PERKATAAN HARI INI
36 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Kisah Nabi Nuh AS di atas kapal (23:28-30)
- Kisah Nabi Hud AS (23:31-42)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 344. Semoga kita terus istiqamah. Kita mahu melihat kisah Nabi Nuh AS untuk kita sama-sama memahami bahawa orang beriman ada objektif yang ingin kita capai hingga sampai ke akhirat. Itu memerlukan perjuangan kerana banyak cabaran untuk menjadi orang yang beriman.
Ciri orang beriman itu standardnya tinggi tetapi ia mampu dicapai jika kita sentiasa memahami tentang harga iman kerana ia membawa ke syurga Firdaus yang lebih berharga.
Surah 23:28
فَإِذَا ٱسْتَوَيْتَ أَنتَ وَمَن مَّعَكَ عَلَى ٱلْفُلْكِ فَقُلِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى نَجَّىٰنَا مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّٰلِمِينَ
"Kemudian apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu maka hendaklah engkau (bersyukur kepada Allah dengan) berkata: ` Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim '.
Pengajaran
- Bila mereka sudah stabil di dalam kapal sampai berlabuh di atas Gunung Judi, Allah SWT ingatkan supaya bersyukur kepadaNya.
- Perjuangan Nabi Nuh AS banyak berulang di dalam al-Quran. Perjuangannya panjang kerana hendak melihat ramai orang kembali beriman kepada Allah SWT.
- Ketika kapal berlabuh, Allah SWT ajarkan doa sebagai tanda syukur. Doa ini fokusnya adalah kepada diri mereka yang telah diselamatkan kerana telah memilih jalan iman.
Surah 23:29
وَقُل رَّبِّ أَنزِلْنِى مُنزَلًا مُّبَارَكًا وَأَنتَ خَيْرُ ٱلْمُنزِلِينَ
Dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat "
Pengajaran
- Mereka diajar berdoa supaya Allah SWT turunkan mereka di tempat yang berkat.
- Stabilnya kapal itu mendarat di atas gunung kerana keberkatan.
- Kalau kita naik kenderaan, kita pun hendak turun di tempat yang diberkati. Macam-macam boleh berlaku jika tidak berdoa kepada Allah SWT.
Surah 23:30
إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ وَإِن كُنَّا لَمُبْتَلِينَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (yang mendatangkan iktibar); dan sesungguhnya Kami tetap menguji (hamba-hamba Kami).
Pengajaran
- Ini adalah ujian bagi mereka untuk dijadikan iktibar. Ujian sememangnya mencabar, menguji hati. Ia adalah hak Allah SWT untuk menunjukkan kebesaranNya.
Surah 23:31
ثُمَّ أَنشَأْنَا مِنۢ بَعْدِهِمْ قَرْنًا ءَاخَرِينَ
Kemudian Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain.
Pengajaran
- Kemudian Allah SWT gantikan umat yang dihancurkan itu dengan umat yang lain.
Surah 23:32
فَأَرْسَلْنَا فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْهُمْ أَنِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُۥٓ أَفَلَا تَتَّقُونَ
Lalu Kami mengutus kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka (dengan berfirman melalui Rasul itu): "Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?"
Pengajaran
- Kemudian, Allah SWT utuskan seorang rasul (Nabi Hud) dari kalangan mereka.
- Rasul-rasul diutuskan dengan mesej yang sama. Mengajak manusia kepada cara berfikir yang betul tentang tauhid. Cara fikir yang tidak betul akan menyebabkan kemusnahan kepada masyarakat.
Surah 23:33
وَقَالَ ٱلْمَلَأُ مِن قَوْمِهِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِلِقَآءِ ٱلْءَاخِرَةِ وَأَتْرَفْنَٰهُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا مَا هَٰذَآ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يَأْكُلُ مِمَّا تَأْكُلُونَ مِنْهُ وَيَشْرَبُ مِمَّا تَشْرَبُونَ
Dan (bagi menolak seruan itu), ketua-ketua dari kaumnya yang kafir serta mendustakan pertemuan hari akhirat, dan yang Kami mewahkan mereka dalam kehidupan dunia, berkata (sesama sendiri) "Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum.
Pengajaran
- Al-Malak ialah golongan elit berpengaruh yang suka melawan kebenaran. Mereka mendustakan hari akhirat.
- Mereka biasa hidup mewah, tidak suka diganggu dan membuat propaganda kepada orang ramai.
- Mereka memperkecil-kecilkan Nabi Hud AS dan pengikutnya. Mereka tidak fokus kepada mesej tetapi merendah-rendahkan orang yang membawa mesej.
- Janganlah kita jadi seperti kaum Nabi Nuh dan Nabi Hud.
- Ujian perlu ditangani dengan hidayah, bukan dengan akal kepala sendiri. Semoga kapal kita membawa kepada syurga Allah SWT dengan panduan al-Quran.
Surah 23:34
وَلَئِنْ أَطَعْتُم بَشَرًا مِّثْلَكُمْ إِنَّكُمْ إِذًا لَّخَٰسِرُونَ
"Dan demi sesungguhnya, jika kamu taati manusia yang seperti kamu, tentulah kamu dengan membuat demikian, menjadi orang-orang yang rugi.
Pengajaran
- Penting mencari agama/iman.
- Dalam kalangan Al-Malak mereka rasa rugi mengingat mati. Ada yang mengatakan agama ini macam candu. Sebenarnya bila kita ingat akhirat, sejarah membuktikan dunia ini menjadi tamadun yang hebat seperti di zaman Nabi Muhammad SAW sampai beratus-ratus tahun dengan ingat akhirat.
