Thursday, May 4, 2023

Halaman 62 : Ali-'Imran, 3:92-100

 


PERKATAAN HARI INI 


    حَبَّ  Mencintai, menyayangi, menyukai

95 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   


1. Bentuk sedekah yang mabrurah, (yang baik dan diterima) dan membawa pahala [3:92]

2. Bantahan terhadap kaum Yahudi yang mengharamkan sebahagian jenis makanan [93-95]

3. Kedudukan Baitul Haram dan kewajipan menunaikan haji [3:96-97]

4. Hati ahli kitab dalam kekufuran dan sikap mereka menghalangi jalan Allah [98-99]

5. Berhati-hati dengan sebahagian orang yang diberikan kitab [3:100]


Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 62, permulaan juzuk 4. Setiap halaman adalah anugerah. Semoga Allah lapangkan dada kita untuk memahami kandungan al-Quran. Hati kita sudah diadun dengan sifat-sifat yang baik pada juz pertama, kemudian kita sudah mengikut peraturan tentang solat, haji dan tentang menjaga hak keluarga pada juz kedua, juz ketiga kita belajar tentang muamalah, perjuangan dan transaksi ekonomi.


Ayat [3:92]

لَن تَنَالُوا۟ ٱلْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا۟ مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍۢ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌۭ

"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya."


Pengajaran


1. Allah harapkan kita infaq atau berjuang dengan sebahagian daripada sesuatu ( تُنفِقُوا۟ مِمَّا ) yang kita cintai seperi masa, harta dll.

2. Bila kita hendak jadi stabil dalam hidup, kita mesti lakukan kebaikan ( ٱلْبِرَّ ) iaitu berikan sesuatu yang kita cintai. 

3. Allah tahu sesuatu yang kita bagi itu yang terbaik, secara ikhlas atau tidak. 

4. Infaqkan yang terbaik yang kita cintai ikhlas untuk Allah, sudah tentu Allah akan bagi yang terbaik kepada kita. Contoh: Fokuskan masa yang kita sayang untuk tilawah al-Quran


Ayat [3:93]

كُلُّ ٱلطَّعَامِ كَانَ حِلًّۭا لِّبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسْرَٰٓءِيلُ عَلَىٰ نَفْسِهِۦ مِن قَبْلِ أَن تُنَزَّلَ ٱلتَّوْرَىٰةُ ۗ قُلْ فَأْتُوا۟ بِٱلتَّوْرَىٰةِ فَٱتْلُوهَآ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

"Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu - wahai Bani Israil - sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar."


Pengajaran


1. Nabi Yaakub (nama lainnya, Israel) tidak suka makan daging unta. Kaumnya menjadikan amalan Nabi Yaakub sebagai alasan untuk mengharamkan daging unta. Sedangkan, ia tidak ada tersebut pun dalam kitab. 

2. Roh agama terdapat dalam kitab (al-Quran dan hadis). Jangan kita jadikan amalan tokoh-tokoh tertentu (manusia lain) sebagai rujukan untuk beramal kerana manusia mungkin ada alasan tersendiri untuk buat sesuatu sedangkan hakikatnya tidak ada dalam kitab. Umpama pokok yang nampak cantik, mungkin itu pokok palsu atau pokok yang dalamnya ada anai-anai. 

3. Hakikat tentang kehidupan beragama, semua makanan adalah halal kecuali sedikit sahaja. 

4. Allah sudah bagi macam-macam, janganlah kita fokus kepada sesuatu yang tidak dihalalkan.


Ayat [3:94]

فَمَنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ 

"(Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."




Ayat [3:95]

قُلْ صَدَقَ ٱللَّهُ ۗ فَٱتَّبِعُوا۟ مِلَّةَ إِبْرَٰهِيمَ حَنِيفًۭا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik."


Pengajaran Ayat 94-95


1. Sebagai umat Islam yang diberikan kitab, kita jangan berpegang kepada tokoh dalam hidup ini tetapi berpeganglah kepada Allah. Tokoh adalah manusia yang pasti ada kelemahan.

2. Hanya Allah yang benar (صَدَقَ ٱللَّهُ), oleh itu hendaklah kita rujuk al-Quran dan hadis dalam segala aspek kehidupan. 

3. Yang betul-betul benar hanyalah Allah. Tokoh-tokoh tidak semestinya benar. Orang yang membuat amalan tertentu hanya dengan merujuk tokoh (ustaz/penceramah/guru dll) termasuk dalam kalangan orang yang mensyirikkan Allah ( ٱلْمُشْرِكِينَ ). 

4. Berhati-hati agar kita tidak menjadi orang yang membaca, mengajar kitab tetapi tidak mengamalkannya dalam kehidupan.


Ayat [3: 96]

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍۢ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِى بِبَكَّةَ مُبَارَكًۭا وَهُدًۭى لِّلْعَـٰلَمِينَ

"Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia."


Ayat [3:97]

فِيهِ ءَايَـٰتٌۢ بَيِّنَـٰتٌۭ مَّقَامُ إِبْرَٰهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُۥ كَانَ ءَامِنًۭا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًۭا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَـٰلَمِينَ

"Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk."


Pengajaran Ayat 96-97


1. Baitullah adalah untuk seluruh manusia dan ia ada barakah dan menjadi petunjuk (arah solat).

2. Orang yang mengerjakan solat dan mengunjungi Baitullah akan mendapat barakah yang besar. 

3. Allah memberi hidayah petunjuk dan keberkatan kepada orang-orang yang solat (menghadap Baitullah) dan beribadat kepada-Nya. 

4. Makam Nabi Ibrahim (tempat berdiri Nabi Ibrahim, bukan kubur) adalah tanda/petunjuk yang jelas daripada Allah SWT. Itu tanda Allah sentiasa menebarkan barakah dan hidayah kepada seluruh alam.

5. Sesiapa yang masuk ke Masjidil Haram dengan betul-betul beriman, akan selamat di dunia dan selamat di akhirat.

6. Orang yang mampu hendaklah segera mengerjakan haji. Sekiranya kufur daripada membuat amalan haji kita yang akan rugi, dan mendapat ancaman daripada Allah SWT.  

7. Amalan Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW mestilah dijadikan rujukan utama dalam segala aspek kehidupan kita kerana mereka adalah model (khudwah hasanah yang ikut wahyu Allah) yang Allah jadikan sebagai Quran berjalan.


Ayat [3:98]

قُلْ يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَٱللَّهُ شَهِيدٌ عَلَىٰ مَا تَعْمَلُونَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah, padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan?"


Ayat [3:99]

قُلْ يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لِمَ تَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ تَبْغُونَهَا عِوَجًۭا وَأَنتُمْ شُهَدَآءُ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ 

"Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan (ugama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? "Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan."


Ayat [3:100]

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تُطِيعُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَـٰنِكُمْ كَـٰفِرِينَ 

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman."


Pengajaran Ayat 98-100


1. Allah mengingatkan orang yang dekat kepada Allah (orang yang pakar kitab/ulamak) dan telah mendapat petunjuk, jangan kufur (menyembunyikan kebenaran daripada kitab) dengan tujuan untuk menyesatkan orang yang beriman.

2. Allah tidak lengah/lalai terhadap apa yang kita lakukan dan akan memberi balasan.

3. Allah yang Maha Penyayang mengingatkan kita agar berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan ulamak yang menggunakan ilmu (ceramah/media/tulisan) dan pengaruhnya untuk menyelewengkan hidayah kerana kepentingan diri/keluarga/organisasi tertentu.


RESOLUSI 


Ingat !!

1. Dermakan sesuatu yang terbaik dan dicintai/disayangi [3:92]

2. Elakkan dari mengada-adakan apa yang Allah tidak nyatakan [3:97]

3. Berhati-hati dengan orang Yahudi dan Nasrani [3:100]


Lega kerana Allah SWT menunjukkan kasih sayang-Nya dengan mengingatkan saya supaya dermakan sebahagian daripada sesuatu yang saya sayang dan berhati-hati agar tidak ikut ulamak yang cuba memesongkan hidayah daripada al-Quran.


Saya jelas untuk dermakan sebahagian daripada sesuatu yang saya sayang. Saya juga jelas untuk perbaiki solat dan mengunjungi Baitullah bila keadaan mengizinkan. Saya juga mesti elakkan daripada menyampaikan ilmu yang diada-adakan tanpa panduan jelas daripada al-Quran dan saya juga mesti berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan tokoh yang menyelewengkan hidayah Allah.


Ya Allah jadikan kami orang yang sentiasa dermakan yang terbaik dan sebahagian sesuatu yang kami sayang. Lindungi kami daripada tokoh-tokoh yang cuba menyelewengkan keimanan kami. Jauhi kami dari dakyah Yahudi dan Nasrani.


Ya Allah, terimalah taubat kami, ampunkan kami, jauhi kami daripada menjadi orang yang kufur. Peliharalah iman kami agar kami tidak menjadi orang yang rugi di dunia dan rugi di akhirat. Kurniakan keberkatan dalam hidup kami. Ya Allah, berilah peluang dan kesempatan untuk kami mengunjungi Baitullah agar kami dapat menghayati sirah Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW untuk kami jadikan khudwah hasanah.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...