PERKATAAN HARI INI
فَشَلَ Hilang semangat
4 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
1. Perang Uhud: Susunan pasukan Islam dan mengingatkan kembali kepada kemenangan Perang Badar [3:120-129]
2. Jauhi riba dan takut neraka [3:130-132]
Mukadimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang masih memberi peluang pada hari ini untuk bersama al-Quran. Kita terus senyum ceria untuk mendapat hidayah Allah. Teruslah memberikan masa untuk al-Quran. Semoga Allah memberikan ganjaran yang besar kepada kita semua.
Ayat 4 dalam surah al-Fatihah مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ 'Raja kepada hari agama' mengingatkan kita bahawa yang paling berharga di akhirat nanti ialah agama. Segala perbuatan kita di dunia akan diaudit oleh Allah yang menguasai hari akhirat. Jika apa yang kita buat bercanggah dengan agama, pasti akan mencabar di akhirat nanti. Oleh itu hendaklah kita jadikan hari akhirat sebagai matlamat kehidupan. Buat yang terbaik di dunia dengan potensi yang Allah berikan kepada kita agar mendapat kebaikan yang berlipat ganda di akhirat.
Surah al-Baqarah ada bercerita tentang infaq dan riba. Halaman ini menceritakan tentang Perang Uhud yang diakhiri dengan larangan tentang riba. Dalam ayat 121 Nabi SAW telah meletakkan tentera di tempat-tempat yang strategik untuk berperang.
Ayat [3:122]
إِذْ هَمَّت طَّآئِفَتَانِ مِنكُمْ أَن تَفْشَلَا وَٱللَّهُ وَلِيُّهُمَا ۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ
"(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal."
Pengajaran
1. Allah ceritakan tentang dua puak dalam tentera Islam yang ingin berundur kerana lemah semangat menghadapi musuh yang ramai (3000 orang). Daripada 1000 orang tentera Islam, 300 orang munafik (Bani Salamah dari suku Khazraj dan Bani Harisah dari suku Aus) berpatah balik, diketuai oleh Abdullah b Ubai. Baginda SAW memang sudah tahu bahawa mereka sebenarnya takut/lemah hati (تَفْشَلَا).
2. Allah mengingatkan kita untuk bertawakkal kepada-Nya dalam apa jua perjuangan dalam hidup. Menang dalam peperangan bukan disebabkan kekuatan pasukan dan kelengkapan perang tetapi oleh kekuatan rohani dengan perlindungan dan bantuan Allah SWT.
3. Untuk berjaya dalam kehidupan di dunia dalam keluarga, organisasi, negara dan di akhirat, kita memerlukan semangat dan disiplin yang mantap. Allah ajar tentang kepentingan semangat dan disiplin tahap tinggi dalam cerita Perang Uhud. Ini boleh diaplikasi dalam perjuangan-perjuangan kecil dalam pengurusan keluarga dan oganisasi.
4. Peperangan adalah grup dinamik tentang pengurusan perubahan dalam kumpulan manusia yang paling tinggi, paling dinamik, paling cepat berubah dan memerlukan disiplin yang amat mantap. Perjuangan ada berbagai tahap; di rumah, di tempat kerja, dalam organisasi dan negara. Setiap tahap itu ada misi yang akan dicapai. Contoh: 'Art of War' buku tulisan Sun Tzu juga dijadikan rujukan dalam pengurusan bisnes dan organisasi.
5. Tahap perjuangan paling tinggi ialah dalam peperangan. Untuk berjaya dalam peperangan, memerlukan semangat dan disiplin paling mantap.
6. Allah pelindung orang yang berdisiplin dan tawakkal kepada-Nya.
Ayat [3:123]
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدْرٍۢ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌۭ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
"Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)."
Pengajaran
1. Allah ingatkan bahawa Dia telah memberi pertolongan yang besar (نَصَرَ) dalam Peperangan Badar. Dalam Perang Badar, pasukan Musyrikin Mekah kalah walaupun mereka ramai (1000 orang). Tentera Islam lemah ( أَذِلَّةٌ ), hanya 313 orang dengan kelengkapan yang sedikit.
2. Allah akan memberi pertolongan besar sekiranya kita bertakwa dan bersyukur.
3. Besyukur apabila kita berpeluang berjuang atas dasar kebaikan mengikut hidayah Allah SWT.
Ayat [3:124]
إِذْ تَقُولُ لِلْمُؤْمِنِينَ أَلَن يَكْفِيَكُمْ أَن يُمِدَّكُمْ رَبُّكُم بِثَلَـٰثَةِ ءَالَـٰفٍۢ مِّنَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ مُنزَلِينَ
"(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?"
Ayat [3:125]
بَلَىٰٓ ۚ إِن تَصْبِرُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ وَيَأْتُوكُم مِّن فَوْرِهِمْ هَـٰذَا يُمْدِدْكُمْ رَبُّكُم بِخَمْسَةِ ءَالَـٰفٍۢ مِّنَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ مُسَوِّمِينَ
"Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing."
Pengajaran Ayat 124-125
1. Allah turunkan 3000 malaikat membantu tentera Islam kerana mereka bertakwa. Jumlah 3000 menunjukkan bahawa pertolongan Allah itu besar.
2. Ini adalah tarbiah Allah supaya umat Islam sanggup berjuang demi kebaikan.
3. Dalam proses kehidupan (keluarga/bisnes/kerja dll) juga Allah boleh berikan pertolongan yang besar sekiranya kita sabar dan taqwa.
4. Jika bertakwa, Allah boleh tambah lagi pertolongan-Nya.
5. Allah memberi semangat kepada mereka yang lemah hati. Hati lemah kerana dosa. Bila hati lemah, nak buat kerja pun malas.