- Semasa zaman Khalifah Saidina Umar, beliau audit pemimpin yang hendak naik jadi gabenor. Mereka diperingatkan bahawa mereka dapat gaji untuk dapat makan, bukan untuk mengumpul harta seperti Al-Malak.
- Pemimpin yang beriman akan membawa orang yang dipimpinnya ke syurga. Kalau amanah yang diberikan tidak dilaksana, itu adalah kehancuran bagi sesebuah kawasan itu.
- Kita perlukan kebenaran dan keimanan untuk selamat dunia akhirat.
Surah 23:35
أَيَعِدُكُمْ أَنَّكُمْ إِذَا مِتُّمْ وَكُنتُمْ تُرَابًا وَعِظَٰمًا أَنَّكُم مُّخْرَجُونَ
"Patutkah ia menjanjikan kamu, bahawa sesungguhnya apabila kamu mati dan menjadi tanah dan tulang, kamu akan dikeluarkan (dari kubur hidup semula)?
Pengajaran
- Al-Malak mempersoalkan tentang mati dan kehidupan selepas mati.
Surah 23:36
هَيْهَاتَ هَيْهَاتَ لِمَا تُوعَدُونَ
"Jauh, amatlah jauh (dari kebenaran) apa yang dijanjikan kepada kamu itu!
Pengajaran
- Ini adalah perkataan yang menunjukkan kemurkaan Allah SWT kepada mereka.
- Mereka mendustakan hari pembalasan. Hanya sibuk tambah duit, harta dan kuasa sekarang.
Surah 23:37
إِنْ هِىَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ
"Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah kita akan dibangkitkan hidup semula
Pengajaran
- Bagi mereka, kehidupan itu hanyalah di dunia.
- Ada juga orang Islam yang mengambil ideologi ini. Tandanya, mereka bermewah-mewah, ambil harta orang.
- Kita perlu sangat bersama berjuang untuk membetulkan keadaan ini.
Surah 23:38
إِنْ هُوَ إِلَّا رَجُلٌ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا وَمَا نَحْنُ لَهُۥ بِمُؤْمِنِينَ
"Tiadalah dia (Nabi Hud) itu selain dari seorang lelaki yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, dan kami tidak akan beriman kepadanya".
Pengajaran
- Mereka menuduh Nabi Hud AS macam-macam dan tetap tidak beriman kepadanya.
Surah 23:39
قَالَ رَبِّ ٱنصُرْنِى بِمَا كَذَّبُونِ
Nabi Hud berdoa dengan berkata: "Wahai TuhanKu, belalah daku, kerana mereka telah mendustakan seruanku".
Pengajaran
- Nabi Hud AS berdoa kepada Allah SWT kerana kaumnya telah mendustakan seruannya.
Surah 23:40
قَالَ عَمَّا قَلِيلٍ لَّيُصْبِحُنَّ نَٰدِمِينَ
Allah berfirman: "Dalam sedikit masa lagi mereka akan menjadi orang-orang yang menyesal"
Pengajaran
- Allah SWT masih memberi peluang kepada mereka tetapi memberi amaran supaya jaga-jaga jangan jadi orang-orang yang menyesal.
Surah 23:41
فَأَخَذَتْهُمُ ٱلصَّيْحَةُ بِٱلْحَقِّ فَجَعَلْنَٰهُمْ غُثَآءً فَبُعْدًا لِّلْقَوْمِ ٱلظَّٰلِمِينَ
Akhirnya mereka dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, dengan benar lagi adil, lalu Kami jadikan mereka sebagai sampah sarap (yang dihanyutkan oleh banjir). Maka kebinasaanlah kesudahannya bagi kaum yang zalim itu.
Pengajaran
- Akhirnya kaum Nabi Hud AS yang tidak beriman dibinasakan dengan gempa bumi yang kuat. Mereka jadi seperti sampah sarap yang dihanyutkan oleh banjir.
- Beginilah jadinya kaum yang terus-terus mendustakan rasul.
- Zaman kita, bila melihat pandemik COVID-19, ia adalah ujian bagi kita tetapi ada orang yang makin dekat dengan Allah SWT, namun ada yang tidak mengendahkan. Mereka masih bermewah-mewah dan zalim. Allah SWT ingatkan bahawa mereka ini akan jadi seperti sampah yang tidak berguna. Kita telah nampak kesan ini semasa pandemik; banyak kedai-kedai tutup dan perniagaan yang besar-besar hancur.
Surah 23:42
ثُمَّ أَنشَأْنَا مِنۢ بَعْدِهِمْ قُرُونًا ءَاخَرِينَ
Kemudian Kami ciptakan, sesudah mereka, umat-umat yang lain.
Pengajaran
- Sesudah kehancuran orang-orang yang zalim, Allah SWT gantikan dengan umat-umat yang lain.
RESOLUSI
Ingat!
- Selalu berdoa diberi barakah dalam melayari ujian kehidupan (23:29)
- Jangan melampaui batas dengan kemewahan yang Allah SWT kurniakan (23:33)
- Berhati-hati dengan budaya hiburan atau hedonisme (23:37)
Saya berasa lega, Allah SWT akan berikan barakah kalau saya selalu berdoa.
Saya jelas saya mesti selalu berdoa diberi barakah dalam melayari ujian kehidupan. Saya jelas untuk tidak melampaui batas dengan kemewahan yang Allah SWT kurniakan. Saya jelas untuk berhati-hati dengan budaya hiburan atau hedonisme.
Ya Allah, kurniakan barakah kepada kami dalam melayari ujian kehidupan. Ya Allah, jauhkan kami daripada melampaui batas dengan kemewahan yang Engkau kurniakan. Ya Allah, bimbing kami agar berhati-hati dengan budaya hiburan atau hedonisme.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib