengajaran
- Memelihara solat wajib dan solat-solat sunat (صَلَوَٰتِهِمْ).
- Solat sunat, solat tahajjud menjadi pagar kepada solat fardhu kita agar ia khusyuk dan menjadi ciri orang beriman.
Ayat 23:10
أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْوَٰرِثُونَ
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi
Ayat 23:11
ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَٰلِدُونَ
Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
Pengajaran Ayat 1-11
- Hasilnya mereka akan mewarisi syurga Firdaus dan mereka kekal di dalamnya.
- Kita sebenarnya tidak layak pun mewarisi syurga. Syurga adalah kepunyaan Allah SWT.
- Kita boleh masuk ke syurga bukan kerana amalan, tetapi kalau kita cuba betul-betul memenuhi ciri-ciri orang-orang beriman, kita akan kekal di syurga Firdaus dengan rahmat Allah SWT.
Ayat 23:12
وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَٰنَ مِن سُلَٰلَةٍ مِّن طِينٍ
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;
Pengajaran
- Tiba-tiba dibawakan pula tentang penciptaan manusia. Manusia diciptakan dari pati tanah.
- Ini ada kaitan dengan petani. Sediakan tanah untuk menanam. Hasil tanaman dimakan masuk dalam diri kita.
Ayat 23:13
ثُمَّ جَعَلْنَٰهُ نُطْفَةً فِى قَرَارٍ مَّكِينٍ
Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh;
Pengajaran
- Kemudian dijadikan air mani, tetap kukuh di rahim ibu.
Ayat 23:14
ثُمَّ خَلَقْنَا ٱلنُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا ٱلْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا ٱلْمُضْغَةَ عِظَٰمًا فَكَسَوْنَا ٱلْعِظَٰمَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَٰهُ خَلْقًا ءَاخَرَ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحْسَنُ ٱلْخَٰلِقِينَ
Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.
Pengajaran
- Kemudian menjadi sebuku darah, kemudian segumpal daging, tulang belulang kemudian membaluti tulang itu dengan daging dan jadilah ia makhluk yang berbeza. Memakan masa 40 hari di setiap tahap sehingga kemudiannya lahir dalam masa 9 bulan 40 hari.
- Proses yang sama dilalui oleh binatang mamalia. Bagi manusia, Allah SWT bagi barakah. Ini adalah penciptaan yang amat terbaik.
Ayat 23:15
ثُمَّ إِنَّكُم بَعْدَ ذَٰلِكَ لَمَيِّتُونَ
Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati.
Pengajaran
- Umpama petani yang menanam tanaman. Kadang-kadang berhasil, kadang-kadang banjir atau kemarau.
- Di antara hidup dan mati, adanya ujian-ujian. Ada masa bersemangat, lemah, suka, sedih.
Ayat 23:16
ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ تُبْعَثُونَ
Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.
Pengajaran
- Selepas mati, kita akan dibangkitkan di hari kiamat. Masa bangkit ini kita akan dapat bayaran. Macam petani yang susah payah tanam, dan jaga tanaman, hujung tahun harap dapat hasil.
- Kita harapkan dengan kita buat amal soleh, ikut al-Quran, insya Allah dengan rahmat Allah SWT kita dapat masuk syurga Firdaus.
- Semoga kita dapat menghayati bagaimana proses biologi ciptaan kita sehingga kematian. Semua proses itu diwakili oleh قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ
Ayat 23:17
وَلَقَدْ خَلَقْنَا فَوْقَكُمْ سَبْعَ طَرَآئِقَ وَمَا كُنَّا عَنِ ٱلْخَلْقِ غَٰفِلِينَ
Dan demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan tujuh jalan di atas kamu, dan Kami pula tidak lalai daripada (menyediakan keperluan) makhluk-makhluk Kami.
Pengajaran
- Kalau kita rasa down dalam hidup ini, sebagai orang yang beriman, bila tengok langit, ingatlah bahawa itu adalah perlindungan daripada Allah SWT. Allah SWT sentiasa menjaga kita.
- Daripada langit turun hujan, dan turunnya wahyu.
- Allah SWT tidak pernah lalai kalau kita hendak jadi orang yang beriman. Kalau rasa kita tidak capai standard mukminun, tengok langit. Allah sentiasa ada untuk membimbing kita hingga sampai ke syurga Firdaus.
RESOLUSI
Ingat!
- Khusyuk dan jaga solat fardu dan sunat untuk menjadi orang beriman berjaya (23:2-9)
- Jauhi perkara sia-sia dan bersihkan diri daripada amalan sia-sia (23:3-4)
- Jaga maruah, amanah dan janji (23:5-8)
Saya berasa lega, saya akan menjadi orang beriman berjaya sekiranya saya berusaha untuk khusyuk dan jaga solat fardu dan sunat.
Saya jelas saya mesti berusaha untuk khusyuk dan jaga solat fardu dan sunat untuk menjadi orang beriman berjaya. Saya jelas untuk jauhi perkara sia-sia dan bersihkan diri daripada amalan sia-sia. Saya jelas untuk jaga maruah, amanah dan janji.
Ya Allah, bimbing kami untuk khusyuk dan jaga solat fardu dan sunat agar kami menjadi orang beriman yang berjaya. Ya Allah, jauhkan kami daripada perkara sia-sia dan bersihkan diri daripada amalan sia-sia. Ya Allah, pimpin kami untuk jaga maruah, amanah dan janji.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.