Ayat [3:126]
وَمَا جَعَلَهُ ٱللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُم بِهِۦ ۗ وَمَا ٱلنَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ ٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَكِيمِ
"Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Ayat [3:127]
لِيَقْطَعَ طَرَفًۭا مِّنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَوْ يَكْبِتَهُمْ فَيَنقَلِبُوا۟ خَآئِبِينَ
"(Kemenangan Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa."
Pengajaran Ayat 126-127
1. Allah memberikan bantuan untuk menggembirakan ( بُشْرَىٰ ) dan memberi ketenangan kepada orang Islam. Bila Allah beri bantuan, hati yang gundah-gulana pun jadi tenang.
2. Berita gembira ini juga untuk mengukuhkan keimanan kerana malaikat tidak dapat dilihat. Dalam kehidupan kita juga Allah boleh hantar malaikat untuk tolong kita menguruskan cabaran sekiranya apa yang kita buat adalah atas dasar takwa.
3. Sabar dan takwa adalah syarat untuk menang. Jika tidak sabar, yang lemah semakin lemah. Istiqomah dengan solat, al-Quran, infaq menjemput bantuan Allah.
4. Yakin bahawa Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana akan tolong kita. Berdoalah mohon pertolongan-Nya.
5. Allah mengalahkan orang-orang kafir atau menghina mereka untuk memberi kesedaran agar kembali kepada hidayah Allah.
Ayat [3:128]
لَيْسَ لَكَ مِنَ ٱلْأَمْرِ شَىْءٌ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ أَوْ يُعَذِّبَهُمْ فَإِنَّهُمْ ظَـٰلِمُونَ
"Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada dia menerima taubat mereka ataupun Ia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim."
Pengajaran Ayat 128-132
1. Urusan orang-orang yang ingkar bukanlah urusan kita. Serahkan kepada Allah untuk menguruskan orang yang ingkar. Menurut riwayat Bukhari, Nabi SAW berdoa supaya sebahagian dari pembesar musyrikin diselamatkan dan menghancur sebahagiannya. Allah menegur Nabi SAW melalui ayat ini.
2. Taubat manusia adalah antara dua taubat Allah. Kita, bila rasa nak bertaubat, itu kerana Allah mengingatkan kita. Kita bertaubat dan Allah menerima. Urusan taubat bukan urusan manusia. Banyakkan pergantungan kepada Allah (tawakkal). Contoh: Dalam organisasi, ada pekerja yang degil, asyik mengular saja, buat benda lain pada waktu bekerja. Kita tegur pun tidak ada kesan. Doa dan serah kepada Allah agar mereka sedar.
3. Janganlah kita mendoakan untuk sesiapa diazab. Serah kepada Allah. Tugas kita ialah untuk berusaha dan bertawakkal.
Ayat [3:129]
وَلِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۚ يَغْفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
"Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ia mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Pengajaran
1. Janganlah kita mengazabkan orang lain. Serah kepada Allah. Allah boleh azab sesiapa yang Allah mahu. Allah boleh mengampunkan orang yang lari dan buat onar, siapalah kita mahu menghukum/mengazab manusia lain.
2. Bila kita sedang marah, banyakkan istighfar, minta ampun daripada Allah. Dengan keampunan dan rahmat Allah kita akan tenang dan tidak akan marah melampau hingga sanggup mengazab orang lain.
Ayat [3:130]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوا۟ ٱلرِّبَوٰٓا۟ أَضْعَـٰفًۭا مُّضَـٰعَفَةًۭ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya."
Ayat [33:131]
وَٱتَّقُوا۟ ٱلنَّارَ ٱلَّتِىٓ أُعِدَّتْ لِلْكَـٰفِرِينَ
"Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir."
Ayat [3:132]
وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
"Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat"
Pengajaran Ayat 130-132
1. Orang bertakwa tidak akan mengambil riba.
2. Kalau kita hendak berjaya dalam perjuangan pastikan jangan terlibat dengan riba.
3. Orang-orang yang terlibat dengan riba tidak takut Allah, jadi Allah gertak mereka supaya takut kepada api neraka.
4. Allah akan bagi kemenangan dan rahmat-Nya kepada orang-orang yang berjuang kerana taat kepada Allah dan rasul.
5. Allah akan bagi lebih lagi bila kita elak riba. Dalam membina keluarga juga, elakkan apa saja yang berkaitan riba.
6. Kita tidak mahu keluarga kita hancur di dunia dan hancur di akhirat kerana riba. Ada yang tidak hancur di dunia, takutlah kehancuran di akhirat.
7. Teruslah perjuangan kosong riba dalam kehidupan kita. Semoga negara kita dibersihkan dari sistem riba yang hanya akan menyebabkan kegalauan dan ketidakamanan.
RESOLUSI
Ingat !!
1. Bina tawakkal tinggi kepada Allah agar kita tidak lemah [3:122]
2. Bina sabar dan takwa untuk menjemput pertolongan yang besar [3:125]
3. Bersih riba 100% kalau nak berjaya 100% [3:130]
Lega kerana Allah SWT akan beri pertolongan besar sekiranya saya sabar dan takwa.
Saya jelas untuk bina tawakkal tinggi kepada Allah agar tidak lemah. Saya jelas untuk sabar dan takwa untuk menjemput pertolongan yang besar daripada Allah dan saya mesti bersihkan diri, keluarga dan negara daripada riba supaya semua berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.
Ya Allah tolong kami untuk membina tawakkal yang tinggi kepada-Mu. Tolong kami untuk urus cabaran dalam hidup kami dengan sabar dan takwa. Ya Allah jauhkan kami daripada riba. Ampunkan kami atas perbuatan riba yang pernah kami lakukan.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, permudahkan segala urusan dalam hidup kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka.