PERKATAAN HARI INI
عَصَمَ Terpelihara, melindungi
13 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
1. Perintah agar kaum mukminin menjaga identiti dan berpegang teguh pada al-Quran dan ajaran Islam [3:101-103]
2. Amar ma'ruf nahi mungkar dan penegasan tentang larangan berpecah belah [3:104-108]
Mukadimah
Kita bersyukur dapat bersama lagi untuk Baca, Faham dan Amal al-Quran. Hari ini kita akan menelusuri Surah ali-'Imran untuk mempelajari bagaimana kita dapat bangkit sebagai satu ummah, atau insan yang Allah inginkan berjaya di dunia sampai ke akhirat.
Setelah kepimpinan Islam jatuh pada tahun 1924, kita tertanya-tanya apakah halatuju umat Islam yang terperuk atau porak-peranda negaranya, dengan orang-orang Islam yang tidak keruan. Pada halaman ini kita akan dalami formula untuk umat Islam bangkit dan berjaya semula.
Bacaan al-Fatihah ini adalah untuk mengingatkan kita berulang kali supaya jangan bosan dengan membaca surah ini kerana ia membuka potensi kita untuk menjadi orang yang berjaya dan mendapat nikmat. Ia merupakan sinopsis kepada keseluruhan al-Quran. Kita memohon hidayah, jalan yang lurus, jalan orang yang diredhai Allah, bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat.
Ayat [3:101]
وَكَيْفَ تَكْفُرُونَ وَأَنتُمْ تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ ءَايَـٰتُ ٱللَّهِ وَفِيكُمْ رَسُولُهُۥ ۗ وَمَن يَعْتَصِم بِٱللَّهِ فَقَدْ هُدِىَ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ
"Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, SAW)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)"
Pengajaran
1. Allah mengingatkan dua perkara, iaitu kita ada al-Quran dan ada rasul untuk menjadi petunjuk ke jalan yang lurus. Walupun rasul sudah wafat, tetapi hadisnya masih ada untuk kita ikuti. Allah beri 'inaayah' (bantuan) kepada kita agar kita berpegang kepada sunnah Nabi SAW
2. Istilah يَعْتَصِم ada kaitan dengan ‘ismah (melindungi daripada bahaya). Umpama kapal ada sauh untuk kita berlabuh dengan selamat.
3. Janganlah kita bergantung pada manusia kerana manusia lemah dan boleh berubah.
4. Allah tujukan ayat ini kepada setiap individu supaya berpegang teguh kepada Allah (al-Quran dan hadis nabi SAW) agar mendapat petunjuk untuk berjaya di dunia dan akhirat.
Ayat [3:102]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam."
Pengajaran
1. Allah menyeru orang-orang yang beriman supaya bina taqwa sebagai persediaan untuk mati.
2. Perkataan ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ada kaitan dengan wiqaya (perlindungan). Kita hendaklah minta perlindungan daripada Allah untuk menghadapi kematian.
3. Kita mesti ambil serious tentang kematian dengan menghargai al-Quran dan rasul. Mati hanya sekali, jadi kita mesti bersedia. Jangan main-main dengan kehidupan kita. Janganlah mati kecuali dalam Islam.
4. Bina taqwa sebagai persediaan untuk kematian.
5. Jika kita tidak menganggap al-Quran dan sunnah penting, itu juga dianggap kufur kepada Allah dan Rasul.
Ayat [3:103]
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًۭا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍۢ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."
Pengajaran
1. Kita mesti melindungi dari bahaya secara beramai-ramai dengan berpegang teguh kepada tali Allah (al-Quran).
2. Allah menyatakan hendaklah berpegang kepada tali Allah secara keseluruhan (جَمِيعًا). Dua maksud pegang secara keseluruhan;
a. Semua umat Islam mesti berpegang teguh kepada tali Allah.
b. Jami’a – segala apa yang ada pada tali Allah itu hendaklah dipegang teguh.
3. Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa al-Quran adalah tali Allah yang dipanjangkan dari langit. Satu hujung tali itu kita pegang dan hujung yang satu lagi dipegang oleh Allah.
4. Formula untuk umat Islam kembali berjaya ialah kita mesti bersatu dan bersama-sama membina taqwa dengan mengikut panduan daripada al-Quran dalam segala aspek kehidupan.
5. Salah satu nikmat Allah yang mesti kita hargai ialah nikmat bersaudara (bersatu padu dan bersefahaman).
6. Berpecah-belah sesama Islam adalah punca kehancuran ummat yang mengundang kemurkaan Allah dan boleh membawa ke jurang neraka.
7. Perjuangan untuk membangkitkan umat Islam mesti dibuat secara berkumpulan dengan dipimpin hidayah Allah.
Ayat [3:104]
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
Pengajaran
1. Formula untuk bangkit menjadi umat yang berjaya:
a. minta bantuan Allah
b. berpegang kepada al-Quran
c. mengajak manusia ke arah kebaikan.
