PERKATAAN HARI INI
سَرِعَ Bersegera
23 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
1. Segera ke arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran dan balasannya [3:133-136]
2. Nasib orang yang mendustakan rasul dan nasib orang-orang bertakwa [3:137-140]
Mukadimah
Alhamdulillah kita hampir sampai ke penghujung surah ali-'Imran. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita untuk terus mencintai al-Quran dan rasul. Semoga Allah juga mencintai kita. Halaman ini memberi semangat dan harapan untuk terus berjuang walau apa pun telah berlaku. Walaupun kita banyak kesilapan dan kekurangan, Allah tetap sayang kepada kita. Walaupun kita luka, dilukai dan terlukai, jangan putus asa, Allah bersama dengan kita.
Kalau kita rasa kita sudah penat, janganlah sampai berputus harapan. Bersyukurlah dengan apa sahaja yang Allah berikan kepada kita.
Ayat [3:133]
وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;"
Pengajaran
1. Mesti segera hapuskan riba! Bina sistem infak dan wakaf yang sistematik. Ayat ini hadir setelah datang ayat tentang riba, iaitu salah satu peringatan Allah. Riba mengganggu kepada kejayaan. Jadi kita hendaklah semak rumah tangga, organisasi dan negara agar dapat laksanakan kosong riba.
2. Bila kita membenarkan riba, ini akan mengundang kekalahan round kedua seperti dalam Perang Uhud. Sebenarnya Allah sudah beritahu bahawa infak dan wakaf dapat menyelesaikan isu riba. Pemimpin hendaklah ambil serious perkara ini. Jangan hanya ikut arus semasa yang banyak dipengaruhi oleh Yahudi. Ada pihak sekarang menggunakan masa untuk menzalimi orang. Contohnya, jika tidak dapat membayar dalam masa tertentu, dikenakan bayaran tambahan.
3. Allah ingatkan kita kalau hendak berjuang (buat kebaikan) mestilah segera ( سَارِعُوٓا۟ ).
4. Allah seru supaya segera memohon keampunan-Nya ( مَغْفِرَةٍ). Dengan keampunan Allah, segala kesilapan kita akan tertutup.
5. Allah sediakan syurga yang sangat luas untuk orang-orang yang bertaqwa yang sentiasa meminta pertolongan daripada-Nya agar dilindungi daripada berbagai masalah dalam kehidupan.
Ayat [3:134]
ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَـٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ
"Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;"
Pengajaran
1. Orang-orang yang akan mendapat syurga yang luas mempunyai tiga sifat iaitu:
a. Infak ketika lapang dan sempit. Sentiasa mencari siapa lagi yang dia hendak beri infak. Orang yang ambil riba, bukan mencari siapa yang hendak ditolong, tetapi siapa yang hendak dimakan.
b. Menahan marah. Marah itu umpama menahan air dalam gelas daripada tumpah apabila gelas diterbalikkan.
c. Memaafkan manusia.
2. Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik (ٱلْمُحْسِنِينَ). Orang-orang beginilah yang sedang berjuang dan menempah jalan ke syurga.
Ayat [3:135]
وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا۟ فَـٰحِشَةً أَوْ ظَلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا۟ ٱللَّهَ فَٱسْتَغْفَرُوا۟ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلُوا۟ وَهُمْ يَعْلَمُونَ
"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)."
Pengajaran
1. Orang-orang yang bertakwa juga akan segera ingat Allah lalu memohon ampun jika berbuat dosa secara tidak sengaja.
2. Kalau kita minta ampun, Allah akan ampunkan dan tutup kesilapan kita.
3. Setelah meminta ampun, hendaklah kita tinggalkan perbuatan keji tersebut.
Ayat [3:136]
أُو۟لَـٰٓئِكَ جَزَآؤُهُم مَّغْفِرَةٌۭ مِّن رَّبِّهِمْ وَجَنَّـٰتٌۭ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ وَنِعْمَ أَجْرُ ٱلْعَـٰمِلِينَ
"Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal."
Pengajaran
1. Orang yang bertakwa dan memohon keampunan Allah akan mendapat syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya.
2. Allah kagum kepada orang-orang yang beramal ( ٱلْعَٰمِلِينَ ) dan mengambil tindakan untuk berbuat kebaikan.
3. Jika kita berniat untuk berbuat baik, Allah akan permudahkan jalan ke arah itu. Contoh: untuk menukar pinjaman kepada yang tiada riba.
Ayat [3:137]
قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِكُمْ سُنَنٌۭ فَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُكَذِّبِينَ
"Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul)."
Ayat [3:138]
هَـٰذَا بَيَانٌۭ لِّلنَّاسِ وَهُدًۭى وَمَوْعِظَةٌۭ لِّلْمُتَّقِينَ
"(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa."
Ayat [3:139]
وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman."
Pengajaran Ayat 137-139
1. Allah suruh kita pergi mengembara (فَسِيرُوا۟) untuk memerhatikan akibat orang yang mendustakan ayat-ayat Allah (tidak mahu infak, kuat marah, tidak memaafkan orang lain) agar kita tidak menjadi seperti mereka.
2. Al-Quran memberi penerangan kepada semua manusia, tetapi hanya orang bertaqwa akan jadikan al-Quran sebagai petunjuk dan nasihat (مَوْعِظَةٌ) .
3. Orang bertakwa bila berjalan/mengembara, mereka akan sentiasa kaitkan apa yang dilihat dengan Allah (refleksi daripada ayat al-Quran).
4. Walaupun ada cabaran, Allah menyuruh orang beriman untuk tidak berdukacita dan terus berjuang.
5. Kedudukan orang beriman adalah tinggi disisi Allah dan akan pergi ke tempat yang lebih tinggi lagi di akhirat nanti.
Ayat [3:140]
إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌۭ فَقَدْ مَسَّ ٱلْقَوْمَ قَرْحٌۭ مِّثْلُهُۥ ۚ وَتِلْكَ ٱلْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَآءَ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
"Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim."
Pengajaran
1. Luka ( قَرْحٌ ) adalah lumrah perjuangan. Allah memujuk Nabi SAW dan para sahabat yang cedera dalam peperangan Uhud bahawa luka-luka itu adalah kecil berbanding apa yang akan didapati di syurga. Musuh juga terluka seperti mereka. Umpama anak kita yang tertekan menghadapi peperiksaan, akan gembira bila mendapat keputusan yang baik dan ayah bagi hadiah.
2. Perjuangan dalam keluarga atau di tempat kerja memang ada luka. Sakit, disakiti atau tersakiti. Semua orang akan luka dengan cara tersendiri.
3. Allah bagi luka/kalah atau berjaya dalam hidup (gilirkan dari senang ke susah ke senang) untuk menguji keimanan kita. Allah hendak melihat siapa di antara kita yang kalah, siapa yang menang dan diberi syahid. Waktu susah, infaq tak?, tahan marah tak?, taat tak? Waktu senang pula, macam mana? Sibuk? Semoga iman kita tidak bergoncang.
4. Waktu dilukai, jangan sampai kita zalim atau terus kufur. Ingat! Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
RESOLUSI
Ingat !!
1. Bersegera untuk infak, tutup/hapuskan kemarahan dan maafkan kesilapan orang lain kepada kita [3:133-134]
2. Segera ingat Allah dan beristighfar bila melakukan keji dan dosa [3:135]
3. Selalu kuatkan semangat walaupun cabaran datang melanda [3:140]
Lega kerana Allah SWT beri semangat untuk bangkit dan terus berjuang walaupun luka.
Saya jelas untuk bersegera infak, tutup kemarahan dan maafkan orang lain. Saya juga mesti segera ingat Allah dan istighfar bila sedar saya lakukan dosa. Saya mesti kuatkan semangat untuk terus berjuang membina iman dan taqwa dalam keluarga, organisasi dan masyarakat.
Ya Allah bimbing kami untuk segera melakukan kebaikan. Jadikan kami orang yang bersegera untuk infak, menutup kemarahan dan maafkan orang lain. Jadikan kami orang yang segera ingat kepada-Mu dan beristighfar apabila kami berbuat silap. Ya Allah, kuatkan semangat kami dalam menghadapi apa jua cabaran dalam perjuangan membina iman dan taqwa bersama keluarga, organisasi dan masyarakat kami.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, permudahkan segala urusan dalam hidup kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.