2. Kita perlu menyeru kepada kebaikan. Dakwah menuju kepada kebaikan. Ada orang berdakwah, tetapi caranya dengan marah-marah atau mengutuk orang lain. Ini bukan cara yang betul.
3. Menyeru kepada kebaikan (ma’ruf) dan mencegah kemungkaran perlu dilaksanakan dengan kaedah yang berbeza-beza. Dalam satu keadaan Rasulullah SAW melakukannya dengan tegas, dalam keadaan lain sampai berperang, dan dalam banyak keadaaan dengan penuh hikmah dan kelembutan. Contohnya dalam peristiwa orang Badwi yang kencing dalam masjid pun baginda masih melayannya dengan baik. Disuruh para sahabat membersihkan tempat itu. Hadis: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkata baik atau senyap."
Ayat [3:105]
وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُوا۟ وَٱخْتَلَفُوا۟ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ
"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar."
Pengajaran
1. Maksud bercerai-berai (تَفَرَّقُوا۟) ialah bila kita menyalahkan orang atau kumpulan lain yang berbeza dan menidakkan kebaikan yang kumpulan lain buat. Menolak kumpulan lain dan merasa kumpulan kita sahaja yang betul. Kemudian, berbeza pendapat untuk menyatakan kumpulan mereka sahaja yang masuk syurga. Kumpulan yang banyak bertelingkah ini, asalnya berniat untuk berdakwah. Malangnya dakwah mereka tidak mengajak kepada kebaikan tetapi hanya sekadar berdakwah sahaja.
2. Bila kita sudah belajar al-Quran dan bertadabbur, kita tidak sepatutnya berselisih. Jika ya, formula bangkit dan berjaya tidak dilaksanakan dengan betul. Jangan tinggalkan baca dan tilawah al-Quran. Fikirkan bersama bagaimana untuk mengajak masyarakat menjadi lebih baik.
3. Islam bukan milik kita sahaja tetapi milik semua. Maka kita ajaklah orang kepada Islam.
4. Allah beri al-Quran untuk kita kembali bersatu.
5. Perpecahan sesama Islam akan membawa azab yang besar.
Ayat [3:106]
يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌۭ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌۭ ۚ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ٱسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَـٰنِكُمْ فَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ
"(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): "Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu"
Ayat [3:107]
وَأَمَّا ٱلَّذِينَ ٱبْيَضَّتْ وُجُوهُهُمْ فَفِى رَحْمَةِ ٱللَّهِ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
"Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya."
Ayat [3:108]
تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِٱلْحَقِّ ۗ وَمَا ٱللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًۭا لِّلْعَـٰلَمِينَ
"Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar. Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.”
Pengajaran Ayat 106-108
1. Orang yang menjaga persaudaraan sesama Islam dengan berpegang teguh kepada al-Quran akan mendapat muka berseri. Sebaliknya, muka mereka menjadi hitam legam.
2. Bila kita bermasam muka sesama manusia/kumpulan semasa di dunia ini, mungkin itulah petanda yang di akhirat juga akan begitu.
3. Salah satu isi penting iman ialah apabila kita mendapat keimanan, kita menjadi bersaudara. Walaupun berbeza pendapat, tetap bertemu dalam wajah yang berseri.
4. Allah akan beri rahmat dan wajah yang putih berseri kepada orang beriman yang berpegang teguh kepada al-Quran dan menjaga persaudaraan/kasih sayang sesama Islam.
5. Allah tidak zalim kepada sekelian makhluk, tidak memberi azab sewenang-wenangnya. Allah beri kita peringatan supaya menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia agar umat Islam kembali berjaya.
RESOLUSI
Ingat !!
1. Pegang teguh dengan tali Allah SWT iaitu al-Quran dan ajaran agama Islam [3:102]
2. Laksanakan dakwah untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran [3:104]
3. Elakkan berpecah dan bertelingkah setelah datang keterangan [3:105]
Lega kerana Allah SWT memberi formula untuk umat Islam kembali berjaya.
Saya jelas untuk berpegang kepada hidayah al-Quran, laksanakan dakwah dan elak berbalah sesama Islam.
Ya Allah jadikan kami orang yang sentiasa berpegang teguh kepada hidayah al-Quran. Bantu kami untuk berdakwah dengan cara hikmah. Jauhi kami dari berpecah dan bertelingkah. Kurniakan kami nikmat bersaudara sesama Islam. Bantu kami untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam.
Ya Allah, terimalah taubat kami, ampunkan kami, jauhi kami daripada menjadi orang yang kufur. Peliharalah iman kami agar kami tidak menjadi orang yang rugi di dunia dan rugi di akhirat. Kurniakan keberkatan dalam hidup kami. Kurniakan kami muka yang putih berseri semasa di dunia dan di akhirat.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.